expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Metodologi Imam al-Tirmidhi

Sunday, February 28, 2010

Metodologi Imam al-Tirmidhi


Alhamdulillah segala puji tertentu hanya untuk Allah Subhanahu wata'ala. Sesungguhnya kelapangan masa dan kesenangan untuk melakukan sesuatu itu adalah rahmat dari-Nya jua.

Selawat dan salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam kerana atas tunjuk ajar dan panduan yang baginda berikan untuk kita mencapai kebahagian di dunia dan akhirat. Apabila tiba tarikh 12 Rabi'ul awal maka sibuklah kita memperingati perjuangan nabi Shallallahu 'alaihi wasallam. Tanpa kita sedar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam semakin jauh meninggalkan kita. Janganlah kita jadikan perayaan maulid nabi hanya untuk dikenang pada satu tarikh sahaja, malah ia harus dijadikan peransang untuk pedoman dan iktibar kepada kita sepanjang masa hidup kita selaku insan yang mengaku dirinya Islam.

Sesungguhnya harta peninggalan Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang tidak ternilai ialah al-Qur'an dan sunnahnya. Justeru itu menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk mengetahui akan kedua-duanya.

Apabila saya mula mendengar ustaz membaca kitab Bahrul al-Mazi pada kira-kira 9 tahun yang lalu, maka timbul suatu keghairahan dan berahi akan diri saya pada susunan hadith yang dikemukan oleh Imam Tirmidhi. Tambahan pula saya baharu sahaja memiliki kitab tersebut kira-kira 2 tahun lepas. Alhamdulillah saya menemui suatu buku yang membicarakan tentang kaedah penyusunan hadis dalam kitab Sunan al-Tirmidhi. Buku tersebut dikarang oleh Ustaz Ahamad Asmadi bin Sakat, pensyarah pengajian al-Qur'an dan Sunnah di UKM.



Rakan-rakan sekalian,

Imam Abu Isa Muhammad ibn Isa ibn Sawrah (Imam al-Tirmidhi) adalah seorang bintang di zamannya. Beliau merupakan salah seorang yang daripada pengarang Kutub al-Sittah yang begitu terkenal dengan kitabnya al-Jami' atau Sunan al-Tirmidhi.

Sekalipun hadith-hadith dalam Sunan al-Tirmidhi tidak semuanya sahih sebagaimana kitab gurunya Sahih al-Bukhari, namun beliau dikenali kerana menggunakan seni tarajum yang digunakan oleh gurunya. Selain itu kitab al-Jami' telah merintis satu peristilahan baru dalam pembahagian hadith iaitu hadith hasan

Di dalam al-Jami', Imam al-Tirmidhi telah menggabungkan antara fiqh dan hadith. Kepintaran beliau dalam bidang hadith tampak pada seni isnad yang merangkumi isharat, mutaba'at dan shawahid yang dikemukakan, manakala kepintaran dalam bidang fiqh tampak pada susun atur beliau terhadap tajuk tajuk bab

Ciri-ciri kandungan buku ini ialah :

- Memperkenalkan ketokohan serta kepakaran Al-Tirmizi dalam bidang hadith dan fekah.
- Memperjelaskan tohmahan tentang ketokohan beliau dalam bidang hadith ketika
- Meriwayatkan semua kategori hadith sama ada sahih atau sebaliknya.
- Menjawab salah faham terhadap tahsin dan tashih beliau.
- Membincangkan kekuatan hadith di setiap bab dan fungsi hadith isharat

Sesungguhnya apabila diteliti kandungan buku ini, kita akan dapat meningkatkan lagi rasa hormat kepada para pengumpul-pengumpul hadith yang begitu tekun dan istiqamah dalam mengumpul sunnah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam serta dapat meningkatkan kesedaran terhadap kecintaaan kita kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Kerana sekalipun sesebuah hadith dhaif pada sanadnya, ia tidak boleh ditolak bulat-bulat kerana sesebuah hadith itu tetap ada nilainya.

Terima kasih kepada Ustaz Ahamad Asmadi kerana buku ini (bagi saya) dapat memurnikan kefahaman masyarakat terhadap pengorbanan ulama silam serta khazanah ilmu yang ditinggalkan oleh mereka kepada generasi selepas mereka. Buku ini pada saya ialah suatu usaha untuk membela hadith Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam dari contengan tangan-tangan yang berniat jahat.

Wassalam......

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--