expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Apa ada dengan MotoGP...

Saturday, October 9, 2010

Apa ada dengan MotoGP...


Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan nikmat kesempatan masa mampu kita meluangkan waktu untuk berada di alam siber ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallahu 'alaihi wassalam pembawa risalah terhebat sepanjanga zaman dan rahmat kepada seluruh alam.

Semasa enak makan pagi hari jumaat lepas, saya di tanya oleh seorang rakan

"Tahun ni hang bawa budak lagi ka pi tengok race di sepang"

"Bawa, biasalah macam tahun-tahun lepas" jawab saya menjelaskan.

"Ada apa hang bawak budak pi tempat-tempat macam tu, bukannya ada faedah pun" katanya cuba membuat provokasi

"Pi ambil gambar dengan model yang pakai baju sekerat, buang masa tengok race sampai 5 jam, ada ke faedah pada budak-budak" sambungnya prejudis.

"Abang, sukan perlumbaan motosikal ini peringkat antarabangsa, ada macam-macam yang boleh kita belajar dari sana" kata saya cuba menangkan perasaan saya yang agak terkejut dengan provokasi dari rakan saya ini.

"Kejayaan Malaysia menganjurkan perlumbaan ini membuktikan negara kita mampu menganjurkan sukan permotoran di peringkat antarabangsa, tambahan lagi teknologi yang didatangkan melalui perlumbaan permotoran menguntungkan kita rakyat Malaysia."jelas saya berpandukan ingatan ilmu yang sedikit tentang perlumbaan motosikal.

"Emmm, aku tak kisah tapi budak-budak yang pi dengan hang tu kalau aku tangkap depa hisap rokok kat asrama, sekali dengan cikgu dia aku hentam." kata rakan saya seolah-olah tidak berpuas hati dengan penjelasan saya dan cuba membangkitkan api ketidaksenangan.

"Tak pa la, kalau depa buat salah kat asrama, saya akan menanggung semua akibatnya dan kalau abang suka, hentam saya pun tak pa." kata saya menenangkan rakan saya yang nampak seperti ada masalah.

Begitulah sikap sesetengah dari kita yang amat perjudis dengan sesuatu. Ada yang berpendapat membawa pelajar menyaksikan perlumbaanlah meransang remaja kepada budaya merempit. Tapi pada saya kalau kita sulami dengan ilmu, InsyaAllah gejala rempit tidak akan berlaku ke atas remaja yang menyaksikan sukan permotoran.

Perlumbaan MotoGP adalah sukan permotoran motosikal yang paling berprestij di dunia. Di dalam industri ini pelbagai teknologi terkini motosikal diperkenalkan malah dicuba semasa awal musim perlumbaan. Sebagai contoh jika kita melihat kepada pakaian pelumba ada sahaja perubahan yang dilakukan saban tahun untuk meningkatkan tahap keselamatan. Malah bahan yang digunakan dalam pembuatan pakaian itupun jika diteliti sudah mampu mengujakan kita para pencinta dunia sains. Satu lagi perkara yang amat mengujakan saya ialah faktor pemilihan tayar. Pemilihan tayar biasanya akan dibuat pada pagi hari perlumbaan dengan mengambilkira "perasaan motosikal" pada hari itu. Biasanya tayar yang dipilih perlu kepada faktor cengkaman dan kebolehtahanan. Lagi lembut dan mencengkam tayar itu, lagi mudah ia haus. Bayangkan bagaimana para jurutera tayar memilih tayar untuk sesebuah jentera, sudah tentu satu tugas yang berat.

Bagi saya, minat kepada perlumbaan MotoGP ini begitu semarak apabila saya berada di universiti. Rakan-rakan serumah mempunyai minat yang sama iaitu menyaksikan perlumbaan. Dalam pada itu, zaman "student" saya, motosikal seperti Yahama TZM150, Honda NSR150RR, Kawasaki Kips150 dan Yahama RXZ135 begitu popular. Ramai rakan mempunyai motosikal yang saya sebutkan tadi. Dalam ingatan saya, dapur rumah sewa kami menjadi bengkel motosikal setiap hujung minggu, kerana seorang rakan serumah (Allahyarham Rahmat) pandai tentang selok belok motosikal dan ramai rakan-rakan meminta khidmat nasihat darinya.

Peluang untuk menghadiri ke perlumbaan MotoGP tiba apabila saya menjadi guru. Mendapat tajaan tiket dari Petronas adalah satu peluang keemasan yang tak mungkin dilepaskan. Bermula dari tahun 2006 saya hadir di Litar Antarabangsa Sepang sebagai salah seorang penonton dari rakyat Malaysia. Sejak dari itu, tidak pernah ketinggalan untuk menyaksikan perlumbaan yang terhebat ini.

Sesuatu yang begitu hebat dapat saya temui dalam perlumbaan MotoGP ini. Bagi saya pencinta ilmu sains membawa pelajar menyaksikan perlumbaan dapat memotivasikan mereka untuk lebih menjadi profesional jika kita meminati perlumbaan. Bukan hanya mengikut apa yang dikatakan sebagai membewa motosikal dengan laju tanpa sebarang tujuan.

InsyaAllah esok saya akan ke Litar Antarabangsa Sepang untuk kali keempat untuk menyaksikan perlumbaan motosikal berprestij ini. Doakan agar selamat sampai di sana.

Sesungguhnya ada sesuatu dalam MotoGP dan bukannya sekadar menyaksikan perlumbaan semata-mata!

Wassalam....

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--