expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: 2011-Tahun Antarabangsa Untuk Kimia (IYC-2011)

Thursday, October 7, 2010

2011-Tahun Antarabangsa Untuk Kimia (IYC-2011)


Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan limpah kurnianya dapat kita meluangkan masa untuk berada di alam siber ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam pembawa cahaya ke seluruh alam.

Antara subjek yang amat saya minat semasa di alam persekolahan dahulu ialah subjek kimia. Mungkin antara salah satu sebab mengapa saya meminati subjek kerana setiap minggu ada sahaja eksperimen baru yang akan dicuba oleh saya. Bermula dari mengukur saiz minyak zaitun sehinggalah kepada eksperimen yang lebih mencabar.

Hasil daripada minat dalam matapelajaran kimia inilah saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kimia. Alhamdulillah berjaya saya tamatkan pengajian saya di universiti dalam bidang kimia. Pengalaman bekerja dalam bidang farmaseutikal menambahkan lagi minat saya dalam bidang kimia ini setelah selama lebih setahun mengenali nama-nama ubat. Maka tersentuh dalam lubuk hati saya mengapa saya tidak berusaha mempengaruhi orang lain untuk sama meminati kimia. Lantaran dari desakan hati itulah saya menceburi bidang keguruan pada tahun 2001.

Selama 8 tahun saya mengajar kimia di Sek Men Teknik Kuala Kangsar, alhamdulillah ramai pelajar yang mengenali subjek kimia dan meminatinya. Kadang-kadang ada juga email dari pelajar yang menyatakan mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang kimia. Memang ada kebenaranya pepatah inggeris "When you want to see a plant, grow a seed today". Inilah perkara-perkara yang membuatkan saya begitu cintakan profession perguruan. Walaupun kadang-kadang ada masanya sikap pelajar memualkan saya, tetapi saya yakin dan pasti pelajar tersebut akan berubah satu hari nanti. Kerana proses pendidikan memerlukan masa dan hasilnya kita akan lihat di masa hadapan.

Tapi ikatan saya dalam subjek kimia telah berakhir. Bermula dari tahun 2008 saya sudah tidak lagi bersama pelajar membincangkan subjek kimia. Sekarang saya mengajar subjek "Applied Science". Ini semua lumrah kehidupan sebagai seorang guru. Ada turun dan naiknya ibarat putaran roda.

Dalam modul Applied Science, modul 10 adalah berkaitan dengan matapelajaran kimia. Pada saya tujuan diletakkan modul ini adalah untuk menyatakan kepentingan kimia dalam kehidupan manusia. Sesungguhnya subjek kimia terlalu berkaitan dengan kehidupan manusia jika diteliti. Sebagai contoh di dalam bulan ramadhan kita biasanya berbuka puasa dengan mengambil sebiji buah kurma. Sedar atau tidak kita telah menelan beberapa bahan kimia yang terkandung dalam kurma ke dalam badan kita. Begitulah hebatnya kimia. Mengenali kimia sebenarnya akan membawa kita untuk lebih mengenali dunia ini.

Maka melihat akan kepentingan inilah, para saintis memilih tahun 2011 sebagai tahun antarabangsa untuk kimia (International Year of Chemistry, IYC-2011). Saintis-saintis tersebut berkata masalah berkaitan dengan soal makanan, pencemaran air, kesihatan, tenaga dan pengangkutan boleh diatasi dengan penekanan kepada penyelidikan dalam bidang kimia.



IYC-2011 juga merupakan pengiktirafan antarabangsa kepada pencapaian penyelidikan dalam bidang kimia dan juga sumbangan kimia dalam kehidupan manusia sepanjang zaman. Tambahan lagi ianya juga berbetulan dengan ulangtahun ke-100 anugerah Hadiah Nobel dalam bidang kimia kepada

Madam Marie Curie yang menjumpai unsur Radium. (InsyaAllah saya akan bawakan sedikit cerita tentang Marie Curie dalam catatan yang akan datang)





Mengambil tema "Chemistry-our life, our future,IYC-2011" atau Kimia-hidupku, masa depanku, harapannya agar IYC-2011 ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan masyarakat dunia untuk menghargai bidang kimia terhadap sumbangan kimia untuk memenuhi kehendak dunia pada masa kini. Harapan IYC-2011 juga ialah untuk menyemarakkan lagi minat golongan remaja dan kanak-kanak terhadap pengetahuan kimia.

Program IYC-2011 pada tahun depan akan sarat dengan penekanan bahawa bidang kimia merupakan satu cabang bidang sains yang penting dalam menaiktarafkan kualiti cara hidup manusia. Tahun 2011 akan dihiasi dengan aktiviti pengiktirafan seni dan sains daripada bidang kimia dan juga sumbangan penting bidang kimia kepada lapangan ilmu manusia, penjagaan alam sekitar dan sumbangan dalam bidang ekonomi.

InsyaAllah marilah kita pencinta ilmu ini bersama-sama merayakan perayaan ilmu kimia sedunia yang julung-julung kali diadakan ini.

"Nothing in life is to be feared, it it only to be understood"

Marie Curie (1897-1934)



"Chemistry is fundamental to our understanding of the world"


Wasalam.

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--