Manusia adalah sebahagian daripada makhluk Allah SWT selain daripada jin, malaikat, syaitan, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Berbanding dengan makhluk lain, Allah SWT menyatakan dalam al-Quran bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian sebagaimana firman Allah SWT dalam surah at-Tin ayat 4 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik rupa bentuk" (Tafsir fi Zilalil Qur'an)
Menurut Tafsir fi Zilalil Quran, memang tiap-tiap kejadian itu diciptakan dengan sebaik-baiknya, tetapi Allah SWT menyebutnya secara khusus bahawa manusia itu dijadikan dengan sebaik-baik susunan dan rupa bentuk.
Perhatian dan 'inayah Allah yang besar terhadap makhluk insan ini, walaupun ia mempunyai titik kelemahan dan sering dilanda kerosakan dan penyelewengan dari fitrah yang suci, menunjukkan ia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT dan mempunyai nilai istimewa dalam susunan kejadian alam ini. Perhatian dan 'inayah Allah yang besar itu dapat dilihat dengan jelas dalam susunan kejadiannya yang amat rapi, sama ada dalam susunan anggota badan yang amat seni dan canggih atau dalam susunan kejadian rohaniyahnya yang menakjubkan (Tafsir fi Zilalil Qur'an)
Dengan berbekalkan gajet yang amat istimewa iaitu akal fikiran, manusia ditugaskan memikul tanggungjawab sebagai khalifah untuk memakmurkan alam ini. Tetapi awas, jika manusia menyimpang dan menyeleweng dengan fitrahnya dari garis lurus yang ditunjukkan oleh Allah SWT, ia akan diletakkan menjunam ke bawah sampai ke lapisan neraka yang paling bawah sekali. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah at-Tin ayat 5 yang bermaksud: "Kemudian Kami kembalikannya ke tingkat yang sebawah-bawahnya"
Peringkat Kejadian Manusia
Manusia pertama yang dijadikan oleh Allah SWT di atas muka bumi ini ialah Nabi Adam A.S.Baginda dicipta daripada tanah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:"Dan sesungguhnya Kami telah menciptaka manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya."(al-Hijr:26). Daripada tulang rusuk baginda diciptakan pula wanita pertama iaitu Hawa, isteri baginda. Maka daripada dua manusia inilah generasi manusia berkembang dan terus berkembang sehingga ke hari ini. Sepanjang kehidupan seseornag insan mereka akan melalui pelbagai peringkat kehidupan. Ia bermula daripada peringkat pertama, alam roh sehinggalah ke satu peringkat yang kekal abadi iaitu alam akhirat. Justeru peringkat-peringkat yang dilalui oleh setiap insan adalah seperti berikut:
(a) Alam Roh
Disinilah kejadian manusia bermula sebagaimana yang dinyatakan bahawa Allah SWT meniupkan roh ke dalam tubuh Adam yang dijadikan daripada tanah lalu ia menjadi manusia yang pertama. Firman Allah SWT maksudnya:"Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadian-nya, serta Aku tiupkan padanya roh daripada (ciptaan)Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya."(al-Hijr:29)
(b) Alam Rahim
Peringkat ini, manusia bergelar janin. Ia akan berada di dalam kandungan ibunya selama sembilan bulan sebelum dilahirkan (akan saya bincangkan dalam catatan akan datang)
(c) Alam Bayi
Pada peringkat ini, insan itu dilahirkan oleh ibunya sebagai seorang bayi yang suci dan bersih.
(d) Alam Remaja
Bayi membesar menjadi remaja. Peringkat remaja ialah umur manusia daripada 13 hingga 25 tahun. Mereka masih belum benar-benar matang untuk berhadapan dengan pelbagai godaan dan keseronokan hidup. Mereka perlu sentiasa dibimbing dan diberi didikan yang sempurna oleh ibu bapa atau penjaganya.
(e) Alam Dewasa
Secara umum peringkat umur manusia adalah antara 26 hingga 50 tahun. Kebiasaannya diperingkat ini, manusia sudah benar-benar matang dalam membuat sesuatu petimbangan dan keputusan.
(f) Alam Tua
Alam Tua ialah pengakhiran peringkat kehidupan manusia di dunia. Tidak ada satu julat umur yang khusus untuk alam ini kerana manusia yang matang akan merasakan ia sudah berada di alam ini setelah mengalami semua proses dan pengalaman hidup.
(g) Alam Barzakh
Alam ini juga dikenali sebagai alam kubur. Disinilah bermula persoalan tentang amalan hidup manusia ketika hidup. Bagi yang beramal solah ia akan mendapat rahmat dan nikmat. Manakala bagi yang leka dan lalai semasa di dunia keran sentiasa melakukan kejahatan dan kerosakan, ia akan dikenakan azab dan seksa yang amat pedih di dalam kubur.
(h) Alam Akhirat
Dalam alam ini setiap manusia akan dihitung segala amalan baik dan buruk. Amalan yang baik akan dibalas baik, iaitu syurga, manakala amalan jahat pula akan dibalas dengan azab neraka jahanam. Firman Allah SWT maksudnya:"Sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar zarrah, nescaya dilihatnya (dalam surat amalnya)." (al-Zalzalah:7-8)
Berkenaan dengan kedua-dua ayat ini, As-Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah menyatakan dalam Tafsir fi Zilalil Qur'an:"Kata-kata zarrah telah ditafsirkan oleh Mufassirin dahulu sebagai "lalat".Ada pula yang mentafsirkannya dengan habuk-habuk debu yang kelihatan pada cahaya matahari. Itulah benda yang paling kecil yang dapat mereka tanggapkan dari kata-kata zarrah pada waktu itu. Tetapi zarrah yang kita ketahui sekarang ialah "atom", dan atom itu lebih kecil dari habuk-habuk debu yang dilihat pada cahaya matahari, kerana habuk-habuk itu masih dapat dilihat dengan mata kasar, sedangkan atom tidak dapat dilihat. Atom merupakan sesuatu yang boleh dilihat dalam hati-hati ahli-ahli sains. Tiada seorangpun daripada mereka yang dapat melihat atom dengan matanya atau mikroskopnya, apa yang dapat dilihat mereka hanya kesan-kesan sahaja. Amalan-amalan yang seberat atom ini, baik amalam baik mahupun amalan jahat, akan dihadirkan kelak dan diperlihatkan kepada yang melakukannya dan akan diberikan balasannya. Oleh itu, setiap orang tidak seharusnya memperkecil-kecilkan amalannya dengan mengatakan, "Ini cuma kecil sahaja, tidak dikira dan ditimbang." Malah hatinya harus menggeletar di hadapan setiap perbuatan sebagaimana neraca yang halus akan bergerak meninggi atau menurun dengan sebab berat sebiji atom itu. Neraca yang menimbangkan amalan itu adalah suatu neraca yang tiada tolok bandingannya di dalam dunia ini kecuali neraca dalam hati Mukmin iaitu hati yang terus menggeletar, kerana melakukan kebaikan atau kejahatan seberat atom. Di sana ada hati-hati di dunia yang tidak tergoncang walaupun oleh dosa-dosa dan maksiat yang sebesar gunung, dan tidak merasa apa-apa walaupun ia telah bertindak menghancurkan kebaikan yang lebih teguh daripada gunung. Itulah hati-hati yang degil di bumi yang akan hancur luluh pada Hari Hisab"
Setiap manusia terdiri daripada dua unsur iaitu rohani dan jasmani. Rohani adalah bermaksud roh atau nyawa manusia. Manakala jasmani ialah jasad manusia itu sendiri yang dilengkapi dengan pelbagai anggota badan.
Unsur Rohani
Roh ialah ciptaan Allah SWT yang tidak dapat dilihat oleh manusia dengan pandangan mata kasar dan tidak dapat ditanggapi oleh pancaindera. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu tentang hakikat roh.
Firman Allah SWT maksudnya: "Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang roh. Katakanlah "roh itu dari urusan Tuhanku". Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja."(al-Isra':85)
Tanpa roh, jasad tidak akan berguna. Manusia akan mati tanpa roh di badan. Ketika manusia menemui ajal, rohnya akan dicabut oleh malaikat maut, iaitu Izrail dan kemudian akan dikembalikan semula kepada jasad pada hari kiamat. Roh tidak akan musnah walaupun ia bercerai dari badan. Oleh sebab ketika di alam Barzakh walaupun jasad manusia hancur namun rohnya tetap akan merasai nikmat atau azab kubur
Firman Allah SWT maksudnya:"(Ingatlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan). Itulah hari masing-masing nampak kerugiannya. Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Yang demikian itulah kemenangan yang besar." (at-Taghabun:9)
Unsur Jasmani
Berbeza daripada roh, unsur jasad boleh dilihat dan ditanggapi oleh pancaindera. Ia berupa dan berbentuk. Jasad bukan sahaja mempunyai anggota badan tertentu malah ia juga dilengkapi dengan lima pancaindera utama iaitu mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, hidung untuk menghidu dan bernafas, lidah untuk merasa, tangan untuk memegang dan kaki untuk bergerak.
Jasmani manusia memerlukan makan, minum, tidur, rehat dan sebagainya. Apabila cukup segala keperluannya, jasmani manusia akan menjadi sihat. Oleh yang demikian manusia perlulah sentiasa menjaga jasmaninya agar sentiasa sihat. Walaubagaimanapun sebagai mana sifat jasad yang berbentuk material, ia tetap tdak akan kekal. Apabila tiba ajalnya, jasad manusia akan terpisah daripada rohnya dan ia akan menemui Tuhannya Yang Maha Esa.
Sumber Rujukan:
1. Majalah Cahaya, Januari/Februari 2008, Jakim
2. Tafsir fi Zilalil Qur'an, Asy-Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, Jilid 17
13 years ago
0 comments:
Post a Comment