Wednesday, April 20, 2011

Bersedia untuk berseorangan....


Alhamdulillah dapat saya meluangkan masa setelah hampir sebulan tiada dapat memuatkan entri yang terbaru.

Salah satu risiko yang terpaksa ditanggung oleh seseorang apabila dilantik memegang jawatan tertentu dalam kerajaan dalam konteks sekolah apabila dilantik sebagai pengetua atau guru cemerlang ialah kesediaan untuk berseorangan atau "prepared to be alone".

Ini belum termasuk risiko lain yang sudah diterima umum seperti bekerja lebih masa, menggembleng dan menguruskan berbagai-bagai ragam manusia, memegang amanah menguruskan perbelanjaan wang kerajaan serta bersedia menangkis segala kecaman dan cemuhan jika sesuatu yang tidak diduga berlaku contohnya apabila prestasi peperiksaan merosot.

Dengan pertambahan bebanan tugas demikian sudah tentu terpaksa bersedia bekerja lebih masa, yang kadang-kadang memendekkan masa dan waktu bersama keluarga. Dimana pertambahan tugasnya jika kita sebenarnya mempunyai ramai rakan-rakan yang membantu?

Ini terjadi kerana guru cemerlang selalunya adalah individu yang begitu popular disekolah. Semua orang kalau boleh nak memberikan kerja kepada guru cemerlang. Sebab? Sebabnya 'kan cikgu ni guru cemerlang, mesti cikgu boleh buat punya'

Lama kelamaan secara sedar atau tidak akan terbina tembok antara kita dengan rakan-rakan lain. Secara sedar atau tidak kita akan berasa terasing. Kalau dulu sama-sama boleh berbincang dibilik guru, tidaklah menjadi sesuatu yang dikisahkan. Hendak minum dan berbual di kantin bersama rakan-rakan guru, ini pun orang tak kisah.

Kini, kita menjadi model kepada rakan-rakan guru. Tindak-tanduk dan tingkah laku perlu dikawal, takut-takut nanti kita akan dicemuh apabila kita secara tidak sengaja melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya. Cakap tak serupa bikin. Dulu, kalau ada masalah, tidak kira peribadi atau kerjaya, boleh juga berbincang dengan rakan semeja. Kini semua itu mungkin akan menjadi tidak semudah dahulu. Pernah sekali cuba meluahkan sesuatu untuk berbincang tentang kaedah pembelajaran dan pengajaran dalam kelas, alih-alih ayat yang sama keluar dari rakan semeja dengan katanya "yang tu pun GC nak tanya, hang kan cemerlang".

Tapi yang jelas jika kita berjaya mengatasinya dengan cara yang hikmah kita akan merasakan bahawa kita hanya berseorangan tetapi kita tidak akan kesunyian!...

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--