expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Keperluan Sains Dalam Kehidupan...

Sunday, April 4, 2010

Keperluan Sains Dalam Kehidupan...


Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Tuhan sekalian Alam kerana dengan limpah rahmatnya kita dapat meluangkan masa untuk berada di alam siber ini. Bagi mereka sentiasa berfikir sesungguhnya kekuasaan Allah Subhanahu wata'ala adalah Maha Agung dan Maha Besar dalam mentadbir alam yang dengan cukup sempurna dan tiada sebarang kecacatan serta celanya.

Selawat dan salam ke atas sebaik-baik manusia yang sentiasa namanya di bibir kita, Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam, keluarganya serta para sahabat baginda, para tabi'in, para tabi' tabi'in yang telah bersusah payah memperjuangkan Islam untuk kita nikmati pada zaman ini.

Mutakhir ini, kebanyakan orang sudah mula menyedari tentang kewujudan ilmu sains dan kepentingan mempelajarinya. Banyak penemuan-penemuan kajian saintifik telah melakarkan seribu satu kisah persoalan yang akhirnya akan membawa kita kembali kepada Pencipta Yang Maha Agung. Sains telah membawa kita untuk melihat sendiri dengan mata dan telinga kita menerusi kajian-kajian ilmiah yang akhirnya kita akur bahawa ada satu kuasa yang mengawal segala perjalanan di dalam dunia ini tanpa ada cacat dan celanya. Memang benarlah pepetah Inggeris menyatakan "Science is a sign!" [Sains ialah suatu petanda!]...Persoalannya tanda apakah yang hendak di bawa oleh sains?..Maka eloklah kita mengetahui apakah itu ilmu sains terlebih dahulu..

Merujuk kepada Encyclopedia Britanica International London, istilah 'sains' adalah dari bahasa Latin, 'scire' bermaksud 'to know' atau 'untuk mengetahui' dan sains banyak merungkai berkenaan dengan pengetahuan tentang alam semesta dan perkara yang berkaitan dengannya. Istilah sains dalam tulisan Dr. Haji Jamnul Azhar pula menyatakan bahawa, 'sains' merupakan 'sesuatu kajian ilmiah yang dijalankan secara empiris mengikut disiplin ilmu tertentu melalui alat apparatus tertentu dan ukuran tertentu'.

Menurut buku Encyclopedia Britanica International London lagi, 'sains terdiri di atas sesuatu eksperimen dan peninjauan yang tepat bagi menghasilkan teori'. Apabila teori tersebut benar dan dapat diterima akal, teori tersebut dapat diguna pakai di dalam pelbagai cara dan percubaan. ini dikenali sebagai cara saintifik. Pencarian bagi sesuatu fakta dan prinsip yang baru pula dikenali sebagai sains tulen, manakala penggunaan dan aplikasi terhadap pengetahuan saintifik di dalam kehidupan dikenali sebagai aplikasi sains.



Sains juga terdiri daripada pelbagai cabang dan bidang. Antara bidang sains yang terkenal dan menjadi tumpuan utama ialah di dalam bidang astronomi, geologi, fizik, kimia dan biologi. Ilmu astronomi merupakan suatu cabang ilmu sains yang menrangkan tentang kajian mengenai bintang-bintang, planet, galaksi dan pelbagai mengenai sesuatu jasad yang terdapat di angkasa lepas. Istilah astronomi terbit dari perkataan Yunani iaitu 'astro' yang bermaksud 'kajian tentang bintang'. Ilmu geologi pula merupakan suatu bidang ilmu yang berkaitan dengan struktur bumi, iaitu berkenaan batu-batuan yang terdapat di dalam bumi. Fizik pula ialah suatu bidang ilmu yang berkaitan dengan jirim. Kajian yang biasa dilakukan dalam bidang fizik ialah seperti pembentukan tenaga, cahaya, kelajuan dan sebagainya. Bidang kimia merupakan salah satu bidang sains yang menekankan kajian mengenai kandungan yang terdapat dalam satu bahan yang ada di dalam bumi. Begitu juga bahan-bahan kimia dapat dihasilkan di dalam kajian dan eksperimen kimia. Akhirnya bidang biologi yang merupakan disiplin ilmu sains yang berkaitan dengan benda-benda hidup.

Keutuhan, penemuan dan perkembangan sains di dunia kini makin meluas mengikut perkembangan dan keperluan semasa.Cabang-cabang sains turut bertambah dan kini ia menjadi asas kepada perkembangan ilmu-ilmu sains masa kini. Ilmu-ilmu seperti biochemistry (biologi dan kimia), astrophysics (astronomi dan fizik) dan geophysics (geologi dan fizik) kini merupakan perkembangan kepada cabang-cabang ilmu yang asas tadi. Prinsip asas di dalam bidang tersebut banyak memberi sumbangan terhadap kehidupan manusia.

Faedah dan kepentingan sains di dalam kehidupan seharian memang tidak dapat dinafikan oleh manusia. Sains dapat memberikan satu inspirasi baru terhadap kehidupan manusia sejagat. Kelebihan dan kemanfaatan bidang ilmu ini dapat dilihat di dalam ruang perspektif dunia kini. Perubahan dan ledakan baru akibat dari penemuan-penemuan terkini di dalam disiplin ilmu sains dapat dipertengahkan dengan melihat teknologi terkini akibat dari evolusi sains itu. Banyak ciptaan dan rekaan dapat dihasilkan daripada penemuan sains. Manusia kini bergantung harap kepada penemuan-penemuan baru bagi meningkatkan lagi tahap keselesaan hidup. Namun yang demikian, lama kelamaan sains semakin berkembang tanpa had dan batasan. Penemuan demi penemuan baru dapat ditemui bagaikan cendawan yang baru tumbuh selepas hujan. Sains kini seperti ombak besar yang membawa manusia seolah-olah ke alam dan dimensi baru dalam kehidupan manusia sejagat.

Perkembangan ilmu sains sebenarnya bukanlah datang dari Barat seperti yang di dakwa oleh sarjana-sarjana dan para ilmuwan Barat, tetapi ia datang dari para ilmuwan Islam terdahulu. Perkembangan sains kini hanyalah sekadar usaha memperkembangkan ilmu yang sedia ada yang asal usulnya datang daripada para ilmuwan Islam. Kehebatan dan ketinggian ilmu yang diperoleh daripada para ilmuawan Islam yang terunggul pada abad ke-11, iaitu kesan selepas kejatuhan empayar Islam Abassiyah di Sepanyol daripada tangan uamt Islam, maka dapatlah orang-orang Barat mengaut dan mendapatkan khazanah ilmu itu. Sejarah dunia menerangkan bahawa 'Zaman Kegelapan' atau 'The Dark Ages' merupakan zaman yang cukup ngeri bagi bangsa Eropah, tetapi pada zaman itulah merupakan 'Zaman Keemasan' atau "The Golden Ages' kepada umat Islam.

Ilmu yang menjadi asas kepada orang-orang Barat sebenarnya merupakan asuhan dari orang-orang Islam sendiri yang menyebarkan ilmu-ilmu mereka kepada sesiapa sahaja yang ingin mempelajari ilmu serta penemuan-penemuan terbaru sains. Sebagai satu contoh Kitab Qanun fi Tibb karangan Ibnu Sina menjadi rujukan di pusat-pusat pengajian perubatan Eropah selama kira-kira 400 tahun lamanya. Jadi tidaklah benar hakikat bahawa semua ilmu berkenaan dengan sains itu datang atau lahir dari golongan cendiakawan orang-orang Barat, tetapi mereka cuma menghadiri kelas sahaja!

Ilmu sains yang dipelopori oleh cendiakawan Islam ini terus berkembang dengan pesat dan tersebar dengan adanya keinginan serta kemahuan para pelajar yang datang dari Eropah ke kota-kota Islam seperti Andalusia, Zahrah dan Baghdad pada ketika dahulu untuk membawa pulang sebahagian buku-buku serta ilmu-ilmu yang telah mereka pelajari di sana. Ilmu Islam juga berkembang pesat seiring dengan perkembangan ilmu sains di dunia Islam pada ketika itu iaitu sekitar dari tahun 900 hingga 1400 Masihi. Dalam masa yang sama, Eropah masih berada dalam zaman kemunduran dari segi keilmuan dan budaya hidup. Pernah seorang ahli syair Eropah yang berada di Andalusia pada zaman itu mengungkapkan:

"Anak-anak kecil kami masih bermain dengan lumpur,

Sedangkan anak-anak Muslimin di Andalus sudah pandai menulis dan mengira'

Waktu malam kami begitu gelap sekali,

Waktu malam di Zahrah bagaikan siang di sinari cahaya lampu.


Setelah berlakunya reformasi di kalangan orang-orang Barat, khususnya bagi orang-orang Kristian Nasrani, mereka mula mengembangkan daya pemikiran dengan pelbagai binaan , rekaan dan ciptaan baru. Ini semua kesan dari perubahan cara hidup yang di bawa para graduan dari kota-kota Islam. Sebagai contoh salah seorang Paderi Agung Kristian yang bergelar Sylvester II yang giat berusaha merubah gaya hidup masyarakat Itali pernah belajar di Masjid Qurtubah, Qurtubah (Cordova), Sepanyol. Antaranya juga terdapat putera-putera raja yang berlumba-lumba mendapatkan 'pendidikan Arab' seperti yang terkenal dengan kejayaannya menubuhkan Universiti yang pertama di Eropah, Universiti Constantinople iaitu Prince Federick II.

Kejayaan merubah cara hidup orang Eropah inilah telah berjaya mmbuatkan revolusi pertanian bertukar kepada revolusi industri dan revolusi demi revolusi berlaku di negara Barat setelah mereka bangkit dari zaman kegelapan yang berlaku hampir lebih 1000 tahun. Tamadun Barat yang didokongi oleh kita semua pada hari ini seharusnya berterima kasih kepada tamadun Islam yang banyak memberi peluang dan perubahan kepada dunia Barat pada hari ini.

Hakikatnya, Islam telah berjaya mengeluarkan Barat dari alam gelap kejahilan dan kemunduran kepada dunia perkembangan ilmu serta teknologi. Justeru itu, jika kita seorang Muslimin yang mempunyai akal yang boleh berfikir maka seharusnya kita berusaha agar kegemilangan masa lampau akan dapat dikecapi sekali lagi. InsyaAllah......

Rujukan:
1. Quran Saintifik, Dr Danial Zainal Abidin, PTS Millenia 2009
2. Menyingkap Keajaiban Al-Quran Mengikut Kajian Sains, Abu ar-Razi al-Ahmadi, Pustaka Ilmi 2002
3. Hebatnya Al-Quran Jika Kamu Berfikir, Mohd Syamil Mohd Yusuff, Mustread Sdn Bhd 2010

1 comments:

Anonymous said...

fizik dlm kehidupan,cth,tahukah anda tempat paling slmat smasa ribut petir atau kilat?Dlm kereta paling slamat,krana cas~cas elektrik /elektron dr petir/kilat dpt dipindhkn ke bdn kereta(besi) dan arus elektrk yg mengalir dpt dibumikan pula oleh tayar(getah) kereta sbg penebat ,selamat!

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--