Alhamdulillah bersyukur saya kerana dengan limpah rahmat Tuhan sekalian alam mampu saya meluangkan masa di waktu petang ini.
Pada ketika saya sedang menaip entri ini, keadaan cuaca diluar rumah begitu dingin sekali dengan curahan hujan sebagai rahmat untuk alam ini. Sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Allah Subhanahu wata'ala di dalam surah al-An'am ayat 99 yang bermaksud:
"Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus, dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah tang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima, yang bersamaan (bentuk,rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikan kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.
Kemudian daripada itu,
Setelah hampir selama 3 bulan persekolahan berlansung serta berfikir dengan sewaras-warasnya, saya merasakan patut saya menukarkan tajuk blog ini kerana tajuk tersebut sudah tidak lagi sesuai dengan keadaan yang berlaku disekeliling. Pertukaran nama sekolah dari SM Teknik Kuala Kangsar kepada SM Vokasional Kuala Kangsar serta kejayaan saya dalam permohonan sebagai guru cemerlang sains begitu mewajibkan saya menukarkan nama blog ini.
Pemilihan nama 'APPLIED SCIENCE AT SMVKK' mengambil kira maksud pertukaran nama SMTKK kepada SMVKK dan ikatan sains iaitu suatu jalinan yang kukuh seolah-olah seperti ikatan yang terdapat dalam sebatian kimia. Maka sebagai seorang guru seharusnya saya cuba membina dan mengaitkan ikatan antara kehidupan remaja dan pengetahuan sains serta dengan keadaan yang berlaku di sekeliling. Saya tahu kesan daripada penukaran nama ini akan mengakibatkan laman ini jatuh rankingnya namun ianya tidak menjadi masalah pada saya kerana tujuan asal saya berblog adalah untuk mengasah kebolehan saya dalam bidang penulisan. Memang berat di hati untuk menukarkan nama blog ini setelah hampir tiga tahun mengendalikannya, kenalan pun dah ramai, bekas anak didik pun selalu berkunjung bertanya khabar, namun sesuatu tindakan harus di ambil.
Terlalu banyak peristiwa yang berlaku di SMV Kuala Kangsar seperti Majlis Sambutan Maulidur Rasul, Kejohanan Bola Tampar MSSD Kuala Kangsar, Kejohanan Ragbi MSSD Kuala Kangsar dan terkini SMV Kuala Kangsar menjadi tuan rumah bagi kejohanan balapan dan padang MSSD Kuala Kangsar. Agak sibuk di fasa pertama sesi persekolahan dengan aktiviti sukan. Saya mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada rakan-rakan guru serta pelajar yang bertungkus lumus dalam menjayakan program yang telah saya sebutkan di atas. Semoga usaha gigih saudara sekalian akan mendapat ganjaran disisi Allah Subhanahu wata'ala.
Esok (23/11/2011) keputusan SPM 2010 akan diumumkan. Jadi mungkin pada ketika ini kegoncangan debaran jantung calon-calon SPM 2010 semakin pantas. Banyakkan berdoa kepada Allah dan tabahkan hati ketika datang mengambil keputusan peperiksaan. Tuhan tidak akan menganiya orang-orang yang banyak berserah diri kepada-Nya. Dalam menempuh kehidupan ianya ibarat pusingan roda ada kalanya kita disanjung dan ada kalanya kita berada dibawah hinggakan orang tidak mempedulikan kita. Itula lumrah kehidupan.
Sekian.....
13 years ago
0 comments:
Post a Comment