Monday, November 16, 2009

AIDIL ADHA


Lambang KORBAN CINTA dan KASIH SAYANG

Alhamdulillah, bersyukur saya kepada Allah SWT kerana dilimpahkan kesenangan dan kelapangan untuk berada di hadapan komputer dan menulis catatan terbaru dalam blog ini. InsyaAllah, jika dipanjangkan umur pada 27 November ini, kita akan bersama-sama merayakan sambutan Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji.

Ketika semakin hampir untuk merayakan Hari Raya Aidil Adha, memori umat Islam seluruh dunia akan tertumpu kepada pengorbanan Nabi Ibrahim AS serta anaknya Nabi Ismail AS. Sebagaimana yang terungkap dalam sejarah, Nabi Ismail AS lahir daripada isteri Nabi Ibrahim AS yang bernama Siti Hajar al-Qibtiyah, berketurunan Mesir. Ketika itu usia Nabi Ibrahim sudah mencecah 86 tahun. Memandangkan telah sekian lama Nabi Ibrahim menunggu-nunggu kelahiran cahaya mata, maka dengan kelahiran Nabi Ismail AS, kasih sayang baginda tertumpu sepenuhnya terhadap anaknya itu. Namun atas kehendak Allah SWT, Nabi Ibrahim telah diuji untuk berpisah dengan anak dan isterinya. Baginda diperintah Allah SWT membawa anaknya Ismail yang masih kecil dan masih menyusu itu berserta isterinya berhijrah dari Palestin menuju ke Makkah yang ketika itu begitu tandus dan tiada seorang pun manusia menetap di sana.

Tinggallah Ismail AS dan ibunya Hajar dengan hanya berbekalkan sekantung kurma dan sekantung air yang disediakan oleh Nabi Ibrahim. Sebelum Nabi Ibrahim pergi meninggalkan anak dan isterinya, berkatalah Hajar pada suaminya:"Wahai Ibrahim, mengapa anda tinggalkan kami berdua di negeri yang tandus dan tanpa teman seorang pun?" Nabi Ibrahim AS tidak menoleh dan tidak pula menjawab. Hajar terus mengekori dan mengulangi pertanyaan itu sebanyak tiga kali, namun Nabi Ibrahim AS tetap tidak bersuara. "Apakah Allah menyuruhmu berbuat demikian", tanya Hajar. "Ya", jawab Nabi Ibrahim AS singkat. "Jikalau begitu, kami yakin bahawa Allah tidak akan membiarkan kami berdua menderita.", tegas Hajar. Kemudian Nabi Ibrahim bergegas meninggalkan mereka berdua. Hajar mendidik anaknya Ismail hingga akhirnya baginda menjadi seorang manusia yang bijak dan sangat penyabar.

Pada suatu ketika apabila Nabi Ibrahim pulang untuk menjenguk anak dan isterinya, Allah SWT sekali lagi telah memerintahkan baginda dengan satu perintah yang amat berat iaitu perintah agar Nabi Ibrahim menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail AS. Dalam al-Quran disebutkan tentang hal ini sebagaimana ayat yang bermaksud:"Lalu Kami berikan kepadanya (Ibrahim) berita yang menggembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata:"Wahai anak kesayanganku!Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab:"Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu. InsyaAllah ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar." (as-Saffat:101-102)

Seterusnya disebutkan lagi dalam al-Quran yang bermaksud:"Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu, telah menjalankan perintah Kami). Serta Kami menyeru:"Wahai Ibrahim! Engkau telah meyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu.". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah ujian yang nyata; Dan Kami (Allah) tebus anak itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar." (as-Saffat:103-107)

Demikianlah pengorbanan yang telah dibuat oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail AS yang sanggup berkorban demi menjunjung perintah Allah SWT. Tidak terlihat pada sikap mereka sebarang keraguan atau keberatan. Cinta kasih mereka kepada Allah SWT tiada tolok bandingnya sehinggakan masing-masing sanggup berpisah dan bercerai nyawa. Sebab itulah Nabi Ibrahim AS dideri jolokan Khalilullah iaitu kekasih Allah.

Pengajaran Ibadah Korban

Sesungguhnya keikhlasan dalam pengorbanan menuntut kita menghayatu kisah teladan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS seperti yang disebutkan dalam al-Quran, Firman Allah yang bermaksud:"Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim AS dan pengikut-pengikutnya, contoh ikutan yang baik",...(al-Mumtahanah:4)

Pengorbanan mereka menjadi titik tolak bermulanya sejarah ibadah korban yang dilakukan oleh umat Islam setiap kali tibanya Aidil Adha. Ia lambang pengorbanan antara hamba dan Tuhannya.

Hukum melakukannya adalah sunat mu'akkad (sangat dituntut) dan ia merupakan salah satu bentuk ubudiah atau perhambaan diri seorang hamba kepada Allah SWT. Menurut ulama fiqh, ibadah penyembelihan haiwan korban merupakan amalan yang paling utama pada Hari Raya Aidil Adha. Amalan ini dimaksdudkan sebagai salah satu bentuk kesyukuran kepada Allah SWT di atas segala kurniaan yang diberikan, menghapuskan segala dosa yang dilakukan disamping memberi kesempatan kepada sanak saudara dan pada tetangga menikmati daging korban yang diagih-agihkan. Firman Allah SWT yang maksudnya:"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu."...(al-Hajj:37)

Menyedari betapa ikhlasnya pengorbanan Nabi Ibrahim AS ketika melakukan perintah Allah SWT dan betapa mulianya Nabi Ismail AS yang rela hati mengorbankan dirinya untuk disembelih oleh ayahandanya yang tercinta, maka begitula hendaklah kita sebagai umat Islam mencontohinya dalam melakukan ibadah korban. Ketulusan cinta Nabi Ibrahim AS menerima perintah untuk menyembelih anak kesayangannya Ismail, anak yang ditunggu-tunggu kelahirannya sejak sekian lama sampai ia mencecah usia tua serta keperibadian Nabi Ismail AS yang benar-benar memahami perintah Allah bahawa perintah itu harus segera dilaksanakan tanpa ditunda-tunda harus disemai dalam sanubari umat Islam yang sepatutnya berserah diri dalam penuh kesabaran dalam mengharungi setiap ujian Allah. Bahkan inilah yang melambangkan kepasrahan kita terhadap Allah tanpa sedikitpun merasa takut mahupun kecewa melainkan menerimanya secara lansung dan lapang dada.

Hakikat 'korban' adalah merupakan salah satu ujian daripada Allah SWT yang denganya setiap muslim dapat mengukur sejauh mana keimanan dan ketaatannya kepada perintah Allah. Sesungguhnya Allah telah berjanji bahawa mereka yang sanggup berkorban kerana-Nya akan diberi limpahan pahala yang besar disisi-Nya. Dengan itu berbahagialah orang-orang yang berkorban dan mudah-mudahan akan termasuk di kalangan orang-orang yang berbuat kebaikan.

Sumber rujukann:
1. Panduan melaksanakan ibadah korban dan akikah, Abdullah, Perniagaan JahaBersa, 2003
2. Majalah Cahaya, JAKIM, Disember 2006
3. Majalah Pendidik, JAKIM, Nov/Dis 2007

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--