Friday, January 8, 2010

Sejarah Ilmu Hadis


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam kerana limpah kurnianya dapat kita bersama-sama meluangkan masa untuk berada di dalam alam maya.

Agak begitu lama rasanya saya tidak mengulas buku yang saya baca. Kali terakhir rasanya dalam bulan Oktober yang lepas. Bukan tidak lansung membaca buku sepanjang bulan November dan Disember tetapi saya agak terlupa untuk mengulas buku mengikut pandangan peribadi saya.

Antara buku yang saya baca sepanjang bulan Oktober ialah "Sejarah Hadis : Pengaruh dari Tokoh-tokoh utama dalam hadis" karangan M. Hasbi Ash Shidieqy dan di susun dalam Bahasa Melayu Oleh Zulkiflee Yazid dan Zuharudin Yaziz.




Kandungan buku ini mengandungi dua bahagian: Bahagian pertama ialah perkembangan hadis pada zaman Rasulullah SAW, Khulafa Rasyidin, zaman pengumpulan hadis hinggalah pada zaman sekarang dan bahagian kedua membincangkan sejarah tokoh-tokoh utama dalam bidang hadis bermula dari zaman Rasulullah SAW hinggalah tokoh-tokoh hadis zaman keenam kira-kira 400 tahun selepas hijrah.

Bahagian pertama mengandungi 7 bab iaitu

Bab 1 : Hadis di masa Rasulullah SAW atau di sebut Asrul Wahyi wat Takwim)
Bab 2 : Hadis di masa Khulafa Ar-Rasyidin (Asrul tatsabbuti wal iqlali munar riwayati)
Bab 3 : Hadis sesudah berakhir zaman Khulafa Ar-Rasyidin (Asrul Intisyarir Riwayah)
Bab 4 : Hadis dalam abad kedua hijrah (Asrul Kitaabi wat Tadwini)
Bab 5 : Hadis dalam abad ketiga hijrah (Ashrut Tajridi wat Tashhihi wat Tanqihi)
Bab 6 : Masa Penelitian, penerbitan dan pengumpulan hadis-hadis yang khusus (Ahsrut Tahdzibi wat Tartibi wal Istidraki wal Jam'il khash)
Bab 7 : Masa pensyarahan, pengumpulan hadis yang umum, pentakhrijan dan pembahasan hadis tambahan (Ashmsy Syarhi wal Jam'il 'Am wat Takhriji wal Bahtsi 'Iz & Zawaa-id)

Ringkasan Bahagian Pertama
Pada zaman Rasulullah SAW, Rasulullah SAW tidak membenarkan para sahabat menulis hadis. Namun anugerah dari Allah SWT kepada daya ingatan dan hafalan yang hebat kepada bangsa Arab telah menyebabkan para sahabat mampu mengingati segala ucapan, perbuatan dan tingkah laku Rasulullah SAW. Setiap majlis bersama Nabi merupakan majlis ilmu, baginda melimpahkan kepada sahabat pelbagai macam petunjuk. Tidak ketinggalan juga sumbangan Ummahatul Mukminin dalam perkembangan hadis. Mereka mempunyai keutamaan yang besar dalam mengembangkan sunnah-sunnah nabi kerana merekalah orang yang paling hampir dan dekat dengan Rasulullah SAW.

Pada zaman Khulafa Ar-Rasyidin, keadaan politik amat bergolak kerana Rasulullah SAW wafat tanpa meninggalkan sebarang wasiat tentang siapakah yang akan menjadi khalifah. Hampir-hampir berlaku pergaduhan antara golongan Muhajirin dan Anshar. Asas iman yang kukuh berteraskan tauhid kepada Allah ajaran Nabi Muhammad SAW menyebabkan pertikaian antara mereka dapat diredakan. Pada zaman khalifah ar-rasyidin banyak masalah timbul dan terkadang tiada dapat diputuskan melalui al-Quran, justeru mereka mencari penyelesaiannya dengan berpandukan ungkapan-ungkapan kata-kata hikmah dari Rasulullah SAW. Para sahabat sangat berhati-hati dalam meriwayatkan hadis kerana takut hadis-hadis yang dikeluarkan oleh mereka akan mengelirukan orang ramai.

Pada zaman pasca selepas berakhirnya zaman khulafa ar-rasyidin iaitu hingga akhir abad pertama hijrah, banyak kabilah yang menimbulkan penentangan dan pembangkangan terhadap agama. Perkembangan hadis palsu juga amat berleluasa pada zaman ini. Para tabiin (mereka yang sempat hidup sezaman dengan sahabat Rasulullah SAW) berusaha mengumpul dan meriwayatkan hadis untuk menentang pengembangan hadis palsu. Pada zaman ini wujud lembaga hadis di pelbagai kota Islam bertujuan untuk menilai dan mengukur kesahihan hadis antaranya di kota Madinah, Mekah, Kufah, Bashrah, Syam dan Mesir. Lawatan para sahabat kerap kali dilakukan kerana untuk menyemak hadis yang dikumpul. Keadaan ini berterusan hinggalah kematian sahabat yang terakhir, Amir bin Wailah pada tahun 110 H. Maka muncul era baru yang dinamakan era tabi' tabiin

Pada abad ke-2 hijrah, barulah usaha-usaha pengumpulan hadis dilakukan. Ianya dicetuskan oleh khalifah Umar Abdul Aziz pada zaman pemerintahannya ketika beliau menulis surat kepada gabenor yang menjadi haki di kota Mekah dengan katanya "Perhatikanlah hadis-hadis Rasulullah SAW lalu tulislah, kerana sesungguhnya aku takut akan hilang ilmu dan lenyaplah para ulama'". Pada zaman ini muncullah kitab-kitab seperti al-Muwaththa' karangan Imam Malik, al-Musnad karangan asy-Syafie dan al-Atsar oleh Asy-Syaibani. Timbul juga ilmu-ilmu syarah kepada hadis seperti terhasilnya kitab Kasyfatul Mughaththa fil Syarbil Muwaththa karangan Jalaluddin As-Sayuti, at-Tamhid dan al-Istidzkar karangan al-Hafid Ibnu Abdul Barr dan kitab At Taliqul Mumajjad 'ala Muwaththa' al Imam Muhammad karangan al-Hindi.

Perkembangan hadis dalam abad ketiga (masih era tabi' tabiin) terlalu mencabar kalau meneliti kandungan buku ini. Pada zaman ini wujudnya golongan Muktazilah. Golongan ini mempengaruhi khalifah untuk bertindak keras ke atas golongan ahli hadis. Bukan setakat itu sahaja, golongan ahli hadis dicerca dengan dituduh mereka sebagai bodoh dan dungu. Penderaan psikologi yang dilakukan ke atas mereka meninggalkan kesan yang amat derita. Pada masa yang sama muncul pula golongan yang giat membuat hadis palsu dan sampai ke tahap begitu fanatik ketika membuatnya. Alhamdulillah pada ketika umat manusia berada dalam kekeliruan tentang hadis Allah mengutuskan beberapa tokoh hadis terulung (Imam Ahmad dan Ibnu Qutaibah)) bersama dengan "kutub al-hadith al-sittah" (Imam Bukhari, Muslim,an-Nasa-iy, Abu Daud, At-Tirmizi dan Ibnu
Majah). Muncullah kitab-kitab unggul dalam ilmu hadis seperti Musnad Ahmad, Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan an-Nasa-iy, Kitab dari Abu Daud, Jamiut Tirmidzi dan Sunan Ibnu Majah)

Ringkasan Bahagian kedua
Bahagian kedua membincangkan tokoh-tokoh hadis dari zaman Rasulullah SAW hinggalah pada abad keempat hijrah. Antara tokoh yang dibincangkan ialah
1. Pada zaman Rasulullah SAW seperti Abu Hurairah r.a, Abu Said al Khudri r.a, Jabir ibn Abdullah r.a, Anas bin Malik r.a, Aisyah Ummul Mukminin r.a, Abdullah bin Abbas r.a, Abdullah ibn Umar r.a, Abdullah ibn Amr ibn Ash dan Abdullah bin Mas'ud.
2. Pada zaman tabiin terlalu banyak tokoh-tokoh periwayat hadis muncul di serata kota Islam kerana sifat para sahabat yang sangat suka mengembara. Antara yang masyhur ialah Ibnu Syihab Az Zuhri, Ikrimah Maula Ibnu Abbas, Umar Ibnu Abdul Aziz, Ka'bul Ahbar, Wahab ibn Munabbin, Said Ibnul Musayyab, Urwah bin Zubair dan Alqamah.
3. Pada akhir perbincangan dalam bahagian kedua ini, penulis membicarakan tokoh-tokoh seperti Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Sebagai penutup, haruslah kita bangga menjadi umat Islam kerana sesungguhnya perkembangan ilmu hadis tiada yang seumpamanya dalam lain-lain tamadun yang pernah lahir di dunia ini. Perjuangan tokoh-tokoh hadis di zaman silam menyebabkan kita mampu merasakan kenikmatan dan keindahan percakapan, perbuatan dan tingkah laku Nabi junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Dan jangan lupa dapatkan buku ini di kedai-kedai buku berdekatan anda.....

1 comments:

mza said...

syukran...

udah menarik anta punya blog...tahniah

bole la nanti anta kasi menarik ana punya blog

mza

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--