Catatan pada hari ini mengulas buku-buku yang saya baca sepanjang bulan Oktober yang lepas. Walaupun agak ketinggalan dalam mengulas keunikan buku ini, kerana pada fikiran saya ramai telahpun membacanya. Namun sebagai usaha menambahkan sumber rujukan pengunjung, saya akan mengulas dari sudut pandangan peribadi saya.
Kesempatan masa yang diberikan oleh Allah SWT pada bulan Oktober yang lepas membuatkan saya mencari dua buah buku yang telah lama diidamkan iaitu:
1. Apa Itu Al-Quran
2. Apa Itu Ilmu Hadis
Buku Pertama: Apa Itu Al-Quran
Buku bersaiz poket ini ditulis oleh Ustazah Muzayyanah Abdullah mengandungi 5 bab dengan 87 mukasurat. Isi dan maklumat yang terdapat dalam buku ini amat padat dan mudah difahami oleh pembacanya. Olahan bahasa yang santai beserta dengan bukti ayat dari Al-Quran memberi gambaran yang begitu jelas mengapakah Al-Quran merupakan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang paling agung.
Bab 1: Apa Itu Al-Quran?
Penulis menceritakan proses penurunan Al-Quran hinggalah proses pengumpulan serta pembukuan Al-Quran oleh Saidina Uthman ibn Affan. Proses penurunan Al-Quran sebagaimana maklum berlaku selama 23 tahun. Proses yang mengambil masa ini kerana Allah Maha Mengetahui tahap kemampuan Nabi Muhammad SAW sebagai manusia biasa. Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur supaya Nabi Muhammad SAW dapat memantapkan setiap ayat dalam hatinya. Dengan cara ini, Nabi SAW lebih yakin menyampaikan segala kandungan al-Quran yang diterima kepada sahabat-sahabatnya.
Seterusnya, penulis menjelaskan beserta dengan bukti-bukti ayat al-Quran yang menyatakan bahawa al-Quran adalah diturunkan oleh Allah SWT dan merupakan kalam Allah SWT.
Selanjutnya, penulis menyatakan beserta dengan dalil dari al-Quran tentang sifat-sifat al-Quran iaitu
(a) Terang dan nyata (Surah Yunus ayat 61 dan Surah an-Naml ayat 1)
(b) Menyatakan kebenaran (Surah Yaasin ayat 69)
(c) Menjelaskan (surah Yusuf ayat 1 dan Surah al-Hijr ayat 1)
(d) Mengandungi kebijaksanaan (Surah al-Hijr ayat 87)
(e) Banyak mengandungi kemuliaan dan kebaikan (Surah Qaf ayat 1)
(f) Mulia (Surah al-Buruj ayat 21)
Bab 2:Objektif diturunkan
Objektif utama Allah SWT menurunkan al-Quran adalah sebagai petunjuk bagi seluruh umat manusia. Dalam bab ini, penulis mengambil sebahagian ayat al-Quran yang menjelaskan antara objektif yang dinyatakan dalam al-Quran itu sendiri
(a) Petunjuk (Surah al-Baqarah ayat 185 dan surah al-Israk ayat 9)
(b) Peringatan (Surah al-An'am ayat 19, al-Israk ayat 41, Taha ayat 2, Yaasin ayat 69, Sad ayat 1
(c) Mengakui kitab terdahulu (Surah Yunus ayat 37)
(d) Memberitahu berita gembira (al-Israk ayat 9)
(e) Penghalang daripada orang jahat (al-Israk ayat 45)
(f) Penyembuh (al-Israk ayat 82)
Bab 3: Isi kandungan al-Quran
Al-Quran diturunkan sebagai pelengkap dalam kehidupan setiap individu Muslim. Ia mengandungi pelbagai pengajaran yang dapat dijadikan teladan dalam setiap inci kehidupan. Al-Quran memberitahu cara menjadi manusia paling sempurna di sisi Allah SWT sehingga menjadi manusia terbaik di sisi masyarakat. Antara kandungan al-Quran yang disebutkan oleh penulis ialah
(a) Janji Allah (Surah At-Taubah ayat 111)
(b) Cerita Umat Dahulu (an-Naml ayat 76, surah Maryam ayat 34)
(c) Sebaik-baik cerita (surah Yusuf ayat 3)
(d) Perumpamaan (al-Israk ayat 89, al-Kahfi ayat 54, ar-Rum ayat 58, az-Zumar, ayat 27)
(e) Janji buruk (Taha, ayat 113)
(f) undang-undang dan peraturan
Bab 4: Kelebihan al-Quran
Kehidupan yang cemerlang pasti mempunyai garis panduan yang hebat untuk diikuti. Perdana Menteri yang berjaya memimpin negara untuk mencapai konsep Satu Malaysia juga pasti mempunyai panduan menguruskan kehidupan. dalam agama Islam, al-Quran adalah buku panduan paling lengkap untuk dibaca, dihayati dan diamalkan segala isi kandungannya. Pengisiannya meliputi pelbagai aspek kehidupan
(a) Buku Manual Kehidupan
(b) Satu Huruf 10 ganjaran
(c) Pembaca al-Quran dicemburui
(d) Perniagaan yang sentiasa menguntungan
Bab 5: Berinteraksi dengan al-Quran
Melalui al-Quran, manusia dapat berinteraksi dengan Tuhan. Pelbagai cara dapat diamalkan dan apa yang penting segala amalan itu disandarkan kepada al-Quran dengan tujuan mencari kemuliaan daripada Tuhan semesta alam.
(a) Baca
(b) Dengar
(c) Diam dan beri tumpuan
(d) Cabaran Tuhan
(e) Terima keseluruhannya
(f) Minta perlindungan daripada Syaitan
(g) Jangan mendahului al-Quran
(h) Jangan pertikai
(i) Fahami dan fikir
(j) Beri peringatan
(k) Ambil pengajaran
(l) Tunduk menghormati
Buku kedua: Apa Itu Ilmu Hadis?
Buku kedua yang saya baca pada bulan lepas juga bersaiz poket. Buku ini ditulis oleh Ustaz Hasnan bin Abu Bakar menerangkan cabang ilmu hadis yang perlu dipelajari bagi memahami konsep hadis sahih, hadis hasan, hadis daif dan sebagainya. Mengandungi 80 mukasurat dengan 6 bab.
Bab 1: Gambaran Kasar Ilmu Hadis
Nabi Muhammad SAW adalah sumber utama yang menyampaikan berita kepada para sahabat yang hidup sezaman dengan beliau. Segala perbuatan, percakapan dan segala yang ditunjukkan oleh nabi Muhammad SAW adalah merupakan sunnah yang perlu dicontohi. Apabila Nabi SAW wafat, para sahabat menceritakan segala nasihat dan tingkahlaku Nabi SAW kepada para pengikut mereka, para tabi'in iaitu golongan yang tidak berpeluang berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Generasi tabiin seterusnya menyampaikannya kepada generasi Tabi' Tabi'in. Generasi ini yang merekodkan hadis secara serius. Selepas beberapa kurun berlalu, kita yang hidup di zaman ini dapat membaca hasil tulisan generasi Tabi' Tabi'in.
Bab 2: Menjiwai Realiti
Ilmu Hadis bukan hanya sekadar berita. Ia adalah berita yang keluar dari mulut dan tingkah laku seorang utusan Tuhan. Menyeleweng berita daripada Nabi Muhammad SAW bermaksud menyeleweng ajaran Tuhan. Ilmu hadis ialah suatu ilmu yang unik kerana ianya tidak pernah diasaskan oleh mana-mana tamadun-tamadun terdahulu.
Konsep berpegang kepada kebenaran inilah menjadi suatu motivasi agung yang ada pada para penyampai, perekod dan pengkaji hadis hingga ke hari ini.
Nabi Muhammad SAw tidak pernah mendakwa semua ajaran itu datang daripada pemikiran beliau sendiri. Beliau juga tidak pernah mendakwa beliau diajar olah mana-mana guru. Sebaliknya, beliau mendakwa semua itu datang dari Allah SWT.
Penulis membawa suatu kisah pada zaman sahabat yang membuktikan nilai suatu hadis dipandang tinggi. Kisahnya....
"Antara perselisihan besar yang timbul sejurus selepas Nabi Muhammad SAW wafat adalah tempat pengkebumian beliau. Orang Islam Mekah mahu beliau dikebumikan di Mekah. Manakala, orang Islam Madinah pula mahu beliau disemadikan di Madinah. masing-masing berdebar sehingga hampir-hampir mencetus perbalahan. Namun, Khalifah Islam yang pertama, Abu Bakar As-Siddiq yang baharu tiba ketika itu menyelamatkan keadaan. Kata Abu Bakar, saya pernah mendengar Nabi Muhammad SAW menyebut,
Sejurus mendengar hadis itu, masing-masing akur. Seolah-olah nabi yang terkujur kembali bangun berkata-kata."
Kematian sahabat terakhir Amir bin Wailah pada tahun 110 H, membuka lembaran baru dengan susur galur penyampai hadis memasuki era tabi' tabi'in. Pada zaman ini, hadis hanya diperolehi melalui mulut para tabi'in. Pada zaman inilah lahirnya enam ulama hadis yang tersohor (kutub al-hadith al-sittah)
Bab 3: Memastikan Kebenaran Hadis
Ada beberapa perkara yang perlu dipastikan sebelum sesebuah hadis diterima:
1. Identiti setiap pelapor hadis
2. Hubungan pelapor hadis dengan penyampai sebelumnya
3. Akhlak setiap pelapor hadis
4. Ingatan pelapor hadis.
Syarat hadis Sahih
1. Susur galur perlu bersambung antara semua penyampai hadis
2. Para penyampai hadis perlu berstatus "adil"
3. Para penyampai hadis perlu berstatus "kuat ingatan"
4. Teks hadis perlu selari maksudnya
Bab 4: Hadis yang Tidak dapat dipastikan dan Hadis yang ditolak
Hadis yang tidak dapat dipastikan kebenarannya ialah Hadis Hasan dan Hadis Daif. Manakala hadis yang tertolak ialah Hadis Maudu'.
Bab 5: Aplikasi Semua Jenis Hadis
1. Hadis Sahih
Penulis mencetuskan satu gambaran, iaitu apabila kita dihidangkan dengan hadis Sahih, tiada sebarang alasan kita menafikan kebenaran isi kandungannya. Sekiranya seseorang itu menolaknya, dia dikira berdosa.
2. Hadis Hasan
Dalam melibatkan perkara pegangan akidah, Hadis Hasan tidak boleh menjadi hujah yang kuat.
3. Hadis Daif
Tidak boleh dijadikan sandaran dalam hukum hakam kecuali dalam ruang yang terhad. ia hanya diterima apabila melibatkan kelebihan sesuatu amalan.
4. Hadis Maudu'
Hadis dalam kategori ini tidak dapat dijadikan sandaran, malah perlu dibanteras. Ia adalah penipuan yang berat pada Nabi Muhammad SAW utusan Tuhan
Bab 6: Soalan Umum Ilmu Hadis
Penulis membicarakan tentang beberapa soalan yang sering ditanya tentang ilmu hadis. jawapan yang diberikan oleh penulis padat dan jelas serta membawakan beberapa analogi menggambarkan mutu ilmu hadis itu sendiri.
Alhamdulillah, semoga perkogsian ilmu ini dapat membantu kefahaman kita kepada al-Quran dan Ilmu Hadis. Allahumma amin!
0 comments:
Post a Comment