expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Menulis dengan penuh integriti...

Saturday, December 11, 2010

Menulis dengan penuh integriti...


Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Tuhan Penguasa langit dan bumi, tidak ada sesuatu pun yang terlepas daripada kekuasaan pentadbiran Allah di dalam alam semesta ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad, pembawa cahaya ilmu yang bersinar terang menyuluh alam buana ini serta pemusnah kegelapan yang membawa manusia ke lembah kesesatan.

Apabila saya mula berjinak-jinak dengan alam pemblogan ini atau kata lainnya "blog's world" ini, ramai rakan-rakan yang turut sama dalam sesi pembinaan blog. Hampir dua minggu lebih kami bertungkus lumus mencari kaedah untuk membina laman blog masing-masing. Banyak dugaan pada ketika itu dalam mencari rakan-rakan untuk mewujudkan kelab blog kami. Secara ikhlasnya ramai yang betindak prejudis dengan pelbagai persepsi yang kurang menyenangkan. Tapi berkat kesabaran dan ketekunan mencari ilmu, saya dan beberapa orang rakan dapat mengumpulkan beberapa individu yang berminat. Maka, ramailah pada ketika itu mempunyai laman blognya sendiri. Tapi lama kelamaan oleh kerana kesibukan masa dan kekangan tanggungjawab membina keluarga, banyak blog rakan-rakan yang tidak dapat dikemaskini. Sehingga saya menulis artikel ini, hanya 2 blog yang masih aktif iaitu blog saudara Mahfuza dan Saudara Masri.

Membina sebuah blog adalah sesuatu yang mudah, tapi sesungguhnya tugas yang lebih mencabar lagi ialah mengemaskini blog yang kita bina. Pelbagai masalah yang kita akan hadaapi seperti berhadapan dengan tiada pembaca blog kita, kekurangan ide untuk dimuatkan dalam blog kita dan lain-lain lagi masalah yang akan timbul. Tapi bagi saya, menulis blog adalah satu kaedah untuk meningkatkan kemahiran kita dalam penulisan. Saya sendiri bukanlah seorang yang pandai menulis kalau seingat saya dari zaman persekolahan lagi saya memang selalu mendapat markah yang rendah dalam penulisan. Keduanya kita haruslah memastikan tujuan kita menulis di dalam blog ini, sebagai contoh matlamat saya menulis blog adalah untuk menarik minat remaja di SMT Kuala Kangsar khususnya kepada keindahan mencintai ilmu. Justeru itu, tidak menjadi sesuatu yang bermasalah bagi saya kiranya blog saya tidak mempunyai pembaca.

Sebenarnya dalam dunia penulisan, terutama dalam bidang menulis blog soal etika dan integriti amatlah penting. Dalam penulisan blog, tidak ada siapa yang boleh menghalang atau membetulkan artikel kita, kitalah penulis, penyunting dan juga penerbitnya. Dengan kebebasan yang dimiliki inilah ramai yang memberi pandangan bahawa dunia blog adalah kebebasan mutlak dan adalah suatu medium yang terbaik untuk menyatakan apa sahaja yang disukai dan menyatakan apa sahaja yang tidak disukai.

Sebenarnya maklumat yang disampaikan oleh penulis blog amatlah rapat hubungannya dengan binaan persepsi. Persepsi boleh menyebabkan salah faham dan kesimpulan terhadap sesuatu secara tidak tepat.

Dunia penulisan blog ini sebenarnya menarik dan membuktikan kita umat Islam ialah suatu umat yang mempunyai pegangan yang kukuh dalam menilai sesuatu ilmu. Kita sebagai umat Islam telah lama disedarkan oleh rasul kita yang mulia bahawa setiap pendapat mestilah disokong dengan bukti dan asas yang bernas yang mana semuanya harus datang dari sumber yang dipercayai dan bukannya hanya pendapat penulis blog semata-mata.

Sebagai contoh, matlamat saya ialah untuk menarik minat remaja untuk cintakan ilmu sains. Sudah tentu saya akan berhadapan dengan remaja-remaja pelayar blog yang tidak mempunyai daya saring ilmu yang tinggi, maklumat-maklumat yang lemah dan tidak berasas mudah sahaja diterima bulat-bulat dan ini sudah tentu akan mengundang persepsi. Apabila persepsi tercipta, ia mula membentuk sikap, watak malah sesuatu keputusan. Justeru, apabila melihat akan ini, sudah tentu saya harus mempunyai rasa kebertanggungjawaban yang tinggi kerana apabila maklumat yang dihasilkan tidak jelas ia akan menimbulkan kerosakan dalam hubungan sesama manusia.

Di dalam al-Quran, kitab panduan sepanjang zaman hinggalah ke kemusnahan dunia nanti, Allah Subhanahu wata'ala telah memberi peringatan dalam surah al-Hujurat ayat6,7 dan 8 yang bermaksud:"Wahai orang-orang yang beriman!Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan. Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah, (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tiddak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskan dalam hati kamu dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: Perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus. (Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

Berkata Sheikh M.Abdul Athi Buhairi dalam kitabnya,

"Tafsiran ayat-ayat Yaa Ayyuhal-laziina Aamanuu:"Ini adalah seruan yang ketiga daripada seruan Ar-Rahman dalam surah yang memperkatakan mengenai adab. Allah menyeru orang yang beriman agar memeriksa berita yang datang daripada orang fasik, daripada orang yang imannya lemah, sebagai langkah berhati-hati agar tidak ditimpa musibah atau fitnah disebabkan mereka tidak tahu, di mana musibah itu akan menjadikan mereka kecewa sepanjang waktu."

Peringatan Allah itu membayangkan betapa pentingnya maklumat yang benar menjadi sandaran dalam penulisan blog. Kita perlu melihat sejarah iaitu berapa banyak fitnah yang ditimbulkan oleh orang yang berbohong, berapa banyak nyawa yang ditumpahkan serta berapa ramai sahabat yang tidak bertegur sapa disebabkan tindakan tergesa-gesa dan tidak mencari kepastian dalam pelbagai urusan.

Memberitahu perkara yang benarlah memunculkan ilmu yang tidak terdapat di dalam mana-mana tamadun selain tamadun Islam pun iaitu ilmu hadis. Salah satu ciri yang harus ada pada seorang perawi hadis adalh berkait dengan keperibadian dan akhlaknya yakni mestilah adil, seorang yang bertakwa, bermaruah, menjauhkan diri daripada perkara keji dan bida'ah dan semestinya perawi itu bukan orang yang fasik yakni banyak melakukan dosa. Melalui tradisi ilmu hadis inilah para pengkaji hadis begitu mengambil berat dalam aspek akhlak seseorang perawi hadis yang akan menjamin kebenaran dan amanahnya serta terselamat daripada perkara-perkara yang boleh mencacatkan sesuatu riwayat. Pernah berlaku dalam kisah pengumpulan hadis oleh Imam Bukhari yang mana Imam Bukhari menolak sebuah hadis yang diriwayatkan oleh sesesorang yang mana orang itu membohongi kudanya untuk minum yang mana sebenarnya orang itu hanya hendak menunggangnya. Inilah yang mengkagumkan para pengkaji sejarah tentang disiplin yang tinggi yang ada pada perawi hadis yang mana mereka begitu teliti bagi menentukan hadis itu sahih, hasan atau dhaif.

Sejak munculnya apa yang dikatakan budaya teknologi berteraskan maklumat ini, kesahihan sesuatu maklumat atau atau analisis tidak lagi dijadikan faktor penting daripada sebahagian penulis blog yang tidak bertanggungjawab. Sebarang tulisan yang membawa maksud menimbulkan fitnah dan mengelirukan pembaca, pasti akan menerima padah mengucar kacirkan ikatan ukhwah dalam komuniti. Hayatilah dan selamilah saranan Nabi Shallalahu 'alaihi wasalam dalam sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Iman Bukhari yang bermaksud:"Seorang muslim adalah siapa yang selamat (orang muslimin) daripada gangguan lisan dan tangannya."

Maka jika kita hendak berkata akan sesuatu atau menulis akan sesuatu hendaklah datang dari suatu sumber yang boleh dipercayai jika sekiranya kita tidak tahu atau ragu-ragu baiklah kiranya kita diam sahaja.

Ya Allah, Ya Tuhanku, jadikanlah aku sebagai orang yang boleh menyumbang terhadap khazanah ilmu dan janganlah aku menjadi dikalangan orang yang menyebarkan fitnah

Ya Allah, hiasilah lisan kami dengan zikir kepada-Mu, perelokkanlah kami dengan cinta kepada-Mu, serta muliakanlah kami dengan kemuliaan-Mu, Ya Rabb Al-Alamin.

Wasaalam

Sumber:
1. "Masalah persepsi pada remaja", Nurul Izzah Sidek, MEGA AGAMA, Sisipan Utusan Malaysia, 12 Ogos 2010.
2. "Tafsiran Ayat-Ayat Yaa Ayyuhal-Laziina Aamanuu", Sheikh M. Abdul Athi Buhairi, Penterjemah Nabilah Abd Jalil, Al-Hidayah Publication, ms 309-319.
3. "Sejarah Hadis:Pengaruh dari tokoh-tokoh utama dalam hadis", M. Hasbi Ash Shidieqy, Pustaka Al-Shafa, cetakan 2008.



0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--