expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Faktor Keruntuhan Akhlak Remaja

Friday, September 25, 2009

Faktor Keruntuhan Akhlak Remaja


Sesi persekolahan dewasa ini dikejutkan dengan pelbagai gejala sosial yang amat memalukan dan merosakkan akhlak remaja yang masih lagi berada di alam persekolahan. Di kaca televisyen, surat khabar, media-media alternatif hampir setiap hari memaparkan kes-kes seperti ponteng sekolah, membunuh, merogol, merompak, ragut, budaya samseng, buli dan banyak lagi yang tidak pernah terfikir ianya akan dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah yang masih berada di alam persekolahan.


Sebagai seorang individu yang terlibat secara lansung bersama dengan pelajar sekolah setiap hari, saya sentiasa cuba untuk mencari jawapan mengapakah hal yang demikian berlaku kepada remaja yang masih lagi berada di bangku persekolahan. Bahkan lebih mengejutkan lagi apabila berita memaparkan kes-kes yang tersebut di atas berlaku di dalam persekitaran sekolah.



Seperti mana yang kita semua ketahui sekolah adalah sebuah institusi yang mendidik pelajar menimba ilmu pengetahuan secara teori dan amali, mengajar agar berkelakuan baik, bersopan santun, berakhlak mulia, menghormati orang tua dan sebagainya. Kurikulum pembelajaran dan pengajaran telah disusun dan diadun mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia agar dapat membina pelajar yang berwawasan, cemerlang, berbuat baik, berakhlak mulia dan banyak lagi.

Jika kita kembali melihat sejarah pendidikan di zaman pasca merdeka, walaupun prasarana sekolah berada dalam keadaan yang amat menyedihkan tetapi hasilnya amat membanggakan. Walaupun masalah disiplin tetap wujud, tetapi tidaklah ketara dan menjadi budaya seperti sekarang.
Hari ini, kita perhatikan pelajar-pelajar berkelakuan samseng dan tidak senonoh, memeras ugut dan bermacam-macam lagi. Lebih memilukan lagi apabila mereka tanpa segan silu melakukan kelakuan tersebut dengan berpakaian sekolah.
Siapa yang hendak dipersalahkan?Tepuk dada tanya selera siapa yang harus dipersalahkan, adakah pihak sekolah yang gagal mendidik?Adakah pihak ibubapa?Ataupun mana-mana pihak lain lagi? Saya bukanlah hendak mencari siapa yang salah ataupun menuding jari ke arah sesiapa kerana ianya adalah bermula dari dalam diri kita sendiri dan harus setiap individu memperbetulkan cara pemikiran dan tingkah lakunya.
Apa yang saya ingin kongsi bersama dengan rakan-rakan ialah berkenaan dengan faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya keruntuhan akhlak remaja pada masa kini. Jika kita boleh kurangkan risiko dan elakkan faktor-faktor ini berlaku ke atas keluarga kita ataupun saudara seagama dengan kita, insyaAllah keruntuhan akhlak remaja dapat diminimakan. Antara faktor-faktornya ialah:

1. Pengaruh Media Elektronik

Hari ini, setiap rumah mempunyai media elektronik seperti internet, televisyen, radio dan sebagainya. Penggunaan yang disalahgunakan menyebabkan banyak yang ditegah dan dilarang oleh agama telah menjadi perkara yang diminati oleh pelajar seperti menonoton budaya kuning, rock, lucah dan seks. Budaya merah seperti 'wrestling' boleh mempengaruhi dan menyebabkan budaya samseng.
sebagai langkah untuk megurangkan risiko ini, kita seharusnya mengurangkan penggunaan televisyen dan cuba didik anak-anak kita untuk menggunakan media elektronik ini pada keadaan ynag diperlukan sahaja.

2. Pengaruh Rakan Sebaya

Terdapat pepatah yang mengatakan 'berkawan biar ramai, bermusuh jangan sekali'. Namun hakikatnya akibat daripada pengaruh rakan yang ramai, akhlak remaja menjadi rosak. Hari ini golongan remaja boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan
a. Kumpulan yang suka bersendirian
b. Kumpulan yang suka mengganggu dan mengacau
c. Kumpulan yang menjadi pak turut sahaja.
d. Kumpulan yang sukakan buku dan minat membaca
e. Kumpulan ala samseng
Kumpulan a, c dan d selalunya akan menjadi mangsa kumpulan b dan e. Pelajar-pelajar dari kumpulan b dan e ini selalunya akan suka merosakkan harta benda sekolah, tempat awam, merokok, mengacau, menonton video lucah, mengugut, mengurat, memeras ugut, mempengaruhi pelajar lain secara melakukan 'vandalisme'. Justeru itu pelajar dari kumpulan b dan e ini harus ditangani dengan bijaksana kerana mereka adalah insan yang senantiasa mencari sesuatu dan perlukan perhatian.

3. Pengaruh hiburan

Hiburan memang mengasyikkan dan menyeronokkan. Ia terlalu sesuai dengan jiwa remaja yang menginginkan lebih hiburan. Pengaruh dunia hiburan ini dapat dikesan melalui peniruan gaya-gaya artis yang menjolok mata, bergaya punk, berambut panjang dan bermacam lagi. Sebagai tambahan bukan sahaja peniruan cara pakaian malah peniruan cara percakapan melalui tutur kata dan gaya bahasa turut dijadikan ikutan dalam kehidupan seharian mereka. Antara langkah untuk mengelakkan risiko pengaruh ini ialah cari dan didiklah agar kita mencari hiburan mengikut kesesuaian naluri dan kehendak agama.

4. Masalah keluarga

Institusi keluarga akan menjadi porak-peranda sekiranya keadaan dalam keluarga tidak aman dan sering berlaku pertengkaran antara ahli keluarga. Jiwa remaja dalam situasi ini akan memberontak, stress, tension dan suka melawan. Mereka yang berada dala situasi ini akan cuba mencari jalan keluar untuk lari daripada masalah tersebut. Akibatnya ada yang tersesat jalan sehingga mengambil jalan mudah dengan mengambil dadah, menghidu gam dan menyertai kumpulan samseng. Kita sering terdengar akan kempen kerajaan iaitu keluargaku syurgaku, seharusnya ikatan kekeluargaan dibina berteraskan pengetahuan agama. Amalkanlah walaupun sedikit ilmu yang kita pelajari agar dapat menjauhkan diri daripada faktor yang keempat ini.

5. Masalah ekonomi

Tanpa ekonomi yang mantap dalam sesebuah keluarga, kehidupan menjadi melarat dan berlakulah kejadian seperti mencuri, merompak dan menyertai kumpulan haram. Ekonomi adalah suatu faktor yang penting dalam kehidupan pada masa kini justeru itu kita harus merancang dan mentadbir urusan kewangan kita dengan baik supaya kita tidak terjerumus dalam kehidupan yang melarat.

6. Masalah disekolah

Di kebanyakan sekolah, pelajar dibentuk agar mementingkan bidang akademik semata-mata tanpa menumpukan perhatian terhadap pengukuhan sahsiah atau akhlak. Selain itu sikap guru-guru banyak memberikan pengaruh buruk tanpa mengambil kira perasaan dan jiwa remaja. Akibatnya remaja hidup dalam keadaan kebosanan tanpa menikmati suasana yang harmoni. Peranan guru pada masa kini adalah amat penting dalam membentuk jiwa dan perwatakan pelajar. Pelajar berada di sekolah hampir lebih daripada lapan jam, justeru gurulah ikon yang dilihatnya pada setiap hari. Sebagai guru, saya akan senantiasa berusaha agar tingkah laku buruk saya tidak dilihat oleh pelajar yang sedang saya didik.

Kesimpulan

Sesungguhnya terdapat banyak faktor yang menyebabkan kerosakan akhlak pelajar-pelajar pada hari ini. Apa yang penting ialah sikap anggota masyarakat itu sendiri yang perlu menjaga imej negara daripada sebarang unsur yang boleh merosakkan. Marilah kita sama-sama mendidik remaja ke arah kemuliaan dan ketinggian akhlak kerana mereka adalah individu yang perlu dibimbing dengan cara yang pnuh hikmah dan kebijaksanaan. Memberi perhatian yang serius, berbincang dan menunjukkan contoh yang terbaik adalah salah satu daripada langkah yang terbaik. Janganlah kita menggunakan perkataan yang keras, kasar dan kesat ke atas mereka kerana akibatnya mereka akan menjadi liar. InsyaAllah sekiranya kita dapat lakukan yang terbaik ke atas mereka, ereka akan berasa dihargai seterusnya mendidik jiwa mereka kembali lembut dan menjadi manusia yang berguna pada suatu hari nanti.
Wassalam.....

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--