expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Keistimewaan Ciptaan Burung...

Saturday, November 6, 2010

Keistimewaan Ciptaan Burung...


Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah tuhan yang mentadbir sekalian alam tanpa sebarang kecacatan padanya.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wassalam pembawa cahaya yang menerangi seluruh alam. Cahaya yang di bawa baginda tidak akan terpadam walaupun pelbagai usaha dijalankan oleh sekalian musuh untuk memadamkan cahaya yang terang benderang ini.

Cahaya yang di bawa oleh junjungan besar kita berteraskan pengetahuan ilmu yang akan membenarkan keagungan Tuhan yang Esa serta membuatkan kita merasakan betapa kecil kita sebagai manusia dimuka bumi ciptaan Allah ini.

Salah satu keajaiban ciptaan tuhan yang harus diperhatikan oleh kita sebagai manusia yang lemah ialah keistimewaan yang ada pada burung. Salah satu keajaiban burung ialah burung mampu terbang ribuan kilometer serta berupaya mengekalkan tenaga dan keupayaan dirinya sepanjang perjalanan. Jika kita bandingkan dengan manusia ketika melakukan perjalanan yang jauh sudah tentu mempersiapkan diri dengan segala kelengkapan seperti peta, bekalan makanan, pakaian dan pelbagai kelengkapan yang difikirkan perlu. Tetapi burung tidak memerlukan semua itu untuk membantunya merentasi pelbagai benua. Malah burung tidak pulaperlu mantap dari segi mental dan fizikal bagi migrasi ke negara lain. Tetapi sesungguhnya burung dianugerahkan Allah Subhanahu wata'ala dengan keupayaan yang amat istimewa sehinggakan ramai para saintis menemui kegagalan apabila mengkajinya.

Sebagai contoh apabila membincangkan mengapa burung bermigrasi.

Sehingga kini para saintis masih lagi belum menemukan jawapan yang tepat. Jawapan yang biasa diberikan oleh para pengkaji ialah faktor perubahan cuaca atau musim. Sedangkan sebenarnya faktor sekeliling tidak memberikan apa-apa kesan bagi penghijrahan burung. Ini kerana penghijrahan memerlukan skil yang tinggi, bekalan makanan yang mencukupi dan keupayaan untuk terbang dalam masa yang lama. Oleh itu hujah bagi menyatakan cuaca atau iklim menjadi faktor penghijrahan burung adalah andaian manusia semata-mata.

Satu eksperimen telah dijalankan ke atas burung bulbul
sebagai subjek bagi membuktikan dakwaan bahawa iklim menjadi faktor penentu penghijrahan burung. Disediakan satu makmal yang diubahsuai suhu dan sistem pencahayaannya. Suhu dan cahaya di dalam makmal itu berbeza dengan suasana iklim diluar, contohnya salji diluar, tetapi musim luruh direka di dalam makmal. Para saintis menjangkakan burung bulbul itu akan masuk ke dalam makmal kerana berlaku perubahan cuaca, tetapi burung-burung itu seolah-olah sudah bersedia menyimpan lemak di dalam badan sebagai penghaba dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk bermigrasi. Semua burung bulbul didapati kekal berada di luar yang dingin. Eksperimen inilah menjadi antara saintis mula mempersoalkan apa faktor yang menyebabkan burung bermigrasi.

Para pendukung teori evolusi cepat-cepat mengeluarkan kenyataan bahawa setiap hidupan mempunyai "jangka masa badan" yang merasakan perubahan cuaca dan suasana sekeliling. Mereka mendakwa burung mempunyai "jangka masa badan" ini mendorong burung memutuskan untuk berhijrah apabila jam itu "berdering". Dakwaan ini disangkal kerana tidak dapat dipastikan bentuk "jam" itu dan kedudukannya di dalam badan. Dakwaan ini menjadi lucu apabila kita menyoalkan bagaimana jika jam itu rosak?. Sudah tentu burung tidak akan bermigrasi.

Antara sekian banyak spesis burung yang terdapat dimuka bumi ini. Burung camar mempunyai keistimewaan untuk mampu terbang sejauh 30,000 hingga 40,000 kilometer.
Terbang dalam jarak yang begitu jauh memerlukan burung camar mengurangkan penggunaan tenaga yang berlebihan. Kaedah yang digunakan oleh burung camar ialah mengumpulkan tenaga semasa berhenti berehat diketulan-ketulan ais di kawasan kutub. Kaedah lain yang digunakan oleh burung camar semasa melakukan perjalanan yang jauh ialah mereka berkomunikasi di antara satu sama lain ketika terbang dengan menyanyi dan menghasilkan bunyi yang berbeza. Ini membolehkan ahli-ahli burung camar yang terlibat dalam kelompok terbang itu merehatkan otot-otot dan merasakan mereka sentiasa bersama walaupun dalam kegelapan malam, meskipun mereka berada dalam jumlah yang banyak. Saintis yang mengkaji penghijrahan burung camar membuat satu hipotesis bahawa burung-burung camar menggunakan matahari untuk menghitung kedudukan lokasi mereka. Apabila mereka hampir dengan destinasi mereka, mereka akan mengenali beberapa tanda berdasarkan keadaan cahaya matahari di tempat yang dilintasi.

Lain pula dengan teknik penerbangan spesis burung botak.
Burung ini dapat mengurangkan penggunaan tenaga malah adakalanya tidak menggunakan tenaga lansung semasa terbang. Kaedah yang digunakan ialah dengan terbang pada paras 2000 meter semasa udara panas, burung itu meluncur laju tanpa mengibaskan sayapnya. Teknik ini juga turut dilakukan oleh spesis burung yang mempunyai sayap yang terpanjang didunia, burung albatros.
Dengan bukaan sayap dianggarkan kira-kira 3.5 meter (11.5 kaki) ia mampu terbang selama berjam-jam tanpa menghayunkan sayapnya.Burung ini meluncur dengan mengambilkira keselarian peningkatan arus udara dan angin. Ia akan bergerak mengikut arah angin, ia bergerak secara bengkang-bengkok dan berpindah dari satu arus ke arus yang lain. Jika kita bandingkan dengan manusia sudah tentulah kita merasakan kita ini kerdil yang dimana mana mungkin kita mendepakan tangan kita selama berjam-jam tanpa merasa lenguh atau sakit. Perbandingan antara depaan tangan manusia dan burung albatros ini membuktikan ada Pencipta yang Maha Agung. Burung albatros dikurniakan dengan keistimewaan sistem anatomi sejak dilahirkan. Terdapat satu sistem pengunci di dalam tulang-tulang sayap burung albatros yang membolehkan sayapnya sentiasa terbuka. Dengan menggunakan sistem pengunci ini, mereka tidak perlu menggunakan kekuatan otot. Ini menjadikan terbang sesuatu yang mudah bagi burung-burung ini. Dengan adanya sistem yang istimewa ini, ia dapat terbang tanpa berhenti selama berhari-hari, berminggu-minggu atau malah berbulan-bulan dengan hanya menggunakan sedikit tenaga sahaja.

Satu lagi fakta yang menarik yang harus kita renungkan bersama ialah burung tidak pernah dipanah petir. Ini disebabkan burung tidak terbang dikawasan yang berisiko mengalami ribut petir. Pakar ornitologi (bidang kajian tentang burung dan sifat burung) mendapati burung mempunyai deria pendengaran yang sangat sensitif. Burung dapat mendengar sebarang bunyi walaupun dalam frekuensi yang amat rendah. Sekiranya burung ada mendengar bunyi guruh di kawasan sebalik gunung walaupun dalam jarak 100 kilometer, burung itu tidak akan mendekati kawasan itu.

Pernah kita mendengar burung merpati sesat selepas menghantar surat?Belum pernah dan ada saintis yang mengatakan burung merpati sesat tidak tahu jalan kembali ke rumah tuannya selepas menghantar surat. Walaupun telah terbang sejauh 1500 kilometer tanpa menggunakan sebarang bantuan seperti GPS dan peta ia mampu pulang dan kembali ke sarang pada waktu siang atau malam. Burung merpati seolah-olah mempunyai kompas atau reseptor magnetik yang memandunya pulang. Sehingga kini, pakar-pakar ornitologi masih gagal menghuraikan keistimewaan burung merpati ini dan menjadikan "kompas" di dalam tubuh burung merpati kekal sebagai satu misteri.

Semua fakta-fakta saintifik yang saya bawakan di atas membuatkan seseorang itu tidak perlu berfikir lama untuk menyakini bahawa semua sifat-sifat istimewa yang ada pada burung tidak mungkin muncul secara kebetulan. Ini adalah ciptaan Tuhan Pencipta Yang Maha Agung dan Maha Sempurna. Allahlah yang mengetahui segala-galanya, yang mencipta burung-burung dilangit dan menganugerahkan mereka dengan sifat yang mereka perlukan untuk terus hidup. Dan keistimewaan yang ada pada burung ini menjadi sebagai salah satu dalil dan bukti kekuasaan dan keagungan Allah subhanahu wata'ala bagi orang-orang yang sentiasa memerhatikan dan mahu mengambil tahu, sebagaimana firman Allah dalam

1. Surah An-Nahl ayat 79 yang bermaksud
"Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dipermudahkan terbang melayang-melayang di angkasa?Tiada yang menahan mereka (dari jatuh) melainkan Allah; sesungguhnya pada yang demikian itu, tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman."

2. Surah An-Nur ayat 41 yang bermaksud
"Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepadanya sekalian makhluk yang ada dilangit dan dibumi serta burung-burung yang terbang berbaris dilangit?Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) cara mengerjakan ibadat kepada Allah dan memujinya;dan Allah amat mengetahui akan apa yang mereka lakukan."

3. Surah Al-Mulk ayat 19 yang bermaksud
"Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembangkan sayapnya dan menutupnya?tidak ada yang menahan (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah yang amat pemurah. Sesungguhnya Ia amat melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."

Rujukan
1. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian al-Quran, cetakan ke-6, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
2. Keistimewaan Ciptaan Burung, Muhammad Abhar Rosnan, Majalah Kosmik April 2008, ms15 dan 16, dengan sedikit olahan
3. Haiwan-Haiwan yang menakjubkan, Harun Yahya, Saba Islamic Media, April 2010
4. Cerita untuk Kanak-kanak pintar 1, Harun Yahya, Perniagaan Jahabersa, cetakan pertama 2008
5. Cerita untuk Kanak-kanak pintar 2, Harun Yahya, Perniagaan Jahabersa, cetakan pertama 2008

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--