Monday, September 28, 2009

Andalusia dan Ilmu Tafsir


Sejarah perkembangan ilmu tafsir di bumi andalusia


dipetik dari blog: khair-tamaddunummah.blogspot.com

Author: tamaddun ummah / Label: ANDALUS


Bahagian 1

1.11 Pengenalan Mengenai Andalus

Andalus atau Andalusia dikenali sebagai Taryessus pada zaman Purba. Andalus ialah sebuah wilayah yang terletak di utara Negara Maghribi, dan di selatan Sepanyol di dalam benua Eropah. Kedudukan wilayah ini di antara dua lautan iaitu di antara laut Mediterranean dan lautan Atlantik. Wilayahnya berbentuk segi tiga dan kini wilayahnya merangkumi selatan Negara Sepanyol dan Portugal. Ibu negeri Andalus ialah Cordova pada zaman pemerintahan Bani Umayyah. Antara kawasan terkenal di Andalus ialah Seville, Granada, Cordoba, dan Valencia. Perkataan Andalus diambil bersempena nama masyarakat peribumi Jerman iaitu ‘Vandalos’ yang telah menduduki wilayah tersebut sebelum kedatangan Islam sejak awal kurun kelima Masihi. Kemudian, pada tahun 711 Masihi, panglima Tariq bin Ziyad telah membuka kota Andalus dan menjadikan ia sebagai wilayah Islam pada zaman pemerintahan Bani Umaiyyah.


Terdapat beberapa faktor yang menarik perhatian penyelidik dan pembaca untuk mengetahui seterusnya mengetengahkan sejarah perkembangan Islam di Andalus. Ini kerana, pensejarahan Islam di Andalus sangat berbeza dengan pensejarahan Islam yang lain memandangkan Andalus merupakan satu-satunya wilayah yang terletak di benua Eropah. Sekiranya seseorang menelusuri historiografi Islam yang berkaitan dengan wilayah taklukan Islam, maka didapati bahawa kebanyakan wilayah taklukan Islam berada di dalam ruang lingkup wilayah Arab seperti Syam, Arab Saudi, dan Mesir yang rata-ratanya terletak di benua Asia dan Afrika sahaja. Justeru, dengan mengemukakan suatu gambaran perkembangan Islam di Andalus yang terletak di benua Eropah, ia secara tidak langsung memberi pendedahan kepada para pembaca akan keunikan dakwah Islamiah yang menjalar di seluruh pelosok dunia. Ia juga memperlihatkan pertembungan dua kuasa besar di dalam siri-siri peperangan di antara Islam dengan Kristian.

Bercerita mengenai Islam di Andalus, maka sudah pasti ia mempunyai perkaitan yang rapat dengan kerajaan Bani Umayyah. Kerajaan Bani Umayyah yang terbina di Andalus adalah rentetan daripada kerajaan Bani Umayyah yang bertapak di Damsyik, Syria apabila kerajaan Islam di bawah Khalifah al-Walid ibn Abdul Malik, khalifah yang kelima telah berjaya menakluki bumi Andalus melalui gabenornya. Sungguhpun kerajaaan Bani Umayyah di Andalus kurang popular di dalam liputan sejarah, namun apabila menyebut tentang tamadun Islam, maka tamadun Islam di Andaluslah dianggap sebagai tamadun Islam yang paling gemilang serta ia menjadi buah mulut masyarakat yang mengkaji ketamadunan Islam. Wilayah khilafah Bani Umayyah berpusat di Damsyik, Syria sehingga merentasi benua Eropah, manakala wilayah khilafah Bani Abbasiyah berpusat di Iraq, dan sekitar wilayah timur Arab.



1.12 Kronologi Sejarah Perkembangan Pemerintahan Islam Andalus

Sejarah yang dilalui umat Islam di Andalus dapat dibahagi kepada beberapa periode utama, iaitu:

1. Fasa pertama (91 H – 138 H / 709 M – 756 M)

Pada fasa ini, Andalus mula ditakluk dan ia kemudiannya berada di bawah pemerintahan para wakil gabenor yang dilantik oleh khalifah Bani Umaiyyah yang berpusat di Damsyik. Pada fasa ini, kestabilan politik Andalus masih belum tercapai secara sempurna. Terdapat pelbagai maslah yang timbul, seperti perselisihan di antara pemimpin, terutama akibat perbezaan suku dan golongan.

2. Fasa kedua (138 H – 238 H / 756 M – 852 M)

Pada fasa ini, Andalus berada di bawah pemerintahan seorang yang bergelar Amir yang berasingan dengan pusat pemerintahan Islam di Baghdad yang ditadbir oleh Bani Abbasiyah. Amir pertama ialah Abdul Rahman I berjaya mendirikan kerajaan Bani Umayyah. Pada tempoh ini, umat Islam mulai memperoleh kemajuan, baik dalam bidang politik, sosial, dan ekonomi, mahupun dalam bidang peradaban. Contoh-contoh pembaharuan yang telah dilaksanakan ialah Abdul Rahman I mengasaskan penubuhan Masjid Cordova dan sekolah-sekolah di kota-kota besar. Hisham I dikenali berjasa dalam menegakkan hukum Islam, dan Hakam I dikenali sebagai pembaharu dalam bidang kejuruteraan.

3. Fasa ketiga (238 H – 300 H / 852 M – 912 M)

Fasa ini berlangsung dari pemerintahan Muhammad Ibn Abdul Rahman yang kemudiannya diakhiri dengan Abdullah Ibn Muhammad. Pemerintahan pada fasa ini tidak banyak membuat perubahan sebaliknya terpaksa menghadapi pelbagai tentangan dari dalam dan luar negeri. Terdapat juga krisis dalaman yang dihadapi oleh pemerintah.

4. Fasa keempat (300 H – 366 H / 912 M – 976 M)

Pada fasa ini, Andalus diperintah oleh pemimpin dengan memakai gelaran khalifah. Khalifah yang mentadbir andalus pada ketika itu ialah Abdul Rahman III, dan anaknya al-Hakam II. Pada fasa ini, umat Islam Andalus mencapai kemuncak kemajuan dan kejayaan menyaingi kejayaan kerajaan Abbasiyah Baghdad.

5. Fasa kelima (366 H – 422 H / 976 M – 1031 M)

Fasa ini merupakan permulaan kepada kehancuran khalifah Bani Umayyah apabila khalifah Hisham yang ketika itu berusia sepuluh tahun menaiki takhta manakala tampuk pemerintahan dikuasai oleh al-Hajib Ibn Abi Amir secara mutlak. Setelah beliau wafat, negara Andalus yang sebelum ini makmur kemudian dilanda kekacauan akhirnya menuju kehancuran. Akhirnya, Dewan Menteri yang memerintah Cordova menghapuskan jawatan khalifah. Maka bermulalah Andalus berpecah kepada kerajaan-kerajaan kecil yang berpusat di kota-kota tertentu.

6. Fasa keenam (407 H – 667 H / 1016 M – 1268 M)

Andalus telah berpecah kepada kerajaan-kerajaan kecil. Namun, terdapat satu kekuatan yang dominan, iaitu kekuasaan kerajaan Murabbitun dan kerajaan Muwahhidun. Akan tetapi, kerajaan ini tidak dapat bertahan lama dan mengalami kehancuran. Pada tahun 1212 M, tentera Kristian memperoleh kemenangan besar di Las Navas de Tolesa. Kekalahan demi kekalahan yang dialami kerajaan Muwahhidun menyebabkan pemimpinnya memilih untuk meninggalkan Andalus sekali gus menamatkan pemerintahan Muuwahhidun di Andalus.

7. Fasa ketujuh (629 H – 897 H / 1232 M – 1492 M)

Pada fasa ini, Islam hanya berkuasa di daerah Granada, di bawah dinasti Bani Ahmar (Nasriyah). Peradaban ini kembali mengalami kemajuan sungguhpun secara politiknya, dinasti ini hanya berkuasa di wilayah yang kecil iaitu Granada. Setelah Ferdinand dan Isabella bersatu melalui perkahwinan, mereka akhirnya berjaya merebut kekuasaan terakhir umat Islam di Andalus ini. Dengan demikian, berakhirlah pemerintahan Islam di Andalus pada tahun 1492 M setelah jatuh ke tangan pihak Kristian.

Bahagian II

1.2 Sejarah Perkembangan Tafsir Al-Quran di Andalus

Tempoh dan era perkembangan tafsir Al-Quran di Andalus sebagai satu disiplin ilmu yang tersusun agak sukar untuk ditentukan secara spesifik disebabkan beberapa faktor tertentu. Antara faktor utama yang menyebabkan kesukaran dalam menentukan sejarah perkembangan tafsir Al-Quran adalah seperti berikut:

1. Senario perkembangan pelbagai cakupan ilmu berlaku secara serentak yang membawa kepada pengumpulan dan penguasaan ilmu secara menyeluruh yang oleh tokoh-tokoh ilmuan Andalus. Perkara ini telah dihuraikan dengan lebih lanjut di dalam kitab al-Tarikh al-Andalusiy dan kitab Tarajum al-A’lam fi al-Andalus. Secara umumnya, sekiranya seseorang cendekiawan Islam di Andalus terkenal dengan kepakaran di dalam sesebuah ilmu, secara tidak langsung beliau juga mempunyai kepakaran di dalam jurusan ilmu yang lain. Tambahan pula, hal ini dapat dilihat melalui biografi-biografi ulama’ Andalus di dalam kitab-kitab yang mengumpulkan tokoh-tokoh Islam di Andalus. Apabila melihat kepada biografi mereka, sudah pasti didapati kebanyakan tokoh-tokoh tersebut akan digambarkan sebagai: (…seorang yang pakar di dalam bidang feqh, ahli hadith, pakar tafsir Al-Quran, pakar bahasa…) dan hal ini sering kali dinyatakan di dalam kitab-kitab sejarah dan biografi ulama’ Andalus. Justeru, disebabkan ulama’-ulama’ terdahulu mampu menguasai sejumlah besar ilmu yang meliputi pelbagai jurusan, maka sudah pasti penulis agak sukar untuk menetapkan tempoh yang khusus bagi perkembangan ilmu tafsir Al-Quran secara spesifik.

Fenomena yang berlaku di atas merujuk kepada metodologi dan pendekatan yang dilakukan oleh penduduk bumi Andalus di dalam menggarap ilmu pengetahuan di Andalus. Ibn Khaldun berpendapat bahawa mereka memulakan pengajian ilmu dengan mempelajari ilmu Al-Quran dahulu, diikuti bahasa Arab, hadith, feqh, dan sebagainya. Kaedah ini hanyalah berlangsung di wilayah Andalus sahaja berbanding dengan wilayah Islam yang lain seperti yang dinyatakan oleh Ibn Khaldun.

Walaubagaimanapun, Abu Bakr Ibn al-`Arabi atau lebih dikenali sebagai Ibn al-`Arabi (M 543 H) mengkritik pandangan yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun, seterusnya menyatakan pendapat bahawa penduduk Andalus mendahulukan pengajian bahasa Arab dan syair daripada pengajian al-Quran. Ini kerana, beliau beranggapan bahawa kaedah ini dapat memudahkan pengajaran al-Quran. Ibn Khaldun memuji pandangan yang dikemukakan oleh Ibn al-`Arabi. Namun begitu, Ibn Khaldun tetap dengan pendiriannya yang menyatakan bahawa pengajian Al-Quran didahulukan daripada pengajian bahasa Arab dan syair dengan alasan bahawa sekiranya seorang kanak-kanak memulakan pengajian dengan mempelajari ilmu bahasa Arab dan syair sahaja sehingga dewasa, maka dia akan mendapati halangan demi halangan yang menyukarkannya untuk mempelajari Al-Quran seperti kesibukan waktu. Ibn Khaldun juga melarang penggunaan sistem pengajaran yang menghimpunkan dua bidang seperti bidang bahasa Arab dan Al-Quran secara serentak dan terperinci melainkan penuntut ilmu tersebut mampu untuk memahami dan menguasai kedua-dua bidang ilmu tersebut dengan kefahaman yang menyeluruh.

2. Institusi pendidikan di Andalus seperti masjid-masjid sangat berkembang dan tersebar di setiap pelosok kota, kampung, dan sebagainya. Kuliah-kuliah serta halaqah-halaqah yang menerapkan kepelbagaian ilmu pengetahuan adalah banyak dan semakin berkembang dari semasa ke semasa, sama ada ilmu tersebut mengenai bidang Al-Quran, syariah, bahasa Arab, dan sejarah. Jelaslah tentang hal yang telah dinyatakan oleh Maqriy, pengarang kitab Nahf al-Tayyib iaitu: (Tiadalah wujud sekolah-sekolah yang khusus bagi penduduk di Andalus yang dapat membantu mereka menuntut ilmu yang khusus, tetapi mereka membaca dan menuntut kesemua ilmu di masjid-masjid.) Contoh terdekat yang dapat dilihat ialah masjid Cordova yang dianggap sebagai pusat gedung ilmu atau universiti. Masjid ini dikunjungi ribuan penuntut ilmu dari pelosok dunia khususnya negara Islam untuk menuntut ilmu. Begitu juga sekiranya seseorang mengkaji kitab-kitab biografi ulama’ Andalus, ia memperlihatkan kepada masyarakat tentang masjid-masjid merupakan medan utama memperolehi pelbagai ilmu pengetahuan bagi para ulama’ dan cendekiawan.

Fenomena ini berterusan sehingga akhir kurun ke-4 Hijrah ketika pemerintahan al-Mustansar khilafah Umayyah. Kegiatan ilmu pengetahuan di Andalus telah mencapai tahap ketamadunan yang tinggi. Pada era pemerintahan Bani Umaiyyah, kebangkitan ilmu kian pesat, apatah lagi khalifah pada zaman tersebut telah membuka dan mendirikan 25 buah sekolah rendah. Di peringkat pengajian tinggi pula, masjid Cordova yang telah dijadikan sebagai Universiti Andalus pada zaman tersebut telah menarik ramai penuntut ilmu di pelbagai wilayah lain untuk mengunjungi dan mempelajari ilmu pengetahuan di sana. Dikatakan juga bahawa rakyat Andalus telah mendirikan banyak sekolah dan gedung buku di setiap penjuru kawasan, dan mereka membina universiti-universiti bagi kemudahan pembelajaran di setiap ibu negeri di Andalus. Universiti-universiti tersebut merupakan satu-satunya pusat menuntut ilmu di benua Eropah salam satu jangka masa yang agak lama sedangkan pihak Kristian masih lagi berada dalam zaman kegelapan (Dark Ages) mereka.

Akhirnya, Cordova menjadi pusat keilmuan yang termasyhur di Eropah. Pemerintah-pemerintah Bani Umayyah sangat berminat dengan ilmu pengetahuan menjemput dan mengumpul ramai golongan intelektual dari berbagai-bagai tempat di Andalus. Apa yang menarik perhatian ialah, rata-rata penduduk Andalus berpegang kepada mazhab Maliki, maka pendekatan yang telah didedahkan kepada mereka adalah bersandarkan kepada Al-Quran dan sunnah. Namun begitu, bidang falsafah dan pemikiran begitu berkembang di Andalus dan bidang keilmuan di Andalus merupakan satu-satunya keilmuan yang mengkombinasikan di antara pendalilan naqal dan aqal. Maka lahirlah tafsir al-Qurtubi yang berasaskan sumber penafsiran al-Quran dan hadith di samping berlakunya ledakan pemikiran falsafah seperti yang telah dipelopori oleh Ibn Rusyd.

Pada zaman pemerintahan al-Hakam II, beliau memberi galakan dengan menghulurkan bantuan kepada kegiatan-kegiatan kesarjanaan dalam pelbagai bidang. Pengajian ilmu bahasa Arab juga berkembang hasil daripada pengajian tatabahasa al-Quran. Hal ini telah mempengaruhi rahib Yahudi untuk menyusun semula pengajaran kitab Taurat mengikut model pengajian bahasa Arab. Golongan wanita turut terlibat dalam kegiatan keilmuan dengan penglibatan mereka terutama orang miskin sebagai penyalin kitab suci Al-Quran. Di pinggir kota Cordova sahaja, terdapat 170 orang wanita bekerja sebagai penyalin Al-Quran kepada khat kufi. Masyarakat Andalus juga giat menghafal al-Quran dalam usaha untuk menguasai bahasa Arab. Begitu juga mereka membaca serta menulis dengan menggunakan bahasa Al-Quran sehingga dikatakan semua orang di Andalus tahu membaca dan menulis. Walaubagaimanapun, jika dibandingkan perkembangan ilmu wahyu iaitu Al-Quran dan hadith dengan ilmu `aqliyyah, perkembangan dalam bidang ilmu `aqliyyah agak lebih ketara di Andalus.

Sungguhpun sejarah perkembangan tafsir Al-Quran tidak dapat ditentukan secara khusus mengikut zaman-zaman tertentu, namun dapatlah disimpulkan bahawa ilmu ini bertapak di Andalus seiring dengan penerimaan rakyat Andalus terhadap agama Islam. Disebabkan Islam sangat berkembang di Andalus pada abad kedua Hijrah sehingga abad keempat Hijrah, penduduk Andalus pada ketika itu sangat memerlukan bimbingan hidup yang dapat dipetik melalui pemahaman terhadap ayat-ayat Al-Quran dan makna-maknanya. Para cendekiawan pula bersungguh-sungguh mendalami pelbagai ilmu pengetahuan termasuk ilmu tafsir Al-Quran dengan berpegang kepada kaedah-kaedah penafsirannya, penyusunannya, dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya. Masjid pula telah dijadikan sebagai sekolah dan universiti yang menjadi medan pertukaran maklumat, percambahan idea dan fikiran, peningkatan ilmu pengetahuan khususnya ilmu Islam, asimilasi ilmu Islam terhadap ilmu alam dan ilmu hayat seperti astronomi dan sebagainya.

Anjakan serta gelombang perkembangan ilmu semakin menyerlah sehinggalah pada tahun 201 Hijrah, maka lahirlah seorang tokoh terkemuka tafsir yang mempelopori perkembangan tafsir Al-Quran di Andalus iaitu Baqiy Ibn Makhlad (M 276 H). Beliau merupakan tokoh pertama yang menceburi bidang tafsir Al-Quran dan telah menghasilkan sebuah tafsir Al-Quran lengkap yang pertama di Andalus yang mengandungi 70 jilid seperti yang telah dinyatakan oleh pengarang-pengarang kitab tokoh-tokoh Islam di Andalus.

Kemudian, tokoh-tokoh tafsir semakin bercambah ramai dari semasa ke semasa. Antaranya ialah Makkiy Ibn Abi Talib al-Qaisiy (M 437 H) yang merupakan seorang ulama’ tafsir, dan pakar bahasa Arab, diikuti Abu Bakr Ibn al-`Arabi (M 543 H) yang mengarang kitab tafsir Ahkam al-Quran. Perkembangan ilmu tafsir ini diteruskan lagi dengan kemunculan beberapa tokoh tafsir terkemuka di Andalus seperti Ibn `Atiyyah (M 541 H), pengarang kitab al-Muharrir al-Wajiz, diikuti Imam Mufassir Ahmad Ibn Abi Bakr Ibn Farh al-Qurtubiy (M 671 H), penulis kitab tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran, dan akhir sekali ialah Abu Hayyan al-Gharnatiy (M 745 H), pengarang kitab al-Bahr al-Muhit. Justeru, dengan kehadiran tokoh-tokoh ulama’ tafsir tersohor ini, tidak hairanlah jumlah tokoh-tokoh tafsir di Andalus mampu mencecah lebih 70 orang sehingga abad ke-10 Hijrah setelah melihat kepada buku-buku yang mengumpulkan biografi ulama’-ulama’tafsir di seluruh dunia!

Merujuk kepada metodologi tafsir al-Quran di Andalus, ulama’-ulama’ Andalus pada asasnya berpegang kepada tafsir bi al-Ma’thur, di samping merujuk kitab-kitab tafsir yang berkaitan. Sumber rujukan mereka mengenai kitab tafsir dapatlah disimpulkan terbahagi kepada dua bahagian, iaitu sumber dari timur dan sumber-sumber lain. Antara contoh-contoh kitab yang bersumberkan dari timur ialah tafsir al-Tabari, tafsir al-Razi, tafsir al-Mawardi, dan sebagainya. Manakala sumber lain-lain pula adalah seperti kitab Al-Hidayah ila Bulugh al-Nihayah yang dikarang oleh Makki al-Qaisiy yang juga merupakan tokoh Tafsir Andalus.

Daripada pensejarahan yang telah dikemukakan di atas mengenai perkembangan ilmu tafsir di Andalus, dapatlah disimpulkan bahawa ilmu tafsir mula bertapak di Andalus sebagai satu disiplin ilmu yang tersusun pada kurun ketiga Hijrah, kemudian berkembang pada kurun kelima Hijrah, seterusnya mencapai kemajuannya pada kurun keenam Hijrah rentetan daripada penghasilan karya tafsir oleh Ibn `Atiyyah, dan akhirnya mencapai kemuncak kegemilangannya pada kurun ketujuh dan kelapan Hijrah yang menyaksikan ciri-ciri, metodologi dan aliran-aliran para ahli tafsir yang tersendiri. Perkara ini akan dihuraikan secara terperinci di dalam bab berikutnya selepas mengemukakan biografi ringkas beberapa tokoh tafsir terkemuka di Andalus, insya Allah.

Bahagian III

1.3 Tokoh-tokoh Tafsir Andalus

Setelah membuat pemerhatian terhadap karya-karya yang mengumpulkan biografi tokoh-tokoh tafsir di dunia, didapati terdapat lebih daripada 70 orang ahli tafsir terdapat di Andalus sehingga abad ke-10 Hijrah. Menurut kitab Tabaqat al-Mufassirin karangan al-Daudi, bilangan ahli tafsir yang dapat dikenal pasti di Andalus adalah sekitar 75 orang. Namun, di dalam bahagian ini, penulis hanya memaparkan enam tokoh tafsir terkemuka Andalus yang hidup di dalam zaman yang berbeza, selaras dengan peringkat-peringkat perkembangan ilmu tafsir yang berlaku di Andalus.

1. Baqiy Ibn Makhlad

Masyarakat rata-rata mengenali ahli-ahli tafsir Andalus yang hidup pada abad selepas ketiga Hijrah, namun pada hakikatnya tidak ramai yang mengenali tokoh agung ini yang hidup pada abad ketiga Hijrah. Hal ini disebabkan beberapa faktor, antaranya:
i. Sedikit sahaja karya-karya biografi tokoh tafsir yang menceritakan riwayat hidupnya.
ii. Karya-karya beliau tidak dapat dikesan selepas kewafatannya, sehingga karya-karya beliau yang masyhur pada zamannya juga tidak dapat dikenal pasti mutakhir ini. Walaubagaimanapun, terdapat juga karya-karyanya dinyatakan di beberapa buku biografi ulama’-ulama’ tafsir sungguhpun metodologi penulisannya terhadap karya-karya tersebut sukar ditentukan. Turut dinyatakan juga di dalam kitab-kitab biografi ulama’-ulama’ (tarajum) bahawa karya tafsirnya sering digunakan oleh masyarakat dan menjadi rujukan mereka ketika beliau masih hidup. Olah hal yang demikian, Imam al-Zarkaliy telah berkata: (Baqiy Ibn Makhlad adalah seorang imam mujtahid, karya-karyanya tersebar, dan sering diguna pakai oleh penuntut ilmu ketika beliau masih hidup.)

Nama penuh beliau ialah Baqiy Ibn Makhlad Ibn Yazid al-Qurtubiy al-Andalusiy. Beliau dilahirkan pada bulan Ramadhan tahun 201 Hijrah dan panggilannya (kunyah) Abu Abd al-Rahman. Beliau merupakan seorang imam yang merendah diri, kuat beribadah, dan pakar di dalam ilmu tafsir dan hadith. Seorang yang tekun mencari ilmu dengan melakukan rehlah ilmiah ke beberapa buah negara untuk bertemu dengan ulama’-ulama’ seperti Yahya Ibn Bukair di Mesir, Hisyam Ibn `Ammar di Damsyik, Imam Ahmad Ibn Hanbal di Baghdad, dan lain-lain.

Bilangan guru-gurunya 284 orang, dan beliau sangat mengambil berat akan ilmu athar. Beliau adalah orang yang memainkan peranan penting dalam menyebarkan hadith-hadith di Andalus, dan dikatakan tiada seorang pun dapat menyainginya di dalam ilmu musnad dan tafsir pada zamannya. Pada bulan Jamadil Akhir 276, beliau telah menemui Ilahi.


2. Abu Bakr Ibn al-`Arabi

Pengenalan:
Nama penuh beliau ialah Muhammad Ibn `Abdillah al-Ma`afiri al-Andalusiy al-Isybiliy. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Ibn al-`Arabi. Beliau dilahirkan di Seville, Andalus pada tahun 468 Hijrah dan beliau pernah menjawat kadi di kawasannya. Beliau meninggal dunia pada tahun 543 Hijrah.

Kedudukan Ilmunya:
Ibn al-`Arabi telah menguasai pelbagai bidang ilmu melalui rehlah ilmiah yang telah dilakukannya di negara-negara Arab Timur dan di Andalus sendiri. Antara bidang-bidang pengetahuan yang telah dikuasainya ialah ilmu feqh dan kaedah penentuan hukum, ilmu hadith dan perawi hadith, ilmu tafsir, peradaban Islam dan syair, dan sebagainya. Berkata al-Hajjari mengenai Ibn al-`Arabi: (Beliau adalah lautan ilmu, dan pembimbing bagi segala ilmu yang dihafaz.)

Karyanya:
Keilmuannya yang tinggi tidak dapat dipertikaikan lagi apabila beliau telah menghasilkan karya-karya yang begitu banyak dan bernilai. Di dalam bidang tafsir, karyanya yang terpenting dan terkenal ialah Ahkam Al-Quran dan Al-Qanun fi Tafsir Al-Quran al-`Aziz. Karya Ahkam Al-Quran yang dikarangnya akan dibincangkan dengan lebih lanjut di dalam bab seterusnya. Di dalam ilmu hadith pula, beliau telah mengarang kitab al-Masalik fi Syarh Muwatta’ Malik, dan kitab `Aridah al-Ahwadhi `ala Kitab al-Tirmidhi. Adapun di dalam bidang feqh dan usul feqh, karyanya yang terkenal ialah Al-Mahsul fi Usul al-Feqh.

Guru-gurunya:
Beliau mempunyai bilangan guru yang sangat ramai dari pelbagai negara memandangkan beliau seorang ilmuan yang sering melakukan pengembaraan ilmu. Antara guru-gurunya dan tempat beliau menuntut ilmu ialah Abu al-Hasan Ibn Musyrif dan Abu Hasan Ibn Daud al-Farisi di Mesir, Abu Nasr al-Maqdisi, Abu Hamid al-Ghazali, dan Abu Sa`id al-Rahawi di Syam, Ibn al-Tuyuri, Ja’far Ibn Ahmad al-Siraj, dan Abu Zakaria al-Tibrizi di Bahgdad, dan lain-lain lagi.

3. `Abd al-Haq Ibn `Atiyyah
Pengenalan:
Nama penuh beliau ialah `Abd al-Haq Ibn Ghalib Ibn `Atiyyah al-Andalusi al-Gharnatiy al-Maliki. Beliau dilahirkan di Granada, Andalus pada tahun 481 Hijrah dan membesar di sana. Bapanya telah mendidiknya menjadi seorang yang cintakan ilmu. Beliau pernah menjawat jawatan kadi di sebuah kawasan di Andalus yang bernama Mariyyah. Beliau juga pernah berazam untuk menjadi kadi di salah sebuah wilayah di Maghribi, tetapi beliau dihalang daripada memasuki negara tersebut, bahkan beliau dihalau daripada menjejakkan kaki terus di Maghribi. Pada 15 Ramadhan 541 Hijrah, beliau telah meninggal dunia di bandar Riqqah, mudah-mudahan rohnya dirahmati Allah.

Kedudukan Ilmunya:
Ibn `Atiyyah sangat mencintai ilmu, maka tidak hairanlah beliau dapat menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Ketika menuntut ilmu, beliau meletakkan keazaman yang tinggi. Beliau seorang yang pakar di dalam ilmu tafsir, feqh, hadith, bahasa Arab, dan peradaban Islam. Al-Suyuti telah berkata mengenai beliau: (`Abd al-Haq Ibn `Atiyyah merupakan imam besar yang menjadi contoh teladan kepada ahli tafsir yang lain.)


Karyanya:
Karyanya yang termasyhur ialah mengenai ilmu tafsir. Tafsirnya yang bernama al-Muharrar al-Wajiz fi tafsir al-Kitab al-`Aziz merupakan tafsir bi al-ma’thur yang terulung di Andalus. Al-Suyuti telah menyatakan pandangan mengenai tafsirnya: (Ibn `Atiyyah telah menghasilkan karya tafsirnya dengan sangat baik, dan kitabnya itu menjadi sebenar-benar bukti yang menunjukkan ketokohan beliau di dalam ilmu bahasa Arab dan selainnya.) Ibn `Atiyyah sangat mengambil berat mengenai penghasilan tafsirnya dengan sentiasa menyatakan sumber rujukan yang diguna pakai olehnya dan mengutamakan pandangan yang rajih dan tepat. Beliau juga mengarang “Barnamij” yang memuatkan nama guru-gurunya dan hikayat yang diriwayatkannya daripada gurunya yang bersandar kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian, Barnamij ini telah dimuatkan di dalam kitab tafsirnya dan menjadi salah satu bahagian di dalam karya tafsirnya.

Guru-gurunya:
Bapanya merupakan gurunya yang paling utama di dalam bidang Al-Quran dan hadith, dan beliau telah mengambil hadith secara bersanad daripada bapanya sendiri. Di dalam bidang bahasa Arab, beliau menuntut ilmu daripada Imam Abi al-Hasan Ibn Ahmad Ibn Khalaf al-Ansari, manakala bidang feqh pula daripada Sufyan Ibn al-`Asi Ibn Ahmad al-Asadi. Beliau tidaklah mengembara mencari ilmu di tempat yang jauh, dan hanya menuntut ilmu di sekitar wilayah Andalus di pusat-pusat ilmu.




4. Abu `Abdillah Ibn Farh al-Qurtubi

Pengenalan:
Nama beliau ialah Muhammad Ibn Ahmad Ibn Abu Bakr Ibn Farh al-Ansari al-Khazraji al-Maliki al-Qurtubi. Tarikh kelahirannya tidak dapat dipastikan kerana tiada sumber sejarah yang menyatakan tarikh kelahiran beliau. Namun, tarikh kewafatannya telah disepakati ulama’ pada malam Isnin, 9 Syawal 671 Hijrah. Para ulama’ memuji akan kehebatan ilmu yang dimilikinya, dan sifat yang terdapat pada dirinya. Beliau seorang yang zuhud dan kuat beribadah.

Kedudukan Ilmunya:
Para sejarawan memuji akhlak yang dimiliki Ibn Farh al-Qurtubi di samping ilmu pengetahuannya yang tinggi. Penghasilan karya-karyanya yang meliputi pelbagai aspek membuktikan bahawa beliau mempunyai pengetahuan yang luas. Berkata salah seorang anak muridnya mengenainya bahawa beliau seorang yang berdisiplin, mempunyai hafalan yang sangat baik, dan mahir di dalam pelbagai bidang keilmuan agama.

Karyanya:
Karyanya di dalam bidang tafsir ialah bernama Jami’ Ahkam Al-Quran wa al-Mubayyin lima Tadammanahu min al-Sunnah wa Ai al-Furqan. Menurut Ibn Farihun, karya ini merupakan karya yang memberikan manfaat terbesar dan teragung kepada umat Islam. Kitab tafsir ini mengandungi 15 jilid besar dan memuatkan hukum-hukum yang didapati di dalam Al-Quran, ilmu qiraat, i’rab, nasikh dan mansukh, dan sebagainya . Selain itu, beliau juga mengarang beberapa kitab lain, antaranya Kitab al-Tazkirah bi Umur al-Akhirah, dan Kitab Qam`u al-Hirs bi al-Zuhd wa al-Qana`ah wa Dhal al-Sual bi al-Kutub wa al-Syafa`ah. Ibn Farihun telah memberi komentar mengenai karyanya Qam`u ini dengan menyatakan bahawa beliau belum pernah menemui penulisan yang lebih baik daripada kitab ini.

Guru-gurunya:
Antara guru-gurunya yang tersohor ialah Ibn Rawaj, Ibn al-Jumairi, al-Syaikh Abi al-`Abbas Ahmad Ibn `Umar al-Qurtubi, al-Hasan Ibn Muhammad Ibn Muhammad al-Bukra al-Hafidh, dan lain-lain. Manakala di antara murid-muridnya ialah anaknya sendiri, iaitu Shihab al-Din Ahmad.

5. Athir al-Din Abu Hayyan al-Andalusi

Pengenalan:
Beliau ialah Muhammad Ibn Yusuf Ibn `Ali Ibn Yusuf Hayyan al-Andalusi al-Gharnatiy. Dilahirkan di Granada, Andalus pada tahun 654 Hijrah, dan panggilannya ialah Abu Hayyan, dan digelar sebagai Athir al-Din oleh sebahagian besar masyarakat Arab timur. Beliau juga sering melakukan pengembaraan ilmu dan beliau seorang ahli pakar bahasa, ahli tafsir, muhaddith, dan ahli sejarah.

Kedudukan Ilmunya:
Keilmuannya sangat terserlah apabila menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Salah seorang muridnya pernah berkata: (Aku tidak pernah melihatnya melakukan perkara lain melainkan mendengar ilmu, atau menyibukkan diri dengan ilmu, atau menulis, atau membaca kitab…) Abu Hayyan turut terkenal dengan penghasilan syairnya yang begitu banyak. Manakala mazhabnya pula tidak tetap pada peringkat permulaan kehidupannya. Ketika beliau berada di Andalus, beliau berpegang kepada mazhab Maliki kerana rata-rata penduduk Andalus bermazhab Maliki, kemudian beliau berpegang kepada mazhab zahiri yang kian berkembang di Andalus ketika zamannya, dan akhirnya beliau berpegang kepada mazhab Syafi`i selepas menuntut ilmu di Mesir.

Karyanya:
Abu Hayyan telah menulis karya yang pelbagai dalam bidang keilmuan yang berbeza. Di dalam bidang tafsir, antara kitab yang telah dikarang oleh beliau ialah Al-Bahr al-Muhit fi Tafsir al-Quran al-Karim. Di dalam pengajian bahasa Arab pula, beliau telah menghasilkan karya Al-Asfar al-Mulakhkhas min Kitab al-Sighar yang merupakan kitab syarh bagi Kitab al-Tajrid yang dikarang oleh Sibawaih. Di dalam ilmu qiraat pula, beliau telah mengarang al-Nafi’ fi Qiraat Nafi’, al-Athir fi Qiraat Ibn Kathir, dan sebagainya.

Guru-gurunya:
Jumlah guru-gurunya begitu ramai, di antaranya ialah Abu Ja`far Ibn al-Tiba’ yang mengajarnya di bidang qiraat. Manakal di bidang hadith, beliau telah menuntut ilmu di Afrika, Mesir, dan Hijaz dengan syaikh al-Dimyati, al-Qutb al-Qastalan dan lain-lain. Dikatakan bahawa bilangan guru-gurunya di dalam bidang hadith dan bahasa Arab sahaja mencecah 450 orang.

Terima kasih yang tak terhingga kepada tuan empunya artikel ini. Maklumat yang diberikan memang ternyata sekali menambah pengetahuan saya tentang kegemilangan kota Islam di Andalusia.

Semoga maklumat ini berguna untuk kita semua dan menjadi pemangkin untuk kita mendalami ilmu menerusi pembacaan dan kajian. InsyaAllah.

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--