Tuesday, November 22, 2011

Hidup Lebih Bermakna dengan Membaca


Salam pertemuan di musim cuti sekolah. Sepanjang bulan Oktober yang lepas saya memperuntukkan masa untuk membaca sebuah buku yang menambahkan lagi motivasi saya untuk membaca. Buku yang saya maksudkan ialah buku "Spiritual Reading, Hidup Lebih Bermakna dengan Membaca" hasil fikiran daripada Dr Raghib as-Sirjani dan Amir al-Madari.



Buku ini saya perolehi di sebuah kedai buku di kampung halaman isteri saya ketika kami sekeluarga pulang bercuti hujung minggu pada bulan September yang lepas. Sebenarnya memang telah lama saya mendengar tentang buku ini tetapi tidak saya temui di Kuala Kangsar dan juga Ipoh. Maklumlah buku ini pada mulanya diterjemahkan di Indonesia pada tahun 2007 dan dalam versi bahasa Indonesia. Tetapi alhamdulillah buku ini diterbitkan dalam versi Bahasa Malaysia pada bulan Januari 2011 lepas. Walaupun buku ini hanya mengalihkan bahasa Indonesia kepada bahasa Malaysia dan kandungannya masih banyak yang sama dengan versi Indonesia 2007, namun sebuah buku yang berisi dengan persoalan buku dan membaca masih relevan untuk kita baca kerana persoalan tentang buku dan membaca sentiasa menjadi topik yang 'evergreen' dari dulu, kini hingga selamanya, InsyaAllah.

Satu fakta sejarah yang ditulis di belakang buku ini yang menunjukkan betapa Rasulullah begitu pentingkan kebolehan membaca...
"Berakhirnya perang Badar, 70 orang musyrikin Quraisy berhasil menjadi tawanan kaum Muslimin. Jumlah ini cukup besar boleh dijadikan kekuatan untuk menekan kabilah Quraisy di Mekah. Namun Rasulullah Shallalahu alaihi wasalam mengambil langkah kebijaksanaan yang lain. Sebahagian tawanan akan dibebaskan dengan syarat mereka mengajarkan cara membaca kepada 10 orang kaum Muslimin. Rasulullah berkeyakinan, membaca adalah perkara asas dan utama untuk menghantarkan umat Islam ke mercu kejayaan. Dan beberapa waktu kemudian puluhan jumlah sahabat berjaya tampil sebagai gudang dan khazanah ilmu yang menakjubkan. Ini membuktikan bahawa kebenaran analisa dan kebijaksanaan Rasulullah ketika memilih kaedah mengajar membaca ketika itu oleh para tawanan Quraisy sangat tepat dan jitu"

Buku Spiritual Reading atau Hidup Lebih Bermakna Dengan Membaca ini ditulis sebagai sebuah usaha penulis untuk menyampaikan dan memaparkan hakikat membaca, kepentingannya, adab-adab membaca yang efektif, contoh buku-buku yang wajib kita baca, perihal golongan salafus soleh yang mengamalkan perintah Allah swt dalam kehidupan menerusi perkataan 'Iqra' iaitu 'Bacalah' dan tip-tip bagaimana kita boleh menguasai apa yang kita baca serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan membaca.

Kata-kata dari Dr Raghib as-Sirjani (Pengarang buku Misteri Solat Subuh) menarik juga untuk dikongsi Kata beliau "Ada orang apabila ditanya tentang hobi mereka, ada yang menjawab yang hobi mereka adalah membaca. Saya amat tidak setuju dengan jawapan ini. Jika dikatakan membaca itu adalah satu hobi, maka bagaimana kita ingin merealisasikan perintah Allah swt yang bermaksud 'Baca' sedangkan kita ada pilihan samada untuk membaca atau tidak. Pada pendapat saya, membaca dengan tujuan untuk menuntut ilmu ini adalah satu keperluan hidup. Sama juga seperti keadaan jasmani kita yang perlukan makanan dan minuman untuk kita meneruskan kehidupan, membaca dan menuntut ilmu juga adalah merupakan makanan rohani dan keperluan jiwa kita."

Buku ini seperti yang saya jelaskan di atas tadi sarat dengan tip-tip untuk menimbulkan semangat membaca. Selain itu buku ini juga menyarankan agar kita berusaha membaca buku yang akan membuatkan kita sayangkan diri sendiri, kehidupan dan sayangkan nikmat Islam dan Iman. Buku seperti
1. Ar-Rahiq al-Maktum
2. 65 Manusia Langit
3. Apa kerugian dunia dengan kemunduran umat Islam
4. Ibadah dalam Islam
adalah wajar dibaca dan dimiliki.

Untuk pengetahuan pengunjung, selain daripada meminati buku genre Travelog (pengembaraan) dan Agama, saya juga meminati buku-buku yang isinya berkaitan dengan 'Buku', 'Perguruan' dan 'Motivasi'. Oleh itu, saya sedang giat mengumpul buku-buku seperti ini. Buku genre seperti ini amat payah untuk di dapati terutamanya yang ditulis oleh penulis Melayu kita. Mungkin genre buku ini tidak diminati oleh pembaca dan rendah nilai komersialnya. Oleh itu, penulis kurang keberanian untuk menulis mengenainya kerana mungkin tiada penerbit yang berminat untuk menerbit dan memasarkannya. Beza benar dengan situasi novel-novel cinta yang banyak berlambakan di kedai-kedai buku besar mahupun di kedai-kedai buku kaki lima. Ya, mungkin kewujudan buku genre seperti ini lebih menguntungkan syarikat-syarikat penerbitan berbanding dari menerbitkan sebuah buku yang mengandungi informasi berkenaan 'Buku', 'Baca' dan 'Ulat Buku'. Wallahualam.

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--