Wednesday, December 1, 2010

Berhati-hati dengan televisyen...


Alhamdulillah dapat kita meluangkan masa untuk menatap beberapa laman sesawang dan membaca beberapa artikel untuk menambahkan pengetahuan kita. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam pembawa rahmat ke atas sekalian makhluk di atas muka bumi ini.

Ajaran agama kita, Islam amat mementingkan pembentukan peribadi melalui proses perkembangan minda dengan mencari ilmu. Sebagai suatu agama fitrah yang berteraskan ilmu pengetahuan, Islam amat menitik beratkan proses penjagaan minda agar tidak tercemar dengan unsur yang boleh menyebabkan minda menjadi lemah. Namun apabila kita mula menyedari hakikat ini, kita akan merasakan amatlah terlalu sukar untuk menjaga kualiti pemikiran kita di zaman yang moden dek kerana terlalu banyak dugaan dan cabaran untuk menjaganya.

Salah satu contoh dugaan yang paling sukar ialah kewujudan peti televisyen di dalam ruang tamu kita. Setiap hari ada sahaja babak berkucupan antara dua bibir, watak wira menendang musuh dan melepaskan tembakan bertubi-tubi. Tidak kurang juga adegan orang tengah bercinta dan putus cinta. Jejaka menarik tangan dara, jejaka memeluk dara seterusnya mengucup jari jemarinya. Pengalaman saya sendiri apabila pulang ke kampung menziarahi sanak saudara, saya melihat anak-anak saudara saya terpaku di hadapan televisyen sambil mengeluaarkan air mata apabila mungkin menghayati adegan jejaka terpaksa meninggalkan dara akibat dari tekanan keluarga.

Bagi anak-anak kecil pula, watak Doraemon, Hagemaru, Asarinchan, Ninja Boy, SpiderMan dan banyak lagi menjadi teman akrab mereka. Kajian daripada Akademi Pediatrik Amerika menyatakan kanak-kanak di negara maju menghabiskan masa selama dua jam sehari dihadapan televisyen manakala kanak-kanak di negara sedang membangun menghabiskan masa kira-kira 3 jam sehari untuk televisyen.

Di Malaysia, kita juga melihat satu fenomena baru dalam rancangan televisyen iaitu memaparkan filem atau drama yang bergenrekan seram dan tahyul. Hampir setiap hari ada sahaja drama yang dipaparkan di televisyen merupakan filem seram. Malah semasa kita menyambut sambutan Aidilfitri tahun ini pun kita disajikan dengan filem-filem seram dan tahyul seperti Gong, Waris Jari Hantu, Jangan Pandang Belakang Congkak dan Chermin (maafkan saya kiranya silap). Bagi saya filem-filem ini tidak membina pemikiran kita malah tidak keterlaluan jika saya katakan pengusaha filem-filem tersebut silap dalam melabelkan budaya dan cara hidup orang dikampung. Saya lahir dikampung, mambesar di kampung dan sekarang tinggal di kampung, jadi saya merasakan amat kecewa dengan beberapa plot dalam drama dan filem yang menggambarkan seolah-olah orang kampung buta agama. Dalam agama Islam yang mulia, Islam menegah amalan bomoh (kahin) dan bertenung nasib seperti dalam al-Quran surah al Maidah ayat 90-91 yang bermaksud:"Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya minuman keras, berjudi, menghidangkan korban untuk berhala, dan bertenung nasib adalah perbuatan keji yang termasuk dalam amalan syaitan, maka jauhilah perbuatan itu, agar kamu mendapatkan keuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran minum khmar dan berjudi itu dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan bersolat. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berhenti?" (Dari kitab Dosa-dosa besar ms 145).

Dan juga ayat 26-27 dalam surah al-Jin yang bermaksud:"Allah Subhanahu wata'ala Yang Maha Mengetahui yang ghaib, maka dia tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu, kecuali kepada Rasul yang diredhainya." (Dari kitab Dosa-dosa besar ms 338).

Haruslah kiranya para pengusaha drama dan filem mengambil kira sentimen perasaan orang Islam di dalam kampung khasnya dan Malaysia umumnya. Walaupun menerusi kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyatakan bahawa filem seram dan tahyul berjaya menarik ramai penonton (The Star N24 01/12/2010), namun perlulah mengambilkira nilai-nilai keagamaan dan jangan hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Kita kembali membicarakan isu televisyen atau TV dalam dugaan menjaga kualiti minda. TV sekarang bukan lagi menjadi alat sekadar menyebar maklumat dan hiburan. Ia telah menjadi sebahagian ahli keluarga pada masa kini. Rumah yang tidak mempunyai peti televisyen dikatakan rumah yang tidak ceria dan malap. Malah ada yang merasakan TV harus diletakkan pada sudut yang paling penting di dalam rumah. Ruang tamu suatu ketika dahulu menjadi tempat menerima tetamu kini bertukar menjadi dewan menonton seisi keluarga. Kita berbangga dengan pelbagai rancangan berunsur hiburan yang baru diperkenalkan tanpa memikirkan kesan dan natijahnya kepada anak muda remaja kita.

Malaysia kini mempunyai enam saluran TV percuma dan sebuah stesen satelit. Hampir 98%daripada 28 juta rakyat Malaysia mempunyai TV. Bagi yang berada, mereka mempunyai beberapa TV yang diletakkan diruang tamu, dapur, bilik tidur utama dan bilik anak. Teringat saya tentang dua pengalaman yang saya alami pada tahun ini dengan kisah berkaitan dengan TV. Kisah pertama berlaku sekitar bulan Julai yang lalu apabila ada satu kes disiplin berkaitan pelajar sekolah yang ditangkap berdua-duaan di dalam kelas pada waktu petang, pihak jawatankuasa disiplin terpaksa memanggil ibu dan bapa pelajar berkenaan kerana pelajar berkenaan telah ditangkap untuk kali yang ketiga. Setibanya bapa pelajar itu di dalam bilik mesyuarat, bapa pelajar terus mengeluarkan kata-kata yang kurang menyenangkan seingat saya bapanya berkata "cikgu-cikgu ni tak ada kerja lain ke selain mencari kesalahan anak orang". Kami semua diam membiarkan dia meluahkan perasaanya. Sehabis dia berbicara, pihak jawatankuasa disiplin membentangkan laporan guru ke atas anaknya, sejurus setelah itu dia berpaling dan memarahi anaknya pula dengan berkata:"tak cukup lagikah abah bagi TV sorang sebiji dalam bilik?...". Ya TV amat penting baginya kerana pada anggapannya Tv mampu membahagiakan keluarganya.

Kisah yang kedua ialah kunjungan saya ke rumah kawan saya di Kangar Perlis, kawan saya ini terkenal dengan seorang yang fanatik dengan sukan bolasepak. Beliau menyediakan satu ruangan khas dalam rumahnya yang menempatkan TV sebesar 43 inchi siap dengan menempatkan alat penghawa dingin. Malah dia akan berbangga jika ada dikalangan rakan yang berkunjung kagum dengan kecanggihan alat pandang dengarnya itu dan mengatakan dia telah berjaya memanfaatkan TV sebagai sebahagian daripada hidupnya.

Tetapi sebenarnya TV mempunyai kesan yang amat buruk terhadap perkembangan minda terutama sekali kepada anak-anak yang sedang membesar. Menurut kajian di Universiti Chicago yang dilaporkan dalam Journal of Comparative Neurology, tiga tahun pertama kehidupan kanak-kanak merupakan waktu yang penting bagi proses perkembangan otak kerana pada ketika ini otak mengalami proses 'pendawaian'. Kanak-kanak pada usia ini harus menerima pelbagai ransangan dengan bermain untuk mencapai potensi perkembanagn otaknya. Antara ransangan yang terpenting ialah mendengar orang bercakap dan mendengar orang membaca kepadanya. Inilah sesuatu nikmat perkembangan otak yang tidak akan diperolehi melalui TV. TV dilaporkan mematikan unsur permainan secara spontan dan menggunakan imaginasi yang tidak perlu sewaktu kanak-kanak melihatnya.

Menonton TV untuk kanak-kanak juga menjejas dan melambatkan pertuturan. Kajian selama 10 tahun oleh Dr Sally Ward, seorang pakar kanak-kanak terkemukan di Amerika Syarikat, menyatakan TV menjadi faktor terpenting dalam melambatkan perkembangan pertuturan dalam seorang daripada lima kanak-kanak yang mendapat masalah ini.

Di dalam buku "Growing Up On Television" karangan Kate Moody, TV menghalang otak berfikir sesuatu yang penting. Katanya "gambar yang tertera di kaca TV bertukar setiap lima atau enam saat samaada mengubah sudut kamera atau memaparkan babak baru. Dalam keadaan ini, pandawaian otak berubah dengan cepatsehingga menjejaskannya untuk memberikan pendapat yang berterusan."

TV memperuntukkan terlalu sedikit ruang untuk mengembangkan daya imaginasi. Begitulah menurut Dr Patti Valkenburg dan Dr Tom van de Voort dari Pusat Kajian Media Kanak-Kakak di Leiden Belanda setelah menjalankan kajian selama 40 tahun. Antara kandungan kajian itu ialah meneliti perbezaan dalam daya imaginasi kreatif kanak-kanak dari rumah yang mempunyai televisyen berbanding kanak-kanak dari rumah yang tidak mempunyai televisyen. Selepas menganalisis banyak penyelidikan antarabangsa, kedua-dua penyelidik itu gagal mendapatkan walau satu kajian pun yang menyokong idea bahawa TV boleh meransang kanak-kanak.

Menonton TV juga mengakibatkan seseorang itu gagal memberikan tumpuan. Kajian yang dilakukan oleh Jane Holmes Bernstein, seorang neurologis di hospital kanak-kanak Boston mendapati guru-guru melaporkan kanak-kanak dengan masalah pembelajaran ialah kanak-kanak yang gemar menonton TV. Penyelidikan yang dijalankan di Institut Kesihatan Mental Kebangsaan Amerika membuat kesimpulan, pendedahan berlebihan kepada TV menjejaskan sistem perkembangan otak dan menjejaskna individu tersebut dari memberi tumpuan.

Menonton TV juga menyebabkan seseorang kanak-kanak mahupun dewasa itu terganggu tidurnya. Satu kajian yang dijalankan di Klinik Pediatrik Gangguan Ketika Tidur di Hospital Kanak-Kanak Hasbro, Amerika Syarikat mendapati kanak-kanak yang banyak menonton TV lebih cenderung enggan masuk tidur, sukar untuk melelapkan mata atau lebih kerap terjaga. Haruslah diingat kurang tidur boleh mempengaruhi kewaspadaan dan tumpuan seseorang individu itu ketika di tempat kerja mahupun di sekolah. Ini sudah tentu akan mempengaruhi tahap pencapaian individu itu dalam kerjayanya atau dalam pencapaian akademiknya.

Sebenarnya banyak lagi kajian-kajian terkini yang membicarakan soal baik dan buruknya pengaruh TV dalam kehidupab kita. Cukup rasanya untuk saya berkongsi kajian-kajian ini dengan rakan-rakan pengunjung semoga kita akan lebih berhati-hati dengan kotak TV dirumah kita.

Wassalam...

Sumber:
1. Berita Harian, Ruangan rencana, Artikel oleh Imlan Adabi (imlanadabi@nstp.com.my) bertajuk "TV jadi ahli keluarga paling mencurigakan"
2. Kesan TV terhadap perkembangan anak anda, Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--