expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Sekolahku dan Terowong Berkembar Berapit

Friday, November 26, 2010

Sekolahku dan Terowong Berkembar Berapit


Alhamdulillah kerana kesempatan masa yang diberikan mampu kita berada di dalam alam siber ini untuk melaksanakan apa saja hajat yang kita perlukan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam pembawa cahaya yang terang benderang menyinari seluruh alam ini. Doa dan ucapan selamat sejahtera diucap dan dipohonkan kepada Allah Subhanahu wata'ala kepada para sahabat nabi, para tabi'in, tabi' tabi'in dan seluruh pejuang yang bersusah payah dengan segala dugaan bagi menyampaikan risalah ilmu yang agung ini.

Salah satu daripada kehebatan ilmu yang berevolusi daripada ilmu Islam ialah ilmu kejuruteraan. Melalui ilmu kejuruteraan ini, manusia mampu menikmati kehidupan moden yang memudahkan manusia melakukan segala pekerjaan dalam masa yang singkat.

Alhamdulillah, Malaysia juga tidak ketinggalan dalam menyertai perkembangan dalam ilmu kejuruteraan. Malah Sekolah Menengah Teknik Kuala Kangsar sehingga tahun 2009 menawarkan kursus kejuruteraan kepada pelajar aliran teknikal. Sudah tentu sehingga saya menulis artikel ini, sudah ramai jurutera yang dilahirkan daripada Sekolah Menengah Teknik Kuala Kangsar.

Satu lagi perkara yang menarik tentang Sekolah Menengah Teknik Kuala Kangsar (SMTKK) ialah lokasinya yang terletak di antara 3 bandar besar negeri Perak. SMTKK terletak di bandar Padang Rengas, bersebelahan bandar di raja Kuala Kangsar, 25 km dari bandar Taiping dan 30 km dari bandar Ipoh. Juga perkara yang menarik tentang lokasi SMTKK ialah jika pengunjung datang dari bandar Ipoh melalui lebuhraya Utara Selatan, mereka akan melalui terowong Menora. Iaitu terowong yang terletak di bawah Banjaran Keledang, negeri Perak, Malaysia, sepanjang 622 meter (saya tak pasti panjang sebenar kerana angka ini saya ambil dalam blog sejarah2u, manakala dalam lama wikipedia panjang terowong ini ialah 800 meter) dan merupakan sebahagian daripada Lebuhraya Utara-Selatan, antara Plaza Tol Jelapang dengan Kuala Kangsar dan Changkat Jering di KM 260 atau 2 km di utara Plaza Tol Jelapang.
Terowong Menora ini dibuka secara rasmi pada tahun 1986, iaitu setahun setelah pembukaan rasmi jambatan Pulau Pinang. Terowong ini merupakan kebanggaan penduduk di sekitar Kuala Kangsar dan kawasan sekitarnya suatu masa dahulu. Ini kerana terowong ini merupakan salah satu mercu tanda untuk para pengunjung jika hendak ke Bandar Kuala Kangsar.

Terbaru, kawasan Kuala Kangsar dan sekitarnya berbangga dengan pembinaan terowong yang lebih canggih iaitu Terowong Berkembar Berapit di Bukit Berapit, Taiping Perak. Lokasi terowong ini kira-kira 5 km dari SMTKK. Pembinaan terowong sepanjang 3.3 km ini membuatkan Malaysia mencipta nama dengan mempunyai terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara. Terowong Berkembar Berapit ini ialah sebahagian daripada komponen projek infrastruktur negara yang bernilai lebih dari RM12.5 billion iaitu Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE/ETS) Ipoh ke Padang Besar.

Sejarah penciptaan terowong bermula sejak permulaan peradaban manusia di mana manusia menyediakan terowong untuk akses atau laluan ke makam, kuari bawah tanah atau lencongan aliran air dipermukaan baru. Sesebuah terowong sebenarnya menjadi laluan pejalan kaki, laluan kenderaan, jalan raya, kereta api mahupun laluan air. Terowong boleh dikorek menembusi pelbagai jenis tanah atau batuan dan cara pembinaan terowong bergantung kepada struktur tanah serta batuan di sesuatu kawasan. Sejarah mengatakan bahawa masyarakat Rom mahir dalam mencipta terowong sehingga mampu membina terowong sepanjang 5.6 km bagi tujuan menyalur keluar air dari Tasik Fucino di Timur Rom bagi mengelakkan banjir. Ketika itu, kira-kira 30,000 pekerja dikerah bagi membina terowong itu yang memakan masa selama 10 tahun untuk disiapkan.

Kisah sejarah yang saya paparkan tadi merupakan penggunaan teknologi kejuruteraan pada masa dahulu yang serba kekurangan. Kini perkembangan dalam kepakaran manusia menghasilkan pelbagai alat yang canggih dan berteknologi tinggi membantu manusia membina terowong yang moden dalam masa yang singkat.

Malaysia mula mencipta nama membina terowong jalan raya apabila membina Terowong Genting Sempah berukuran 900 meter. Terowong ini menghubungkan kawasan Gombak di Selangor dengan Genting Sempah di Pahang. Terowong ini dibuka secara rasmi pada tahun 1979. Malaysia membuktikan lagi kesungguhannya dalam bidang kejuruteraan apabila pada tahun 2007 dengan rasminya Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan raya (SMART Tunnel) mula beroperasi. Terowong SMART (Stormwater Management and Road Tunnel) merupakan terowong banjir yang terpanjang di Asia Tenggara dan kedua terpanjang di Asia. Terowong SMART juga merupakan terowong yang pertama beroperasi sepertinya di dunia.

Setiap terowong yang dibina di dunia mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Terowong Berkembar Berapit dikatakan menarik kerana terowong ini berkonsepkan berkembar dengan satu landasan yang setiap satunya mempunyai sembilan laluan silang antara laluan kiri dan kanan bagi tujuan keselamatan dan penyenggaraan. Terowong ini dibina dalam bentuk seperti ladam kuda berukuran tinggi 9 meter x 9 meter lebar.

Walaupun mempunyai pelbagai alat canggih dan berteknologi tinggi, cabaran dalam pembinaan terowong pasti ada. Menurut syarikat peneraju dalam projek ini, MMC-GAMUDA Joint Venture (MG-JV) yang diketuai oleh Pengarahnya Datuk Ir Azmi Mat Nor, pembinaan Terowong Berkembar Berapit menghadapi banyak cabaran seperti pengorekan dibuat dibawah lebuh raya Utara Selatan dan Jalan Persekutuan 1 (Taiping-Kuala Kangsar) ketika laluan itu tidak ditutup kepada lalu lintas.
Tambahnya lagi pembinaan terowong ini sentiasa mengambil kira faktor keadaan geoteknikal seperti strutur tanah, aliran air dan kecerunan bukit semasa melakukan pengorekan dengan kaedah pengorekan mikro di bawah jalan raya. Selain itu, MG-JV juga mengambilkira pengurusan trafik dan lencongan sepanjang 1.5 km dari tapak pembinaan bagi memastikan faktor keselamatan serta kesempurnaan binaan.

Suatu ketika dahulu keretapi merupakan pengangkutan utama penduduk negara Malaysia. Ianya merupakan satu-satunya jalan perhubungan Tetapi yang lancar dan selesa dari utara ke selatan tanahair dan ke pantai timur. Tetapi apabila Lebuhraya Utara Selatan mula beroperasi, penggunaan kereta dan bas menjadi lebih cepat dan mudah. Berkereta dari utara ke selatan tanahair menjadi mudah dan menjimatkan masa. Kehadiran lebuhraya utara selatan hampir menjadikan khidmat kereta api sebagai satu nostalgia. Bayangkan dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar masa yang diambil hampir 8 jam (Pengalaman saya menaiki keretapi pukul 7.40 malam dari Sungai Petani dan sampai di Kuala Kangsar pada jam 2 pagi). Tetapi dengan menggunakan motosikal ataupun kereta masa yang diambil hanya kira-kira 3 jam.

Alhamdulillah dengan kehendak Allah Azzawajalla, kerajaan mengumunkan projek menaik taraf perkhidmatan keretapi untuk menjadikan ia pengangkutan pilihan. Ini terbukti melalui khidmat ETS Kuala Lumpur-Ipoh yang pantas dan selesa. Perjalanan dari Ipoh ke ibu negara hanya mengambil masa dua jam. Projek PLBE ini membuatkan Malaysia mampu setanding dengan negra maju kerana ia membolehkan kereta api elektrik memecut pada kelajuan 140 km/jam, walaupun melalui terowong. Selain terowong Berkembar Berapit, projek PLBE mempunyai beberapa monumen menarik akan dibina antaranya ialah Jambatan Marin Bukit Merah sepanjang 3.5 km, Terowong Larut sepanjang 342 meter (13m x 10m) dan Jambatan Berbuai Prai di Pulau Pinang sepanjang 282 km.

Bersama-samalah kita berdoa agar projek PLBE ini siap sepenuhnya dan kita akan menjadi salah seorang dari rakyat Malaysia yang dapat merasai pengalaman menaiki keretapi elektrik dengan pengalaman yang menarik dan pemandangan yang indah. InsyaAllah

Wallahu a'lam

Sumber rujukan
1. Berita Minggu 21 November 2010, bmdua "Terowong Mercu Tanda", Nurhayati Abllah
2. Sinar Harian, 22 November 2010, Perak Ajenye ye!, "Kebanggaan Perak, Terowong Berkembar Berapit diiktiraf terowong keretapi terpanjang di Asia Tenggara", Rubiah Nordin.
3. Sisipan MEGA Utusan Malaysia, 25 November 2010, "Kemampuan kejuruteraan tempatan"
4. Gambar dari Berita Harian online.

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--