Tuesday, November 10, 2009

Tokoh Maal Hijrah Yang Pertama


Alhamdulillah, bersyukur saya kepada Allah SWT kerana dipermudahkan dan diberikan kelapangan masa untuk berkongsi maklumat bersama dengan rakan pengunjung sekalian.

Apabila umur semakin meningkat, saya teringat saat-saat indah sewaktu dalam tempoh mencari kerja selepas tamat melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Dalam tempoh tersebut saya mempunyai banyak masa untuk menghadiri kuliah-kuliah pengajian di masjid sekitar Sg Petani dan utara Pulau Pinang. Antara kuliah pengajian yang tak pernah saya tinggalkan pada waktu ialah kuliah pengajian Ustaz Hj Shamsuri Hj Ahmad di Masjid Bakar Arang, Sg Petani. Ustaz memilih untuk membaca kitab Bahrul Mazi (Lautan Ilmu) karangan ulama melayu yang hebat iaitu Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi. Untuk pengetahuan rakan-rakan pengunjung kitab Bahrul Mazi adalah antara kitab tulisan melayu jawi yang terawal dihasilkan dalam dunia melayu selepas kemerdekaan Tanah Melayu.

Setelah tamat mengambil kursus diploma perguruan di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang, Alhamdulillah saya ditempatkan untuk mengajar di Padang Rengas dan kebetulan berdekatan dengan tempat penulis kitab Bahrul Mazi. Hampir setiap minggu saya akan melalui kawasan tanah perkuburan Syeikh Muhammad Idris dan saya berdoa semoga roh Syeikh Muhammad Idris tergolong dikalangan orang-orang yang soleh. Amin

Siapa dia Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi?

Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi dilahirkan pada tahun 1893 dan merupakan anak kepada Haji Abdul Rauf bin Jaafar berketurunan Minangkabau dan Asma' binti Abdul Karim berasal dari Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak. Kedua-dua ibubapa beliau berhijrah ke Mekah selepas berkahwin pada awal tahun 1890-an untuk mengerjakan ibadat haji dan menuntut ilmu pengetahuan. Sifat bapanya yang suka berhijrah di samping cekal menuntut dan menjana ilmu tertumpah kepada anaknya yang dilahirkan di tanah suci dan membesar serta mendapat bimbingan dalam suasana keilmuan kerana berada di Makkah dan Madinah.

Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi membesar dalam sebuah keluarga yang mengandungi 8 orang adik beradik dan beliau adalah anak yang sulung. Beliau menghabiskan zaman remaja dan mudanya di Makkah dalam suasana keilmuan khususnya mendalami pembelajaran ilmu al-Quran, ilmu Nahu, Saraf, Balaghah, Usuluddin, Fekah, Hadis, tafsir dan Tasawwuf.

Ketika berumur 20 tahun iaitu pada tahun 1913, beliau dan keluarganya kembali ke Tanah Melayu dan menetap di Lubuk Merbau, Kuala Kangsar. Nama "al-Marbawi" adalah gelaran yang diambil dari nama kampung Lubuk Merbau. Sejurus selepas kembali dari Makkah dan di atas semangat keilmuan yang tinggi, Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi memasuki sekolah Melayu Lubuk Merbau untuk mendalami dan menghayati bahasa dan persekitaran Melayu walaupun umurnya agak lanjut bagi tujuan berkenaan. dalam tempoh 10 tahun selepas kembali dari Makkah, beliau berhijrah dari sebuah pondok ke pondok yang lain iaitu memasuki pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar; Pondok Tuan Hussin al-Mas'udi di Kedah; Pondok Syeikh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Pondok Tok Kenali di Kelantan. Pondok-pondok ini dipilih oleh beliau disebabkan kemasyhuran dan pengiktirafan terhadap guru-gurunya. Malahan beliau pernah mengungkapkan bahawa ilmu pengetahuan guru-guru yang mengajar di pondok Tok Kenali adalah setanding dengan pengetahuan mereka yang mengajar di Masjidil Haram.

Keluarga dan Keperibadian

Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi mempunyai perwatakan yang pendiam, lemah lembut dan suka meraikan tetamu atau kawan. Antara tetamu yang pernah mengunjunginya semasa di Mesir ialah Profesor Hamka dan Pak Sako. Kehidupan beliau cukup sederhana dan sentiasa merendah diri. Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi mewarisi sifat dan keperibadian kedua orang tuanya yang terkenal alim dan berjiwa pendakwah. Pada usianya 10 tahun, beliau telah berjaya menghafal 17 juzuk al-Qur'an dan beberapa buah kitab muktabar. Ketajaman fikiran beliau membuktikan beliau tergolong dalam kelompok manusia yang cerdik pandai.

Beliau berkahwin sebanyak tiga kali iaitu pertamanya dengan Hajjah Khadijah binti Mohd Adham yang dikahwininya kira-kira setahun sebelum berangkat melanjutkan pelajaran ke Mesir. Perkongsian hidup dengan Hajjah Khadijah mereka telah dikurniakan dengan 10 orang anak. Namun 9 orang anaknya meninggal dunia ketika masih kecil iaitu 8 orang ketika berumur antara satu hingga dua tahun, dan seorang yang bernama Ahmed meninggal ketika berusia 10 tahun. Kesemua anaknya meninggal di Mesir. Hanya seorang anak beliau iaitu Hajjah Mariam yang kembali ke Malaysia bersama ibunya dan menetap di Malaysia sejak tahun 1960. Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi juga dikatakan berkahwin dengan seorang wanita Arab, tetapi perkahwinan tersebut hanya kekal kira-kira tujuh tahun. Perkahwinan seterusnya ialah dengan Munirah binti Abdul Wahab, seorang wanita berbangsa Mesir dan dari kedua-dua perkahwinan ini, beliau tidak mempunyai anak.

Kerjaya dan melanjutkan pelajaran

Selepas Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi menamatkan pengajian di beberapa buah pondok seperti yang disebutkan tadi, beliau ditawarkan bekerja sebagai guru agama di salah sebuah sekoah di Perak. Kemudian pada tahun 1924, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar di Mesir. Kepandaian beliau terserlah apabila beliau berjaya memperoleh pencapaian tertinggi dari universiti itu

Semasa berada di Universiti al-Azhar, Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi melihat masalah dalam kalangan pelajar-pelajar Melayu yang sukar bertutur dan memahami bahasa Arab. Beliau mengambil langkah dengan menyusun sebuah kamus Arab-Melayu bersama-sama lima orang rakannya yang lain. Namun, pada pertengahan jalan dalam penulisan kamus itu, seorang demi seorang rakan-rakannya menarik diri.

Penarikan diri oleh rakan-rakannya itu tidak mematahkan semangatnya dalam menerbitkan kamus Arab-Melayu. Berkat usahanya yang gigih, pada tahun 1927 sebuah kamus Arab-Melayu berjaya diterbitkan dengan judulnya Qamus al-Marbawi. Kamus ini cukup terkenal dan mendapat sambutan ramai hingga penerbitnya terpaksa mengulang cetak berpuluh-puluh kali.

Sumbangan kepada Nusantara dan Alam Melayu

Jasa dan sumbangan besar Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi ialah dalam membentuk minda umat Islam khususnya umat Melayu Islam di Nusantara terhadap kecintaan kepada ilmu bahasa Arab. Qamus al-Marbawi sehingga kini masih dianggap kamus terbaik untuk memahami bahasa Arab.

Kejayaan dalam menghasilkan kamus Arab-Melayu menjadi batu loncatan bagi diri beliau untuk terlibat secara aktif dalam penghasilan karya-karya ilmiah yang lain. Antara hasil tulisan beliau ialah:
(a) Kitab Bahrul Mazi
merupakan sumbangan terpenting dalam pengajian ilmu hadis di Malaysia. Kitab ini adalah ringkasan kepada sunan al-Tirmizi.
(b) Menterjemahkan Bulugh al-Maram
Kitab ini adalah karya tokoh hadis yang terkenal iaitu Ibn Hajar al-Asqalany. Kitab ini diterjemahkan sepenuhnya dalam bahasa Melayu tulisan jawi.
(c) Ringkasan Qamus Melayu-Arab bergambar dan Teladan Belajar Bahasa Arab yang senang.
(d) Qamus Penuntut
(e) Tafsir Surah Yaasin
(f) Tafsir al-Fatihah
(g) Tafsir al-Qur'an al-Marbawi
(h) Nizam al-Hayat
(i) Asas Islam (Usul al-Islam)
(j) Tafsir al-Qur'an Nur al-Yakin
(k) Quran bergantung Makna
(l) Kamus segala ilmu
(m) Mu'jam al-Ka'inat
(n) Punca Ugama
dan banyak lagi untuk saya sebutkan disini.

Bakat penulisan Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi bukanlah setakat menghasilkan karya dalam pelbagai bidang pengajian Islam, malah beliau turut dikenali sebagai penggerak kepada kesedaran ummah untuk sama-sama berjuang memperoleh kemerdekaan daripada penjajah.

Sumbangan beliau dalam bidang agama dan persuratan Arab-Melayu adalah terlalu besar untuk dihitung. Pada 5 Julai 1980, beliau dianugerahkan ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Kemudian pada 1 Muharam 1408H/1987M, beliau dianugerahkan gelaran Tokoh Ma'al Hijrah 1408 iaitu sebagai penerima pertama apabila anugerah ini diadakan. Semasa menerima anugerah beliau berkata: "Aku menulis bukan untuk anugerah, penulisanku hanya kerana Allah SWT"

Penutup

Sikap Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi yang terlalu cintakan serta dan dedikasi terhadap ilmu pengetahuan sehingga ke akhir hayat telah memartabatkan diri beliau bukan sahaja di Malaysia malah menjangkau di seluruh Nusantara seperti di Selatan Thailand, Selatan Filipina, Indonesia dan Singapura.

Dengan meninggalkan harta yang amat bernilai kepada kita semua umat Melayu di Nusantara, Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi kembali menemui Allah SWT pada pukul 8.40 pagi di Hospital Besar Ipoh ketika berusia 96 tahun pada tarikh 14 Rabiul Awal 1410 bersamaan 13 Oktober 1989. Jenazah beliau dikebumikan di Kampung Lubuk Merbau, Kuala Kangsar bersebelahan dengan pusara isterinya Hajjah Khadijah Mohd Adham.

Semoga roh Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah SWT.

Marilah sama-sama kita menghadiahkan al-Fatihah untuk Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi sempena 20 tahun kepulangan beliau menemui Allah. Al-Fatihah.

Sumber rujukan

1. 50 Tokoh Islam Yang Mengubah Dunia; Ahmad Amri Zainal Adnan dan Nurasyikin Ahmad; PTS Milennia Sdn Bhd. 2009
2. Majalah Cahaya;November/Disember 2006; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia; m/s 29-30.
3. Kitab Bahrul Mazi.
4. Qamus al-Marbawi.

2 comments:

dinkssemut on August 19, 2011 at 11:36 PM said...

salam..mohon ambik sedikit info buat asgment PPG.. terima kasih..

Anonymous said...

Saya copy dan repost

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--