Sunday, March 27, 2011

Perkara mungkar jangan disensasikan...


Alhamdulillah bersyukur saya kepada Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan limpah kurnianya dapat meluangkan masa pada pagi ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar semua muslimin di seluruh dunia, Nabi Muhammad pembawa cahaya seluruh alam.

Jika kita seorang pembaca suratkhabar yang setia, tentu sejak dua minggu lalu kita akan membaca kisah tentang paparan video tidak senonoh oleh tiga orang bekas pemimpin yang pernah disanjung. Kisah ini begitu mendominasi suratkhabar arus perdana sehinggakan berita seperti pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2010 menjadi sebagai berita dengan tulisan kecil. Apakah ini trend maklumat mendidik rakyat yang cuba dibentangkan oleh media massa arus perdana ataupun media massa sudah kekeringan isu yang lebih baik daripada mensensasikan perkara mungkar?

Kecenderungan saya untuk meluahkan rasa yang terbuku di dalam hati tentang perkara ini kerana seorang pelajar saya bertanya kepada saya ketika sesi soal jawab selepas tamat sesi pembelajaran dan pengajaran. Kebetulan tajuk yang saya bincangkan bersama pelajar ialah cara-cara mencegah kehamilan, lalu pelajar bertanya ,"cikgu, cerita dalam paper kata ahli politik tu buat semua depan dengan belakang kira macam mana?dia ada tak guna kaedah pencegahan kehamilan?". Terkejut saya mendengar soalan itu. Saya pun menjawab itu dunia politik yang penuh dengan kedustaan dan jangan kita sensasikan perkara-perkaran mungkar.

Pendidikan adalah inti yang paling penting dalam membangunkan pemikiran dan jiwa masyarakat ke arah pembentukan masyarakat yang baik dan seterusnya negara yang baik. Seharusnya kita sentiasa peka proses pendidikan bukan sahaja terhad di bilik darjah, dewan kuliah atau buku-buku, tetapi juga ianya akan disampaikan secara tidak lansung melalui artikel-artikel di akhbar, rancangan di radio dan televisyen dan juga media elektronik alternatif yang lain. Bahkan mengikut kajian, pendidikan secara tidak lansung yang digambarkan oleh media elektronik akan lebih diingati dan memberikan kesan kepada masyarakat.

Maka rentetan dari pendidikan secara tidak lansung inilah, saban hari kita melihat pelbagai bentuk maksiat yang kadang-kadang tidak terlintas lansung pada fikiran kita. Malah lebih menyedihkan apabila golongan yang akan menerajui negara satu hari nanti merupakan golongan majoriti melakukan maksiat pelbagai bentuk ini. Apakah saya suatu hari nanti akan berhadapan dengan karenah pemimpin yang lemah dan buruk dari segi sahasiahnya?

Golongan agamawan sering menasihati agar media-media perdana menyediakan program-program yang memberikan bual bicara terpuji, berakhlak dan beretika. Seharusnya program seperti di atas dibanyakkan dalam media elektronik, namun realitinya manusia sering mahu memilih yang buruk. Justeru itu tidak hairanlah peningkatan kes-kes maksiat di serata negara.


Mengulang-ulang kisah yang tidak bermoral, dan memberikan kedudukan penting dengan secara tidak sengaja menjadikannya sejarah yang bakal diingati akan akhirnya menjadi perkara yang masyhur. Hal ini akan membawa akibat timbulnya pemikiran dan perkara yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak. Sebuah hadis Rasulullah Shallalahu 'alaihi wasalam (s.a.w) dalam Shahih Muslim, bersumber daripada Nawwas bin Sam'an Al Ansari:"Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai soal kebajikan dan dosa. Baginda bersabda; Kebajikan adalah akhlak yang baik, dan dosa adalah sesuatu yang merisaukan hatimu di mana kamu merasa tidak suka apabila hal itu sampai dilihat oleh orang lain.".
Apakah kita perlu untuk memberitahu semua rakyat di Malaysia tentang perkara-perkara mungkar yang dilakukan oleh orang-orang yang terkenal?

Sejarah adalah ilmu yang penting dalam peradaban manusia. menurut Ibnu Khaldun dalam bukunya al-Muqadimah, pada hakikatnya sejarah dalam kata lain mengandungi penelitian dan usaha mencari kebenaran (tahqiq), penjelasan yang halus dan tentang sebab dan asal benda; pengertian dan pengetahuan tentang wujud dan maujud, pengetahuan tentang bagaimana dan sebabnya terjadi peristiwa-peristiwa. Dengan demikian sejarah benar-benar berakar tunjang kepada pemikiran. Dan ianya dianggap sebagai satu cabang daripada falsafah. Apabila perkara mungkar seperti skandal seks itu diangkat untuk diingati maka ia secara sengaja atau tidak telah melakukan sedikit tindakan untuk menjadikannay sebagai sejarah.

Secara jujurnya, saya seorang guru biasa yang marhaen memandang jelek tindakan yang dilakukan oleh ahli-ahli politik demi kelansungan pengaruh mereka. Apabila berita-berita sebegini mendominasi pemikiran, seharusnya senantiasa kita menyemak pesanan daripada al-Quran apa tindakan yang harus kita ambil. Sebagai contoh salah satu pesanan yang terdapat dalam surat al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud:"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seseorang yang fasik dengan membawa sesuatu berita, maka selidikilah terlebih dahulu, agar kamu tidak menimpakan sesuatu musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya (secara jahil), maka dengan sebab itu jadilah kamu di atas perbuatan kamu itu orang-orang yang menyesal."

Wasalal...

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--