Wednesday, September 9, 2009

Sains di sebalik cinta (Science in Love)


Dalam catatan saya pada 02 September dan 05 September 2009, saya ada membicarakan tentang coklat dan bunga dari pandangan sains. Bunga dan coklat akan menerbitkan cinta. Dalam laman web http://www.love-sessions.com/whatislove.html, antara salah satu kaedah untuk memperolehi cinta ialah memberi hadiah penghargaan kepada seseorang sejambak bunga dan sekotak coklat. Gabungan antara dua bahan ini akan menyebabkan jantung akan berdebar, darah tersirap mengalir deras, mata menjadi bundar tak berkerdip.

Dalam benak hati, ada cinta yang sedang berbunga, mengorak kelopak menyuburkan hati. Justeru itu apakah cinta dari sudut kajian saintifik?
Dalam sebuah hadis Rasullullah SAW yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud "Apabila kamu suka akan sesuatu itu secara berlebihan, mata kamu buta dan telinga kamu tuli, jadi berpadalah dalam hal kesukaan kamu"
Dalam kata lain, cinta membuatkan diri kita hilang kawalan, lidah rasa kelu apabila berhadapan dengan orang yang dicintai (saya pernah mengalaminya), kaki rasa longgar bagaikan mahu ranap sehinggakan kadang-kadang semua perbuatan tidak menjadi dan seolah-olah mabuk. Inilah yang disebut "mabuk cinta"



Menurut laman web www.ckdhr.com/.../what_is_love.html , satu kajian saintifik di Itali pada tahun 1990, mereka yang sedang mabuk cinta akan menunjukkan gejala OCD (Obsessive Compulsive Disorder)- satu penyakit mental yang membuatkan mereka mahu mengawal segala-segala yang berada di sekelilingnya. Dengan kata lain orang yang bercinta, jiwanya sentiasa tidak tenteram seperti tidak siuman.
Gejala OCD ini berlaku kerana kekurangan hormon neurotransmitter dipanggil serotonin. Kajian mendapati orang yang bercinta mempunyai aras serotonin 40% kurang daripada orang yang tidak bercinta. Namun aras serotonin akan kembali normal selepas setahun selepas percintaan bermula. Mungkin cinta menjadi biasa dan akal sudah lali dengan orang yang dicintai. Perasaan mabuk cinta di awal perkenalan akan menjadi semakin surut dimakan masa. (Ini pandangan penulis)
Menurut Dr Helen Fisher dari Universiti Rutgers, New Jersey, USA terdapat tiga tangga dalam percintaan yang mana setiapnya bergantung kepada kimia dan hormon yang merembes dalam badan.

Fasa pertama ialah Fasa BERAHI
Fasa ini diaktifkan oleh dua hormon penting tubuh iaitu testosteron (lelaki) dan estrogen (wanita). Hormon-hormon inilah yang membuatkan kita mencari cinta

Fasa kedua ialah Fasa TARIKAN
Pada fasa ini, jika berjumpa dengan orang yang dicintai atau orang yang kita menaruh hati anak mata akan teransang dan membesar. Bagaikan wujud tarikan elektrik antara kita dengannya.
Dalam fasa ini, neurotransmitter dalam otak yang dipangggil "monoamines" memainkan peranan paling penting. Apabila bercinta, norepineprine (adrenalin) membuatkan kita berpeluh dan mempercepatkan degupan jantung; dopamin membuatkan kita bagaikan mabuk ketagihan asmara; serotonin akan menyebabkan gejala OCD (dopamin dan serotonin terdapat dalam nikotin rokok). Fasa keseliratan hormon inilah yang dipanggil angau dan mabuk cinta.
Sains menjelaskan lagi fasa tarikan ini, didapati ada dua perkara yang dapat menarikkan cinta
(a) merenung ke dalam mata boleh menguatkan perasaan kasih dan ikatan cinta (Kajian dari Profesor Athur Arun, psikologis dari New York). Justeru saya berpendapat selalulah renung mata isteri kita untuk menguatkan perasaan kasih dan sayang.
(b) bau tubuh seseorang atau feromon.
Menurut kajian dari Dr Claus Wedeken dari Universiti Bern, Switzerland pada tahun 1995 yang mengarahkan sekumpulan wanita menghidu pakaian lelaki yang berbeza. Didapati mereka memilih lelaki yang mempunyai sistem imunisasi yang berbeza dari tubuh mereka.

Fasa terakhir ialah Fasa Ikatan
Ini merupakan fasa pelengkap cinta, ikatan yang bakal dibuktikan dengan perkahwinan. Pasangan yang berada pada tahap ini mahu menjadikan keintiman mereka kekal.
Hormon yang paling utama dalam fasa ini ialah hormon oksitosin yang dirembeskan ke otak melalui kelenjar hipotalamus. Bahan kimia ini meransang keakraban dan perasaan kasih sayang antara manusia (oksitosin juga hadir semasa ibu selesai melahirkan anak dan meransang payu dara agar mengeluarkan susu). Keakraban ini juga dimangkinkan dengan kehadiran hormon vasopresin yang juga mengawal ginjal dalam tubuh. Vasopresin menimbulkan perasaan akrab dan keeratan antara pasangan.
Begitulah kompleksnya cinta di mata sains. Rasa cinta dan asmara yang membara sebenarnya melibatkan kimiawi dan taakulan psikologi dan perjalanan biologi
Sesungguhnya, Maha Agung kekuasaan Tuhan sekalian alam, mengayam aturan sains pada segala di alam semestanya dengan begitu terperinci, termasuk CINTA

Bahan rujukan
1. Quran saintifik, Dr Danial Zainal Abidin PTS Millenia 2009
2. Majalah Kosmik, Februari 2007, ms 44-45, Saharil Hasrin Sanin
3. http://www.love-sessions.com/whatislove.html
4. http://en.wikipedia.org/wiki/Testosterone

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--