Tuesday, January 12, 2010

Nilai perubatan Daun Ketum


Alhamdulillah bersyukur saya kepada Allah SWt kerana dengan limpah kurnianya dapt meluangkan masa untuk memetik dan menulis suatu artikel dalam sebuah majalah yang pernah saya baca pada tahun 2008.

Umum mengetahui ekstrak ketum telah diharamkan di bumi Malaysia, Thailand, Myanmar dan terbaharu Australia. Negara Thailand telah mengharamkan penggunaan daun ketum sejak dari tahun 1943.


Di Malaysia,pemprosesan atau penjualan ketum secara haram boleh didakwa di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dikenakan denda sebanyak RM 10,000 dan/atau penjara selama empat tahun. Ketum telah dikategorikan dalam kelas yang sama dengan kokain dan heroin. Namum begitu, daun ketum senang didapati kerana pengiklanan di Internet yang sangat meluas dan sukar dibendung, menggalakkan penyeludupan dan penyalahgunaan daun ini. Kajian oleh Dr. Sangun Suwanlert pada tahun 1975 mengukuhkan lagi dakwaan tentang kesan ketagihan ketum.

Ketum atau pokok biak ialah nama yang amat dikenali di Malaysia juga dikenali sebagai kratom, ithang, kakuan atau thom di Thailand. Spesis ketum atau nama saintifiknya Mitragyna spesiosa Korth tumbuhan asal kawasan di sekitar Asia Tenggara. Tumbuhan ini tergolong dalam keluarga Rubiacaea, yang jga keluarga pokok kopi.

Pokok ketum boleh tumbuh sehingga mencapai ketinggian 50 kaki dan mempunyai batang yang berkualiti tinggi. Daun ketum dikelaskan kepada dua jenis, iaitu daun yang berurat merah dan hijau. Daun yang berurat merah dipercayai mempunyai kesan halusinogenik yang lebih kuat berbanding dengan daun yang berurat hijau. Di dalam ekstrak daun ketum sendiri, terdapat lebih daripada 25 bahan aktif yang dikenali sebagai alkaloid. Melalui banyak kajian yang dilakukan, saintis menemui bahawa mitraginin, iaitu alkaloid utama bagi spesis ini mempunyai kesan stimulus dan juga sedatif, sama seperti dadah narkotik yang lain seperti candu.

Pelbagai cara pengambilan daun ketum yang diamalkan oleh pengguna seperti direbus dan dibuat sirap (teh), dikunyah bersama sirih, dihisap bersama tembakau atau candu dan juga dibuat serbuk yang halus dan diletakkan di atas lidah bagi mendapatkan kesan gian akan dia. Resin pokok ketum juga kadangkala diekstrak dan dimakan sahaja atau dicairkan di dalam air.

Secara tradisionalnya, masyarakat mengambil daun ketum untuk mengurangkan kesakitan, cirit-birit, merawat demam dan melawan keletihan (fatigue). Kebanyakan buruh mengambil daun ketum untuk mencergaskan diri ketika bekerja di bawah terik matahari dan mengelakkan mengantuk. Selain meningkatkan kecergasan fizikal, daun ketum juga dipercayai mampu meningkatkan tenaga batin.

Pengambilan daun ketum memberikan kesan yang berbeza jika diambil dengan dos yang berlainan. Jika diambil dengan dos yang kecil, ketum boleh bertindak mengurangkan kesakitan. Manakala, jika diambil dalam dos yang besar, kesan ketagihan bakal berlaku. Hal ini berlaku kerana pada dos yang besar, mitraginin akan bergabung dengan mureseptor (µ-reseptor) dan menyebabkan reseptor tersebut dapat bertoleransi terhadap mitraginin dan ini menyumbang kepada ketagihan.

Pada dos yang kecil pula, mitraginin akan bergabung dengan delta-reseptor (Δ-reseptor)dan memberikan kesan yang kecil sahaja kepada reseptor tersebut. Oleh sebab itu, daun ketum digunakan bagi mengurangkan ketagihan akibat candu atau ganja yang memberikan kesan yang lebih kuat berbanding dengan daun ketum sendiri. Pengambilan daun ketum secara sederhana mampu mengurangkan keinginan yang tinggi tehadap candu atau ganja tersebut.

Kesan pengambilan ketum yang berlebihan mampu menimbulkan ketagihan. Namun, kesan yang berbeza dapat dilihat jika frekuensi pengambilan pelbagai. Jika diambil dalam masa yang singkat, simptom yang dapat dilihat ialah mulut kering, hilang selera makan, cirit-birit, sembelit dan sebagainya. Manakala simptom jika diambil dalam masa lama (kronik) ialah hilang selera makan yang melampau, jaundis, insomnia, kadangkala berlaku masalah mental, iaitu gila serta kematian jika serius. Pengguna juga akan mengalami perubahan sikap contohnya mudah meradang dan tidak dapat menumpukan perhatian.

Namun banyak kajian dilakukan ke atas spesis ini sama ada lanjutan daripada kaedah tradisional atau berdasarkan teori. Contohnya, penyelidik telah dapat membuktikan bahawa Mitragyna speciosa dapat mengurangkan cirit-birit. Kajian lain juga menunjukkan keberkesanan daun ketum dalam mengurangkan sindrom "daya tarikan" disebabkan ketagihan. Kajian mendalam juga telah dilakukan bagi mengenal pasti fungsi setiap alkaloid yang terkandung di dalam Mitragyna speciosa.

Jepun, Thailand dan Malaysia kini giat melakukan penyelidikan terhadap spesis ini dan mengharapkan dapat menyumbang kepada dunia perubatan. Oleh itu, jika penggunaan daun ketum dibenarkan dalam dunia perubatan, tindakan kawalan yang tegas harus dijalankan bagi mengelakkan penyeludupan dan penyalahgunaan yang akan berlaku....

Sumber rujukan
1. www.usm.my/drug/presentation/Daun%20Ketum.pps
2. Majalah Kosmik Ogos 2008 m/ 59-61

1 comments:

Amanda on December 31, 2019 at 11:18 AM said...

Te agradezco toda la información ya que estoy preparando una exposición sobre los beneficios del kratom comprar capsulas y su legalidad en el país.

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--