expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Buku pilihan bulan ini

Thursday, September 10, 2009

Buku pilihan bulan ini


Al-Quran ialah kitab suci umat Islam yang istimewa. Ia adalah satu-satunya kitab samawi yang masih terpelihara isi kandungannya walaupun menjangkau usia lebih 1400 tahun. Antara keistimewaan dan mukjizat Al-Quran yang paling menonjol ialah dalam bidang sains. Satu demi satu penemuan terkini para saintis ditemui dalam Al-Quran. Bahkan, penjelasan dan huraian saintifik yang dinyatakan dalam Al-Quran tidak memungkinkan satu rekaan manusia melainkan mukjizat yang membuktikan kebenaran Tuhan Yang Maha Agung dan kebenaran Islam.
Saya baru sahaja selesai membaca buku karangan Dr Danial Zainal Abidin bertajuk "Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran dari Teropong Sains". Untuk pengetahuan, saya mula mengenali Dr Danial Zainal Abidin semasa belajar Diploma Pendidikan di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang dalam tahun 2002. Selain sebagai pengamal perubatan dengan sebuah klinik di Pulau Pinang, Dr Danial juga adalah merupakan khatib yang membaca khutbah jumaat di Masjid Gelugor Pulau Pinang. Saya cukup berminat dengan cara dan kaedah penyampaian khutbah beliau. Lantaran dari itu buku-buku tulisan beliau adalah sentiasa menjadi koleksi saya.

Buku setebal 246 halaman ini dimulakan dengan perbincangan berkenaan perkaitan antara Al-Quran dan sains. Penulis memberikan bukti yang jelas tentang keharmonian Al-Quran dan sains yang tak dapat dipisahkan. Kewujudan ilmu sains membuktikan kebenaran Al-Quran
Buku ini mengandungi 5 bahagian

Dalam bahagian 1, penulis membincangkan kecemerlangan umat Islam hanya akan terbukti dengan menguasai dua ayat iaitu ayat-ayat Tuhan Yang Maha Agung dalam Al-Quran dan ayat-ayat yang terdapat dalam alam semesta (bukti-bukti kekuasaan Tuhan). Sains mementingkan bukti dan pembuktian sains akan menjurus kepada ayat-ayat tuhan.

Dalam bahagian 2, penulis mengetengahkan segala aspek berkaitan penciptaan alam semesta dan betapa hebatnya Al-Quran apabila menjelaskan pekara itu. Contohnya, teori big bang, penciptaan alam daripada asap, kronologi penciptaan alam, black holes dan kejadian bintang-bintang, semuanya berjaya dibuktikan dalam Al-Quran. Lebih menakjubkan sebahagian daripada perkara ini tidak diketahui oleh orang bukan Islam dan hanya dibuktikan dan diketahui mereka pada masa sekarang. Perkara ini membangkitkan rasa kagum saintis bukan Islam yang mengkaji penciptaan alam semesta.

Bahagian 3, penulis membicarakan tentang manusia dan asal usulnya. Dalam mengulas bahagian ini, penulis menggabungkan penemuan sains terkini dengan bukti dan dalil daripada Al-Quran. Penulis membuat perbandingan dengan teori asal kejadian manusia menurut pandangan agama lain dan sebahagan saintis bukan Islam. Nyata dan jelas sekali Teori Evolusi Darwin (Charles Robert Darwin, 1809-1882) adalah satu penipuan yang terancang untuk menafikan kewujudan Tuhan. Kesimpulan pandangan dan huraian penulis dalam bahagian ini akan menambahkan lagi keimanan umat Islam berkenaan kehebatan Al-Quran yang menjadi lambang keagungan Tuhan Yang Maha Pencipta.

Dalam bahagian 4, penulis membincangkan khusus tentang tujuan dan matlamat hidup manusia. Perkara yang melibatkan ibadah dan akhlak diterjemahkan menurut perspektif sains berdasarkan rujukan agung bernama Al-Quran. Antara tajuk yang dibincangkan Ibadah sebagai tujuan, Hikmah Ibadah, Ibadah Paling Utama, Padah Maksiat, Budaya Seks Bebas, Pengharama Seks Bebas, Pengharaman Seks Semasa Haid, Ibadah dalam Aspek Pemakanan, Pengharaman Arak, Penyalahgunaan Dadah, Pengharaman Daging Haiwan Liar, Prngharaman Babi, Makanan yang Halal lagi Lazat, Khasiat diet Nabi SAW, Ibadah dan Kebersihan, Hikmah Solat dan banyak lagi. Semuanya dikupas oleh penulis dengan berdasarkan jurnal-jurnal sains, kajian dan disokong oleh bukti yang terdapat dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Buku ini memberikan jawapannya berlandaskan dalil dan bukti Al-Quran tanpa keluar daripada batas yang dibenarkan Islam.

Bahagian 5 adalah bahagian penutup dan epilog. Penulis menegaskan bahawa ilmu sains menonjolkan tuhan dimana sebagai seorang manusia yang berakal waras dia harus berfikir yang alam ini tersusun dan terurus mesti perlukan perancang. Perancangnya ialah Tuhan Yang Maha Pencipta. Quran juga adalah pemangkin Ilmu Sains. Dari Quranlah datangnya Ilmu Sains (rujuk catatan saya sebelum ini). Bukannya Sains yang mendatangkan Quran. Penulis menegaskan Sains membenarkan Al-Quran. Penemuan-penemuan terkini oleh saintis akan menyedarkan manusia mengenai keagungan Al-Quran kerana apa yang ditemui mereka telahpun terdapat dalam Al-Quran.

Sebagai penutup, saya merasakan buku ini perlu dimiliki oleh semua pencinta ilmu. Buku ini boleh dijadikan rujukan yang baik sekiranya ada penemuan terkini dalam bidang sains dan teknologi. Apapun penemuan terkini pastinya akan membuktikan kekuasaan Allah SWT kerana firman Allah dalam surah Fussilat ayat 53 yang bermaksud "Akan kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran kami di setiap ufuk(penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas pada mereka Quran itu benar".
Keistimewaan buku ini dikukuhkan lagi dengan sokongan dua tokoh Mufti Malaysia iaitu Mufti Perak dan Perlis.
Wahai rakan-rakan yang hidup di era sains dan teknologi, ambillah iktibar dari penemuan-penemuan sains terkini kerana apa yang di datangkan dalam Al-Quran pasti akan berlaku

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--