Tuesday, November 3, 2009

Sirah Ibadah Korban


Alhamdulillah bersyukur saya kepada tuhan yang Maha Esa kerana dengan limpah nikmatNya dapat meluangkan masa untuk menulis catatan terbaru setelah hampir seminggu tidak menjenguk blog ini.

Terlintas difikiran saya untuk berkongsi maklumat tentang ibadah korban atau perayaan Hari Raya Aidil Adha kerana dua orang rakan guru dari SM Teknik Kuala Kangsar akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini. Kepada mereka berdua, saya ucapkan tahniah dan semoga beroleh haji yang mabrur. InsyaAllah.

Hari Raya Aidi Adha atau Hari Raya Haji merupakan satu perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Aidil Adha disambut pada hari ke 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah setiap tahun. Mengikut bahasa perkataan korban bermaksud dekat. Manakala dari segi istilah ialah menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah SWT kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hri ke-10 pada bulan Zulhijjah iaitu bulan terakhir dalam kalendar Hijrah Islam. Pada pagi hari raya umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak dua rakaat. Ibadah korban pula hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu khatib menyampaikan khutbah Hari Raya Aidil Adha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijjah.

Sejarah Korban
Melakukan korban dengan menyembelih binatang dan lain-lain kepada Allah SWT sudah lama diamalkan. Ini jelas sebagaimana firman Allah SWT yang menceritakan tentang Habil dan Qabil iaitu putera Nabi Adam A.S dalam surah al-Maidah yang bermaksud:"Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) daripada yang lain (Qabil)..."

Persembahan korban juga berlaku di kalangan orang Yahudi, sebagaimana diceritakan dalam al-Quran dalam surah Ali-Imran ayat 183 yang bermaksud:"Orang (Yahudi itulah) yang berkata "Sebenarnya Allah SWT telah perintahkan kami, supaya jangan beriman kepada seorang Rasul sehingga dia membawa kepada kami korban yang dimakan api".

Perbuatan menyembahkan korban kekal menjadi amalan orang Yahudi untuk mereka jadikan sebagai bukti kebenaran mana-mana nabi yang diutus kepada mereka, sehinggalah ia dimansuhkan oleh nabi Isa A.S.

Al-Quran menceritakan kisah pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S kepada anaknya Nabi Ismail A.S dalam memenuhi perintah Allah SWT supaya menyembelih putera kesayangannya itu untuk dijadikan korban. Cerita ini disebut dalam surah as-Saffat ayat 102 yang bermaksud:"...Nabi Ibrahim berkata, Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi, bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?" Anaknya menjawab, "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, InsyaAllah ayah akan mendapati daku dari orang yang sabar."

Ayat di atas uga menjelaskan bahawa Nabi Ismail adalah seorang yang taat kepada perintah Allah SWT. Ketika berlakunya penyembelihan, Allah SWT menunjukkan kekuasaan-Nya bahawa yang disembelih adalah seekor kibas bukannya leher Nabi Ismail A.S.

Nabi Muhammad SAW meneruskan ibadah korban ini setiap tahun pada Hari Raya Aidil Adha dan hari-hari Tasyrik. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Kauthsar ayat 1-3 yang bermaksud:"Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)."

Begitu juga dengan hadith yang telah diriwayatkan oleh Anas RA yang bermaksud:"Nabi SAW berkorban dengan dua ekor kibas (biri-biri putih) yang bertanduk. Baginda menyembelih keduanya dengan tangan baginda sendiri sambil membaca Basmalah dan bertakbir dan Baginda meletakkan (menginjakkan) kakinya di pangkal leher biri-biri itu."(H.S Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hikmah dari Pensyariatan Ibadah Korban

Islam mensyariatkan ibadah korban itu sebagai salah satu ciri mendekatkan diri kepada Allah SWT. Antara hikmahnya ialah:

1. Menerusi ibadah korban dapat mendekatkan diri umat Islam kepada Allah SWT. Ibadah ini menjadi bukti kepada keikhlasan dan kesetiaan serta ketaatan hamba-Nya kepada Allah SWT. Melakukan ibadah korban, seseorang umat Islam akan mendapat tempat yang mulia disisi Allah SWT sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:"Wahai manusia, semebelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah SWT dengan darahnya. Sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah SWT." (Riwayat Thabarani)

2. Mengekalkan ingatan kita kepada kisah Nabi Ibrahim A.S yang mengorbankan puteranya Nabi Ismail A.S dengan menyembelihnya, akan tetapi Allah SWT menggantikannya dengan seekor kibas. Ini berdasarkan kepada hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:"Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata:Para sahabat Rasulullah SAW bertanya: "Wahai Rasulullal SAW, apakah yag ada pada korban itu? Jawab Rasulullah SAW: "Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim. Mereka berkata:"Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW menjawab:"Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya."Mereka berkata:"Bagaimana pula dengan bulunyanya wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW menjawab:"Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya." (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi)

3. Memupuk sikap mengambil berat terhadap golongan fakir dan miskin. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 34 yang bermaksud:"Dan bagi tiap-tiap umat, kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka, binatang-binatang ternak yang disembelih itu..."

4. Menyemai dan menanamkan sifat dan nilai-nilai murni ke dalam diri dengan mengambil teladan terhadap kesabaran Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada diri sendiri dan anak.

5. Berkorban juga boleh menebus dosa-dosa kita iaitu dengan setiap titisan darahnya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW kepada Saiyidina Fatimah yang bermaksud:"Hai Fatimah!Berdirilah disisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atau dosa-dosamu." (Riwayat al-Bazaar dan Ibnu Hibban)

6. Melahirkan kesyukuran kepada Allah SWT terhadap nikmat hidup yang telah diberikan-Nya. Melakukan ibadah korban adalah antara tanda mensyukuri nikmat Allah SWT. Kesenangan yang dikurniakan sewaktu hidup di dunia, dikongsi bersama dengan golongan yang memerlukan. Sekiranya kita sering menghulurkan bantuan, InsyaAllah rzeki akan bertambah.

Semoga perkongsian ilmu ini akan menjadi pemangkin kepada kita agar lebih menghargai perayaan Hari Raya Korban berbanding sebelum ini. InsyaAllah

Sumber rujukan
1. Majalah Cahaya, Jakim, November/Disember 2007
2.Buku Teks Pendidikan Islam Tingkatan 4, Pelajaran 13 dan 14.

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--