expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Masalah Penganjuran Sukan Peringkat Sekolah....

Saturday, January 9, 2010

Masalah Penganjuran Sukan Peringkat Sekolah....


Alhamdulillah kerana dapat kita meluangkan masa untuk berada di dalam alam maya lantas dapat menulis dan membaca pendapat-pendapat manusia yang menukilkannya di dalam alam siber.

Sesungguhnya Allah telah membuka pintu rezeki dan ilmu itu sejak dari terbitnya matahari lagi maka berbahagialah barang siapa yang dapat mengambil manfaat darinya. Kesempatan melapangkan masa adalah anugerah Allah SWT dan bersyukur saya kerana dilapangkan masa untuk melakukan aktiviti pagi di hujung minggu dengan berjogging dan seterusnya membeli surat khabar untuk di baca akan dia. Dan amat berharap akan saya kiranya digolongkan oleh Allah SWT sebagai orang yang berada dalam doa Nabi Muhammad SAW, sebagaimana sabdanya yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Ibn Hibban, al-Hakim, Ibn Majah dan al-Tabbarani yang bermaksud :"Ya Allah, berkatilah umatku di awal paginya."

Apabila meneliti dan membaca akhbar Berita Harian di bahagian sukan, saya yang kerdil ini amat teringin sekali mengulas isu yang dibangkitkan oleh penulis saudara Ahmad Khawari Isa. Tajuk artikel beliau :"11 sukan turut 'disembelih' MSSM; sebagai reaksi balas pemotongan Bajet 2010, hanya 13 taraf Asia diteruskan". Aktikel ini dimuatkan pada mukasurat 44.

Alhamdulillah saya sebagai guru memang terlibat secara lansung dalam proses penganjuran sukan baik di peringkat sekolah, daerah, negeri malah pernah terlibat menolong menguruskannya di peringkat kebangsaan kelolaan MSSM. Secara peribadinya saya kurang bersetuju dengan pendapat yang diutarakan oleh penulis tambahan pula penulis menggunakan istilah "sembelih".

Kita sedia maklum untuk menganjurkan suatu pertandingan sukan ia memerlukan satu peruntukan kewangan yang besar, sebagai contoh Petronas memperuntukkan berbilion ringgit untuk menganjurkan sukan permotoran Formula Satu. Sudah tentu tidak ketinggalan penganjuran sukan di peringkat sekolah. Pihak penganjur dan peserta kejohanan perlulah menimbangkan yuran penyertaan, makanan pemain dan pegawai kejohanan, penginapan pemain dan pegawai kejohanan, bayaran kepada pegawai kejohanan, hadiah kepada pemenang kejohanan dan banyak lagi perkara yang harus di teliti akan dia. Semua perkara itu memerlukan wang yakni duit.

Janganlah pemberita menulis seolah-seolah pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dalam bidang sukan sengaja menggugurkan beberapa acara sukan tanpa usul periksa terlebih dahulu. Saya berikan contoh yang terdekat dengan saya, peruntukkan makanan di asrama dikurangkan daripada 250 hari kepada 200 hari. Malah ibu bapa dimestikan menambahkan bayaran sekiranya anak-anak mereka ingin tinggal di asrama pada hujung minggu. Dalam konteks sukan di peringkat sekolah, kebanyakan latihan dijalankan pada hujung minggu, jadi dari mana sumber kewangan harus dicari?.....kalau peruntukkan kewangan dikurangkan.

Dalam artikel tersebut juga, penulis menyarankan agar pihak MSSM mencari sumber kewangan dalam bentuk tajaan daripada pihak swasta. Pada saya penulis artikel ini kurang faham dengan etika pegawai kerajaan sebagaimana dicatatkan dalam buku peraturan am sebagai pegawai kerajaan. Seseorang pegawai kerajaan itu tidak boleh menerima sebarang bentuk hadiah atau apapun bentuk tajaan sekiranya tidak diperakukan oleh Kerajaan Malaysia. Justeru sebagai pegawai kerajaan, haruslah mereka berhati-hati dalam proses mencari tajaan kerana kesannya amat akan menjejaskan perkhidmatan sebagai pegawai kerajaan. Tambahan pula dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, sudah tentu agak sukar untuk mencari sumber-sumber tajaan.

Sebagai mengakhiri catatan pada hari ini, marilah kita yang terlibat dalam sukan di peringkat akar umbi ini sama-sama bersabar atas dugaan dan cabaran ini. Istimewa pula jika kita dapat redha dengan apa yang berlaku ini. Kalau tidak dapat dianjurkan pada tahun ini, jika umur kita panjang dan ekonomi negara pulih sepenuhnya, InsyaAllah penganjuran sukan akan kembali meriah seperti dahulu.......

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--