Saturday, November 7, 2009

Air dari telaga yang di idamkan....


Bagi setiap individu yang mengakui dirinya seorang muslim, sudah tentu kita menyakini dan pasti akan bertemu dengan telaga Rasulullah SAW pada hari kita dibangkitkan semula di Padang Mahsyar...

Keyakinan tentang hari kebangkitan kembali pada hari kiamat pasti akan membawa kita kepada keimanan tentang adanya telaga (haudh) Rasulullah SAW. Seorang muslim yang lurus imannya wajib meyakini adanya telaga ini kerana al-Quran berbicara mengenainya dalam surah al-Kauthar, begitu juga dalam hadith-hadith sahih yang sangat banyak.

Firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar yang bermaksud:"1. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu (Nabi Muhammad SAW) sebuah sungai di syurga. 2. Maka dirikanlah solat kepada Tuhanmu dan berkorbanlah. 3. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu (wahai Muhammad) dialah yang terputus." (Tafsir al-Munir, Juz 30)

Ahli hadith yang hidup sezaman dengan al-Baihaqi di Andalusia, iaitu al-Hafiz Abu Umar Ibn Abdil Bar (w. 463H), berkata dalam kitab Al-Tamhid 2/291, "Hadith-hadith tentang telaga Rasulullah SAW mutawatir, sahih, thabit dan sangat banyak. Beriman dengan telaga ini menurut majoriti kaum Muslimin adalah wajib, dan mengakuinya adalah lazim. Hanya ahli bidaah daripada puak Khawarij dan Muktazilah yang mengingkarinya. Sementara ahli kebenaran (ahlul haq) selalu membenarkan apa yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah SAW"

Menurut Syaikhuna Dr. Mustafa Sa'id al-Khan dalam bukunya al-'Akidah al-Islamiah: Arkanuha, Haqa'iquha, Mufsidatuha (hlm 421), "Telaga adalah tempat yang paling pertama kali dituju oleh semua makhluk setelah mereka dibangkitkan. Sebab mereka semua dibangkitkan dalam keadaan yang sangat haus."

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Ketika aku sedang berjalan disyurga, tiba-tiba aku melihat sebuah sungai yang tepinya seperti kubah-kubah permata yang melengkung. Aku bertanya:"Wahai Jibril!Apa ini?'Ia menjawab:"Ini adalah Kauthar yang Allah anugerahkan kepadamu."Ternyata tanahnya adalah kasturi Azfar."

Dalam sebuah hadith lain, Al-Tirmizi meriwayatkan daripada Ibn 'Umar berkata:Rasulullah SAW bersabda: "Al-Kauthar adalah sebatang sungai di dalam syurga, kedua-dua tebingnya diperbuat daripada emas. Laluan airnya di atas batu permata, tanahnya lebih harum daripada kasturi, airnya lebih manis daripada madu dan lebih putih daripada salji" (hadith hasan lagi sahih)

Kedua-dua hadith ini memang menunjukkan bahawa sungai Kauthar berada di dalam syurga, namun airnya mengalir hingga ke padang mahsyar lalu terkumpul di telaga Rasulullah SAW yang akan didatangi oleh umat beliau.

Iman al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, "Telagaku seluas perjalanan satu bulan. Airnya lebih putih daripada susu, baunya lebih wangi daripada kesturi, cawan-cawannya sebanyak bintang di langit. Barangsiapa yang minum daripadanya tidak akan merasa haus lagi selama-lamanya."

Setiap orang yang pernah menjadi umat Nabi Muhammad SAW di dunia, sama ada yang beriman ketika beliau masih hidup atau generasi yang datang setelahnya, pasti akan mendatangi telaga beliau untuk meminum airnya. Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Zaid bin Arqam, katanya yang bermaksud, "Suatu hari kami bersama Nabi SAW berada di suatu tempat. Beliau lalu bersabda, "Tidaklah kalian ini satu bahagian daripada seratus ribu bahagian daripada orang yang akan mendatangi telagaku.'Seseorang bertanya kepada Zaid:"Berapa bilangan kalian pada waktu itu?Zaid menjawab:"Tujuh ratus atau lapan ratus orang."

Jadi, 80 juta orang akan berdesakan untuk mengambil air dari telaga Rasulullah SAW pada hari itu, di antara jutaan manusia lain. Dengan tongkat di tangan Rasulullah SAW, baginda akan memilih mana-mana orang yang diperkenankan meminum dari telaga itu dan yang mana tidak.

Iman Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa para sahabat pernah bertanya: " Wahai Rasulullah, bagaimana tuan dapat mengenali umat tuan yang datang kemudian?" baginda menjawab:"Tidakkah kalian dapat membezakan unta-unta yang berwarna putih di antara unta-unta yang berwarna gelap?" Para sahabat menjawab:"Ya" Baginda bersabda:" Sesungguhnya umatku akan datang pada hari kiamat dengan berkilatan keapal dan kaki mereka akibat (basuhan) wuduk. Dan aku telah menunggu (untuk menyambut) mereka di telagaku."

Telaga Rasulullah SAW wujud daripada syariat yang dibawa Baginda di dunia ini. Barang siapa yang paling pertama menerimanya dengan baik, maka ia akan menjadi orang pertama yang meminum airnya. Al-Tirmizi dan Ibn Majah meriwayatkan dan disahihkan oleh al-Hakim, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:"Orang pertama yang mendatangi telaga adalah golongan fakir daripada golongan Muhajirin yang kusut rambutnya dan kotor pakaiannya.". Ini kerana orang fakir daripada golongan Muhajirin di Mekah adalah orang yang pertama kali menerima dakwah Rasulullah SAW sebelum manusia lainnya.

Imam Muslim meriwayatkan sabda Nabi SAW, maksudnya, "Aku akan menghalau manusia (untuk membuka jalan) bagi ahli Yaman.". Imam al-Nawawi mentafsirkan bahawa ahli Yaman yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah golongan Ansar. Beliau berkata:"Golongan Ansar berasal dari Yaman, maka Nabi SAW menghalau manusia pada hari itu daripada mereka sebagaimana mereka di dunia mereka menghalau segala ancaman dan kesusahan diri Nabi SAW."

Sementara itu tokoh-tokoh yang berjasa besar dalam membantu perjuangan dakwah Rasulullah SAW., maka mereka bukan sahaja menjadi orang terdepan di telaga Baginda, akan tetapi akan membantu Baginda dalam memberikan air minum kepada umatnya. Imam Al-Tirmizi meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar al-Siddiq yang bermaksud:"Engkau sahabatku di telaga dan sahabatku di gua."(Hadith hasan sahih gharib)

Ibn Abdil Bar dalam al-Tamhid dan al-Isti'ab meriwayatkan daripada Salman al-Farisi, "Orang pertama yang akan mendatangi telaga Rasulullah SAW adalah orang yang pertama kali masuk Islam, iaitu Ali bin Abi Talib.". Meskipun sanad hadis ini sangat lemah, malah Ibn al-Jauzi menghukumnya sebagai maudhu', namun maknanya tidak jauh berbeza daripada yang telah dijelaskan di atas. Wallahuaklam

Selanjutnya, sedikit atau banyaknya seseorang meminum dari air telaga pada hari itu disesuaikan dengan kadar pengetahuannya tentang ajaran syariat dan sunnah Rasulullah SAW di dunia. Imam Abdul Wahab al-Sya'rani (w. 973H) dalam al-Yawaqit wa al-Jawahir fi Bayan I'tiqad al-Kaba'ir 2/593 berkata:" Ketahuilah bahawa telaga dan sirat telah ditetapkan dalam nas-nas syarak, dan kedua-duanya merupakan perwujudan daripada ilmu dan amal. Maka sesuai dengan banyaknya dengan seseorang "meminum" ilmu syariat, sebanyak itu pula ia akan meminum air di telaga. dan sesuai dengan keteguhan dirinya dalam menjalani syariat (sama ada dalam perbuatan, percakapan ataupun kepercayaan), seteguh itu juga kakinya akan berjalanm di atas sirat."

Melalui perbahasan di atas, boleh disimpulkan bahawa orang yang menolak ajaran Rasulullah SAW di dunia atau meninggalkannya (murtad) setelah mendapat hidayah, maka ia akan dihalau dari telaga Rasulullah SAW, meskipun mereka mengaku sebagai umat beliau pada hari itu.

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Asma binti Abu Bakar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya aku sedang berada di telaga dan melihat kalian sedang mendatangiku. Tiba-tiba, beberapa orang dihalangi daripada mendatangiku. Aku berkata:"Ya Tuhan, (mereka) golonganku, (mereka) umatku!" Maka dijawab:"Tahukah kamu apa yang mereka lakukan setelahmu?Demi Allah mereka telah kembali kepada (kekafiran)."

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:"Ya Allah, mereka adalah sahabat-sahabatku.". Para ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah sebahagian kecil daripada orang yang pernah berjumpa dengan Nabi SAW lalu murtad setelah Baginda wafat. Mereka itulah yang diperangi oleh Abu Bakar al-Siddiq bersama para sahabat Nabi SAW setelah beliau menjadi khalifah.

Namun begitu, pengertian hadith ini tidak tertutup untuk umat Nabi Muhammad SAW yang lain hingga akhir zaman. Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim menukilkan ucapan al-Hafiz Ibn Abdil Bar," Setiap orang yang menciptakan (ahdatha) ajaran bidaah dalam Islam akan dihalau dari telaga seperti puak Khawarij, Muktazilah, rafidah dan semua penyebar ajaran sesat (ahl al-ahwa)"

Ibn Abdil Bar melanjurkan."Begitu juga orang zalim yang berlebihan dalam ketidakadilan, suka menyembunyikan kebenaran dan terang-terang melakukan dosa besar. Mereka ini dikhuatirkan termasuk dalam pengertian hadis di atas."

Ucapan ini didukung oleh beberapa hadis, antara lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad serta disahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim daripada Khabbab bin al-Arat bahawa Nabi SAW bersabda,"Dengarkanlah, akan datang daripada kalian pemimpin (umara), maka janganlah kamu bantu mereka dalam kezaliman dan janganlah kamu benarkan kedustaan mereka. Barangsiapa yang membantu mereka dalam kezaliman dan membenarkan kedustaan mereka, maka ia tidak akan mendatangi telagaku."

Imam al-Hafiz Abu Bakar Muhammad bin al-Hussein al-Ajuri (w. 360H) dalam kitab al-Syariah meriwayatkan dengan sanadnya hingga ke Anas bin Malik RA ia berkata: " melihat aku datang, mereka berkata, "Anas bin Malik telah datang." Mereka lalu bertanya:"Wahai Anas, apa pendapatmu tentang telaga?" Anas menjawab:"Demi Allah, aku tidak pernah menyangka akan hidup begitu lama sehingga berjumpa orang seperti kalian. Kalian ragu tentang telaga, padahal aku mendapati wanita-wanita tua (para sahabat Nabi SAW) di Madinah selalu meminta dalam solatnya agar Allah mengizinkaAku datang ke rumah Ubaidullah bi Ziyad (gabenor Basrah yang tidak percaya adanya telaga Rasulullah SAW di akhirat) ketika mereka sedang berdebat mengenai telaga. Apabilan mereka meminum air dari telaga Rasulullah SAW."
"Ya Allah, kami meminta kepada-Mu agar engkau menjadikan kami termasuk orang yang mendalami syariat dan menghidupkan sunnah, sehingga Engkau perkenankan kami meminum air dari telaga Nabi-Mu dan hilangkan kehausan dari diri kami selama-lamanya. Janganlah Engkau halau kami dari mendatangi telaga itu kerana dosa-dosa yang kami lakukan. Sesungguhnya Engkau Maha mendengar lagi Maha mengabulkan doa-doa." Amin ya rabbal 'alamin.

Semoga perkongsian artikel ini akan dapat membantu kita mendalami syariat dan sunnah Nabi SAW

Sumber rujukan:
1. Majalah Solusi, Isu 12 (ms 103-104), Ustaz Umar M Noor
2. Tafsir Al-Munir Juzuk 30, Dr Wahbah al-Zuhaily

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--