expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Kepentingan menuntut ilmu dari perspektif Islam

Thursday, November 12, 2009

Kepentingan menuntut ilmu dari perspektif Islam


Ilmu adalah sesuatu yang penting pada masa kini. Orang yang menguasai ilmu adalah orang yang paling beruntung dan mampu mencorakkan kehidupan diri sendiri dan orang lain. Tanpa ilmu, manusia akan hidup dalam kesusahan, kepayahan, keperitan, penderitaan, ditindas dan dihina. Oleh sebab itu, Islam mewajibkan setiap umatnya menuntut ilmu, mendalami ilmu dan seterusnya menguasai ilmu. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Menuntut ilmu itu wajib ke atas orang Islam lelaki dan perempuan" (HR Ibnu Majah).

Tanpa ilmu sama ada ilmu duniawi mahupun ukhrawi, kita akan terus ketinggalan dalam arus kehidupan pada hari ini. Tidak boleh tidak, kita yang bergelar individu muslim perlu menuntut ilmu sebanyak-banyaknya agar kita dapat mengubah nasib kita dan saudara seagama kita yang lain ke arah kehidupan yang lebih sempurna dan selesa. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa yang mengkehendaki dunia hendaklah berilmu. Sesiapa yang menghendaki akhirat, hendaklah berilmu; dan sesiapa yang menghendaki kedua-duanya maka hendaklah berilmu." (HR Bukhari dan Muslim). Oleh itu, selagi badan kita masih kuat dan otak kita masih cergas dan cerdas, adalah lebih baik kita gunakannya untuk mendalami ilmu.

Jangan disia-siakan usia yang ada dengan melakukan perbuatan yang merugikan masa depan. Tabiat suka membuang masa, asyik berhibur dari pagi ke malam, terlibat dengan gelaja yang kurang sihat, mengambil dadah dan sebagainya, ia akan hanya menjerumuskan diri kepada sebuah kehidupan yang melarat, merempat dan hina pada masa depan. Hal ini berlaku disebabkan ketiadaan bekalan ilmu untuk masa tua. Ketika mana orang lain sibuk menimba ilmu, mereka pula sibuk menjahilkan diri. Akibatnya perkembangan kehidupan mereka akan menempuh pelbagai kegagalan dan kekecewaan. Itulah natijah bagi mereka yang memilih jalan salah pada usia mudanya.

Golongan pendidik dan remaja harus mengutamakan ilmu pengetahuan kerana ia satu kewajipan kepada setiap umat Islam, Orang yang berilmu bukan sahaja mendapat sanjungan manusia, bahkan dipandang mulia oleh Allah SWT. Firman Allah dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud:"Allah mengangkat orang beriman di kalangan kamu dan orang berilmu beberapa darjat."

Kecenderungan manusia mutakhir ini mendapatkan sanjungan dan pujian masyarakat sehingga sanggup melakukan perkara yang dilarang oleh agama seperti berpelukan antara lelaki dan perempuan, mengabaikan sembahyang dan sebagainya perlulah dijauhi. Apalah sangat nilai pujian dan sanjungan manusia sekiranya dalam masa yang sama menanggung kebencian dan kemurkaan Allah SWT.

Kita perlu ingat, dengan mencari keredhaan Allah SWT nescaya keredhaan dan sanjungan manusia akan menuruti kita. Demikian juga sebaliknya, jika kita utamakan pujian dan sanjungan manusia daripada perintah agama, maka kemurkaan dan kebencian Allah akan menimpa kita. Orang yang banyak ilmu di dada adalah orang yang makin dekat dan takut kepada Allah SWT tidak kira ilmu dunia atau ilmu akhirat. Firman Allah dalam surah al-Fatir ayat 28 bermaksud: " Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu." Lantaran itu, orang yang benar-benar berilmu adalah orang yang semakin kurang melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa golongan yang terjerumus ke dalam gejala sosial adalah mereka yang kurang berilmu. Ini kerana orang yang berilmu tidak akan melakukan perkara dan perbuatan yang sia-sia dan merugikan seperti itu. Oleh itu, janganlah kita sekali-kali mengabaikan ilmu. Tambahan pula, tanpa ilmu di dada, tiada siapa yang rugi melainkan diri sendiri dan kaum keluarga. Sanggupkah kita menggadai maruah diri dan keluarga jika kita seorang yang berilmu?

Bagaimanakah orang yang berilmu boleh mendapat kedudukan dan martabat yang tinggi di sisi Allah SWT?

Jawapan untuk soalan di atas ialah kerana kelebihan dan rahmat menuntut ilmu itu sendiri. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:"Sesiapa yang berjalan di suatu jalan untuk menuntut ilmu, Allah menebus dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Ibnu Majah)

Sabda baginda lagi bermaksud: "Sesiapa yang berjalan di suatu tempat jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga." (HR Muslim). Berdasarkan hadis ini, jelaslah kepada kita betapa besarnya fadhilat dan kelebihan yang diperolehi oleh mereka yang menuntut dan menimba ilmu. Sehinggakan diampun segala dosa-dosa yang lalu dan dipermudahkan jalan menuju ke syurga. Oleh itu amat beruntunglah mereka yang tidak mensia-siakan usia mereka di dunia, sebaliknya digunakan segala masa, tenaga, wang ringgit dan kekuatan tubuh badan untuk menimba ilmu sebanyak-banyaknya.

Bangsa yang tidak berilmu adalah bangsa yang mundur, pendidik yang kurang berilmu menjadi statik dan tidak bergerak corak pemikirannya, remaja yang tidak berilmu pula adalah remaja yang tidak menyumbang apa-apa, baik untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat mahupun negara.

Lantaran mengelakkan diri dari menjadi statik dan merugikan orang lain, tuntutlah ilmu walau di mana sahaja kita berada. Terlalu banyak sumber ilmu di negara yang kita cintai ini boleh diperolehi melalui kuliah-kuliah di masjid-masjid, sekolah, toko buku dan sebagainya. Janganlah kita hiasi diri kita dengan kejahilan, kemuduran dan kegagalan.

Akhir sekali, jangan biarkan hidup kita terus tertindas, ketinggalan dan merana, sebaliknya kita berupaya mengubahnya dengan bekalan ilmu dunia dan akhirat. Tanpa ilmu, wang ringgit yang banyak akan hilang sekelip mata. Tanpa ilmu, badan yang kuat dan sihat bertukar menjadi sakit dan derita. Sebaliknya dengan ilmu, harta yang sedikit boleh bertambah berganda-ganda. Dengan ilmu juga, cacian bertukar kepada kepujian, kesusahan bertukar kepada kesenangan dan kemaksiatan bertukar kepada ketakwaan.

Renung dan fikirkanlah......

Sumber rujukan:
1. Tafsir al-Quran
2. Majalah Cahaya, JAKIM, November/Disember 2006, Artikel oleh Mohd Zamir b Bahall.
3. Sairus Salikin, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Kelebihan menuntut ilmu.

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--