Thursday, January 7, 2010

Isu sepanjang minggu.....


Alhamdulillah, bersyukur saya kepada Tuhan Yang Maha Esa kerana dengan limpah kurnianya dapat saya meluangkan masa untuk menulis catatan terbaru dalam blog ini.

Banyak isu yang berlaku sepanjang minggu pertama sesi persekolahan tahun 2010. Malah pada peringkat nasional, isu yang amat hangat sekarang ini ialah Isu penggunaan nama Allah dalam akhbar "Herald-The Catholic Weekly". Kehangatan isu ini pada pandangan saya berlaku kerana komen-komen serta pandangan daripada individu yang tidak meletakkan hujah Islam sebagai hujah utama diletakkan sebagai tajuk utama akhbar, ini sudah tentu mengelirukan. Malah lebih menyedihkan apabila hujah-hujah yang diutarakan oleh tokoh-tokoh perpendidikan agama hanya diletakkan dalam sebaris dua sahaja dalam akhbar, tidak memaparkan pandangan mereka yang sebenar.

Saya teringat semasa mengaji Tafsir Nurul Ehsan dengan Ustaz Shamsuri Hj Ahmad semasa belajar di Pulau Pinang dalam tahun 2003 yang amat berkaitan sekali dengan isu ini. Ustazmenggunakan Tafsir Nurul Ehsan jilid 2 iaitu pada tafsir Surah Yusuf. Ayat 39 dan 40 menceritakan proses dakwah Nabi Yusuf semasa baginda berada di dalam penjara.

Ayat 39 surah Yusuf yang bermaksud :
"Wahai dua sahabat sepenjaraku!Adakah menyembah tuhan yang bermacam-macam itu lebih baik atau menyembah Allah yang Maha Esa dan Maha Perkasa?"

Ayat 40 surah Yusuf yang bermaksud :
"Kamu tidak menyembah selain dari Allah melainkan hanya nama-nama tuhan yang dinamakan kamu dengan datuk nenek kamu. Allah tidak menurunkan sebarang keterangan mengenainya. Sesungguhnya kuasa penentuan hukum itu hanya dimiliki Allah sahaja. Dia telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan hanya Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."

Dua ayat ini menceritakan kaedah dakwah Nabi Yusuf yang menggunakan logik akal disulami dengan soalan ketuhanan untuk meruntuhkan kedegilan hati manusia yang kafir. Ini kerana sudah tentu orang kafir itu tidak mengetahui hujah al-Qur'an kerana tidak mahu mengambil peduli akan dia. Ayat seterusnya menceritakan bagaimana Nabi Yusuf menerangkan orang kafir itu hanya menyembah tuhan yang mana nama-nama tuhan mereka itu adalah ciptaan mereka sendiri ataupun warisan daripada datuk nenek mereka. Hanya Allah mempunyai nama dan nama itu bukannya ciptaan mana-mana manusia ataupun makhluk lain. Sesungguhnya hanya Allah yang wajib disembah dan Dialah yang menetapkan segala hukum di dalam alam ini.

Melihat kepada isu semasa iaitu Isu penggunaan nama Allah, memang jelas nama Allah memang tidak boleh diberikan hak kegunaannya kepada agama lain (kecuali agama Samawi). Tambahan pula dalam konteks masyarakat pada hari ini yang berada dalam kekeliruan. Sekiranya nama Allah dibenarkan penggunaannya kepada akhbar agama lain, sudah tentu mereka akan mengeksploitasikan nama Allah untuk kepentingan agama mereka itu. Justeru itu dengan berpandukan kepada ayat 39 dan 40 surah Yusuf saya menentang keras penggunaan nama Allah oleh akhbar The Herald

Berbalik kepada isu dalam dunia pendidikan khasnya mata pelajaran Applied Science. Saya banyak mendengar khabar angin menyatakan kesahihan dan kerevelenan subjek Applied Science untuk pelajar KBSM. Malah ada ura-ura yang menyatakan bahawa subjek Applied Science akan dimansuhkan menjelang tahun 2013 (saya tak dapat pastikan khabar angin ini benar atau tidak). Amat mendukacitakan kerana kasihanlah kepada pelajar SPM 2009 yang telah mengambil subjek ini dalam peperiksaan yang lepas. Saya berharap agar subjek ini masih akan terus dilaksanakan dalam sistem pendidikan kita.

Marilah kita sama-sama berdoa agar subjek ini dikekalkan untuk masa-masa mendatang.....

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--