Sunday, December 12, 2010

Pendidikan seks di sekolah perlu diterapkan unsur agama


Alhamdulillah dapat bertemu lagi pada catatan kali ini. Segala puji dan syukur kepada Allah Tuhan yang mentadbir sekalian alam kerana dengan limpah kurnia-Nya mampu kita meluangkan masa untuk berada di ruangan siber ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar seluruh kaum muslimin di seluruh dunia, Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam Nabi terakhir untuk ikutan seluruh umat manusia.

Sejak pengumuman dari Kementerian Pelajaran Malaysia tentang pelaksanaan pendidikan seks di dalam kurikulum sekolah rendah pada 30 November yang lepas (rujuk Berita Harian 30/11/2010), banyak reaksi daripada pelbagai pihak, ada yang menyokong dan ada yang membantah dan tidak kurang juga ada yang mengambil sikap tidak peduli dan tidak kisah.

Sebenarnya isu pelaksanaan pendidikan seks di sekolah begitu mendapat perhatian sehinggakan seorang ahli parlimen, Saudara Mohd Firdaus Jaafar (PAS-Jerai), mengemukan soalan berkaitan dengan pendidikan seks ini kepada Timbalan Menteri Pelajaran 1, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) di Dewan Rakyat. Maka isu ini dijelaskan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia dengan katanya pelajar sekolah rendah akan diajar untuk berkata "tidak" jika alat-alat sulit yang terdapat pada badannya disentuh (The Star 8/12/2010)
Di dalam penjelasan tersebut Dr Mohd Puad Zakarshi juga berkata kanak-kanak di Tahun Satu, Dua dan Tiga akan diajar perbezaan yang terdapat antara gender, tanggungjawab menjaga alat-alat sulit, kepantingan menjaganya dan pengurusan stress. Tambahnya lagi, pelajar-pelajar dari Tahun Empat, lima dan Enam akan diperkenalkan dengan kaedah pengurusan konflik, tahap proses kematangan organ seks, sistem reproduktif, risiko seks sebelum berkahwin, penyakit berkaitan dengan hubungan seks dan juga pelajar akan diajar berkata "tidak" untuk merokok.

Dalam penjelasan di parlimen itu, Dr Puad berkata modul pendidikan seks ini juga akan diajar kepada pelajar sekolah menengah dengan pelajar menengah rendah akan diajar kemahiran untuk hidup, pengurusan stres, identiti dan orientasi jantina sesama sendiri. Manakala pelajar menengah atas akan diajar menguasai aspek seperti kemahiran hidup, kebolehan menguasai mental dan emosi, remaja dan kehamilan, kaedah untuk mengawal dan mengelakkan merokok, kaedah pencegahan penyalahgunaan dadah dan alkohol.

Katanya lagi, modul yang akan dikenali sebagai Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) akan menumpukan 75% daripada pendidikan kesihatan dan akan diajar sebagai satu subjek khas tidak bergabung dengan mana-mana subjek pada tahun 2011 (Berita Harian 08/12/2010)
. Dr Puad Zakarshi menambah lagi dengan berkata, modul ini akan diajar selama satu waktu seminggu iaitu 30 minit bagi sekolah rendah dan 40 minit bagi sekolah menengah, dua kali sebulan. Katanya lagi, modul ini adalah modul yang lengkap kerana mencakupi aspek biologikal, sosio-budaya, psikologi dan aspek spiritual untuk mempromosikan tabiat kesihatan yang baik dan bukan hanya memfokuskan pada isu seks semata-mata. Beliau seterusnya menjelaskan kementerian tidak menggunakan istilah "pendidikan seks" dalam memperkenalkan subjek ini kerana istilah itu akan memberikan notasi yang negatif kepada masyarakat. Modul ini akan menjadi satu modul yang membantu pelajar sekolah membina pandangan yang positif ke atas sosio-budaya dan kesihatan reproduktif disamping akan membantu mereka membuat keputusan yang sesuai apabila tiba masanya nanti, jelas Timbalan Menteri Pelajaran 1 itu di akhir jawapannya di Dewan Rakyat.

Apabila membaca penjelasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran 1 yang dipaparkan tadi melalui dua suratkhabar utama iaitu The Star dan Berita Harian, agak menarik perhatian saya sebagai individu yang terlibat secara langsung dengan remaja untuk membicarakan sedikit mengenai isu ini. Isu ini juga amat menggusarkan saya kerana saya bakal mempunyai anak yang akan menempuh alam persekolahan pada tahun hadapan. Semua guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran disekolah telah sedia maklum subjek Pendidikan Islam (PI), Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK), dan juga Sains telah menerapkan pendidikan seks di dalam sukatan matapelajaran PI, PJK dan Sains sejak dari zaman pelaksanaan KBSR. Apabila pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah pada tahun 2011 nanti, subjek PEERS ini akan diperkenalkan sebagai satu matapelajarn baru. Mewujudkan sesuatu matapelajaran yang asing daripada subjek lain akan sudah tentu menambahkan beban kepada guru dan murid dan sudah tentu beban akan bertambah kepada ibu bapa dirumah. Tambahan pula memasukkan beberapa tajuk dalam mata pelajaran sedia ada dan memisahkan daripada agama, memberi isyarat kepada pelajar Islam bahawa melakukan seks adalah norma masyarakat Islam dan melakukannya tanpasukatan pelajaran mengenai PEERS di sekolah. Ini berlaku kerana kekurangan maklumat mengenai pelaksanaan pendidikan seks oleh kerajaan di sekolah. Persatuan Ulama Malaysia bimbang jika modul pendidikan seks yang akan diperkenalkan nanti mengambil secara total modul pendidikan seks di Barat kerana telah terbukti seks bebas sudah menjadi norma di sana.

Saya secara peribadi amat rasa bimbang kalau-kalau ditugaskan untuk mengajar subjek PEERS ini pada tahun hadapan. Kebimbangan saya datang dari dua sudut yang berbeza iaitu takut-takut kalau disalahertikan konsep subjek PEERS ini oleh remaja dan yang kedua ialah kedangkalan ilmu saya untuk menyepadukan nilai-nilai keagamaan dalam pendidikan seks ini kepada remaja.

Pendidikan adalah elemen penting dalam pembentukan jati diri dan keperibadian orang Islam. Keimanan yang tinggi terhasil daripada pendidikan bersepadu yang tidak dapat disanggah oleh sebarang anasir luar. Jika kita mengamati sirah manusia yang penuh berkat dari hujung rambut hingga hujung kaki iaitu Sirah Nabi Muhammad yang Mulia, kita akan melihat Nabi Muhammad menegakkan ilmu kepada para beliawan Mekah berasaskan dua prinsip yang mantap iaitu pendidikan akidah kepada keesaan Allah dan pendidikan ke arah pembersihan jiwa melalui nilai akhlak dan teladan yang tinggi.

Jika melihat kepada jawapan Timbalan Menteri Pelajaran 1 dalam keratan akhbar yang saya muatkan di atas, Dr Puad Zakarshi berkata modul ini akan meliputi aspek spritual dan tidak hanya menumpukan seks semata-mata. Saya berharap aspek spritual yang dimaksudkan akan merangkumi nilai-nilai keagamaan. Ini kerana untuk lebih berkesan pendidikan seks yang dicadangkan haruslah memberi penekanan aspek keagamaan dan ketimuran. Mentranformasikan pendidikan agama kepada objektif mengukuhkan akidah dan menerapkan nilai murni dan sahsiah diri adalah satu langkah yang perlu dan baik untuk difikirkan bersama. Dengan kemantapan akidah, sudah pasti apapun ujian yang hadir akan dapat ditangkis. Roh tauhid yang wujud akan menjadi pemangkin kepada akhlak mulia dan akan mempengaruhi keperibadian seseorang remaja.

Agama kita yang mulia, Islam sudah menggariskan pendidikan seks dengan terperinci. Bagaimana saat sesorang itu mencapai umur baligh pun dinyatakan sebabnya seperti yang terdapat di dalam kitab-kitab karangan ulama Nusantara yang hebat. Apabila seseorang itu mencapai akil baligh maka seseorang itu akan ditaklifkan dengan dosa dan pahala dan akan diajar bagaimana cara penyucian diri, kebersihan fizikal dan rohani. Selain itu, pelajar juga apabila mencapai akil baligh akan diingatkan mengenai tanggungjawab mereka untuk menggalas dosa dan pahala. Inilah kehebatan Islam sebagai agama fitrah yang telah mengajar bagaimana perkara dosa dan pahala perlu disemai kepada yang baru mencapai akil baligh dan menyediakan mereka ke alam kematangan.

Saya yakin dan pasti apabila pelajar ini mencapai usia kematangan, dengan bekalan akidah yang mantap, pasti mereka tidak mudah untuk terjebak ke lembah hina untuk melakukan seks diluar nikah ataupun terjerumus ke dalam yang lebih dahsyat daripada itu, ke alam pelacuran.

Haruslah kita sentiasa ingat, dalam apa jua keadaan pun, agama sama sekali tidak boleh dipinggirkan. Memperkenalkan suatu perkara yang baru yang begitu asing daripada adat dan susun atur masyarakat perlulah diteliti dengan mendalam.

Dalam hal ini saya pasti Kementerian Pelajaran telah mengkaji sedalam-dalamnya dengan memasukkan unsur-unsur keagamaan di dalam modul ini dan kerana itulah memungkinkan pelaksanaan subjek ini pada tahun 2011. Semoga subjek PEERS ini akan membantu mengurangkan masalah sosial negara yang kian meruncing ini.

Wasalam.

Sumber:
1. Artikel "Pendidikan seks mesti berteraskan agama", Zainul Rijal Abu Bakar, Berita Harian Isnin 06 Disember 2010.
2. The Star 08 Disember 2010, "More than just sex education"
3. Berita Harian 08 Disember 2010, "Pendidikan seks guna istilah PEERS"
4. "Tanggungjawab Pendidikan Seks menurut Islam", Dr Abdullah Naseh Ulwan, Terjemahan Ahmad Hasan bin Mohd Nazam dan Mohd Nizam bin Mohd Ali, Yamani Angle Sdn Bhd, cetakan April 2009

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--