Friday, October 9, 2009

Perjuangan dalam Pendidikan Anak Bangsa


Alhamdulillah bersyukur saya ke atas segala nikmat yang dikurniakan yang tak mampu saya hitung walaupun menggunakan kemudahan peralatan pengiraan yang terkini. Nikmat yang tidak terhitung ini suatu yang amat istimewa sebagai saya yang bergelar seorang manusia. Justeru itu, perkataan Alhamdulillah, terima kasih, syukur seharusnya menjadi suatu amalan kita seharian.

Catatan pada hari ini merupakan catatan yang ke-100 dalam sejarah pemblogan saya. Walaupun sepanjang menulis catatan dalam blog ini, ada di antara artikel yang saya 'copy and paste', namun tujuannya hanya satu iaitu untuk berkongsi ilmu dengan semua pengunjung blog ini. Dalam perkembangan dunia teknologi maklumat yang semakin pesat ini, pada saya jika kita sanggup berkongsi idea dan pemikiran di dalam alam maya, idea dan pemikiran itu boleh dikongsi bersama kerana dunia sekarang telah sampai ke era tanpa sempadan. Namun memohon kebenaran dari penulis artikel asal adalah perlu kerana sebagai seorang yang mempunyai pendidikan kita mesti sentiasa memupuk sikap menghormati dan menghargai hasil usaha orang lain.

Sejarah untuk menghasilkan blog ini bermula pada tahun 2006 apabila saya telah dipilih untuk membantu beberapa orang Jurulatih Utama Applied Science yang dianggotai oleh En Abd Rahim b Kassim (PK 1 SMT Muar), Tn Hj Salahuddin Abdullah (GP SMT JB), En Chia Song Choy (pada waktu itu pengetua SMT Kuala Klawang), En Koay Kheng Chuan (GC Fizik SMT Lebohraya AS), Tn Hj Zainal b Yono (GC Fizik SMT KT), Allahyarham Tn Hj Abdul Kazar b Mydin (GC Kimia SMT Lebohraya AS), En Mohd Joned b Musa (PK 1, SMT Kj), Pn Hindun b Mamat (GP SMT Kj)Pn Lee Inn Hua (GK S&M SMT TM, Kel), En Mohmmad Khaldi b Min (GP SMT Kuala Kangsar), Pn Zuraida bt Md Zain (GK Kemanusiaan, SMT Kuala Kangsar) dan Pn Noraishah bt Kandar (GP SMT Muar). Pertemuan dengan individu yang saya nyatakan ini mengubah persepsi dan arah tuju saya dalam menempuh kehidupan sebagai seorang pendidik.

Walaupun saya hanya sempat bersama mereka semua dua kali iaitu semasa di Hotel Ancasa, Kuala Lumpur dan latihan amali JU di SMT Kuala Klawang, Ns, nyata pertemuan dengan mereka membakar semangat saya untuk meneruskan perjuangan dalam memartabatkan matapelajaran Applied Science menjadi setanding dengan subjek-subjek sains lain yang ditawarkan dalam sistem pendidikan Malaysia.


Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana selepas sahaja menamatkan pengajian di peringkat diploma pendidikan di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (sekarang dah dijenamakan kepada Institut), saya ditempatkan di sebuah sekolah yang begitu hebat dengan keluasan lebih dari 50 ekar dan merupakan salah satu dari 3 buah sekolah yang menawarkan hampir kesemua kursus dalam sistem pendidikan teknik dan vokasional. Sekolah yang dimaksudkan ialah Sekolah Menengah Teknik Kuala Kangsar. Segala macam kemudahan yang begitu baik pada saya terdapat di dalam sekolah ini. Justeru perjuangan dalam memartabatkan diri sebagai guru dan meningkatkan kemenjadian pelajar sudah tentu agak mudah jika kita sentiasa berfikiran positif (ini pendapat peribadi penulis, kiranya ada percanggahan pendapat eloklah dihujahkan bukan ditolak mntah-mentah)

Bayangkan rakan-rakan guru yang ditempatkan di sekolah-sekolah di kawasan yang jauh ke pendalaman dan terpisah daripada perhubungan luar, sudah tentu kemudahan yang diperoleh oleh mereka tidak sama dengan apa yang saya miliki malah maafkan saya jika kemudahan yang diperolehi oleh mereka begitu dhaif sekali. Renungkanlah rakan-rakan sekalian, kita haruslah bersyukur dengan segala kemudahan yang dinikmati dan cuba elakkan dari saban hari mengulas keburukan dan pekerjaan orang lain. Apa yang penting ialah kita harus kembali menilai dan muhasabah diri tentang tanggungjawab dan tugas kita iaitu sebagai pendidik. Sebagai pendidik kita adalah merupakan mentor kepada anak didik kita, rakan sejawatan dan guru-guru baru. Pengertian mentor dalam versi lain ialah contoh tauladan kepada orang lain. Dan budaya kementoran inilah yang membawa kepada proses kemenjadian pelajar yang berkesan

Hasil perbincangan ilmiah saya dengan rakan di waktu kerja tadi, takkala kita membuat keputusan untuk memilih profesion perguruan sebagai kerjaya kita, maka dari saat itu perjuangan hidup kita dan mungkin sepenuh hidup kita akan dihabiskan dalam usaha memartabat sistem pendidikan. Kita seharusnya cuba meningkatkan kualiti hidup kita melalui perubahan minda dengan cara banyak membaca, muzakarah dan menyertai perbincangan ilmiah. Mungkin dengan cara ini anjakan paradigma akan berlaku ke atas minda kita. Maafkan saya jika saya katakan adalah menjadi satu kerugian kepada kita sebagai seorang pendidik apabila separuh daripada usia kita sebagai guru kita gunakan masa itu untuk membincangkan keputusan liga perdana Inggeris, siapa penyerang terhebat dalam liga sepanyol dan sebagainya. Adalah lebih baik jika keputusan dan analisis yang dibuat itu digunakan untuk pembangunan bola sepak diperingkat akar umbi.

Dalam usaha kita menukar corak dan kaedah pemikiran pelajar kita sebagai pendidik, sudah tentu cabaran yang hebat akan kita tempuhi. Jika kita berjaya menangani semua masalah dan cabaran tersebut, InsyaAllah pelajar kita akan mengingati kita sehingga ke akhir hayat mereka. Walaupun itu bukan tujuan sebenar, namun jika kita berjaya dalam proses 'Guru mengajar, pelajar belajar', jasa kita walaupun sedikit akan diingati sehingga ke akhir hayat. Cabaran dan dugaan akan datang kerana perkara-perkara inilah yang akan membuatkan kita lebih cekal dan berdaya saing. Sentiasa meletakkan pemikiran yang positif dalam minda kita dan jangan terlalu dan suka menyalahkan orang lain atas kesalahan diri sendiri.

Renungkanlah rakan-rakan sekalian dan marilah kita bersama-sama berusaha meningkatkan martabat profesion keguruan supaya guru berada kembali pada tempat yang sepatutnya.

Saya bukanlah orang yang hebat dan perasan hebat (seperti komen salah seorang rakan), tetapi sekadar cuba berkongsi maklumat dan sedikit ilmu melalui pembacaan dan pengalaman.

Sekiranya ada perbezaan pendapat seharusnya dibahaskan secara ilmiah dan bukannya ditolak mentah-mentah tanpa sebarang hujah yang berteraskan ilmu.
Wassalam.....

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--