expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Hadiah sebuah kesabaran.....

Tuesday, November 16, 2010

Hadiah sebuah kesabaran.....


Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah Tuhan yang mentadbir sekalian alam tanpa sebarang kecacatan. Sesungguhnya perjalanan manusia di atas muka bumi ini adalah mengikut perancangan dan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah, Tuhan yang Maha Mengetahui.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam pembawa cahaya dan rahmat ke atas semua manusia, baik di timur mahupun barat.

Ada beberapa kisah menarik yang berlaku dalam kehidupan saya sepanjang dua minggu ini, bermula dari talian telefon di panah petir sehinggalah mendapat pengumuman yang sungguh bermakna dari Tuan Pengetua.

Jika dinilai dengan mata hati apa yang berlaku merupakan suatu anugerah nikmat yang begitu besar sekali dalam hidup saya.

Saya cuma akan berbicara tentang peristiwa pengumuman yang sangat penting kepada karier saya sebagai guru dari Tuan Pengetua SMTKK. Peristiwa tentang talian di sambar petir, program motivasi Applied Science saya akan tinggalkan untuk berbicara di lain entri.

Ketika Tuan Pengetua SMTKK mengumunkan kelulusan permohonan saya menjadi guru cemerlang pada tahun 2010, saya agak kaget dan kelu untuk berbicara. Tiada kata yang sesuai untuk saya luahkan pada ketika itu kerana terlalu banyak perasaan yang datang di dalam lubuk hati saya. Maka ingatan saya melayang ke saat pertama saya memohon untuk jawatan GC seingat saya dalam bulan Julai 2009.

Pada ketika borang permohonan dikeluarkan oleh KPM pada awal bulan Julai 2009, saya agak terlewat sedikit mengambil borang kerana tiada seorang pun rakan-rakan di sekolah yang memberitahu saya. Maka terpaksalah saya mengambil borang permohonan di Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar. Seusai saya mengisi borang, saya menghantar ke pihak pentadbiran untuk disemak. Saya terkejut kerana ketika saya menghantar borang ada pihak yang terkejut di mana saya mendapatkan borang itu sedangkan pencalonan dari pihak sekolah pada ketika itu sudah ada tiga orang. Maka timbullah pelbagai andaian dan cerita yang kurang menyedapkan dengan penyertaan saya.

Tapi alhamdulillah, berkat usaha yang gigih dan bantuan yang diberikan daripada rakan-rakan GC banyak membantu saya dalam menyiapkan pendokumentasian dan memilih kaedah P&P yang sesuai ketika sesi pencerapan, permohonan GC saya akhirnya diluluskan setelah lebih satu tahun menunggu. Lebih manis apabila surat penempatan itu ditandatangani oleh mantan KPPM, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dengan menggunakan pennya sendiri.

Pada pendapat saya yang dhaif ini, sebagai penjawat awam yang terlibat dalam dunia pendidikan, kalimah sabar adalah satu kalimah yang amat penting untuk difahami dan dihayati. Kesabaran merupakan kunci kepada kejayaan untuk kita menongkah ke tingkatan yang lebih tinggi dalam sistem ini. Dengan corak sistem pendidikan di Malaysia yang semakin mencabar baik dari segi hendak melaksanakan dasar-dasar kerajaan mahupun ketika hendak mengendalikan para remaja yang kian terjerumus dengan budaya hedonisme, hanya kesabaran yang mampu menimbulkan kesedaran kita sebagai pendidik.

Walaubagaimanapun, kesabaran tidaklah boleh berdiri dengan sendirinya. Ia harus disertai dengan usaha yang gigih ke arah matlamat yang hendak dicapai oleh kita. InsyaAllah kita yakin dan pasti Allah akan sentiasa bersama dan membantu orang yang sabar dan berusaha.

Berbalik kepada kisah permohonan guru cemerlang (GC) saya, saya mula membuat penyelidikan tentang kaedah permohonan GC sejak bermula dari tahun 2008 lagi. Sejak dari Januari 2008 saya banyak mengumpul artikel-artikel tentang GC. Ditambah pula dengan sentiasa menghubungi rakan-rakan yang telah lama menjadi GC. Ingin sekali saya rakamkan ucapkan terima kasih kepada En Chia Song Choy, En Koay Cheng Kuan, Tn Hj Salahuddin, Allahyarham Tn Hj Kazar, Tn Hj Zainal b Yono, En Joned b Musa, En Abd Rahim b Kassim, Pn Hindun dan Pn Lee Inn Hua. Kerana dengan bantuan individu yang saya nyatakan inilah saya mampu mengubah paradigma pemikiran saya ke arah lebih menjadi seorang guru yang bermatlamat dan berwawasan.

Disamping mengumpul artikel tentang GC, tidak juga saya lupakan pendokumentasian aktiviti saya sepanjang temph tiga tahun mengajar iaitu bermula dari tahun 2006 hingga 2009. Fail-fail seperti maklumat peribadi saya, sumbangan luar saya dan yang paling mustahak sekali ialah dokumentasi tentang pengajaran, pembelajaran dan pencapaian peperiksaan saya sepanjang tempoh 3 tahun. Memang benar kata hukama, perancangan yang teliti akhirnya akan membuahkan hasil yang tidak diduga-duga.

Sepanjang tempoh pendokumentasian, terlalu banyak dugaan yang datang menjelma baik dari segi ucapan kata-kata rakan-rakan mahupun ketika mengendalikan hal-hal dalam keluarga. Pada ketika ini, seingat saya hanya kesabaran yang mampu menangkis segala-galanya kerana jika tidak sabar sudah tentu kita akan hilang arah dari matlamat saya. Bayangkan ada seorang dari rakan pada ketika itu dalam tahun 2008, dalam bulan Julai seingat saya, menegaskan kepada saya untuk memohon jawatan GC sedangkan saya masih lagi tidak bersedia. Rakan saya tadi begitu bersungguh-sungguh menyuruh saya sehingga ketika saya mengatakan saya masih belum bersedia rakan saya tadi mengeluh seraya mengeluarkan kata-kata kecewa. Ketika berlaku peristiwa ini, memang ianya menguji tahap kesabaran saya pada ketika itu. Dan Alhamdulillah saya berjaya mengawal perasaan saya.

Terima kasih juga saya tujukan khas buat isteri tercinta kerana menjadi tulang belakang yang menyokong saya setiap masa. Bagi saya, dia adalah 'Siti Khadijah' saya yang sentiasa menyokong dan memahami saya setiap masa. Bayangkan dengan keluarga yang baru bercambah mestilah begitu mencabar menguruskan anak-anak yang masih kecil. Bagi saya keluarga adalah yang terpenting yang akan memulakan segala-galanya.

Akhirnya setelah lebih satu tahun lebih saya mengumpul segala dokumen penting, maka tibalah saat yang dinantikan iaitu penghantaran borang GC dan sesi pemantauan oleh Jemaah Nazir Sekolah. Semasa menghantar borang kepada pihak pengurusan sekolah pada bulan Ogos 2009, saya agak terkejut kerana ada pihak menyatakan saya bukanlah salah seorang yang diberikan borang pencalonan kerana pihak sekolah telahpun mencalonkan tiga orang guru untuk jawatan GC. Namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk memohon kerana saya tidak memohon untuk disanjung-sanjung tetapi untuk meningkatkan kualiti diri saya. Saya teruskan hasrat saya walaupun terpaksa berhadapan dengan mehnah-mehnah politik dalam organisasi. Akhirnya setelah beberapa minggu borang dihantar, saya mendapat panggilan telefon dari Pegawai Pemantau GC dari JPN Perak., bahkan saya orang yang pertama mendapat penggilan itu dari empat orang guru yang dicalonkan oleh pihak sekolah. Bagi saya pada ketika itu, saya mendapat kemenangan yang pertama. Alhamdulillah saya semuanya berjalan lancar pada ketika itu, dan dari memek muka pemantau menampakkan muka yang menceriakan. Untuk sesi ini, saya mengambil petua dari En Zainal b Yono (GC Physics SMT Kuala Terengganu) dengan katanya "dia (pemantau) faham, budak faham dan kita puas hati"

Akhirnya setelah menunggu keputusan selama lebih satu tahun, En Hamid b Jumhari (Pengetua SMT Kuala Kangsar) mengumunkan keputusan kejayaan saya menjawat jawatan GC (Sains Gunaan) bermula dari Ogos 2010. Alhamdulillah inilah berkat kesabaran saya selama menunggu selama lebih satu tahun. Benarlah firman Allah "Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar".....

Wassalam....

1 comments:

Muhamad Nazri on December 14, 2010 at 12:15 PM said...

Tahniah.... semoga lantikan ini menambahkan lagi kecemerlangan tuan.

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--