expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Hargailah Masa...walaupun sesaat..

Saturday, September 25, 2010

Hargailah Masa...walaupun sesaat..


Alhamdulillah dapat kita meluangkan masa untuk berada di alam siber ini. Semoga kita selalu berada dalam golongan yang senantiasa berdoa untuk keredhaan-Nya di dunia dan akhirat.

Salam kedamaian dan kesejateraan saya ucapkan kepada semua pengunjung laman ini terutama kepada para pelajar SMTKK yang saya kasehi. Semoga pengalaman berada di alam persekolahan ini akan dapat membawa kedamaian kepada suatu kenangan yang abadi. Pelajar tingkatan 5 khususnya hanya tinggal lebih kurang sebulan lebih sahaja lagi untuk berada di alam persekolahan. Tentu di waktu-waktu sebegini anda sekalian sudah begitu sibuk sekali mengulangkaji matapelajaran yang bakal diduduki dalam peperiksaan nanti.

Suasana yang anda hadapi pada ketika ini mengingatkan saya tentang zaman persekolahan saya, ianya adalah suatu pengalaman yang amat menyeronokkan. Kalau boleh ingin saya kembali ke zaman itu dan menikmati serta menghayati semula keindahan dan keseronokan bersama teman-teman sekelas yang seusia. Tapi itu hanyalah angan-angan kosong yang sama sekali tidak mungkin akan menjadi kenyataan. Hidup mesti diteruskan. Sesungguhnya hidup kita ini ibarat roda, yang sentiasa berpusing dan berputar. Ada kalanya kita di atas dan ada masanya kita di bawah. Namun kita jangan sekali-kali mengalah atau mengaku tewas dengan keadaan sekeliling. Kita perlu mara ke hadapan menghadapi cabaran yang mendatang.

Ketika saya menulis entri ini, saya melihat kalender di depan mata menunjukkan hari ini ialah 25 September 2010. Tarikh peperiksaan SPM 2010 bermula ialah pada 23 November 2010. Jika dihitung hanya tinggal 58 hari sahaja lagi untuk menempuh peperiksaan. Dalam tempoh ini, cuba bayangkan kekangan masa yang terpaksa dihadapi untuk menelaah 10 mata pelajaran. Tentu saja para pelajar dihambat oleh masa. Jika difikirkan tentu saja boleh mendatangkan tekanan kepada para pelajar. Namun dalam situasi begini anda perlu banyak menenangkan diri agar tidak memudaratkan diri sendiri. Antara cadangan saya ialah perbanyakkan aktiviti kerohanian seperti solat berjamaah dan membaca al-Qur'an.

Pada bulan-bulan terakhir sebelum peperiksaan, kebiasaan yang sering dilakukan oleh saya pada setiap tahun ialah mengadakan ulangkaji dan latih tubi di dalam kelas. Para pelajar perlu mengambil berat sesi ulangkaji yang diadakan ini kerana ianya sangat penting. Sesi ini bukanlan dibuat secara membuta tuli, malah dilakukan dengan melakukan analisis berkenaan soalan-soalan popular yang sering ditanya dan menjadi pilihan pembuat soalan peperiksaan. Pelajar seharusnya perlu menggunakan kesempatan yang ada dengan memberi sepenuh perhatian terhadap penerangan serta pengajaran yang diberikan oleh guru. Manfaatkan nota-nota yang diberikan dengan sebaik-baiknya. Jangan sekadar menyimpan nota-nota tersebut di dalam laci atau di dalam beg. Cuba fahami nota-nota yang diberikan dengan sebaik-baiknya. Jika anda kurang memahaminya jangan segan untuk bertanya pada guru. Saya sebagai guru, InsyaAllah akan berusaha membantu para pelajar sekalian semaksimum yang mungkin demi memastikan para pelajar mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan yang bakalu ditempuhi. Jika anda segan untuk bertanya guru, anda boleh bertanya pada rakan sekelas yang lebih maju.

Di dalam buku "Strategi menghadapi peperiksaan" susunan Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah dan Hj Muhammad Zakaria.

Penulis menyenaraikan bagi seseorang pelajar yang akan menghadapi peperiksaan, pelajar tersebut perlulah mempunyai persediaan dari segi fizikal, material dan spirituil. Para pelajar perlu mengenali dan mengetahui kekuatan yang ada para dirinya terhadap mata pelajaran yang akan ditempuhinya. Dalam hal ini anda perlu memberikan keutamaan dan memberikan keutamaan dan peruntukan masa yang lebih untuk pelajaran yang susah dikuasai. Antara cadangan yang diberikan oleh penulis ialah melakukan peperiksaan olok-olok mengikut jangka masa tertentu seperti dalam dewan peperiksaan. Mengulangkaji dan membuat latihan bersama dalam kumpulan belajar adalah kaedah yang paling berkesan kerana penulis melihat kumpulan belajar boleh memotivasikan diri antara satu sama lain.

Dalam episod terakhir anda di alam persekolahan ini, bersikap positiflah dalam setiap keadaan yang ditempuhi. Sikap positif menjadikan anda seorang yang tenang dalam apa-apa jua keadaan. Jika bimbang anda ketinggalan dari segi mengulangkaji mata pelajaran jika dibandingkan dengan rakan-rakan anda, tenangkan diri dan mulakan dengan perkara yang mudah dahulu sebelum beralih kepada pelajaran atau topik yang susah

Akhirnya perkara yang paling mustahak seperti yang saya katakan di awal tadi ialah bermunajat kepada Tuhan Yang Maha Esa. Moga-moga dipermudahkan untuk memahami dan mengingati apa-apa subjek yang diulangkaji, seterusnya diberikan ketenangan dalam menjawab soalan peperiksaan. InsyaAllah Allah pasti akan memakbulkan doa kita jika kita berserah kepada-Nya.

Wassalam...

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--