expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Maulidur Rasul....antara perkara yang harus kita ketahui

Wednesday, February 17, 2010

Maulidur Rasul....antara perkara yang harus kita ketahui


Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnianya dapat meluangkan masa untuk berada di dalam alam siber ini. Semoga selawat dan salam dilimpahkan kepada junjungan besar kita Rasulullah SAW, keluarganya dan para sahabat, serta orang-orang yang mendapat petunjuk dari Allah.

Sepanjang tempoh dua minggu ini bermula dari berita muka depan dalam Utusan Malaysia pada 10 Februari 2010 hingga ke saat saya menulis artikel ini, isu perarakan majlis sambutan Maulidur Rasul telah menjadi besar dan menjadi isu nasional. Bagi saya yang kerdil ini, saya merasakan satu kekesalan kerana isu ini telah menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat baik yang mengaku dirinya Islam dan yang bukan Islam.

Alhamdulillah, sepanjang tempoh cuti perayaan tahun baharu cina saya sempat ke beberapa kedai buku di negeri kelahiran saya untuk mencari karangan-karangan orang bijak pandai berkaitan dengan sambutan Maulidur Rasul. Saya sempat membeli dua buah buku iaitu buku bertajuk
1. Berhati-hati terhadap bida'ah karangan Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz dan
2. Bid'ah Hasanah: Istilah yang disalah fahami karangan Ustaz Mohd Asri bin Zainul Abidin

Berikut adalah apa yang di sarankan oleh kedua-dua tokoh tersebut

1. Pandangan Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz

Sheikh Abdul Aziz mengatakan bahawa tidak boleh mengadakan majlis kelahiran Rasulullah SAW, kerana perbuatan itu merupakan perbuatan baru dalam agama. Katanya telah terbukti Rasulullah SAW tidak pernah mengerjakannya, begitu juga pula Khulafa ar-Rasyidin, para sahabat lain dan para tabi'in. Kataya mereka ini adalah kalangan orang-orang yang lebih memahami sunnah, lebih mencintai Rasulullah SAW dari para generasi setelahnya dan mereka merupakan dari kalangan orang-orang yang benar-benar menjalankan syariatnya. (Rujuk m/s 3-4)
Tambah Sheikh Abdul Aziz lagi, jika seandainya upacara peringatan maulid Nabi itu benar-benar datang dari agama yang diredhai Allah, nescaya Baginda Rasulullah SAW menerangkan kepada umatnya atau baginda melakukan semasa hidupnya atau paling tidak, ia dilakukan oleh para sahabat. (rujuk m/s 9)
Kata Sheikh Abdul Aziz lagi selawat dan salam itu disyariatkan pada setiap waktu, dan hukumnya sunat Muakkad jika diamalkan pada akhir setiap solat, bahkan sebahagian para ulama mewajibkannya pada tasyahud akhir di setiap solat.

2. Pandangan Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin.

Bid'ah hasanah disepakati keharusan membuatnya, iaitu setiap perbuatan bid'ah yang bertepatan dengan kaedah-kaedah syarak tanpa menyanggahinya sedikit pun. Ini seperti membina mimbar, benteng pertahanan, sekolah, rumah singgahan musafir dan sebagainya yang terdiri dari jenis-jenis kebaikan yang tidak ada pada zaman awal Islam. Bid'ah hasanah yang difahami pada zaman ini adalah jauh tersasar daripada apa yang disarankan dan disyarahkan oleh ulama terdahulu (rujuk m/s 45)

Sambutan Maulidur Rasul pada peringkat sekolah adalah perlu kerana ia menjadi sebagai satu dakwah dan peringatan kepada generasi muda tentang hari kelahiran Rasulullah SAW. Tambahan pula dewasa ini, remaja pada peringkat sekolah terlalu alpa untuk mengenali Rasulullah SAW.

Akhir kata, fahamilah dan ketahuilah dengan sebenar-benar tentang apa yang kita ikuti dan contohi. Kerana jika kita mengikutinya tanpa sebarang pengetahuan, takut-takut kita terjerumus ke lembah dosa. Manhaj Ahl al Sunnah wa al Jama'ah tidak menghukum seseorang kerana kejahilan yang tidak disengajakannya, namun sekiranya ia kekal dalam kejahilan, berkemungkinan besar hatinya akan dilindungi dari dapat melihat akan kebenaran.

Allah lah tempat kita memohon, untuk memberi taufiq kepada kita sekalian dan kaum muslimin dalam memahami agamaNya dan memberi kita serta saudara kita seagama ketetapan iman. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita agar istiqamah dalam mengikuti sunnah, dan waspada terhadap bid'ah. Kerana Dialah Yang Maha Pemurah dan Maha Mulia, semoga selawat dan salam selalu dilimpahkan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.

Allahu ‘alam bisshawab.

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--