Thursday, March 15, 2012

Buku bulan Mac 2012

0 comments
Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia kepada para pengunjung yang dihormati. Tentu saudara rakan pengunjung sedang beristirehat bersama keluarga ataupun teman yang tersayang. Tahniah diucapkan kerana dapat menyediakan masa emas bersama mereka yang kita sayangi.

Ketika saya menulis entri ini saya sebenarnya sedang melibatkan diri dengan kejohanan tenis MSSM 2012 yang sedang berlansung di bandaraya Ipoh. Rasa menyesal pun ada kerana menghabiskan cuti sekolah dengan menjadi penjaga gelanggang. Tapi setelah ditilik kembali, rasa gembira pun ada kerana inilah kali ke-3 saya terlibat dengan kejohanan MSSM. Bermula dengan bolatampar pada tahun 2008 dan 2009 kemudian tenis pada tahun 2012. Pengalaman yang diperolehi mungkin suatu hari nanti akan berguna kepada saya dalam meneruskan khidmat sebagai seorang guru, InsyaAllah.

Saya agak beruntung kerana ditempatkan untuk menjaga gelanggang tenis Institut Perguruan Hulu Kinta dimana berlansungnya perlawanan tenis bagi acara bawah 12 tahun perempuan. Lebih beruntung lagi kerana pasukan yang bertanding di venue ini terdiri daripada pasukan yang kuat dan yang kurang berpengalaman. Jadi perlawanan berakhir lebih awal daripada yang dijangkakan, kerana pasukan yang kuat begitu hebat daripada segi pukulannya dan tidak mampu di ambil oleh pasukan yang kurang berpengalaman. Perlawanan tamat menjelang pukul 12 tengah hari. Jadi saya mempunyai banyak masa diwaktu petang.

Masa yang terluang diwaktu petang membuatkan saya berkesempatan pergi ke beberapa kedai buku disekitar bandaraya Ipoh. Ketika membelek-belek buku, saya terjumpa sebuah buku yang sebenarnya diterbitkan dalam tahun 2010. Buku yang saya maksudkan ialah buku "Tribut Buat Sang Murabbi, Ustaz Hassan Shukri". Siapa Ustaz Hassan Shukri dan apa kaitan beliau hingga saya membeli buku yang menceritakan hal beliau ?. Ustaz Hassan Shukri(UHS) sebenarnya ialah antara tokoh yang terpenting dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS). Sumbangan beliau begitu banyak dalam perjalanan PAS sehingga sampai ke tahap yang ada pada hari ini. Apa kaitan UHS dengan saya agak menarik untuk saya kongsikan bersama.



UHS sebenarnya merupakan sepupu kepada bapa mertua saya. Saya sebenarnya telah berkahwin dengan orang Banjar Sungai Besar, Selangor pada tahun 2003. Pada hari perkahwinan saya dalam bulan Disember 2003, saya berkesempatan bersalaman dengan beliau yang datang jauh dari Kuala Lumpur bersama dengan isteri dan anak-anak beliau. Inilah kehebatan orang Banjar sebenarnya, ikatan kekeluargaan amat utuh sekali kerana sebut sahaja di mana majlis perkahwinan akan dilansungkan mereka akan datang meziarahinya. Pada ketika itu, UHS merupakan senator di Dewan Negara, jadi hebatlah saya kan dapat bersalaman dengan senator pada hari perkahwinan. Itulah pertemuan pertama saya dengan beliau kerana memang saudara-saudara sebelah beliau tinggal di Sepintas, Sabak Bernam, tetapi beliau sudah menetap di Kuala Lumpur. Ucapan tahniah yang beliau sebutkan kepada saya dihari perkahwinan membuatkan saya bertuah kerana ucapan tahniah dari seorang senator Dewan Negara!. Pertemuan kedua saya dengan beliau ialah pertemuan tidak sengaja dengan melihat dari cermin kereta apabila beliau datang ke Padang Rengas, Perak pada tahun 2007 untuk menziarahi Madrasah Yahyawiyah. Saya hanya sempat melambai tangan kepada beliau dan dibalas dengan lambaian oleh beliau mungkin dengan rasa hairan kerana mungkin beliau telahpun lupa akan saya. Itulah pertemuan terakhir saya dengan beliau.

Buku ini hanya setebal 112 mukasurat dengan memuatkan 11 artikel menarik yang memuatkan kisah antara penulis artikel dan UHS bermula dari mukasurat 1 hingga 78, manakala halaman sesudah itu memuatkan galeri gambar UHS. Antara penulisnya ialah Editor bagi buku ini sendiri iaitu Ustaz Riduan Mohamad Nor, YB Khalid Samad, Hj Subky Latif, YB Mohd Nasir Awang dan beberapa wartawan dan bekas wartawan HARAKAH.

Petikan daripada buku ini...

"Jemaah diuji dengan kepayahan dan kesenangan namun beliau tetap dengan dirinya yang sederhana. Intailah dia di markas tarbiah, di halaman markas dengan hamparan rumpur hijau yang dipastikan terpelihara, memungut sampah sarap agar keceriaan markas melambangkan citra perjuangan Islam yang mendambakan kebersihan. Ustaz membersihkan tandas markas, memeriksa aliran longkang agar tidak tersumbat walaupun beliau seorang ahli legislative yang berkesan di Dewan Negara.

Sosok seperti ini juga sukar digalang ganti, mesra dengan anak muda, mudah berkira dengan orang tua, mendengar dengan setia rintihan dan masalah ahli bawahan. Marah dan jerkahlah, Ustaz akan membalas dengan senyuman, sedangkan dia juga mampu menunjukkan ‘ kebanjarannya’. Makan bersila, berlaga lutut dengan ahli bawahan dibawah rimbunan teduh pokok, bergurau mesra merapatkan jurang pimpinan dengan akar umbi yang pelbagai.
Saya akan terus memancang sebuah ingatan Ustaz Hassan terhadap kami, pimpinan pemuda.

“PAS parti orang kampung. Orang susah menyokong PAS kerana perjuangan Islam yang PAS bawa. Jagalah akar umbi. Jagalah cawangan-cawangan”."

Ustaz Hassan Shukri (1939 - 2010), pada saya merupakan seorang tokoh pejuang gerakan Islam yang penting yang telah banyak meyumbang ke arah pencerahan pemikiran masyarakat. Sebagai contoh seperti mana yang dikisahkan oleh Hj Subky Latif pada halaman 67 hingga 70, UHS adalah arkitek terpenting dalam penubuhan Markaz Tarbiyah PAS diseluruh negara. Semasa beliau memegang jawatan Setiausaha Agong buat kali kedua (1982-1989), PAS mengalami serangan yang begitu hebat sekali daripada pihak parti pemerintah, justeru penubuhan Markaz Tarbiyah adalah usaha yang terbaik sekali untuk merapatkan saf dalam perjuangan (pendapat saya).

Buku ini agak menarik untuk dimiliki kerana terdapat beberapa cerita yang menarik yang tidak diketahui oleh orang ramai. Saya rasa tidak rugi jika kita letakkan buku ini dirumah sebagai koleksi peribadi dalam perpustakaan dirumah kita.

Wasalam

Baca selengkapnya...
 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--