Monday, September 20, 2010

Kurang Fikir atau Kurang Zikir.....


Segala puji bagi Allah, Penguasa sekaligus Pengatur segala urusan langit dan bumi serta segala isinya. Dan selawat serta salam semoga tercurah kepada Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wassalam penyandang gelaran Al-Amin dan teladan yang mulia. Kita berharap semoga kita termasuk dalam kalangan orang yang mendapat syafa'at baginda ketika tidak ada seorang pun yang mampu menolong, bahkan menolong dirnya sendiri.

Sepertimana yang selalu saya sebutkan dalam catatan saya yang lepas, nikmat kelapangan masa adalah suatu nikmat yang begitu besar sekali jika kita dapat menilainya dengan mata hati kita. Alhamdulillah dalam kelapangan masa yang diberikan saya sempat membaca sebuah buku yang pada saya banyak mengutarakan idea-idea untuk menaikkan semangat cintakan ilmu kepada bangsa saya - Melayu.

Buku yang saya maksudkan ialah buku "Dilema Melayu-Islam, Kurang Fikir atau Kurang Zikir" karangan penulis, pendakwah dan pengendali program motivasi, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.



Sebelum saya yang dhaif ini membuat sedikit sinopsis tentang buku ini, saya ingin berkongsi tentang bagaimana saya mendapatkan buku ini. Memang sudah lama saya melihat buku ini di Pustaka Syafi Kuala Kangsar, namun perasaan untuk memilikinya tidak timbul pada ketika itu. Sehinggalah ketika saya menghadiri mesyuarat Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat bertempat di Taiping. Seusai mesyuarat itu, ahli yang hadir termasuk saya diberikan elaun kehadiran sebanyak RM50. Kebetulan pula mesyuaratnya tamat pada jam 1 tengah hari, maka saya singgah untuk menunaikan solat Zohor di Masjid Kamunting. Selesai solat, saya terpandang sebuah kedai buku yang menjual buku-buku Islam. Singgah di kedai itulah yang menemukan saya dengan buku ini. Tiba-tiba terdetik dalam hati untuk memiliki buku ini kerana tajuknya mirip dengan buku Dr Mahathir iaitu "Dilema Melayu". Pada ketika itu timbul persoalan adakah kandungannya sama dengan buku Dr Mahathir atau sebaliknya. Maka penerokaan bersama buku ini berlansung hampir sebulan.

Buku ini mengandungi 39 bab dan mempunyai 350 mukasurat termasuk sebuah puisi epilog hadiah daripada penulis bertajuk "Belajarlah daripada sejarah".

Untuk membuat suatu rumusan yang memuaskan memanglah tidak mampu saya lakukan kerana kedangkalan ilmu saya dalam bidang penulisan. Namun saya akan cuba sedaya upaya memberikan sedikit gambarang tentang kandungan buku ini.

Jika diteliti dengan mendalam, penulis membahagikan buku ini kepada dua bahagian iaitu masalah-masalah yang dihadapi oleh orang Melayu-Islam di Malaysia, bagaimana cara mengatasinya dan bahagian kedua ialah gagasan langkah-langkah praktikal berdasarkan pengalaman dan pengamatan penulis sejak sekian lama berkecimpung dalam bidang dakwah.

Kritikan yang bersalut dengan kaedah penyelesaian penulis hidangkan dalam bab 2 dan bab 3 iaitu dalam bab Perjuangan Islam atau Melayu dan Mengapa Melayu-Islam belum Cemerlang?. Dalam dua bab ini, bagi saya telah menjawab persoalan yang agak mengelirukan akhir-akhir ini. Di mana ada yang mendakwa perjuangannya lebih benar dan baik. Hakikatnya semua perjuangan adalah baik kerana semua pendokong kepada perjuangan masing-masing bertuhankan yang satu. Masalah yang perlu diatasi ialah menguruskan perbezaan yang timbul daripada pelbagai fikrah yang dilahirkan. Persoalan kedua ialah Melayu-Islam belum cemerlang. Untuk menjadi individu muslim yang cemerlang, seharusnya kita berusaha mencari ilmu kerana dengan ilmulah kita akan mengetahui hakikat menjadi mukmin yang sebenar. Antara kata-kata hikmah yang terdapat dalam bab ini ialah kata Dr Yusuf al-Qardawi "Mempercayai akhirat bukan bererti meremehkan urusan dunia"

Antara salah satu tajuk yang jarang-jarang dibincangkan oleh lain-lain penulis yang terdapat dalam buku ini ialah bab 35: Salam terakhir daripada Saddam. Penulis mengajak pembaca mengimbas kembali peristiwa perang teluk yang berlaku pada tahun 1990 yang lalu. Perbahasan yang ditunjukkan tentang faktor kegagalan Saddam melawan tentera Bush dibandingkan dengan kemenangan Sultan Muhammad al-Fateh ketika menakluki kota Konstantinople memang relevan sekali. Kekuatan tentera Islam terletak pada iman dan takwa. Jika iman dan takwa berada di dalam hati sudah tentu pertolongan Allah sampai kepada orang-orang beriman. Tentu kita masih ingat suatu sejarah peperangan yang pernah menggemparkan para sejarawan apabila mereka mengkaji tentang peperangan Mut'ah, bagaimana tentera Islam yang hanya seramai 3,000 orang mampu menggegarkan tentera Romawi seramai 200,000 orang. Semua ini tidak mustahil dicapai oleh kita umat Islam jika kita sentiasa mencari ilmu untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wata'ala.

Dalam bab-bab yang terakhir dalam buku ini, penulis mengajak kita kembali mencari titik perubahan yang akan mengubah nasib orang Melayu-Islam di Malaysia ini. Kita seharusnya sentiasa muhasabah diri kerana dengan langkah menilai keupayaan dan kekuatan yang ada barulah kita akan berjaya mengangkat diri kita ke suatu tempat yag berbeza daripada apa yang kita ada sekarang. InsyaAllah kita akan bangkit dan menjadi Melayu yang Perkasa.

Akhir kata dari saya, maafkan saya jika apa yang saya sinopsiskan mungkin banyak kekurangannya. Tujuan saya hanyalah untuk berkongsi apa yang saya baca tidak lebih dari itu. Juga seharusnya setiap rumah Melayu-Islam harus memiliki buku ini. Ianya bolehlah dikatakan satu buku motivasi untuk membawa diri dan bangsa ke mercu kejayaan.

Wassalam...

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--