expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Mengimbau daulah khilafah yang hilang di bumi Turki

Sunday, July 11, 2010

Mengimbau daulah khilafah yang hilang di bumi Turki


Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan limpah rahmatnya mampu saya meluangkan masa untuk berada di alam siber ini dan berpeluang berkongsi pendapat dengan para pengunjung sekalian.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Shallahu 'alaihi wasalam kerana sinar cahaya Islam yang di bawa baginda mampu dikecapi oleh kita generasi mutakhir ini. Pengorbanan para sahabat baginda serta seluruh pejuang Islam pada setiap zaman membuktikan kecekalan dan kewibaan mereka takkala kita melihat kembali sirah kedatangan Islam ke bumi Nusantara.

Hampir dua minggu saya tidak memuatkan entri terbaru dalam blog ini kerana pertama tidak mempunyai kesempatan untuk berbuat sedemikian dan keduanya saya terlalu asyik menghabiskan tiga buah buku yang membicarakan kisah tentang Negara Turki.

Sepertimana yang kita ketahui jika kita melihat peta dunia, negara Turki merupakan negara dua benua (Asia dan Eropah). Hakikat yang kita lupa ialah Turki bukan hanya tanah penyambung antara benua Asia dan Eropah tetapi Turki juga merupakan jambatan penghubung Nubuwwah dengan zaman kini. Semboyan Rasulullah Shallalahu 'alaihi wasalam tentang kejatuhan kerajaan Byzantine tercipta pada zaman Empayar Uthmaniyah apabila kota Constantinople jatuh ke tangan tentera Islam pada 29 Mei 1453M. Kini Constantinople menjadi Istanbul.

Keinginan untuk mengetahui hal-hal berkenaan dengan Turki bermula apabila saya mendengar kisah hidup tentang Sultan Muhammad al-Fatih, khilafah daulah Uthmaniyah yang menakluk Constantinople. Terasa teruja untuk melihat Turki dengan lebih jelas lagi. Lantara dari itu saya mencari buku berkaitan dengan Turki

Buku pertama yang saya baca ialah sebuah buku berbentuk catatan perjalanan kembara Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di Bumi Turki. Untuk makluman saudara pengunjung Ustaz Hasrizal ini sebenarnya lebih dikenali dengan nama Abu Saif dan tuan empunya laman "saifulislam.com". Jika saudara ada membaca buku "Aku terima nikahnya" tentu mengenalinya. Buku "Secangkir Teh Pengubat Letih" mengisahkan pengalaman kembara Ustaz Hasrizal pada mengenal hati budi kenalan dan teman, perkongsian persaudaraan sepanjang berada di bumi Khilafah Uthmaniyah



Buku ini membicarakan tentang keadaan kehidupan masyarakat Islam Turki yang menerima pelbagai dugaan demi menegakkan syiar Islam di sebuah negara yang mengamalkan sistem sekular. Antara yang menarik yang terdapat dalam buku catatan Ustaz Hasrizal ini ialah perbezaan pemikiran masyarakat Islam Turki jika dibandingkan dengan masyarakat Islam Malaysia. Di Turki, rakyatnya begitu terperinci dalam melihat berita dan begitu prihatin tentang apa yang berlaku dalam persekitaranya. Ini berbeza dengan negara Malaysia, dimana ramai di antara kita yang mengambil sikap tidak peduli malah ada yang hampir tidak mahu lansung melihat perkembangan terkini berkaitan dengan negara.

Buku kedua yang saya baca ialah buku "Turki Negara Dua wajah, Pengkhianatan Ataturk terhadap Dunia Islam". Buku ini karangan As-Syahid Dr Abdullah Azzam, Seorang ulama’ yang memilih untuk hidup sebagai mujahidin, meninggalkan segala kesenangan hidup dan pendapatan yang lumayan. Kisah syahidnya diketahui oleh semua. Beliau akan terus menjadi qudwah kepada mujahidin dan pendakwah sepanjang zaman. Moga Allah menerima ruhnya dan menggantikan kepada umat ini mujahid seumpamanya.



Buku ini membicarakan bermula dari kejatuhan khilafah Uthmaniyyah, pentadbiran Mustafa Kemal Ataturk hinggalah keadaan Turki pada ketika ini. Sejak kejatuhan Empayar Khilafah Uthmaniyyah hasil komplot antara Kamal Ataturk dan penjajah Inggeris, Turki dicanangkan oleh Eropah sebagai model negara yang ideal bagi semua negara Islam yang terjajah. Hakikatnya, Ataturk telah menjauhkan Islam dari kepimpinanan hidup manusia. Buku ini mengupas seluruh daya usaha dan upaya gerakan Yahudi Internasional untuk meruntuhkan kekhilafahan Islam terakhir melalui bonekanya Musthafa Kamal Ataturk.

Buku yang ketiga berkenaan Turki yang menarik untuk dibaca ialah sebuah buku karangan seorang pelajar perubatan di Ireland saudara Jhaz Kitaro. Buku " Travelog Turki Bumi Khalifah" mengisah perjalanan kembara saudara penulis selama 13 hari di bumi Turki.



Menariknya buku ini ialah dilengkapi dengan gambar-gambar yang menarik sekitar lawatan saudara penulis di bumi Turki. Sesungguhnya bumi Turki kaya dengan khazanah tamadun Islam yang hebat. Melihat kepada ulasan dan penceritaan serta gambar-gambar yang dibawa oleh penulis membuktikan bahawa Turki merupakan sebuah empayar yang hebat. Memang ada logiknya seorang bangsawan British menyebut apabila soalan berikut diajukan kepadanya "Kenapa hanya Turki yang dimerdekakan, sedangkan negara-negara Arab yang lain masih dibawah pemerintahan kolonial?" Lord Curzon menjawab "Hakikatnya Turki telah dimusnahkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatannya-Khalifah dan Islam".

Turki mempunyai sejarah yang gemilang. Namun harus diingat untuk mana-mana bangsa mencapai kegemilangan hanyalah dengan berformulakan kesolehan dan ketakwaan. Ini telah terbukti apabila bangsa Arab terleka kerajaan mereka digantikan oleh orang-orang Turki. Umat Melayu mampu memimpin dunia jika berteraskan formula kesolehan dan ketakwaan. InsyaAllah.....

1 comments:

abu idris on June 17, 2011 at 5:19 PM said...

arrayah.info : insya ALLAH, Khilafah pasti akan kembali

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--