Friday, November 5, 2010

Maaf...saya bukan warden..


Alhamdulillah bersyukur kepada Allah Subhanahu wata'ala kerana kesempatan masa dapat kita bersama meluangkan waktu untuk menatapi sedikit coretan dari saya pemilik blog ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam pembawa rahmat cahaya kepada sekalian alam.

Agak lama juga saya tidak menjenguk ke dalam blog ini kalau tidak silap lebih dari tiga minggu. Bukannya kekeringan idea tetapi pengurusan masa yang agak kelam kabut menyebabkan saya gagal meluangkan masa untuk menulis entri terbaru. Tambahan lagi saya agak sibuk menguruskan program motivasi saat-saat akhir menduduki peperiksaan untuk pelajar tingkatan 5 ketukangan. InsyaAllah program tersebut akan diadakan pada 11 November ini iaitu hari khamis minggu hadapan. Kepada para pengunjung adalah diharapkan dapat mendoakan agar program yang dirancangkan dapat berjalan dengan jayanya.

Kemudian daripada itu,...

Saya ingin berkongsi satu cerita yang saya alami sendiri ketika membincangkan masalah pelajar asrama yang sering ponteng solat jumaat bersama dengan beberapa orang rakan. Untuk pengetahuan SMT Kuala Kangsar tamat waktu persekolahan pada pukul 1230 tengahhari. Pelajar asrama akan pulang dahulu ke asrama untuk menyiapkan diri untuk solat Jumaat. Maka pelbagai masalah yang timbul dan kesukaran yang dihadapi oleh warden asrama. Maka timbullah" kisah yang berlaku dua minggu sudah

"Hari tu aku solat zohor di masjid, ada seorang pakcik bagitau aku ramai budak-budak kita duduk belakang tandas tak sembahyang Jumaat" kata saya memulakan cerita.

"Perkara tu dah lama berlaku, kami warden ni dah tak larat nak bagitau kat budak-budak. Alih-alih budak yang sama juga. Aku ni time cuti je sempat sembahyang saf depan, kalau time tak cuti sibuk dok kejar budak sampai kadang-kadang imam dah rukuk baru aku angkat takbir" kata seorang warden menjelaskan penderitaan yang dialaminya selama ini.

"Aku pun ada juga sorang pakcik bagi tau kat aku, tapi aku kata maaflah, saya tak ambil tau sebab aku bukan warden. Masalah asrama, wardenlah pandai-pandai selesaikan" kata seorang mantan warden.

Rakan-rakan lain semua diam malah hati saya tersentak menyebut 'Astagfirullahal azhim". Kemudian rakan-rakan mengalihkan perbincangan ke topik lain kerana malas untuk berbicara lagi berikutan semua rakan tahu akan watak mantan warden itu dalam organisasi kami.

Namun setelah beredar dari kantin perasaan saya amat terkilan dengan sikap rakan saya yang sanggup berkata sedemikian. Pada saya ianya bukan masalah warden semata-mata ianya adalah masalah pelajar muslim ponteng solat Jumaat. Saya pun bukan warden, tapi sekiranya ada orang awam yang berkata sedemikian pada saya, InsyaAllah saya akan pergi kepada pelajar berkenaan dan menghalau mereka untuk solat Jumaat.

Di dalam buku "Watak-watak dalam organisasi" karangan Cikgu Razali Saaran pada bab watak-watak negatif, penulis menjelaskan tingkah laku orang sebegitu dinamakan orang yang pentingkan diri sendiri.



Sikap pentingkan diri sendiri tanpa mempedulikan apa yang berlaku disekeliling adalah merupakan budaya yang tidak baik untuk diamalkan. Walaupun pada asalnya sikap ini tidak salah tetapi ada perkara yang perlu kita ambil peduli untuk kebaikan kita bersama.

Orang yang berwatak sebegini sukar untuk diajak berbual dan berbincang. Kerana itulah apabila rakan tadi memulakan bicaranya semua orang diam malas untuk melayan pendapatnya kerana pembawakan watak pentingkan diri sendiri mengundang kepada komunikasi terhad dan agak sukar untuk melakukan kerja berkumpulan bersamanya. Kurangnya interaksi sudah tentulah akan menyukarkan proses mengenalpasti sebarang masalah kerana komunikasi yang baik akan melancarkan pelaksanaan aktiviti.

Sebagai guru yang ingin melihat anak bangsanya maju dalam segala bidang, sikap mementingkan diri sendiri haruslah dijauhi. Sikap ini hanya akan mendatangkan keburukan dalam organisasi kerana orang yang bersikap sedemikian akan bertindak mengikut matlamat dirinya sendiri tanpa mempedulikan apa sebenarnya matlamat mereka apabila berada dalam organisasi. Orang yang berpendirian sebegini tidak mengenal erti pengorbanan kerana yang penting baginya kepentingan dirinya terjamin. Andaikata kepentingan mereka terancam, merekan akan cepat bertindak. Sebaliknya jika berlaku terhadap orang lain dan pelajar (dalam konteks sekolah) ia tidak akan menjadi beban kepada mereka.

Jauhilah sikap mementingkan diri sendiri kerana ia bukan sahaja akan merugikan diri sendiri malah akan merugikan bangsa dan negara....

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--