expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Sains di sebalik bunga

Saturday, September 5, 2009

Sains di sebalik bunga


Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat tuhan yang maha Esa kerana dikurniakan kesihatan untuk meneruskan ibadah puasa di bulan Ramadhan, penghulu segala bulan. Semoga kita akan beroleh kejayaan yang cemerlang dan dapat menghayati intipati tarbiah di bulan yang dikurniakan oleh Allah SWT khusus hanya untuk umat nabi Muhammad SAW.

Dalam catatan saya pada 2 September 2009, saya telah membincangkan tentang pro dan kontra pemakanan coklat dari sudut kajian saintifik. Coklat adalah salah satu hadiah yang popular untuk diberikan kepada orang yang tersayang sebagai penghargaan dan tanda kasih kita kepada mereka. Selalunya coklat akan disertakan bersama dengan sekuntum atau sejambak bunga. Dalam catatan terbaru ini saya akan mengupas kehebatan bunga dari sudut kajian sains.



Bunga adalah antara ciptaan Tuhan yang paling indah, tumbuh merata di permukaan bumi, menyebarkan warna dan keharumannya. Bunga sebenarnya bukan hanya untuk ditatap dan dicium baunya. Malah bunga mempunyai tujuan mengapa diciptakan seperti mana mengapa manusia diciptakan iaitu hanyalah untuk beribadat kepada Allah SWT.


Sebenarnya, tujuan utama kewujudan bunga adalah untuk pembiakan. Kerana itulah bunga selalunya indah, berwarna-warni dan mempunyai bau yang harum (tidak semua) bertujuan menarik serangga datang membantu pensenyawaan gamet atau sel pembiakan. [Hmmmm bukankan perempuan itu diciptakan untuk pembiakan?...he he he..]

Bagi tumbuhan yang berbunga atau angiosperma, bunga menjadi tempat pendebungaan antara gamet jantan (debunga) dan gamet betina (ovul). Persenyawaan antara kedua-dua benih dapat berlaku dengan sendiri ataupun dengan bantuan angin dan haiwan seperti serangga. Kemudian biji atau buah yang dihasilkan dapat diedarkan dan disebarkan bagi menghasilkan anak-anak yang baharu untuk meneruskan keturunan tumbuhan.

Tumbuhan berbunga dapat membiak di mana-mana sahaja dan dalam sebarang iklim mengikut ketetapan spesies dan habitatnya. Ada ribuan jenis bunga yang mempunyai kelopak bunga berwarna-warni, pelbagai ragam bentuk dan rencam baunya. Kadang-kadang manusia lebih tertarik pada bunga sesuatu tumbuhan daripada tumbuhan itu sendiri. Dalam keindahan,kerencaman dan kebelbagaian itu, bunga perlu diklasifikasikan dan dibanci oleh pakar taksonomi.

Daripada kesemua keluarga tumbuhan berbunga, yang paling penting ialah keluarga poaceae atau rerumput yang membekalkan bijirin seperti padi, jagung, gandum, barli dan oat. Manakala keluarga fabaceae adalah penyumbang kedua terbesar kepada sumber makanan manusia yang memebekalkan kacang. Selain dua keluarga yang terpenting itu, dua keluarga yang paling besar dan berjaya ialah keluarga orchidaceae (bebunga orkid) dan asteraceae (bebunga daisi)



Pelbagai jenis spesies bunga


"Formula bunga" pula adalah cara para saintis mengklasifikasikan bunga yang mengikut struktur kelopaknya. Mengikut formula ini, kelopak bunga dilambangkan dengan pembolehubah "Co" manakala sepal (kelopak daun dipangkal bunga) dilambangkan dengan "Ca", Stamen pula dilambangkan dengan A manakala karpel (termasuk stigma) dilambangkan dengan huruf G. Sekiranya bunga itu mempunyai enam kelopak, tiga sepal, 12 stamen dan enam karpel, rumusan formula bunga itu ialah Ca6Co3A12G6. Dengan rumusan ini, saintis dapat mengklasifikasikan bunga mengikut bentuknya yang berguna apabila mahu membahagi-bahagikan keluarga atau mengenal pasti spesies.

Christmas Lillium (Lilium longiflorum). 1. Stigma, 2. Style, 3. Stamens, 4. Filament, 5. Petal


Banyak kajian penyelidikan dan pembangunan industri bunga kini menumpukan pada cara mengekalkan kesegaran bunga supaya tahan berkembang lebih panjang. Mengikut petua, sekiranya menyimpan keratan bunga di rumah, tambah gula di dalam pasu bagi menyegarkan bunga supaya kekal lebih lama. Ini kerana karbohidrat dalam gula membantu memberikan zat kepada bunga. Namun, gula menyebabkan pertumbuhan kulat dan bakteria. Maka tambahkan asid seperti sedikt jus limau atau cuka bagi mengimbanginya.

Selain ketahanan bunga, kekerapan tumbuh-tumbuhan berbunga juga pelbagai. Ada yang kerap berbunga dan ada yang berbunga hanya sekali seumur hidupnya seperti pokok talipot yang berbunga hanya sekali dan pada usia sehingga 80 tahun. Ada yang berbunga pada malam hari sahaja dan ada yang hanya mengembang galak pada awal pagi semasa menerima sinar matahari.

Contoh-contoh bunga yang mempunyai hayat istimewa
1. Neelakurinji - sejenis bunga yang hanya terdapat di India di daerah Iduki, Kerala. Cuma berbunga sekali setiap 12 tahun. Kanak-kanak yang melihatnya di usia muda tak mungkin akan melihatnya lagi sehingga dewasa

Neelakurinji


2. Titan arum - sejenis bunga berasal dari Sumatera bersaiz sangat besar sekali. Kali pertama berbunga ialah pada 1889 dan paling akhir ialah pada tahun 2005 di taman botani Jerman. Titan arum mengeluarkan bau yang busuk seperti bau bangkai justeru itu orang memanggilnya "bunga bangkai"


3. Rafflesia - sejenis bunga pakma yang terdapat hanya di Sabah dan Sarawak, Malaysia. Bunga parasit ini diberi jolokan bunga terbesar di dunia kerana dapat mengembang hingga diameter 1 meter dan mencapai berat 10 kilogram.


Bunga sebagai hadiah yang menggembirakan orang

Menurut kajian daripada pakar biokimia, Eran Pichersky, dari Universiti Michigan, USA"Bagi setiap haruman bunga, mungkin ada 50 hingga 100 bahan kimia yang bergabung menghasilkan bau itu"
Haruman itulah yang membuatkan bunga diminati orang dan menjadikan hadiah yang ideal, terutamanya mawar bagi melambangkan cinta.

Pada tahun 2005, satu kumpulan penyelidik di Universiti Rutgers, New Jersey, USA, membuat eksperimen selama 10 bulan berkenaan kesan bungan kepada manusia. Mereka mengkaji reaksi subjek manusia apabila dihadiahkan bunga dan merumuskan kajian dalam jurnal Evolutionary Psychology, April 2005. Menurut kajian mereka, selepas memerima bunga setiap subjek menjadi gembira dan teruja. Hal ini berlaku kepada seiap orang tidak kira umur, sama ada kanak-kanak ataupun dewasa. Perbuatan memberikan bunga direkodkan dapat mengurangkan tekanan perasaan dan menenangkan fikiran. Subjek kajian dikatakan lebih menikmati harinya, tidak mudah marah dan menghadapi cabaran dengan rasa tenang dan senang. Hubungan pemberi bunga dengan penerima bunga seolah-olah lebih dieratkan selepas itu.

Justeru itu, bunga bukan sekadar indah, bukan sekadar penghias alam, bukan sekadar mengharumkan tanpa maksud. Tetapi bunga mempunyai tugas yang bermakna kepada proses pembiakan dan menenangkan perasaan manusia.

Sesungguhnya setiap sesuatu dalam dunia ini diciptakan Allah dengan makna yang berlapis, mengandungi bermacam erti yang diisi dengan maksud yang terserlah jelas dan nyata. Terserahlah pada manusia untuk menilai dan mengambil iktibar dari ayat-ayat dan kebenaran Tuhan yang maha Pencipta.

Bahan-bahan rujukan
1. Dewan Kosmik, Julai 2007 m/s 28-29 Artikel oleh Saharil Hasrin Sanin
2. Fokus Super Biology SPM, Pelangi, Primary and Secondary Growth in Plant
3. Evolutionary Psychology, April 2005
4. http://en.wikipedia.org/wiki/Flower

1 comments:

Cikgu Mahfuza on September 5, 2009 at 4:11 PM said...

Cukup saintifik. Bagus!

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--