Friday, November 27, 2009

Kepentingan imaginasi dalam sains


"Imagination is better than knowledge"

Ungkapan di atas adalah terhasil daripada mulut saintis tersohor yang mengemukakan teori relativiti, Albert Einstein (1879-955). Dengan mempunyai daya imaginasi yang tinggi, Albert Einstein banyak mengemukakan teori-teori saintifik yang mendahului zamannya.

Imaginasi ataupun pemikiran futuristik bermaksud kemampuan atau daya khayalan untuk menggambarkan sesuatu dalam angan-angan atau mencipta sesuatu secara khayalan.

Imaginasi yang datang bersama dengan ilmu pengetahuan dan disaluti dengan nilai-nilai keislaman akan menghasilkan sesuatu yang hebat dan akan berada diluar jangkauan pemikiran manusia.

Itulah yang dilakukan oleh ramai saintis Islam di zaman kegemilangan tamadun Islam pada masa yang lampau. Pemikiran mereka sentiasa mendahului dunia mereka sehinggakan ada yang beranggapan mereka adalah orang yang kurang siuman. Perkara yang sama dilakukan oleh Albert Einstein dimana beliau mengemukakan pelbagai teori fizik yang menggemparkan dunia tanpa melakukan sebarang eksperimen pun di dalam makmal.

Sehingga kini, idea-idea dan imaginasi saintis-sainstis yang hebat suatu masa dahulu seperti al-Zahrawi, Ibn Sina, Ibn Haitam, Jabir al-Haiyam serta Einstein banyak membuka ruang ke arah kemajuan sains teknologi serta kehidupan manusia moden.

Dunia sains mutakhir ini begitu hangat memperkatakan tentang nanoteknologi. Nanoteknologi merupakan bidang yang mengkaji benda yang sangat halus dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Nanoteknologi juga adalah satu bidang sains untuk mengkaji perilaku zarah-zarah dan susunan molekul bagi menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk kegunaan manusia. Untuk mengkaji dan melakukan ekspeimen dalam bidang nanoteknolgi, saintis menggunakan mikroskop berkuasa tinggi supaya dapat melihat struktur-struktur kecil sehingga mencapai skala nanometer iaitu satu per bilion meter ( 1 x 10-9)

Idea nanoteknologi ini muncul apabila seorang saintis fizik di California Institute of Technology (Caltech), Amerika Syarikat, Profesor Richard Feynman (1918-1998) berimaginasi untuk melihat mesin-mesin kecil bersaiz nano berfungsi seperti apa yang dapat dilihat dengan mata kasar. Pada tahun 1959, beliau membentangkan satu kertas kerja yang berjudul There is Plenty of Room at the Bottom yang mengemukakan idea mengenai nanoteknologi. Pada waktu itu, tiada seorang pun yang pernah membayangkan idea seperti beliau. Idea Feynman diteruskan pula oleh seorang lagi saintis iaitu K. Erik Drexler yang menulis sebuah buku penting mengenai gagasan nanoteknologi iaitu Engine of Creation pada tahun 1986 selepas seorang saintis Jepun, Norio Taniguchi(1974) mempopularka istilah nanoteknologi bagi kajian dan proses yang menggunakan alat dengan saiz kurang daripada satu mikrometer iaitu satu persejuta meter (1 x 10-6

Pada hari ini, idea dan imaginasi Feynman hampir menjadi kenyataan bahkan ada sebilangan produksudah dikategorikan sebagai produk nanoteknologi. Antaranya tiub nano karbon, solar sel nano, tabir matahari (sun screen), bahan kimia yang digunakan untuk membuat cat lebih tahan lama, fabrik pakaian yang boleh mencuci pakaian sendiri dan sebagainya.

Sama seperti kemunculan internet, ianya merupakan imaginasi pakar-pakar komunikasi semasa era Perang Dunia Kedua. Sewaktu era tersebut, mereka membayangkan sekiranya mereka dapat menyambung beberapa komputer agar memudahkan komunikasi mereka pada waktu itu. Maka terhasil projek menghubungkan rangkaian komputer untuk kegunaan tentera Amerika Syarikat yang dinamakan sebagai ARPANET

Setelah saintis-saintis tersebut berjaya menghubungkan komputer dengan jumlah yang banyak antara satu sama lain, mereka melihat potensi yang besar yang dapat dimanfaatkan oleh orang ramai melalui penemuan tersebut.

Akhirnya projek ARPANET dibubarkan dan rangkaian komputer bertambah dari semasa ke semasa bermula di universiti di Amerika dan kemudiannya merebak ke seluruh Eropah dan seterusnya ke seluruh dunia. Bermula pada saat itu, ia dikenali dengan istilah INTERNET seperti yang kita nikmati pada hari ini.

Boleh dikatakan setiap orang pada hari ini memiliki telefon bimbit. Telefon bimbit bermula dengan telefon selular mula digunakan di Amerika Syarikat pada tahun 1973 di Bandar Manhattan.

Ia kemudiannya dibangunkan oleh syarikat MOTOROLA yang kemudiannya bergabung dengan rakan seangkatannya di syarikat telekomunikasi terkenal AT&T untuk meningkatkan prestasi telefon celular tersebut. Idea awal ciptaan telefon bimbit ialah untuk memudahkan telekomunikasi dan bebas bergerak untuk di bawa ke mana-mana sahaja.

Martin Cooper dari MOTOROLA membayangkan bagaimana sekiranya manusia dapat membawa telefon yang ringan ke mana sahaja mereka pergi dan senang dihubungi. Dengan itu terciptalah telefon bimbit.

Pada hari ini, telefon bimbit menjadi keperluan yang sangat penting dalam kehidupan seharian. Fungsi-fungisnya bertambah setiap kali diperkenalkan model baru seiring dengan kepantasan perkembangan teknologi.

Terbaru pengeluar telefon bimbit tersohor di dunia, NOKIA, memperkenalkan konsep baru telefon dan gajet masa depan yang dikenali sebagai Morph.



Konsep Morph untuk keluaran produk gajet digital NOKIA masa depan merupakan gabungan seni dan teknologi yang elegan yang menggunakan nanoteknologi sebagai asas pembuatannya. Menurut saintis yang terlibat dalam projek Morph-Nokia ini, suatu hari nanti pengguna telefon berupaya mengubah gajet mereka menjadi bentuk-bentuk yang diminati seperti robot-robot dalam filem Transformer.



Konsep Morph pada telefon bimbit Nokia terbaru (akan dikeluarkan pada tahun 2015) menggunakan aplikasi nanoteknologi meliputi ciri-ciri kebolehlenturan, elektronik transparen, kemampuan pembersihan sendiri (self-cleaning), menggunakan tenaga solar dan antara mukanya (interface) yang canggih. Idea teknologi futuristik ini dikemukakan oleh penyelidik dari Pusat Penyelidikan Nokia dengan kerjasama Pusat Nanosains Cambridge, Universiti Cambridge, United Kingdom.

Pemikiran sains masa depan atau futuristik ini merupakan elemen yang sangat penting untuk melahirkan golongan saintis dan pencipta teknologi pada masa depan.

Imaginasi bersama ilmu pengetahuan disaluti kefahaman tentang nilai-nilai Islam akan menyemarakkan lagi kesuburan teknologi pada masa hadapan.

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--