expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Aku cemerlang dihati...

Wednesday, March 23, 2011

Aku cemerlang dihati...


Alhamdulillah bersyukur saya kerana dapat meluangkan masa untuk berada dihadapan komputer setelah sekian jam berkhidmat untuk anak bangsa dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan Malaysia dalam bidang pendidikan. Selawat dan sejahtera kepada Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam pembawa cahaya yang menerangi dengan terang benderangnya.

Hari ini keputusan peperiksaan SPM 2010 diumumkan. SM Vokasional Kuala Kangsar berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dengan peratus lulus sebanyak 95.4%. Dengarnya dengan peratus itu membawa SM Vokasional Kuala Kangsar menduduki tangga ke-2 antara 18 buah sekolah menengah di daerah Kuala Kangsar. Bagi subjek Applied Science, keputusan meningkat dengan memberansangkan apabila semua calon lulus dengan gred purata matapelajaran 3.533 berbanding tahun 2009 dengan gred purata 4.906. Tahniah kepada rakan-rakan dalam panitia yang bertungkus lumus menghasilkan keputusan ini.

Tentu rakan-rakan pengunjung terfikir mengapa saya memilih tajuk 'aku cemerlang dihati'. Sebenar suatu peristiwa menarik berlaku ke atas diri saya pada hari ini yang boleh pada permulaannya menusuk hati saya tapi kemudiannya saya merasakan itulah suatu perkara biasa apabila kita menjawat jawatan guru cemerlang. Kisahnya bermula apabila saya bersama seorang rakan membuat analisis keputusan matapelajaran Applied Science di makmal komputer. Ketika sedang khusyuk membuat analisa, seorang rakan menerpa masuk ke dalam dan memberikan komen tentang keputusan serta minta disediakan analisa untuk matapelajaran sains teras. Rakan yang baru masuk ini juga mengajar dua kelas Applied Science. Ketika rakan ini sibuk bertanyakan keputusan sains teras, saya memuji kepadanya dengan mengatakan tahniah kerana gred matapelajaran untuk dua kelas yang diajarnya di bawah 3.00. Pujian saya disambut dengan kata-kata "Aku guru cemerlang di hati, hang guru cemerlang nak menunjuk!". Terkedu saya mendengar kata-kata itu dan terdiam saya tidak mampu untuk mengukirkan kata-kata. Terasa begitu pedih seperti terkena tikaman pedang di hati ini. Memang saya akui berdasarkan keputusan peperiksaan gred purata untuk kelas saya jauh ketinggalan dengan 4.00 purata dari dua kelas. Jika perbandingan gred ini menjadi ukuran terpenting saya akui memang saya lemah untuk menaikkan gred purata mata pelajaran.

Di dalam situasi yang saya hadapi di atas, ia membuatkan saya berfikir seterusnya membuat sedikit revisi melalui buku "Watak-watak dalam organisasi" hasil susunan Cikgu Razali Saaran. Watak rakan yang memberikan kata-kata tajam itu mirip sekali dengan kerakter 23 dalam buku Cikgu Razali. Sikapnya seolah-olah tidak berpuas hati dengan saya menimbulkan rasa kurang senang kepada saya. Ketika itu saya mula terfikir mungkin salah saya dalam memulakan komunikasi justeru itu mengakibatkan kata-kata tajam itu keluar dari mulutnya.

Ketika memandu untuk pulang dari sekolah petang tadi setelah mengharungi satu hari yang panjang kerana hari ini ada aktiviti kokurikulum, saya terfikir mungkin rakan saya tadi bergurau sahaja. Kadang-kadang kita tidak bermaksud untuk berkata sehinggakan hari rakan terguris, tapi kerana lidah menyebabkan kita menjadi binasa. Lantaran itu teringat akan saya kata-kata Sheikh Idris al-Marbawi dalam kitabnya yang mahsyur 'Bahrul Mazi' yang berbunyi, "Ketahuilah kiranya ya saudaraku, lidah itu boleh dikatakan dia seperti senjata yang tajam, bahkan ia lebih tajam daripada senjata. Maka apabila diguna akan dia nescaya memberi bekas ia sebagaimana memberi bekas senjata, kerana tiap-tiap senjata itu bila dipakai akan dia seperti pedang diparangkan, dan seperti senapang ditembakkan, dan seperti busar dipanahkan nescaya melukai ia, begitu juga mulut apabila dilepas akan dia mencakap mencela dan mengumpat berkata-kata dan meleter yang tiada faedahnya nescaya memberi bekas ia ke dalam hati orang, dan boleh menjadi kepada fitnah dan berbunuh-bunuh dengan sebab lidah itu." (Bahrul Mazi Jilid 16 ms 201). Kata-kata Sheikh Idris ini menjadi dorongan untuk saya membiarkan kata-kata rakan saya tadi sebagai angin yang berlalu pergi. Biasalah manusia sudah lumrah mempunyai lidah untuk bercakap.

Memegang sesuatu jawatan yang disebut-sebut orang membuatkan ramai orang akan prejudis kepada kita. Kita kadang-kadang terarah untuk beremosi. Tapi jika kita letakkan kesabaran di tempat yang sepatutnya, InsyaAllah kita akan berjaya mengatasi sikap-sikap orang-orang yang prejudis.

Kepada Allah Tuhan yang memiliki segalanya dipohon agar diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan dalam menempuh kerjaya sebagai seorang guru. Wassalam...

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--