Saturday, November 28, 2009

Kimia - ilmu dari al-Quran


Semasa zaman kegemilangan tamadun Islam pelbagai ilmu yang amat berguna kepada manusia telah muncul. Munculnya ilmu-ilmu yang berteraskan keyakinan dan iman yang mendalam kepada Pencipta yang Maha Agung menyebabkan kesuburan dan keseimbangan antara kehidupan manusia dan alam tercapai. Alam persekitaran melihat kebaikan yang dilakukan ke atas mereka lantaran pembangungan yang mengamalkan konsep simbiosis. Imaginasi ulama-ulama Islam pada zaman tersebut melangkaui batas pemikiran manusia seterusnya muncul ilmu yang amat berfaedah kepada manusia sejagat. Antara ilmu penting yang wujud pada zaman tersebut dan masih diiktiraf sehingga kini ialah ilmu kimia.

Dalam al-Qur'an, terdapat beberapa ayat yang menegaskan kepentingan melihat sesuatu kejadian antaranya firman Allah dalam;

Surah at-Thariq ayat 5 :"Maka hendaklah manusia memerhatikan daripada apakah mereka diciptakan."

Surah as-Shod ayat 7:"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat. Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia daripada tanah."

Surah Yaasin ayat 80:"Iaitu Tuhan yang menjadikan untukmu dari api dari kayu yang hijau, maka tiba-tiba kamu nyalakan (api) daripada kayu itu."

Ketiga-tiga ayat di atas adalah sebahagian daripada ayat-ayat al-Qur'an yang menerangkan atau memberi isyarat tentang proses kejadian yang perlu dikaji oleh manusia. Melalui kefahaman yang tinggi terhadap ayat al-Qur'an, ulama-ulama Islam memperkenalkan istilah al-kimiyah (kimia).

Sebagai contoh, ayat 80 surah Yaasin merujuk kepada sumber bahan api hidrokarbon yang berasal dari pohon-pohon kayu yang hijau. Melalui proses-proses kimia, pohon-pohon kayu yang tertanam di dalam tanah akan mengalami tekanan yang sungguh kuat. Berjuta-juta tahun kemudian, ia bertukar menjadi arang batu, gas dan petroleum serta menjadi sumber bahan api dan kuasa yang utama.

Ilmu kimia merupakan salah satu cabang ilmu pengajian sains dan ianya tidak pernah wujud sebelum kebangkitan umat Islam dalam bidang ilmu pengetahuan. Walaupun bangsa Yunani telah memahami unsur-unsur atau elemen, tetapi mereka tidak pernah berjaya mengahsilkan bahan-bahan seperti alkohol, asid sulfurik (H2SO4), 'acqua regia' dan asid nitrik (HNO3). Bahan-bahan ini bersama-sama dengan Kalium (Potassium), K, sallmonic (ammonium klorida), NH4Cl, argentum nitrat (silver nitrate), AgNO3, merkuri klorida, HgCl2 dan penyediaan merkuri hanya ditemui oleh ahli-ahli kimia beragama Islam.

Saintis Islam telah menemui kaedah penyulingan, iaitu proses asas dalam kimia dan menggunakan kaedah-kaedah seperti berikut dalam pengkajian mereka:

1. Pemejalwapan (sublimation) - suatu kaedah pembersihan, contohnya penggunaan haba pada garam atau ammonium klorida
2. Penghabluran (crystallization) - penghasilan hablur-hablur kristal seperti garam
3. Penggumpalan (coagulation) - penghasilan bahan pelekat seperti gam.
4. Pengkupelan (cupellation) - kaedah untuk membersihkan bahan logam
Keempat-empat kaedah ini, adalah antara contoh sumbangan saintis Islam pada zaman kegemilangan tamadun Islam.

Antara bukti mudah tentang sumbangan saintis Islam dalam bidang kimia ialah istilah-istilah yang berasal dari perkataan Arab seperti kimia (al-kimiya), alkohol (al-kuhul), alembic (al-alambiq), alkali (al-qalawi) dan arsenik (ar-zirnikh).

Antara sumbangan terpenting umat Islam terhadap peradaban manusia ialah penciptaan bahan letupan. Sungguhpun ada pendapat mengatakan orang Cina adalah pencipta bahan ini untuk digunakan dalam mercun dan bahan api, tetapi saintis Islam telah menukarkannya menjadi bahan letupan yang digunakan dalam peperangan. Buktinya dalam peperangan di Sepanyol pada tahun 1342 M, iaitu peperangan mempertahankan kota Algericas, sebuah bandar di selatan Sepanyol yang diserang oleh Alphonse ke-11, bahan letupan telah digunakan buat kali pertama sebagai senjata ampuh.

Bahan letupan hanya diperkenalkan di Eropah pada abad ke-14, Roger Bacon (1214-1292) yang dikatakan pencipta bahan letupan hanyalah menceduk pengetahuan orang Islam sebelum itu.

Antara kejayaan saintis Islam yang tebesar adalah memajukan penghasilan kertas. Ziyad ibn al-Saleh, gabenor Samarkand di Asia Tengah telah menghantar satu angkatan tentera ke negara China pada tahun 751M. Angkatan tenteranya berjaya menawan beberapa orang banduan yang mahir membuat kertas. Banduan-banduan itulah yang mengajar orang Islam membuat kertas.

Pada tahun 794M, al-Fadl bin Yahya al-Barmaki, gabenor Khurasan telah membentuk satu proses membuat kertas dan membina kilang kertas pertama. Perusahaan ini sampai ke Syria dan Mesir pada abad ke-9, Andalusia (Sepanyol) dalam abad ke-10 dan Afrika Utara pada abad ke-11. Contoh kertas yang dihasilkan masih lagi dapat dilihat di perpustakaan Sepanyol. terutama di Escorial.

Bidang kimia telah melahirkan ramai saintis di kalangan umat Islam. Salah seorang yang masyhur ialah Jabir bin Hayyan al-Kufi (al-Geber) (738 - 813M). Kajian0kajiannya telah dibuku dan dikumpulkan menjadi sebuah ensiklopedia kimia yang agak lengkap pada zamannya. Banyak bukunya yang telah diterjemahkan ke bahasa Latin.

Antara jasanya ialah memperkenalkan kegunaan praktik kimia seperti membersihkan besi daripada campuran, menyediakan keluli, mencelup kain dan kulit, penggunaan minyak varnis untuk kalis air bagi kain dan memelihara besi, penggunaan mangan dwioksida untuk mewarnakan gelas dan penggunaan besi pirit (iron-pyrite) bagi tulisan emas dan penyulingan cuka kepada asid asetik yang pekat.

Jabir telah menolak teori penukaran jasmani daripada suatu logam yang murah kepada emas. Sebaliknya beliau ilmu kimia idea baru yang bernama 'sains keseimbangan' atau "al-ulum fil mizan". Jabir mengemukakan empat konsep bahawa setiap logam mempunyai sifat hakiki yang tidak berubah, tidak kira bentuk atau beratnya, besar atau kecilnya. Konsep ini adalah selari dengan Teori Atom Dalton (1766-1844) yang mengatakan bahawa:

1. Benda adalah terbina daripada butir-butir kecil yang tidak boleh di belah bahagi bernama atom.

2. Atom tidak boleh dimusnahkan atau diwujudkan (diciptakan) melalui proses kimia

3. Semua bentuk atom daripada sesuatu unsur adalah serupa dan berlainan daripada atom unsur yang lain.

Konsep keseimbanagan atau "al-ulum fil mizan" yang dikemukakan, menunjukkan analisis kualiti dalam kimia. Dalam sains moden terdapat konsep keseimbanagan kimia, keseimbangan termodinamik dan keseimbangan daya.

Terdapat beberapa orang saintis Islam yang terkemuka yang tidak kurang memberikan sumbangan yang bermakna kepada dunia sains kimia. Antara mereka termasuklah Muhammad Abu Bakar al-Razi, Dawud al-Antaki, Ibn al-Baytar, al-Baghdadi, Ibn Maimun, Ibn al0Nafis dan Abu Qasim al-Zahrawi.

Sesungguhnya segala sesuatu ilmu itu adalah dari Allah SWT kerana firman Allah dalam surah ar-Rahman ayat 1-4 yang bermaksud" 1. (Tuhan) Yang Maha Pemurah 2. Dialah mengajarkan al-Qur'an 3. Dia menciptakan manusia 4. Dialah yang mengajar manusia berkomunikasi.".

Bagi manusia yang mempunyai akal fikiran yang sentiasa memikirkan kejadian alam, sudah tentulah berusaha mentafsirkan ayat-ayat al-Qur'an untuk keseimbangan alam sejagat. Kerana Allah SWT menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini....

1 comments:

sha said...

terbaik.pengisian yg baik

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--