expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Perang Pertama dalam Sejarah Islam

Sunday, October 11, 2009

Perang Pertama dalam Sejarah Islam


Meneliti sejarah perjuangan Rasulullah SAW dalam menegakkan agama Islam akan membawa kita untuk bertemu dengan Perang Badar. Perang ini merupakan perang yang pertama berlaku antara tentera Islam yang dipimpin sendiri oleh Nabi Muhammad SAW dengan tentera Musyrikin Mekah.

Mengikut catatan sejarah, Perang Badar berlaku pada bulan Ramadhan tahun kedua hijrah. Tentera Islam seramai 313 orang telah keluar dari Kota Madinah untuk menghadapi anggota Musyrikin Mekah yang dikatakan 1,000 orang.

Saidina 'Umar al-Khattab, salah seorang yang turut menyertai Perang Badar berkata bahawa sebelum berlakunya Perang Badar, Rasulullah SAW dikatakan telah melihat kepada tentera Islam yang seramai 313 orang itu dan kemudian baginda melihat pula kepada tentera Musyrikin Mekah yang ramai itu di dalam mimpi.

Sesudah itu Rasulullah SAW yang tidak mempunyai satu apa pun alat kelengkapan perang di badannya kecuali kain yang dipakainya saja, telah mengadap Kiblat dan berdoa, "Wahai Tuhanku, Aku mohon Engkau hulurkan sebanyak mana janji yang dijanjikan kepadaku. Sekiranya engkau matikan semua orang sejumlah (313 orang) ini, maka tidak adalah orang yang akan bekerja untuk Mu di dunia ini."

Meneliti isi kandungan doa Rasulullah SAW itu, kita dapati bahawa bantuan dan pertolongan Allah SWT sangat diperlukan oleh Nabi Muhammad SAW. Ini kerana orang Islam yang bersama nabi seramai 313 itu yang merupakan benih yang akan menyebarkan Islam di hari muka. Sekiranya mereka terbunuh, maka akan lenyaplah Islam di muka bumi ini.

Apabila selesai Nabi Muhammad SAW berdoa, lantas Allah SWT menurunkan ayat yang membawa berita gembira kepada baginda dan pengikutnya. Berita itu dinyatakan dalam fiman Allah SWT yang bermaksud: (Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu ia diperkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut." (al-Anfaal:9)

Ayat tersebut menyatakan bahawa Allah SWT memberi jaminan akan memberi bantuan dan pertolongan kepada Nabi Muhammad SAW. Antara bantuan dan pertolongan ini ialah Allah menurunkan Malaikat untuk menyokong perjuangan Nabi Muhammad SAW dan untuk menguatkan semangat tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah SAW. Malaikat yang diturunkan ini beratus ribu jumlahnya.

Bantuan malaikat ini diberikan kepada Nabi Muhammad SAW dengan tujuan menimbulkan rasa gembira di kalangan pengikut baginda. Dengan Kudrat dan Iradat-Nya, Allah SAW memberikan kemenangan kepada Nabi Muhammad SAW. Tetapi sebelum mencapai kemenangan, kemungkinan besar orang Islam berperang dengan hati yang gelisah.

Pengikut-pengikut nabi semuanya adalah manusia dan apabila disebut manusia, maka hatinya senantiasa gelisah khususnya apabila melihat tentera Islam hanya berjumlah 313 orang sahaja sedangkan kekuatan tentera Musyrikin Mekah adalah tiga kali ganda jumlahnya.

Sesungguhnya bantuan malaikat ini tidak perlu kepada bilangan yang ramai sampai kepada berpuluh ribu kerana kebesaran yang diberikan oleh Allah kepada Malaikat sudah terbukti. Namun lantaran hendak memberikan kegembiraan kepada orang Islam, maka jumlah yang begitu ramai dihantar untuk membantu perjuangan mereka.

Satu lagi bentuk bantua dan pertolongan yang diberikan oleh Allah kepada pengikut-pengikut Nabi Muhammad SAW yang berperang itu ialah menjadikan senua tentera Islam yang terlibat dalam peperangan itu supaya mengantuk. Ini jelas dari firman Allah yang bermaksud: "(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu)...."(al-Anfaal:11)

Perasaan mengantuk ini dijadikan Allah dengan tujuan untuk menghilangkan rasa takut dan gentar di hati orang Islam. Perasaan mengantuk ini menyebabkan semua tentera Islam tertidur dan apabila sedar kembali, perasaan mereka menjadi segar dan segala kegoncangan dan ketakutan dihati telah hilang. Mereka kini berada dalam keadaan semangat yang baru.

Bantua Allah turut diberikan kepada Nabi Muhammad SAW dengan menurunkan air dari langit. Ini jelas menerusi firman Allah SWT dalam surah dan ayat yang sama maksudnya,"Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya...."

Air, khususnya bagi orang yang berperang memang sangat diperlukan apatah lagi apabila Perang Badar ini berlaku di padang pasir dan dalam bulan Ramadhan. Keadaan ini menambahkan kesulitan bagi orang Islam apabila tempat yang mempunyai punca air dikuasai oleh orang Musyrikin Mekah.

Kejatuhan tempat air ke tangan orang Musyrikin Mekah boleh melemahkan semangat perjuangan orang Islam. Ini mungkin disebabkan air yang tidak mencukupi. Hawanya yang panas pula telah menjadikan tanah gersang. Namun, dalam keadaan demikian, Allah SWT telah menurukan hujan dari langit dan ini menyebabkan segala kerisauan yang melanda orang Islam hilang dengan sendirinya.

Disamping itu, Allah telah meletakkan dalam hati orang kafir perasaan takut. Ini juga merupakan satu lagi bantuan dan pertolongan yang diberikan Allah kepada orang Islam. Maksud firman Allah SWT jelas menyatakan keadaan ini iaitu:"... Aku akan mengisi hati orang yang kafir dengan perasaan gerun..." (al-Anfaal:12)

Apabila wujudnya keadaan seperti ini, alat-alat senjata yang lengkap dan moden sudah tidak berguna lagi. Mereka membuang semua yang dipegang kerana ketakutan yang dirasai untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Berkat bantuan dan pertolongan yang diberikan Allah SWT, orang Islam seramai 313 orang itu telah mencapai kejayaan cemerlang dalam Perang Badar.

Mengikut catatan sejarah, dikatakan seramai 20 orang kafir telah terbunuh dan 70 orang lagi telah ditawan oleh orang Islam. Tentera Islam yang terbunuh hanya 14 orang sahaja. Di samping itu banyak juga harta yang dibawa ole tentera Musyrikin Mekah daripada Syria (Syam) telah dijadikan harta rampasan perang.

Sumber
Majalah Cahaya, November/Disember 2007

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--