Monday, October 5, 2009

Kanak-kanak Indigo...


Catatan sempena hari ulangtahun pertama blog "Applied Science at SMTKK"

"Otak Adi seperti kereta Ferrari, tetapi mereka mengajar seolah-olah Adi seperti kereta Kancil"
Adi Putra,10 tahun, wawancara Buletin Utama 2005


Di Indonesia pada tahun 2007, gadis cilik bernama Anissa, 5 tahun, mampu berbicara bahasa lain selain bahasa Indonesia seperti bahasa Inggeris, Arab, Belanda.

Di Afrika pada tahun 2008, Sheikh Sharifuddin, 5 tahun, mengislamkan beribu-ribu orang dalam satu ceramah agama dan dapat bertutur dalam lima bahasa iaitu Swahili, Arab, Inggeris, Perancis dan Itali.

Siapakah kanak-kanak yang istimewa ini? Dan bagaimanakah mereka muncul?

Fenomena kanak-kanak istimewa ini atau kanak-kanak indigo masih agak asing di Malaysia walaupun sudah lama diperdebatkan di Barat. Selain Barat, klinik dan sekolah khas yang menempatkan kanak-kanak indigo sudah diwujudkan di Indonesia dan Singapura.
Memang istilah kanak-kanak indigo sudah lama diperkenalkan. Istilah indigo mula-mula diperkenalkan pada tahun 1982 melalui buku Understanding Your Life Through Color tulisan Nancy Ann Tappe (Sesetengah berpendapat Edgar Cayce terlebih dahulu memperkenalkan istilah kanak-kanak indigo). Dalam buku Tappe, penulis mendakwa dirinya mempunyai kuasa psikik dan kelebihan melihat aura warna orang lain mendapati banyak kanak-kanak lahir dengan aura "indigo" pada tahun 1960-an. Dalam tulisan yang terkini oleh Savannah Thomas Arrigo di www.todayslocalnews.com pada tahun 2006, beliau menyatakan kira-kira 97% kanak-kanak di bawah 10 tahun adalah indigo, 70% individu yang berumur 15 tahun sehingga 25 tahun merupakan indigo, dan 40% orang dewasa berusia 25 hingga 38 tahun dikurniakan bakat indigo. Tappe juga menyatakan bahawa pada masa akan datang, kelahiran anak-anak indigo sudah menjadi situasi biasa.

Indigo berasal daripada bahasa Sepanyol yang bermaksud nila. Indigo yang banyak difahami ialah warna biru tua atau lebih tepat bermaksud spektrum warna pelangi antara ungu dengan putih. Warna ini berada diturutan keenam dalam spektrum warna pelangi ataupun deretan vertikal cakra (dari atas ke bawah). Dalam bahasa Sanskrit, warna indigo disebut "Cakra Ajna" yang terletak di dahi, iaitu tengah-tengah di antara dua mata. Menurut Tappe, warna itu boleh dilihat dengan "Kirlian Photography" (ciptaan Seymon Kirlian pada tahun 1939) ataupun dengan menggunakan alat teknologi pembaca aura yang dikenal sebagai "Aura Video Station", (AVS- ciptaan Johannes R. Fisslinger pada tahun 1997).

Namun demikian, dalam konteks catatan ini, "indigo" bermaksud kanak-kanak yang menonjolkan persepsi luar deria (ESP-Extrasensory perception) atau keupayaan yang tidak dapat dijelaskan dari segi saintifik dan aqliah. Kanak-kanak yang dikurniai kelebihan indigo ini biasanya mempunyai deria sensitif yang tinggi, kepekaan yang luar biasa dan pemikiran yang melangkau usia sebenarnya. Selain itu, kanak-kanak indigo berkebolehan dan mengongsi perasaan atau pengalaman orang lain (empati) dan mudah menterjemahkan sebarang keadaan yang berkaitan dengan misteri, spiritual,paranormal dan ghaib. Dalam kata lain, kanak-kanak indigo juga dikenali sebagai "Children of the Sun", "Millenium Children", "Highly Spiritual Children", "The Superphysic Children", dan "Blue Children" mempunyai kesedaran yang melebihi umur mereka.

Adalah tidak terlalu sukar untuk mengenali kanak-kanak indigo ini. Mereka dapat dikesan berdasarkan aura warna lain dan beberapa sifat lain. Dalam buku The Care and Feeding of Indigo Children, Jan Tobler menyatakan 10 ciri kanak-kanak indigo, iaitu:
1. Mereka datang ke dunia dengan rasa ingin berbakti
2. Mereka mempunyai perasaan untuk menghayati hak kewujudannya di dunia ini, tetapi hairan sekiranya hak kewujudan mereka itu dinafikan haknya.
3. Siapa dirinya bukan isu utama kerana mereka akan memaklumkan kepada ibu bapa berkenaan dirinya yang sebenar.
4. Sukar menerima peraturan yang ketat yang tidak munasabah.
5. Tidak suka melakukan sesetengah perbuatan seperti beratur menunggu giliran
6. Tidak gemar melakukan ritual atau perbuatan yang sudah ditetapkan aturannya tanpa memerlukan pemikiran yang kreatif.
7. Sering menemui kaedah yang lebih baik semasa melakukan sesuatu sama ada di rumah ataupun di sekolah sehingga menimbulkan situasi bukan konformis dalam sistem yang sedia ada.
8. Nampak seperti antisosial kecuali dalam kalangan orang yang sama sepertinya.
9. Tidak memberi tindak balas kepada peraturan-peraturan yang terlalu mengongkong
10. Tidak malu meminta apa-apa yang dimahukan.

Mungkin sesetengah orang tidak dapat tahan menghadapi kanak-kanak yang dikatakan terlalu "mengada-ngada" itu. Pakar atau doktor pun sukar mengesan keistimewaan indigo pada seorang kanak-kanak. Paling tidak pun, pakar atau doktor akan menyatakan anak-anak yang "pelik" itu sebagai penghidap ADD, ADHD, disleksia ataupun autisme lalu diberikan pil-pil yang boleh merosakkan keupayaan indigo mereka.

Dalam menghadapi kanak-kanak indigo, pendidikan yang teratur dan tersusun perlu dititikberatkan. Kata Faisal Tehrani (penulis novel tentang kanak-kanak indigo), "Saya tidak pernah menemui kanak-kanak indigo di Malaysia. Kebanyakan kanak-kanak indigo tidak terdedah kepada sebarang radiasi seperti televisyen, telefon dan komputer. Semua alat itu didapati boleh mengurangkan "kuasa" indigo kanak-kanak itu. Saya pernah menemui kanak-kanak indigo di Indonesia yang berada di kawasan kampung yang dikelilingi tumbuh-tumbuhan semulajadi."

Dalam masa yang sama, kanak-kanak indigo perlu diberikan pendidikan formal supaya mereka dapat membumikan "ilmu langitnya" demi kebaikan manusia. Hal ini penting bagi mengelakkan kanak-kanak itu dieksploitasi oleh ibu bapa menjadi "dukun" atau "bomoh". Di Indonesia, banyak kanak-kanak indigo digunakan dan dijadikan tempat rujukan untuk mendapat nombor-nombor ekor untuk kepentingan peribadi ibu bapanya. Disebabkan itulah, pemerintah Indonesia menubuhkan sebuah sekolah yang dikhaskan untuk kanak-kanak indigo, iaitu Direktorat Pendidikan Luar Biasa di Jakarta. Sekolah ini berbeza dari sekolah biasa kerana Direktorat Pendidikan Luar Biasa menangani kanak-kanak yang luar biasa atau kanak-kanak yang mempunyai kelebihan khusus berdasarkan silibus dan kaedah pembelajaran yang amat teliti.

Di Indonesia juga, terdapat komuniti yang menghimpunkan kanak-kanak indigo yang dikenal sebagai Komunitas dan Pusat Studi Indigo Indonesia (KPSII). Selain menjadi medan bertukar-tukar fikiran antara kanak-kanak indigo, komuniti itu menjalankan aktiviti seperti diskusi dan kaunseling bagi semua yang memiliki indigo sama ada kanak-kanak, orang tua ataupun ibu bapa yang memiliki anak indigo sebagai wadah penyebaran maklumat dan khidmat perundingan. Sehingga tahun 2010, pusat ini menyasarkan 5797 ahli indigo menyertai KPSII.

Di sana juag kaedah menangani kanak-kanak indigo sudah mara ke hadapan. Begitu juga Singapura yang sudah melatih kanak-kanak indigo menjadi pewaris pemimpin masa hadapan. Malaysia agak ketinggalan dalam menangani kanak-kanak indigo ini. Rata-rata peradigma pemikiran orang Malaysia menganggap kanak-kanak indigo lahir daripada keturunan syirik atau sihir ataupun menganggap kanak-kanak itu jelmaan syaitan atau jin.

Dengan berdasarkan pemikiran sebegini, kerajaan Malaysia masih berkira-kira mahu mewujudkan sebuah institusi khas untuk kanak-kanak indigo di Malaysia. Adakah sistem pendidikan kita mampu melayan anak-anak indigo? atau Adakah kanak-kanak berotak "Ferrari" harus dibiarkan mengikuti pendidikan formal biasa yang perlahan seperti "Kancil" baginya?

Di Malaysia, kita hanya mampu melihat dan berdoa kepada Allah SWT agar kanak-kanak indigo akan mendapat pendidikan yang sewajarnya dan nasib mereka terbela....

Wassalam...sekadar berkongsi maklumat...

1 comments:

Biskut Kering on January 15, 2010 at 3:19 AM said...

nice article..

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--