expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Panahan membelah api Greek...

Wednesday, June 1, 2011

Panahan membelah api Greek...


Alhamdulillah bersyukur saya kerana dengan limpah kurnianya dan rahmatNya saya dapat meluangkan masa untuk memuatkan entri di dalam blog ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar semua kaum muslimin seluruh dunia, Nabi Muhammad Shallallahu alaihi wasalam pembawa rahmat dan cahaya ilmu pemusnah kegelapan.

Sesungguhnya ummah ini akan sentiasa dalam kerugian jika tidak selalu melihat akan al-Quran, kerana al-Quran itu mengandungi pelbagai tentang segala sesuatu yang tidak kita ketahui. Sebagai contoh kisah bagaimana kaum-kaum terdahulu dimusnahkan kerana kedegilan mereka. Bagaimana mungkin kita mengetahui hal keadaan itu jika tidak dikhabarkan oleh Allah Subhanahu wata'ala di dalam al-Quran. Sedangkan jarak antara umat Nabi Muhammad dan kaum-kaum terdahulu amat jauh sekali. Itulah antara kehebatan al-Quran yang sering kita lupai.

Agak lama saya tidak mengulas tentang buku yang saya baca rasa-rasanya hampir 6 bulan. Bukannya tidak membaca tapi kekangan masa untuk mengarang dan mensinopsiskan buku menyebabkan saya tidak mampu mengulas di dalam blog ini.

Sebelum saya ceritakan sedikit ringkasan tentang buku yang saya baca pada bulan lepas, saya ingin mengucapkan sejuta terima kasih kepada Ustaz Sahrulazmi Sidek kerana sebuah buku yang penuh dengan cerita sejarah peluasan kuasa dan jajahan Islam pada zaman kerajaan bani Umayyah atau ebih tepat lagi kegiatan peluasan kuasa di Lautan Mediteranean.

Ketika asyik membaca buku yang bertajuk "Armada Laut Umawiyyah, Panahan yang membelah api Greek" saya tidak sedar yang saya hanya mengambil masa 4 hari sahaja untuk menghabiskan.

Ketika saya menulis artikel ini, saya baru teringat yang saya memang suka membaca buku-buku tentang sejarah Islam. Jadi tenanglah kembali akan kehairanan saya kerana cepatnya menghabiskan buku itu.

Buku yang mencerita sejarah peluasan kuasa Islam di Lautan Mediteranean ini sebenarnya merupakan tesis penulis semasa penulis melanjutkan pengajiannya di peringkat sarjana di Universiti tempatan. Buku ini telah dipermudahkan bahasanya untuk orang awam oleh penulis dan dengan bantuan penerbit mungkin. Kita selalu dihidangkan dengan jalan peluasan kuasa jajahan Islam melalui jalan darat tapi antara kelainan buku ini ialah menceritakan peluasan kuasa di lautan dengan pembinaan kekuatan armada laut sejak bermula dari zaman khalifah Islam yang ketiga Saidina Uthman Affan dengan kebijaksanaan politik Saidina Mu'awiyah bin Abi Sufyan.

Apabila membaca sejarah Islam kita kena dan paksakan diri kita untuk membersihkan hati kita akan kisah yang akan kita baca. Kerana di zaman kita ini terlalu banyak serangan daripada pihak yang kurang senang dengan agama yang suci ini. Sebagai contoh mungkin ada persepsi buruk apabila mendengar nama Mu'awiyah bin Abi Sufyan tapi bersihkan hati kita, InsyaAllah kita akan mendapat sesuatu yang mungkin kita tidak sangka-sangka.

Nabi Muhammad sepanjang sejarah hidupnya tidak pernah berperang atau menyebarkan dakwah Islam melalui jalan laut. Namun Rasulullah pernah diisyaratkan oleh Allah bahawa usaha itu pasti berlaku selepas hayatnya. Melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Haram yang menceritakan Rasulullah ketika terjaga daripada qailullah, menceritakan mimpi yang dialami baginda yang baginda melihat umatnya belayar di Laut Hijau bagai raja yang duduk di singgahsana. Apa yang dilihat oleh Rasulullah dalam mimpinya pasti benar dan telahpun berlaku di zaman kerajaan Umayyah.

Buku ini terbahagi kepada tujuh bahagian yang dimulakan dengan sejarah usaha penyebaran Islam diikuti memahami keadaan Laut Mediteranean dengan lebih jelas antaranya keistimewaan yang tiada ombak dan tiada pasang surut. Penekanan turut diberi kepada kesungguhan khalifah-khalifah, panglima-panglima dan gabenor-gabenor dari Bani Umayyah melakukan usaha peluasan tanah jajahan Islam. Malah sepanjang tempoh 20 tahun pemerintahan khalifah Mu'awiyah bin Abi Sufyan beliau pernah dua kali menggugat pusat pemerintahan kerajaan Byzantine di Constantinople (dalam bahasa arab Qastantiniyyah). Malah saya sendiri mendapat ilmu baru dengan mengetahui sejarah peperangan yang menggugat kekuasaan Rom Timur di Constantinople.

Bagi saya, buku ini harus dimiliki oleh semua pencinta sejarah Islam sebagai rujukan untuk menambahkan ilmu tentang sejarah Islam di dalam dada.

Sekian...

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--