Monday, February 27, 2012

Petanque Piala Angkasa Negeri Perak 2012

0 comments
Alhamdulillah dapat bertemu untuk kali ini. Entri kali ini cuma akan bercerita tentang penyertaan pasukan Petanque SMV Kuala Kangsar ke kejohanan Petanque Piala Angkasa Negeri Perak 2012.

Cuba lagi tahun depan!...Itu adalah ungkapan yang paling sesuai bagi menggambarkan situasi penyertaan pasukan petanque untuk tahun 2012. Pasukan yang saya tubuhkan pada Februari 2011 masih lagi belum mampu menyaingi pasukan-pasukan yang mempunyai nama seperti SMK Bukit Merchu, SMK Simpang Beluru dan pasukan-pasukan dari daerah Kuala Kangsar. InsyaAllah pada tahun ini saya akan tubuhkan pasukan yang lebih boleh mencabar pada tahun hadapan.

Penyertaan pada tahun ini begitu meriah sekali dengan sebanyak 152 buah pasukan bertanding dari 93 buah sekolah menengah. Penyertaan lelaki sebanyak 72 pasukan sementara pasukan perempuan sebanyak 80 pasukan.






Pasukan lelaki SMV Kuala Kangsar berjaya melayakkan ke pusingan ke-3 dengan meletakkan tempat sebagai 16 pasukan terbaik di dalam negeri Perak. Dalam perlawanan penentuan ke suku akhir pada pusingan ke-3, pasukan lelaki SMV Kuala Kangsar tewas kepada SMK Ulu Kinta dengan kiraan 9-13. Manakala bagi pasukan perempuan pula berjaya layak ke pusingan ke-2 sebelum tewas dengan SMK Lambor Kiri dengan kiraan mata 11-13. Kekecewaan jelas tergambar pada wajah pelajar perempuan apabila target mereka untuk layak ke separuh akhir tidak dapat direalisasikan.






Inilah ketentuan Tuhan yang maha berkuasa atas setiap sesuatu. Kita hanya mampu merancang, tapi Tuhan saja yang akan menentukan sama ada berjaya atau tidak. Sebab itulah Allah sentiasa menyuruh kita berdoa kepada-Nya agar usaha kita akan mendapat perkenan daripada-Nya.

Wasalam.

Baca selengkapnya...

Thursday, February 9, 2012

Buku bulan Disember

0 comments
Salam pertemuan di dalam bulan kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallalahu alaihi wasalam. Semoga kehadiran bulan ini akan membuatkan kita mencari dan berusaha menambah pengetahuan kita tentang riwayat hidup Nabi yang kita sayangi dan sentiasa berharap untuk bertemu dengannya suatu hari nanti. Sebuah buku yang menarik untuk kita miliki pada bulan ini ialah buku Sirah Nabawiyah S.A.W ar-rahiq al makhtum karangan al-Sheikh Safiyyu al-rahman al-mubarakfuri. Buku ini telah pun diterjemahkan dalam bahasa malaysia dan telah berada di pasaran. InsyaAllah buku ini akan mengisi kekosongan pengetahuan kita tentang sirah perjalaan hidup Nabi Muhammad yang kita kasihi.

Dalam bulan-bulan yang lepas saya sempat menghabis sebuah buku biografi tentang seorang tokoh ulama yang saya kenali melalui tulisannya sejak diperkenalkan dengan kitab "aqidah ahli sunnah wal jamaah". Tokoh yang saya maksudkan ialah Tuan Guru Hj Said bin Ibrahim (1923-2001), seorang figura ulama yang memegang jawatan mufti sabah sebanyak 2 kali (1975-1978, 1985-1989).



Buku ini saya jumpa ketika saya pulang bercuti bersama keluarga di Kedah. Terima kasih kepada saudara Roosfa Hashim kerana berusaha menghasilkan buku yang amat bernilai ini. Semoga usaha yang murni ini dapat memperoleh balasan yang setimpal di hadapan Tuhan yang Maha mulia.

Pengarang membahagikan buku ini kepada 17 bab yang sarat dengan informasi tentang perjalanan kehidupan Tuan Guru. Jika kita pernah membaca kitab-kitab karangan Tuan Guru Hj Said, saya rasa buku ini akan melengkapkan pengetahuan kita tentang siapakah sebenarnya Tn Guru Hj Said. Antara maklumat yang menarik yang di muatkan dalam buku ini ialah betapa Tn Guru Hj Said merupakan seorang insan yang selalu berkelana untuk berdakwah. Bermula kehidupan kanak-kanak di Kelantan, mendalami ilmu agama di Jambi, Indonesia, menjadi tenaga pengajar di Kelantan dan Singapura. Seterusnya berkelana di Brunei, kemudiannya di Sabah dan akhirnya tiba di Kuala Lumpur membantu memperkukuhkan perkembangan Islam di ibu kota.

Tuan Guru Haji Said merupakan seorang ulama yang dianugerahkan kebolehan menulis dengan amat baik. Tidak hairanlah jika puluhan buku dihasilkan oleh beliau malah beliau memiliki syarikat penerbitannya sendiri iaitu Darul Ma'rifah. Antara karya beliau ialah:
1. Mengenal al-Quran (Media Hasda,1991)
2. Aqidah ahli sunnah wal Jamaah (Darul Ma'rifah, 1995,2001)
3. Penolakan Terhadap Penilaian semula hadith (Media Hasda, 1987), buku ini dihasilkan untuk menjawab kritikan golongan yang cuba memesongkan pemikiran umat Islam di Malaysia tentang kaedah pengumpulan dan penyusunan hadith.
4. Qanun Jinayah Syar'iyah dan Sistem kehakiman dalam perundangan Islam berdasarkan Quran dan Hadith (Darul Ma'rifah, 1996)
5. Perbandingan Aqidah dan Fahaman Umat Islam (Darul Ma'rifah, 1995)
6. Jinayah Murtad dari sudut Hukum Syara' dan Perundangan Islam (Darul Ma'rifah, 1998)
7. Asas Kekeluargaan dalam Islam (Penerbitan Knight, 1980)
dan banyak lagi (rujuk buku ms 106 dibawah tajuk :Pengarang Prolifik)

Tuan Guru Haji Said jatuh sakit tidak lama selepas menerima anugerah Ijazah Kehormat Sarjana Pengajian Islam dari Universti Kebangsaan Malaysia. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 1.10 pagi 22 Disember 2001 (ms 124). Pemergian beliau pada usia 78 tahun merupakan satu kehilangan yang sukar di cari ganti. Benarlah kata-kata Nabi Shallalahu 'alaihi wasalam, "jika Allah berkehendak untuk mengangkat ilmu, maka akan diambil nyawa orang-orang yang pandai agama dikalangan kamu". Permata yang hilang ini telah berjasa untuk kita semua umat Islam di Malaysia bumi yang bertuah ini.

Kitab-kitab karangan Tuan Guru masih segar untuk di baca dan dijadikan rujukan ketika kita berada di dalam situasi yang mengelirukan. Sebagai contoh, akhir-akhir ini, media massa dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan menyuarakan tentang isu murtad, maka kitab "Jinayah Murtad dari sudut hukum syara' dan perundangan Islam" adalah jawapan kepada kekusutan dan kekeliruan yang mungkin kita alami.

Semoga roh Tuan Guru berada dalam rahmat Allah dan dikurniakan berada dalam taman-taman syurga yang indah di dalam alam keempat yang wajib dilalui oleh setiap manusia.

Sekian...

Baca selengkapnya...
 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--