expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Pendidikan seks dalam subjek Applied Science dan solat 5 waktu...

Friday, December 3, 2010

Pendidikan seks dalam subjek Applied Science dan solat 5 waktu...


Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah Tuhan Yang Maha Berkuasa mentadbirkan setiap sesuatu kerana dilimpahkan rahmat untuk meluangkan masa menulis satu luahan ataupun lebih tepat perkongsian maklumat yang terdapat dalam subjek Applied Science.

Saya tertarik untuk membicarakan dua isu iaitu isu dalam kurikulum pendidikan sekolah rendah dan isu soalan ahli dewan undangan negeri Perak kawasan Pasir Panjang berkenaan dengan solat lima waktu.

Pertamanya isu yang dikatakan pengenalan pendidikan seks kepada pelajar sekolah rendah kepada 500,000 murid tahun 1 pada tahun 2011. Walaupun saya tidak mengajar di sekolah rendah, namum isu ini amat menarik untuk dibicarakan dari sudut peribadi saya kerana anak saya yang sulung pada tahun hadapan akan masuk ke alam persekolahan.

Berdasarkan artikel dalam Berita Harian pada 30 November yang lepas, Kementerian Pelajaran Malaysia dibawah kenyataan Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Datu Dr Julaihi Bujang mengatakan bahawa pendedahan pendidikan seks akan diajar menerusi subjek Pendidikan Kesihatan di bawah Modul Teras Asas. Pendedahan ini akan melibatkan murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga.



Datu Dr Julaihi menambah dengan berkata, enam tunjang akan menjadi teras pengisian pendidikan seks yang akan mencakupi perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkal laku seksual serta hidup bermasyarakat dan budaya. Tambahnya lagi, pengenalan kepada perkembangan manusia akan mendedahkan murid mengenai sistem reproduktif manusia, manakala perhubungan pula menjurus kepada kasih sayang dan persahabatan. Murid turut juga didedahkan mengenai perkahwinan dan kekeluargaan yang merangkumi tanggungjawab sepanjang hayat sebagai ibu bapa.

Akhirnya sejak pelbagai kenyataan yang dibuat daripada pelbagai pihak tentang perlunya penerapan pendidikan seks di sekolah, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan subjek ini. Tetapi sebenarnya pendidikan seks di sekolah telahpun bermula sejak pelaksanaan KBSM lagi seperti yang di serapkan dalam subjek Pendidikan Islam, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Biologi dan Sains. Cumanya ramai pihak apabila berlaku isu pembuangan bayi dan amalan seks bebas yang berleluasa yang tidak dapat dibendung lagi, menyalahkan kurikulum sistem pendidikan. Memang mudah untuk menyalahkan orang tanpa menyelidiki dahulu. Sebagai contoh dalam satu kenyataan akhbar daripada Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat dalam bulan September yang lepas berkata kementeriannya akan mendesak Kementerian Pelajaran untuk melaksanakan pendidikan seks di sekolah kerana gejala pembuangan bayi yang semakin parah. Bagi saya yang dhaif ini dan sebagai guru yang mengajar subjek sains di sekolah, agak terkejut dengan kenyataan daripada seorang menteri kerana membuat kenyataan tanpa menyelidiki terlebih dahulu. Satu perkara yang perlu diingat, sekolah merupakan tempat memberi madu (peringatan dan ilmu) kepada pelajar, tetapi di luar sekolah terlalu banyak racunnya (hiburan melampau). Bagaimana mungkin madu mengalahkan racun yang banyak itu. Harapan saya adalah sepatutnya pemimpin janganlah membuat kenyataan melulu tanpa soal selidik terlebih dahulu kerana cakap anda terpakai dan begitu berharga sekali.

Sebenarnya pendidikan seks telahpun diterapkan dalam Applied Science sejak diperkenalkan pada tahun 2008. Sebagai contoh dalam buku teks Applied Science pada mukasurat 179 membicarakan tentang kaedah pencegahan kehamilan. Di dalam tajuk ini pelajar didedahkan kaedah pencegahan kehamilan dengan cara melihat kepada kitaran haid isteri. Pelajar didedahkan dengan fasa-fasa yang berlaku dalam proses kitaran haid dari hari pertama hinggalah hari ke 28. Ianya satu pendedahan yang baik kepada pelajar. Pelajar mengetahuinya tetapi pelajar mengambil ringan akan pengetahuan ini kerana sukatan kita jarang membincangkan kaitan kepentingan kitaran haid dan agama kita yang suci yakni Islam. Apa salahnya jika kita kaitkan kepentingan pengetahuan kitaran haid kepada bakal suami dan bakal isteri.

Di dalam kitab "Kifayatul Muhtadi pada menerangkan cahaya kitab Sulam Muhtadi" pada mukasurat 69 hingga 72 membincangkan kepentingan pengetahuan kitaran haid kepada suami, isteri dan anak-anak. Ia merupakan suatu perkara yang wajib kepada para wali untuk memberitahu kitaran haid kepada anak-anak perempuan mereka. Jika ini diterapkan bersama dalam pendidikan seks disekolah saya pasti kita akan dapat menangani gejala pembuangan bayi. InsyaAllah.

Gejala pembuangan bayi semakin berlelusa, berdasarkan kenyataan akhbar (The Star 02Disember 2010) oleh Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Heng Seai Kie, sebanyak 149 bayi dibuang oleh ahli keluarga mereka. 83 daripadanya mati dimakan anjing dan binatang buas manakala 66 berjaya diselamatkan.



Semoga pelaksanaan kurikulum baru ini dapat menghindarkan kita kepada budata pembuangan anak dan berjaya membendungnya. Bagi saya pengenalan kurikulum ini seawal umur 6 tahun akan menambahkan tugas ibubapa untuk menangani hujan soalan yang bakal dikemukan oleh anak-anak nanti. Haruslah kita sebagai ibu bapa bersedia untuk menerima soalan nanti.

Isu yang kedua ialah berkenaan dengan soalan ADUN Pasir Panjang dalam sidang DUN Perak berkenaan dengan statistik rakyat Muslim Perak bersolat fardhu 5 waktu sehari. Sebelum saya memulakan luahan saya, saya ingin menyatakan saya tidak berminat dengan politik dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik. Undi saya adalah hak saya sebagai rakyat Malaysia. Kita kembali kepada isu soalan ADUN Pasir Panjang tadi, pelbagai reaksi yang timbul dan jawapan yang kurang menyenangkan daripada pihak kerajaan antaranya ada yang mengatakan ADUN Pasir Panjang hanya membuang masa dengan menanyakan soalan sedemikian, soal sembahyang ini tak patut dibincangkan dalam sidang DUN kerana ini perkara remeh dan hanya melibatkan orang Islam sedangkan Perak ada orang bukan Islam dan ada yang memarahi ADUN daripada DAP yang mempertahankan ADUN Pasir Panjang itu dengan mengatakan orang bukan Islam tak usah sibuk-sibuk pasal Islam . (Kenyataan ini boleh dirujuk dalam Akhbar Berita Harian dan Sinar Harian 03 Disember 2010)

Saya melihat soalan ini adalah satu soalan yang baik kerana ada seorang pemimpin di zaman kita ini masih mahu membincangkan soal solat dalam sidang DUN. Teringat saya akan kisah di zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khatab yang mana Saidina Umar tahu siapa yang tidak sembahyang subuh di zaman pemerintahannya. Saidina Umarlah yang dikatakan pemimpin yang hebat kerana begitu mengambilberat soal solat. Pemimpin sebegini amat sukar kita temui di zaman kita.

Solat merupakan perkara pertama yang akan ditanya di akhirat nanti. Jika baik solat kita, maka mudahlah perjalanan kita di akhirat nanti. Jika buruk solat kita, maka sengsaralah perjalanan kita di sana. Sesungguhnya orang yang berjaya di dunia dan di akhirat adalah orang yang memberatkan solatnya pada setiap segala pekerjaan.

Mengikut pendapat daripada seorang ADUN yang mengikuti perbahasan itu iaitu ADUN Sungai Rapat, beliau mengatakan soal ibadat umat Islam adalah antara individu dengan Allah Subhanahu wata'ala, dan pihak kerajaan tidaklah perlu menekannya dengan lebih mendalam dan ia merupakan soal yang tidak wajar dibangkitkan. Tambahnya lagi, soal amal ibadat seperti mengerjakan solat ini, hanya Malaikat Ratib dan Atid yang boleh memberikan laporan bukannya pihak kerajaan. (Sumber Sinar Harian, 03 Disember 2010, Ruangan Sentral mukasurat PK5).

Namun jika kita melihat dari sudut ilmu dan pembangunan manusia menangai masalah sosial, solatlah jawapan yang terbaik untuk kerajaan usahakan. Solat yang dilakukan dengan pemantauan yang rapi daripada pihak kerajaan akan melahirkan rakyat yang lebih komited dengan dasar kerajaan. Malah di dalam sebuah kitab lama (Kitab Sulam Muhtadi) ada tertulis pihak pemerintah sesebuah negara Islam harus menjatuhi hukuman ke atas rakyatnya yang tidak bersolat fardhu. Begitulah pentingnya solat dalam melahirkan sebuah negeri atau negara yang berkualiti dan berminda kelas pertama. Buktinya lihatlah sejarah pemerintahan negara Islam di zaman yang lampau.

Kita selalu melihat solat sebagai aktiviti ritual semata-mata. Tapi sebenarnya solat yang dilakukan oleh kita mempunyai faedah yang lebih daripada soal ritual semata-mata. Solat merupakan satu senaman kepada minda dan kepada tubuh badan fizikal kita. Di dalam buku "The Power of Solat" karangan Syaikh Jalal Muhammad Syafi'i beliau menyatakan jika seseorang itu sejak dari kecilnya sudah melakukan solat lima waktu ,ia pasti akan terhindar dengan pelbagai panyakit fizikal seperti lemah otot dan tulang. Solat yang dilakukan juga dapat menghalang daripada seseorang itu mengalami kerosakan pada anggota tubuh bahagian bawah. Begitulah hebatnya kuasa solat pada seseorang individu Muslim. Jadi solat itu akan mencegah seseorang itu dari menjadi lemah dan sudah tentulah akan melahirkan rakyat yang berprestasi tinggi dan berminda kelas pertama.

Sebagai guru, saya sering memperingati pelajar saya agar mereka tidak lupa untuk solat fardhu kerana saya yakin dan percaya dengan solatlah mampu melahirkan pelajar yang lebih berdisiplin. Malah jika pihak pengurusan sekolah memantau aktiviti solat di sekolah, pasti sekolah itu akan berjaya melahirkan individu yang cemerlang.

Setakat ini dahulu perkongsian saya, Wasalam

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--