Monday, November 16, 2009

Idealisme Vs Hedonisme


Sedar atau tidak, pada setiap tahun pada bulan-bulan tertentu kita dihidangkan dengan karnival Jom Heboh, Suarasa dan bermacam lagi karnival yang gah dilaungkan setiap hari di saluran media utama tanah air. Selalu kita lupa tentang Pesta Buku Antarabangsa dan Pesta Komputer atau PC Fair. Umum mengetahui kepentingan pesta buku mengatasi kepentingan karnival Jom Heboh. Namun kita selalu lupa........


Kita seharusnya mengubah paradigma dalam pendidikan daripada hanya berpusatkan pelajaran kepada pelajar. Maksudnya, tumpuan harus kepada 'manusia' bukan hanya semata-mata pada subjeknya. Pelajar atau remaja mesti dilihat sebagai seorang manusia yang mesti di didik agar mempunyai wawasan diri, prinsip kepercayaan (belief) dan nilai (value). Inilah yang dikatakan idealisme dalam kehidupan.

Idealisme sangat berkait rapat dengan fitrah manusia. Setiap manusia inginkan kebaikan, kebenaran dan kesempurnaan. Fitrah inilah yang bergolak dalam setiap jiwa terutamanya generasi muda. Mereka inginkan sesuatu yang murni, pasti dan sejati untuk memenuhi gelora, cabaran, ketidakpastian dan semangat penerokaan zaman remaja.

Pemuda Ashabul Kahfi merasa resah terhadap raja dan rakyat yang menyembah berhala. Remaja seperti Sayidina Ali k.w berani membuat keputusan untuk beriman kepada Nabi Muhammad SAW, suatu tidakan yang menentang arus kepercayaan majoriti rakyat pada ketika itu. Semangat yang sama berlaku kepada 'The Young Turks'-remaja Turki yang berani menentang kejumudan kesultanan Uthmaniyah untuk memodenkan negara mereka. Di Malaysia contohnya, semasa muda sebagai mahasiswa, Anwar Ibrahim dan rakan-rakan menentang dasar kerajaan atas dasar keperimanusian keperitan dan kesusahan hidup penoreh getah di Baling, Kedah. Remaja-remaja di atas adalah contoh remaja-remaja yang sedang menempuh semangat penerokaan zaman remaja. Remaja ini juga mempunyai idealisme dalam perjuangan mereka.

Tidak kira samaada condong ke kiri atau ke kanan, ke arah kebatilan atau kebenaran, idelisme akan terus membara dan menyala dalam diri remaja yang inginkan kebaikan untuk diri, keluarga dan masyarakatnya. Bagi mereka yang kematian idelisme akan terjerumus dalam kancah hedonisme iaitu hidup semata-mata untuk hiburan dan bersuka-suka. Walaupun golongan hedonisme ini mudah dikawal, tidak banyak karenah dan senang diperintah, namun sifat kepimpinan dan semangat perjuangan dikalangan mereka bagai sudah 'dikembiri'. Mereka ini sudah kematian wawasan dan hidup hanya untuk memenuhi kepentingan diri. Perbezaan manusia yang punya idelisme dengan mereka yang dirasuk hedonisme adalah jelas sekali. Demi kesinambungan generasi akan datang, kita mestilah memilih tergolong dalam manusia yang mempunyai idelisme.

Selalunya golongan idelisme di kalangan manusia berfikiran kritis, berjiwa berani dan adakalanya sedikit emosional. Besar kepala (degil) dan kepala besar (bijak) selalunya lazim kelaziman. Mereka yang berjiwa pemimpin selalunya mempunyai paradigma yang berbeza daripada kebanyakan orang. Hakikat inilah yang perlu disedari dan serasi dengan kita. Jangan setiap perbezaan dianggap pertentangan. Sebagai contoh, sewaktu anak remaja dalam proses transisi zaman kanak-kanak menuju alam dewasa, dalam pertarungan dalam diri antara mula inginkan kebebasan dan masih inginkan pimpinan, seorang ayah yang bijak akan lebih 'mendekati' kepada anaknya

Idealisme umpama air yang mengalir. Ia tidak boleh diempang, ditahan dan disekat. Jika dahulu warna idealisme condong ke arah sosialis, nasionalis dan komunis, kini warna itu kelihatan terarah kepada Islamik. Peralihan ini berkait rapat dengan arus kebangkitan Islam yang berlaku hampir di seluruh dunia. Kebangkitan dan penindasan umpama hukum daya (force). Apabila terdapat 'daya' yang menekan Islam di Kosovo, Bosnia, Kashmir, Selatan Thailand, Selatan Filipina dan lain-lain di pelosok dunia, akan terjadi satu daya yang bergerak. Ertinya Islam telah bangkit. Idealisme inilah yang memberi nafas baru kepada manusia yang tercari-cari prinsip dan pegangan hidup selama ini.

Perlu diingat idealisme bererti 'pencarian ke arah satu kesempurnaan'. Pencarian ini umpama aliran air yang tidak akan dapat disekat. Langkah terbaik ialah menyediakan saluran yang teratur untuk mengalirkannya. Ibu bapa perlu memanfaatkan semangat kritis di kalangan remaja masa kini untuk menyalurkan idealisme yang tepat. Di sekolah pula, idealisme perlu ditanamkan melalui matapelajaran sejarah, sivik dan kewarnegaraan, pendidikan agama Islam dan lain-lain. Mata pelajaran sejarah misalnya, janganlah semata-mata dihafal dan difahami pada aspek tarikh, kronologi peristiwa dan natijahnya sahaja. Namun sesuatu yang bersifat kefahaman dan penghayatan sepatutnya dipasakkan ke dalam minda dan jiwa pelajar.

Jika gagal berbuat demikian, tidak hairanlah jika idealisme akan kehilangan 'air dan baja' sewaktu diperingkat sekolah rendah dan menengah lagi. Akibatnya, tokoh pejuang, cendiakawan, ulama, pemimpin, sasterawan dan pendidik tidak 'hidup' dalam minda hati remaja. Lantaran kekosongan itu, minda dan hati remaja dengan mudah diisi oleh celebriti-celebriti terkenal di kalangan bintang filem, penyanyi dan ahli sukan. Anasir-anasir hedonisme dengan cepat mendominasi elemen-eleman hedonisme.

Pada peringkat itu, remaja telah mengalami satu 'kehilangan' dalam hidup. Sama ada mereka sedari atau tidak, mereka sebenarnya telah kehilangan role model untuk diteladani. Apa yang tinggal hanyalah idola untuk dipuja dalam khayalan cinta ataupun angan-angan remaja. Bagi yang 'happy go lucky' terus 'terbius' dengan cara hedonisme. Namun bagi mereka yang serius dengan hidup, akan terus mencari dan mencari.

Dalam pencarian inilah mereka bertemu dengan Islam yang sebenar. Islam bukanlah satu jalan 'escapisme' tetapi ia adalah wadah tempat kembali semua fitrah tabi'e manusia yang sentiasa tercari-cari Pencipta-nya. Manusia hanya akan menemui kesempurnaan hakiki apabila dia menginsafi ketidak-sempurnaannya di hadapan Yang Maha Sempurna, Allah SWT. Idealisme inilah yang sepatutnya menjadi matlamat setiap manusia.

Sumber rujukan:
1. Penipuan Revolusi, Harun Yahya, Saba Islamic Media, Mei 2002
2. Majalah Cahaya, JAKIM, Disember 2000.
3. Dewan Siswa, DBP, April 2009

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--