Sunday, August 8, 2010

Peristiwa sepanjang minggu


Alhamdulillah besyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan limpah kurnianya mampu kita meluangkan masa untuk berada di dalam alam siber ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam serta kaum kelurganya.

Antara nikmat yang paling besar sekali dalam kehidupan manusia di muka bumi ini ialah nikmat kesihatan tubuh badan. Justeru itulah ramai di kalangan kita sentiasa mencarai jalan untuk memperbaiki kesihatan diri kita. Dengan kesihatan tubuh badanlah kita mampu melakukan aktiviti yang kita sukai.

Peristiwa yang berlaku sepanjang minggu lepas agak menarik untuk dikongsikan bersama dengan rakan-rakan pengunjung sekalian. Antaranya bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia (TPM) (dari jauh), mesyuarat Panitia Applied Science kali ke-4 2010 dan Program Bacaan Yaasin setiap pagi Jumaat.

Apabila saya mendapat arahan dari pihak atasan sekolah menyuruh saya menghadiri sesi ramah mesra bersama TPM di Dewan Konvokesyen Sungai Siput, pelbagai perasaan timbul ada di antaranya prejudis mengapa saya yang dipilih dan banyak lagi persoalan yang timbul dari lubuk hati saya. Namun apabila tiba di Sungai Siput sekitar jam 2.00 petang, saya agak teruja dengan kehadiran begitu ramai guru untuk menyertai sesi bersama TPM. Walaupun mungkin ada yang beranggapan apalah yang hebat sangat jumpa TPM, namun bagi saya ia adalah merupakan satu peluang yang istimewa.

Tan Sri Mohd Muhyiddin Mohd Yassin selaku Mentei Pelajaran Malaysia pada petang 5 Ogos yang lalu menyampaikan beberapa amanat dan harapan kepada warga pendidik khususnya di Kuala Kangsar dan Sungai Siput dan secara amnya di Malaysia. Dalam ucapan beliau yang sempat saya catat terbahagi kepada tiga bahagian iaitu pertamanya harapan dan amanat beliau selaku Menteri Pelajaran, keduanya pengumuman dari kerajaandan sesi yang ketiganya ialah sesi soal jawab bersama warga pendidik.




TPM menegaskan bahawa maju pendidikan majulah negara. Kualiti pendidikan ialah ukuran sesebuah negara itu maju atau mundur. TPM membawa contoh lawatannya ke Korea Selatan yang begitu mempersonakan dimana hampir keseluruhan sistem pendidikan di KS menggunakan teknologi maklumat. Amanat TPM yang kedua ialah para guru mestilah berasa kebertanggungjawaban untuk menjayakan dan mengangkat kualiti sistem pendidikan kepada sistem pendidikan yang berkualiti. Untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan sebuah negara maju pada tahun 2020, kualiti pendidikan mestilah diperkasakan. Katanya lagi penilaian NKRA adalah satu langkah yang bijak kerana salah satu bidang yang terdapat dalam NKRA ialah pendidikan.

TPM kemudiannya mengumumkan beberapa langkah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan antaranya ialah memperbanyakkan prasekolah dan taman didikan kanak-kanak. Ini bersesuaian dengan langkah memperkenalkan pendidikan seawal usia muda kepada kanak-kanak. Keduanya TPM mengumumkan komitmen KPM dalam NKRA. Antara program yang dijalankan ialah program 3 tahun di mana selepas 3 tahun pelajar mampu menguasai 3M (Membaca, menulis dan mengira) ataupun dikenali dengan nama program Literasi dan Numerasi (LINUS). Ketiganya ialah pengumuman Sekolah Berprestasi Tinggi(SBT). Pengumuman SBT ini membuktikan ada sekolah di Malaysia memang telahpun mencapai kualiti pendidikan bertaraf dunia, katanya. Pengumuman yang keempat ialah Program 1Sukan 1Murid. Program ini adalah merupakan penekanan semula kepada pelajar betapa pentingnya menyertai sukan di sekolah. Justeru itu beliau mengumumkan peruntukkan perkapita kepada pelajar untuk sukan di sekolah dinaikkan dari RM2.40 kepada RM4.00. Terakhirnya ialah langkah KPM dalam memperkasakan Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional. Menurutnya, dalam lawatannya ke beberapa negara maju, bidang kemahiran merupakan bidang yang paling ramai diceburi oleh pelajar seperti di Perancis kira-kira 60% pelajarnya mengambil bidang kemahiran.



Kesempatan berada di Sungai Siput pada 05 Ogos yang lalu memungkinkan saya menghadiri Program AgroFest 2010. Tahniah kepada kerajaan Perak kerana berjaya menganjurkan program tersebut. Pelbagai pameran dari pihak swasta dan kerajaan dalam memeriahkan program tersebut.








Mesyuarat Panitia Applied Science kali ke-4 pada tahun 2010 berjalan dengan lancar dengan beberapa keputusantelah berjaya diputuskan. Antaranya penentuan penyedia soalan bagi peperiksaan percubaan yang bakal menjelang. Penetapan kelas pada tahun 2010. Panitia saya rasanya bakal kehilangan Puan Rohaiza Yaakob yang mungkin akan berpindah sekolah mengikut suaminya di Pahang. Terima kasih daun keladi diucapkan kepada Puan Rohaiza kerana banyak membantu saya semasa menubuhkan Panitia Applied Science sebermula pada tahun 2008. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa Puan Rohaiza.InsyaAllah.

Salah satu program menarik yang telah dan sedang dijalankan oleh pihak sekolah ialah program bacaan Yaasin pada setiap pagi Jumaat. Program ini pada saya sedikit sebanyak dapat melembutkan hati remaja yang sedang mengalami pelbagai dugaan dan cabaran budaya hedonisme yang sedang mengganas dewasa ini. Namun apabila diteliti secara dekat, rupanya-rupanya ada segelinti remaja seolah-olah tidak mahu kepada program tersebut. Ramai mengambil sikap untuk tidak membaca dan hanya menjadi pendengar sahaja. Hanya kuntuman doa mampu dinukilkan dan dipohon kepada Allah Subhanahu wata'ala agar dikurniakan hidayah kepada mereka.





Pelbagai usaha harus kita lakukan sebagai salah satu sumbangan kita sebagai pendidik dalam mentarbiah jiwa remaja. Remaja yang berkualiti akan terhasil sekiranya kita komited dan istiqamah dalam melaksanakan program-program motivasi. Remaja adalah pemimpin masa hadapan. Seperti kata pepatah Melayu "Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara".....

Wasalam...

1 comments:

Cikgu Mahfuza Mahmud on August 9, 2010 at 11:11 PM said...

Teruskan usaha. Ikhlaskan niat, sucikan matlamat. Insyaalah berjaya.

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--