Saturday, January 21, 2012

Bermulanya episod baru...

0 comments
Salam pertemuan setelah agak lama tidak berbicara dalam blog ini. Entah kenapa tidak dapat meluangkan masa di hadapan komputer untuk menaip sesuatu yang baru bagi melatih diri untuk menjadi penulis suka-sukaan.

Tahun 2011 sudah melabuhkan tirainya, kini tahun 2012 sudah membuka tirainya masuk sebulan. Detik manis, masam,suka dan duka yang dikecapi pada tahun 2011 masih segar dalam ingatan. Namun semua itu sudah berlalu dan akan menjadi kenangan yang abadi sebelum mata ini dipejamkan buat selama-lamanya. Pada tahun 2012 juga dalam konteks subjek Applied Science pengajaran dalam bahasa Inggeris telah digantikan dengan pengajaran dalam bahasa Malaysia melalui dasar MBMMBI dengan dasar yang dikatakan sebagai soft-landing PPSMI.

Justeru itu saya mengambil langkah untuk menukarkan nama blog ini kepada "DEDAWAI BERISI" kerana memikirkan peranan saya dalam membina dan menyusun sukatan untuk matapalajaran "Applied Science" telah dijumudkan dan saya tidak lagi mempunyai pengetahuan yang terkini tentang perkembangan subjek "Applied Science". Jadi kiranya rakan-rakan pengunjung bertanya tentang status dan perkembangan subjek "Applied Science" saya tidak mampu menjawabnya.

Pemilihan nama "DEDAWAI BERISI" adalah suatu inspirasi daripada satu nama tumbuhan ubi yang terkenal dirumah saya suatu waktu dahulu. Ubi ini dikenali sebagai ubi jaga di kawasan utara. Teringat suatu ketika dulu di kampung, tok wan selalu merebus ubi dedawai berisi setiap pagi jumaat untuk kami sekeluarga, sedapnya ubi itu pada ketika itu hinggakan ketika saya menulis kisah ini air liur saya mula dirembeskan.

Semoga dengan kehadiran tahun baru ini akan menjadikan kita lebih peka dengan persoalan hidup kita di atas muka bumi ini.

Baca selengkapnya...

Tuesday, November 22, 2011

Hidup Lebih Bermakna dengan Membaca

0 comments
Salam pertemuan di musim cuti sekolah. Sepanjang bulan Oktober yang lepas saya memperuntukkan masa untuk membaca sebuah buku yang menambahkan lagi motivasi saya untuk membaca. Buku yang saya maksudkan ialah buku "Spiritual Reading, Hidup Lebih Bermakna dengan Membaca" hasil fikiran daripada Dr Raghib as-Sirjani dan Amir al-Madari.



Buku ini saya perolehi di sebuah kedai buku di kampung halaman isteri saya ketika kami sekeluarga pulang bercuti hujung minggu pada bulan September yang lepas. Sebenarnya memang telah lama saya mendengar tentang buku ini tetapi tidak saya temui di Kuala Kangsar dan juga Ipoh. Maklumlah buku ini pada mulanya diterjemahkan di Indonesia pada tahun 2007 dan dalam versi bahasa Indonesia. Tetapi alhamdulillah buku ini diterbitkan dalam versi Bahasa Malaysia pada bulan Januari 2011 lepas. Walaupun buku ini hanya mengalihkan bahasa Indonesia kepada bahasa Malaysia dan kandungannya masih banyak yang sama dengan versi Indonesia 2007, namun sebuah buku yang berisi dengan persoalan buku dan membaca masih relevan untuk kita baca kerana persoalan tentang buku dan membaca sentiasa menjadi topik yang 'evergreen' dari dulu, kini hingga selamanya, InsyaAllah.

Satu fakta sejarah yang ditulis di belakang buku ini yang menunjukkan betapa Rasulullah begitu pentingkan kebolehan membaca...
"Berakhirnya perang Badar, 70 orang musyrikin Quraisy berhasil menjadi tawanan kaum Muslimin. Jumlah ini cukup besar boleh dijadikan kekuatan untuk menekan kabilah Quraisy di Mekah. Namun Rasulullah Shallalahu alaihi wasalam mengambil langkah kebijaksanaan yang lain. Sebahagian tawanan akan dibebaskan dengan syarat mereka mengajarkan cara membaca kepada 10 orang kaum Muslimin. Rasulullah berkeyakinan, membaca adalah perkara asas dan utama untuk menghantarkan umat Islam ke mercu kejayaan. Dan beberapa waktu kemudian puluhan jumlah sahabat berjaya tampil sebagai gudang dan khazanah ilmu yang menakjubkan. Ini membuktikan bahawa kebenaran analisa dan kebijaksanaan Rasulullah ketika memilih kaedah mengajar membaca ketika itu oleh para tawanan Quraisy sangat tepat dan jitu"

Buku Spiritual Reading atau Hidup Lebih Bermakna Dengan Membaca ini ditulis sebagai sebuah usaha penulis untuk menyampaikan dan memaparkan hakikat membaca, kepentingannya, adab-adab membaca yang efektif, contoh buku-buku yang wajib kita baca, perihal golongan salafus soleh yang mengamalkan perintah Allah swt dalam kehidupan menerusi perkataan 'Iqra' iaitu 'Bacalah' dan tip-tip bagaimana kita boleh menguasai apa yang kita baca serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan membaca.

Kata-kata dari Dr Raghib as-Sirjani (Pengarang buku Misteri Solat Subuh) menarik juga untuk dikongsi Kata beliau "Ada orang apabila ditanya tentang hobi mereka, ada yang menjawab yang hobi mereka adalah membaca. Saya amat tidak setuju dengan jawapan ini. Jika dikatakan membaca itu adalah satu hobi, maka bagaimana kita ingin merealisasikan perintah Allah swt yang bermaksud 'Baca' sedangkan kita ada pilihan samada untuk membaca atau tidak. Pada pendapat saya, membaca dengan tujuan untuk menuntut ilmu ini adalah satu keperluan hidup. Sama juga seperti keadaan jasmani kita yang perlukan makanan dan minuman untuk kita meneruskan kehidupan, membaca dan menuntut ilmu juga adalah merupakan makanan rohani dan keperluan jiwa kita."

Buku ini seperti yang saya jelaskan di atas tadi sarat dengan tip-tip untuk menimbulkan semangat membaca. Selain itu buku ini juga menyarankan agar kita berusaha membaca buku yang akan membuatkan kita sayangkan diri sendiri, kehidupan dan sayangkan nikmat Islam dan Iman. Buku seperti
1. Ar-Rahiq al-Maktum
2. 65 Manusia Langit
3. Apa kerugian dunia dengan kemunduran umat Islam
4. Ibadah dalam Islam
adalah wajar dibaca dan dimiliki.

Untuk pengetahuan pengunjung, selain daripada meminati buku genre Travelog (pengembaraan) dan Agama, saya juga meminati buku-buku yang isinya berkaitan dengan 'Buku', 'Perguruan' dan 'Motivasi'. Oleh itu, saya sedang giat mengumpul buku-buku seperti ini. Buku genre seperti ini amat payah untuk di dapati terutamanya yang ditulis oleh penulis Melayu kita. Mungkin genre buku ini tidak diminati oleh pembaca dan rendah nilai komersialnya. Oleh itu, penulis kurang keberanian untuk menulis mengenainya kerana mungkin tiada penerbit yang berminat untuk menerbit dan memasarkannya. Beza benar dengan situasi novel-novel cinta yang banyak berlambakan di kedai-kedai buku besar mahupun di kedai-kedai buku kaki lima. Ya, mungkin kewujudan buku genre seperti ini lebih menguntungkan syarikat-syarikat penerbitan berbanding dari menerbitkan sebuah buku yang mengandungi informasi berkenaan 'Buku', 'Baca' dan 'Ulat Buku'. Wallahualam.

Baca selengkapnya...

Sunday, November 20, 2011

Tahniah kepada petanque Team Malaysia di Palembang

0 comments
Salam buat semua pengunjung. Entri hari ini hanya ingin membicarakan tentang pencapaian pasukan petanque Malaysia di temasya Sukan SEA ke -26 Indonesia. Dalam kejohanan Sukan SEA 2011, sukan petanque menawarkan 6 pingat emas, 6 pingat perak dan 12 pingat gangsa. Pasukan Malaysia berjaya memenangi 4 pingat gangsa, satu pencapaian yang membanggakan walaupun jika dibandingkan dengan pencapaian pada sukan SEA Laos yang lepas agak merosot. Pada Sukan SEA Laos yang lepas pasukan Malaysia berjaya memiliki 2 pingat perak dan satu pingat gangsa.



Pada temasya tahun ini juga khususnya dalam sukan petanque, beberapa pasukan baru seperti Indonesia dan Timur Leste mengambil bahagian. Pasukan double wanita Indonesia berjaya mengejutkan pasukan double wanita Malaysia(Nur Farzieana-Nursyazwani) dengan kemenangan 13-10. Ini adalah suatu kejutan pada pandangan saya kerana jika mengikut laporan yang saya baca dalam laman web Jakarta Post (http://www.thejakartapost.com/news/2011/11/19/hopes-high-petanque.html), pasukan Indonesia baru sahaja berlatih selama 5 bulan dan paling mengejutkan mereka masih baru dan masih tiada pengedar bola petanque di Indonesia.

Sedikit perkongsian tentang pencapaian pasukan petanque Malaysia di temasya Sukan SEA. Sukan ini sebenarnya diperkenalkan untuk dipertandingkan buat pertama kalinya di peringkat Sukan SEA oleh Malaysia ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun 2001. Dibawah ini adalah pencapaian pingat bagi pasukan Malaysia dalam sukan petanque

2001 XXI SEA GAMES Kuala Lumpur, Malaysia - 1 perak (Women single), 1 gangsa (Women triple)
2003 XXII SEA GAMES Hanoi & Ho Chi Minh City, Vietnam - 1 gangsa (Men Tripple)
2005 XXIII SEA GAMES Manila, Filipina - 1 perak (Men single), 1 gangsa (Men double)
2007 XXIV SEA GAMES Nakhon Rachasima, Thailand - 3 gangsa (Men Shooting, Women Single, Women double)
2009 XXV SEA GAMES Vientiane, Laos - 2 perak (Men double, men single), 1 gangsa (men tripple)
2011 XXVI SEA GAMES Palembang & Jakarta, Indonesia - 4 gangsa (Men double, Men shooting, Men single, Women single)

Mungkin ramai peminat sukan petanque di Malaysia kurang berpuashati dengan pencapaian ini, namun kita harus akur dengan ketentuan Tuhan alam semesta. Kita peminat-peminat sukan ini diperingkat mana sekalipun mestilah berusaha mencari bakat-bakat muda untuk merealisikan harapan Persekutuan Petanque Malaysia untuk membawa pulang emas yang diidamkan-idamkan. Kita yakin dan percaya berkat usaha yang menyeluruh dari semua peminat sukan ini, impian kita akan tercapai suatu hari nanti.Mungkin tidak ada emas pada tahun ini dan InsyaAllah akan ada emas pada temasya Sukan SEA di Myanmar pada tahun 2013 nanti.

Sumber rujukan.
1. http://en.wikipedia.org/wiki/Southeast_Asian_Games
2. http://en.wikipedia.org/wiki/P%C3%A9tanque_at_the_2001_Southeast_Asian_Games
3. http://en.wikipedia.org/wiki/P%C3%A9tanque_at_the_2003_Southeast_Asian_Games
4. http://en.wikipedia.org/wiki/P%C3%A9tanque_at_the_2005_Southeast_Asian_Games
5. http://en.wikipedia.org/wiki/P%C3%A9tanque_at_the_2007_Southeast_Asian_Games
6. http://en.wikipedia.org/wiki/P%C3%A9tanque_at_the_2009_Southeast_Asian_Games
7. www.seag2011.com/
8. http://apps.seag2011.com/rs2011/bm/cm/MedalsTally.aspx?sid=38&sname=Petanque&scode=pq&fid=7

Baca selengkapnya...

Friday, November 4, 2011

Karnival Sukan dan Kebudayaan Asrama SMTV Malaysia Kali I (KAVoT)

1 comments

Alhamdulillah dapat bertemu setelah beberapa lama kekeringan ide. Hujung bulan lepas, saya agak sibuk menguruskan sukan kegemaran saya, sukan petanque, sukan yang baru saya kenali dalam tahun 2005. Untuk makluman pada hujung bulan lepas iaitu dari 29 Oktober hinggaa 1 November, telah berlansung buat kali pertamanya Karnival Sukan dan Kebudayaan Asrama SMTV Malaysia atau singkatannya KAVoT. Karnival ini sebenarnya untuk menghimpun semua warga asrama SMTV seluruh Malaysia yang mana mereka boleh bertukar-tukar ide tentang pengurusan asrama. KAVoT 2011 telah dianjurkan oleh SMTV Zon Pulau Pinang dengan semua kontigen menginap di SMT Seberang Perai. Manakala venue pertandingannya ialah bagi Dikir Barat dan KAVoT Idol di SMT Seberang Perai, Tilawah al-Quran dan Nasyid di SMV Nibong Tebal, Petanque di SMV Butterworth, Bola Tampar perempuan di SMT Seberang Perai, Futsal di Bola Bola Futsal Mak Mandin anjuran SMV Butterworth dan Catur di SMT Seberang Perai

SMV Kuala Kangsar bertuah pada edisi pertama KAVoT ini kerana berjaya menghantar wakil dalam sukan petanque bagi dua kategori iaitu lelaki dan perempuan. Ditambah pula dengan penyertaan seorang pelajar perempuan dalam acara KAVoT idol. Manakala wakil SMTV Perak bagi acara lain adalah seperti di bawah

1. FUTSAL - SMT IPOH
2. NASYID - SMVLC
3. CATUR LELAKI - 1. SMTG, 2. SMTIPOH, 3. SMT IPOH
4. CATUR PEREMPUAN - 1. SMT GERIK, 2. SMVC, 3. SMVLC
5. BOLA TAMPAR - SMT GERIK
6. TILAWAH - SMT GERIK (PEREMPUAN), SMT TAIPING (LELAKI)
7. DIKIR BARAT - SMT TAIPING.
9. LAGU ASLI - SMV SERI ISKANDAR (L),

Di dalam kejohanan yang telah berlansung selama 4 hari tersebut pasukan petanque lelaki telah berjaya menjadi naib johan dengan tewas kepada wakil tuan rumah iaitu pasukan dari SMV Butterworth. Lain-lain keputusan adalah seperti di bawah
KEPUTUSAN PENYERTAAN PASUKAN PERAK DALAM KARNIVAL ASRAMA SMT/V PERINGKAT KEBANGSAAN:-
1. CATUR LELAKI -JOHAN
2. CATUR LELAKI -KETIGA
3. LAGU ASLI PEREMPUAN - JOHAN
4. LAGU ASLI LELAKI - KEEMPAT
5. TILAWAH - PEREMPUAN - KEDUA
6. TILAWAH - LELAKI - KEDUA
7. BOLA TAMPAR PERERMPUAN - KEEMPAT




Pelajar SMVKK sedang menyampaikan lagu di hadapan para peminatnya


Gambar pasukan petanque SMVKK 1
Berdiri dari kiri: Norainie, Intan, Saya, Norehan
Duduk dari kiri: Hafizuddin, Safwan, Thaqif, Afiq


Gambar pasukan petanque SMVKK ketika menunggu acara penyampaian hadiah


Gambar kontigen yang menerima hadiah 1 hingga 4 untuk sukan petanque KAVoT 2011
Kategori lelaki: 1. Pulau Pinang (SMV Butterworth), 2.Perak (SMV Kuala Kangsar), 3. Melaka (SMT Melaka Bukit Piatu), 4. Johor (SMV Kluang)
Kategori Perempuan: 1. Pulau Pinang (SMV Butterworth), 2. Terengganu/Kelantan, 3. Pahang (SMV Kuala Lipis), 4. Sarawak (SMT Sejingkat)



Pasukan SMV Kuala Kangsar sempat bergambar bersama dengan Tuan Pengetua SMV Kuala Kangsar En Hamid bin Jumhari.



Gambar bersama dengan semua pelajar yang mewakili SMTV Zon Perak bersama dengan ketua kontigen En Kamal Mat Sabri PK HEM SMT Grik.

Akhir sekali saya berharap kejohanan ini dapat di teruskan pada tahun-tahun yang akan datang dan kontigen Perak akan memperolehi kejayaan yang lebih gemilang terutama dalam sukan petanque.

Wassalam...

Baca selengkapnya...

Wednesday, October 26, 2011

Aku keseorangan...

0 comments
Salam pertemuan kepada rakan-rakan pengunjung setelah hampir lima bulan tidak memuatkan entri terbaru. Sebenarnya banyak peristiwa dan catatan yang ingin saya masukkan tetapi kekangan masa menyebabkan saya gagal untuk menguruskan laman blog ini.

Malam ini saya ingin berbicara untuk meluahkan perasaan yang terbuku di dalam hati setelah hampir lebih satu minggu memendamnya. Apa yang saya ingin katakan bukanlah untuk mengadu domba atau mengenakan sesiapa, ianya cuma suatu luahan yang terbit dari hati yang merasakan tiada siapa yang ingin membantunya.

Saya begitu bangga sekali menjawat jawatan sebagai guru di negara yang saya cintai ini. Matlamat untuk mendidik anak bangsa untuk berjaya dalam setiap lapangan sentiasa tertanam jauh di lubuk hati saya. Justeru itu, saya sentiasa berusaha dengan apa yang terdaya untuk cuba menarik minat remaja untuk cintakan ilmu. Namun kadang-kadang apa yang saya lakukan selalu saja jarang mendapat bantuan. Kadang-kadang terfikir adakah diri ini tidak disukai oleh rakan taulan ataupun saya yang terlalu mementingkan diri sendiri. Persoalan inilah yang membuatkan saya merasa begitu kerdil sekali untuk meneruskan perjuangan. Malah kadang-kadang terfikir mungkin suara sinis yang mengatakan "Tu la, sapa suruh buat masa ni, ni masa semua orang sibuk..." mungkin ada benarnya. Namun ketika terfikir kata-kata hikmat yang berbunyi "di dalam payah dan getir itu ada kemanisan yang tidak diduga" saya teruskan dengan semangat yang berkobar-kobar.

Ketika ini, saya sedang mengurus dan melatih murid-murid untuk terlibat dalam suatu kejohanan petanque peringkat kebangsaan. Hakikatnya kejohanan ini adalah berkaitan dengan jawatankuasa asrama, tetapi apabila saya minta pertolongan dari pihak jawatankuasa asrama, tiada siapa yang sanggup dan mahu membantu saya, pelbagai alasan yang diberikan. Ditambah hiba pula, pada hari pertandingan dijalankan anak lelaki saya yang kedua akan terlibat dengan sukaneka pelajar 5 tahun. Kesiankan, pada saya yang berada dalam dilema ini.

Ketika memandu pulang dari sekolah tadi setelah puas mencari pertolongan, saya terfikir apa yang saya lakukan ini adalah kerana Tuhan yang maha kuasa. Saya sentiasa cuba mencari jalan dan kaedah untuk mendekatkan diri remaja kepada cintakan ilmu. Sukan juga merupakan salah satu jalam untuk membawa remaja ke arah mengenal pencipta mereka. Jadi saya kuatkan diri untuk menguruskan murid ke kejohanan ini tanpa menyusahkan sesiapa. Saya yakin dan pasti Allah sentiasa ada bersama dengan saya....wasalam

Baca selengkapnya...

Wednesday, June 8, 2011

Menilai dengan bijak...

0 comments
Minggu lepas saya berada di kampung kelahiran di Kedah. Sepanjang minggu disibukkan dengan aktiviti ziarah serta meraikan ayah dan ibu serta kakak dan adik-adik. Kesempatan berada di kampung halaman membuatkan saya bertemu dengan ramai rakan teman seperjuangan semasa zaman sekolah rendah dan menengah. Ramai di kalangan rakan-rakan telahpun menjadi orang-orang yang berjaya dalam komuniti setempat. Sebagai contoh, Awang (nama gelaran) sekarang menjadi seorang usahawan yang berjaya di dalam kampung di samping menjadi ahli politik yang terkenal di kampung dengan memegang jawatan ketua pemuda UMNO. Sesungguhnya rezeki dan kurniaan Allah subhanahu wata'ala sangatlah luas kerana itu jika kita berusaha, InsyaAllah kita akan dapat menuai akan hasilnya.

Sepanjang minggu itu juga, ketika membelek-belek surat khabar isu yang paling hangat ialah isu pemilihan jawatan dalam kepimpinan PAS. Isu ini begitu mendominasi dan pada saya amat tertarik dengan ulasan yang mengaitkan puak Erdogan yang mana dikatakan puak itu wujud di dalam PAS dan kemenangan mereka akan menguntungkan Anwar Ibrahim dan DAP. Menangkis dakwaan itu, Presiden PAS Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang mengatakan "tiada wujud puak dalam PAS, ini Malaysia bukan Turki, di Turki tiada parti Islam kerana ia adalah tidak dibenarkan.". Maka ketika melihat jawapan Tuan Guru, saya teringat akan buku yang pernah saya baca iaitu buku "Secangkir Teh Pengubat Letih (STPL)" yang dikarang oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, penulis yang berjaya dengan buku "Aku Terima Nikahnya" dengan jualan hampir 45,000 dalam tempoh dua tahun.
Buku ini saya baca dalam bulan November tahun 2010. Seperti mana yang saya catatkan dalam entri saya ketika mengulas buku itu, ianya merupakan catatan kembara Ustaz Hasrizal di negara dua benua iaitu Negara Turki. Dan berbetulan pula ada terdapat ulasan tentang buku ini di dalam akhbar berita harian pada 03 Jun yang lepas yang ditulis oleh saudari Norhidayah Che Din.


Saya bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, Malaysia bukanlah negara seperti Turki dan pemimpin di Malaysia mempunyai identiti yang sendiri hasil didikan dan tarbiah oleh sistem pendidikan agama dan konvensional di negara yang subur ini. Malah di Turki perkataan Islam adalah dilarang sama sekali diletakkan di dalam mana-mana petubuhan sama ada politik atau NGO (rujuk mukasurat 67 dalam STPL). Jadi tiada wujud parti Islam di Turki. Keadaaan fahaman sekular di Turki juga amat membebalkan sebagaimana sebuah kisah yang dibawa oleh Ustaz Hasrizal tentang komen oleh pemain bolasepak Turki yang terkenal Hakan Sukur ketika pusingan kelayakan EURO 2008 dengan katanya "Kita berada dalam minggu kelahiran Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam dan kita patut menghargainya. Bahkan kita sepatutnya membesarkan anak-anak kita dengan nilai toleransi Nabi kita. Para penyokong (Fenerbahce dan Galatasaray) sepatutnya datang ke stadium bukan dengan pisau tetapi dengan bunya ros.". Komen ini menyebabkan media massa Turki menghentam Hakan Sukur dengan cubaan mencampur adukkan antara agama dan bolesepak. (rujuk ms 238 dalam STPL)

Inilah perbezaan yang ketara antara Malaysia dan Turki. Dalam buku STPL juga banyak cerita-cerita yang merik termasuklah kisah bagaimana orang-orang Turki begitu menghargai nikmat Islam dan iman yang diberikan oleh Allah dengan menjaganya dengan begitu payah dan susah kerana dasar kerajaan yang tidak menyokong pembangunan sistem pengajian Islam. Sebagai contoh bilangan rakyat yang menghafal al-Quran yang semakin bertambah dari hari kesehari.

Akhir sekali buku karangan Ustaz Hasrizal ini boleh merungkaikan kekusustan yang ditimbulkan oleh pihak media tentang Erdogan ini, malah saya sendiri mula mengenali siapakah dia Necmatin Erbakan dan Tayyib Erdogan melalai buku ini. Terima kasih Ustaz Hasrizal atas buku yang membuatkan saya begitu teringin sekali untuk mengunjungi Turki. Saya sentiasa berdoa kepada Allah subhanahu wata'ala agar saya mampu menjejaki di bumi Khilafah Uthmaniah sebelum saya memejamkan mata buat selama-lamanya. InsyaAllah.

Baca selengkapnya...

Wednesday, June 1, 2011

Panahan membelah api Greek...

0 comments
Alhamdulillah bersyukur saya kerana dengan limpah kurnianya dan rahmatNya saya dapat meluangkan masa untuk memuatkan entri di dalam blog ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar semua kaum muslimin seluruh dunia, Nabi Muhammad Shallallahu alaihi wasalam pembawa rahmat dan cahaya ilmu pemusnah kegelapan.

Sesungguhnya ummah ini akan sentiasa dalam kerugian jika tidak selalu melihat akan al-Quran, kerana al-Quran itu mengandungi pelbagai tentang segala sesuatu yang tidak kita ketahui. Sebagai contoh kisah bagaimana kaum-kaum terdahulu dimusnahkan kerana kedegilan mereka. Bagaimana mungkin kita mengetahui hal keadaan itu jika tidak dikhabarkan oleh Allah Subhanahu wata'ala di dalam al-Quran. Sedangkan jarak antara umat Nabi Muhammad dan kaum-kaum terdahulu amat jauh sekali. Itulah antara kehebatan al-Quran yang sering kita lupai.

Agak lama saya tidak mengulas tentang buku yang saya baca rasa-rasanya hampir 6 bulan. Bukannya tidak membaca tapi kekangan masa untuk mengarang dan mensinopsiskan buku menyebabkan saya tidak mampu mengulas di dalam blog ini.

Sebelum saya ceritakan sedikit ringkasan tentang buku yang saya baca pada bulan lepas, saya ingin mengucapkan sejuta terima kasih kepada Ustaz Sahrulazmi Sidek kerana sebuah buku yang penuh dengan cerita sejarah peluasan kuasa dan jajahan Islam pada zaman kerajaan bani Umayyah atau ebih tepat lagi kegiatan peluasan kuasa di Lautan Mediteranean.

Ketika asyik membaca buku yang bertajuk "Armada Laut Umawiyyah, Panahan yang membelah api Greek" saya tidak sedar yang saya hanya mengambil masa 4 hari sahaja untuk menghabiskan.

Ketika saya menulis artikel ini, saya baru teringat yang saya memang suka membaca buku-buku tentang sejarah Islam. Jadi tenanglah kembali akan kehairanan saya kerana cepatnya menghabiskan buku itu.

Buku yang mencerita sejarah peluasan kuasa Islam di Lautan Mediteranean ini sebenarnya merupakan tesis penulis semasa penulis melanjutkan pengajiannya di peringkat sarjana di Universiti tempatan. Buku ini telah dipermudahkan bahasanya untuk orang awam oleh penulis dan dengan bantuan penerbit mungkin. Kita selalu dihidangkan dengan jalan peluasan kuasa jajahan Islam melalui jalan darat tapi antara kelainan buku ini ialah menceritakan peluasan kuasa di lautan dengan pembinaan kekuatan armada laut sejak bermula dari zaman khalifah Islam yang ketiga Saidina Uthman Affan dengan kebijaksanaan politik Saidina Mu'awiyah bin Abi Sufyan.

Apabila membaca sejarah Islam kita kena dan paksakan diri kita untuk membersihkan hati kita akan kisah yang akan kita baca. Kerana di zaman kita ini terlalu banyak serangan daripada pihak yang kurang senang dengan agama yang suci ini. Sebagai contoh mungkin ada persepsi buruk apabila mendengar nama Mu'awiyah bin Abi Sufyan tapi bersihkan hati kita, InsyaAllah kita akan mendapat sesuatu yang mungkin kita tidak sangka-sangka.

Nabi Muhammad sepanjang sejarah hidupnya tidak pernah berperang atau menyebarkan dakwah Islam melalui jalan laut. Namun Rasulullah pernah diisyaratkan oleh Allah bahawa usaha itu pasti berlaku selepas hayatnya. Melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Haram yang menceritakan Rasulullah ketika terjaga daripada qailullah, menceritakan mimpi yang dialami baginda yang baginda melihat umatnya belayar di Laut Hijau bagai raja yang duduk di singgahsana. Apa yang dilihat oleh Rasulullah dalam mimpinya pasti benar dan telahpun berlaku di zaman kerajaan Umayyah.

Buku ini terbahagi kepada tujuh bahagian yang dimulakan dengan sejarah usaha penyebaran Islam diikuti memahami keadaan Laut Mediteranean dengan lebih jelas antaranya keistimewaan yang tiada ombak dan tiada pasang surut. Penekanan turut diberi kepada kesungguhan khalifah-khalifah, panglima-panglima dan gabenor-gabenor dari Bani Umayyah melakukan usaha peluasan tanah jajahan Islam. Malah sepanjang tempoh 20 tahun pemerintahan khalifah Mu'awiyah bin Abi Sufyan beliau pernah dua kali menggugat pusat pemerintahan kerajaan Byzantine di Constantinople (dalam bahasa arab Qastantiniyyah). Malah saya sendiri mendapat ilmu baru dengan mengetahui sejarah peperangan yang menggugat kekuasaan Rom Timur di Constantinople.

Bagi saya, buku ini harus dimiliki oleh semua pencinta sejarah Islam sebagai rujukan untuk menambahkan ilmu tentang sejarah Islam di dalam dada.

Sekian...


Baca selengkapnya...

Monday, May 30, 2011

Membaca membina keutuhan daya berfikir...

0 comments
Catatan pada kali ini merupakan artikel daripada saudara Mohd Rizal Azman Rifin yang saya petik dari akhbar berita harian pada 18 Januari 2011

Islam meletakkan ilmu pada kedudukan tertinggi. Seruan Allah menerusi ayat al-Quran yang pertama diturunkan menyuruh membaca sudah cukup menggambarkan pentingnya umat Islam supaya menuntut ilmu. Surah al-Alaq yang mana Nabi Shallalahu alaihi wasalam disuruh membaca memperjelaskan budaya membaca seharusnya mewarnai kehidupan umat Islam yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan. Malangnya, proses pembelajaran sepatutnya menjadi aktiviti sepanjang hayat tidak dibudayakan.

Kita kini hanya bersemangat belajar dan mengkaji semata-mata untuk lulus peperiksaan sekolah dan pusat pengajian tinggi sahaja. Itupun hanya berlegar kepada buku berkait rapat dengan pengkhususan diambil.

Budaya menjadikan membaca sebagai rutin hidup gagal dilaksanakan lantaran dihambat unsur-unsur lain yang lebih menarik perhatian. Iman al-Ghazali pernah mewasiatkan mengenai memperkasakan budaya mencari ilmu pengetahuan: "Mencintai ilmu dan mengamalkan ilmu adalah tanda kecerdasan dan disukai Allah. Barang siapa yang keluar dari rumahnya dengan niat untuk mencari ilmu, nescaya dilindungi Allah sehingga ia kembali."

Imam asy-Syafie mengatakan bahawa menuntut ilmu itu perbuatan yang lebih baik daripada mengerjakan solat sunat manakala Imam al-Qurthubi menganggap proses menuntut ilmu suatu keutamaan besar dan berada pada tingkatan mulia tidak dapat dibandingkan dengan perbuatan lain.

Begitulah pendapat ulama silam yang peka terhadap budaya ilmu dan dibuktikan bukan hanya melalui ucapan pendapat sahaja, sebaliknya mereka menunjukkan teladan hebat dalam membudayakan kecintaan terhadap ilmu.

Syeikh al-Janadi al-Saksaki menceritakan riwayat hidup Abu al-Khair bin Manshur al-Syammakhi al-Sa'adi dalam kitab al-Suluk fi Tabaqat al-Ulama' wa al-Muluk, mengatakan:"Sehingga menjelang akhir hayatnya, aku masih lagi belum menemui orang yang sama dengan hebatnya dari segi ilmu dan mencatat maklumat. Apabila melihat bukunya, ia sungguh bagus dan segala catatan sesuatu ilmu sangat kemas."

Ibnu al-Juham mengatakan,"Apabila aku mengantuk sedangkan belum tiba waktu tidur, aku terus mengambil buku dan membacanya. Saat membaca, aku merasakan hatiku bergoncang dan seronok kerana mendapatkan apa yang aku cari. Semangat ketika membaca, adalah semangat yang boleh membangunkan tidurku."

Demikianlah personaliti hebat insan yang begitu cinta kepada ilmu dan sentiasa membudayakan amalan membaca. Mampukah kita meneladani perwatakan seumpama itu dengan menganggap membaca dan mencari ilmu sebagai suatu amalan yang menyeronokkan?

Kalaupun ada minat membaca, bahan bacaan itu lebih tertumpu kepada majalah hiburan atau novel cinya yang rata-rata tidak lansung meransang minda untuk berfikir secara efektif. Walaupun itu juga budaya membaca, namun gaya seperti itu tidak menjurus kepada cara mempertingkatkan daya ilmu yang bermanfaat. Ia sekadar hiburan untuk melepaskan tekanan sahaja.

Kita umat Islam seharusnya membudayakan diri membaca bahan bermutu dalam pelbagai cabang ilmu. Kata al-Hafiz Abu Tahir yang juga seorang pencinta ilmu, "Buku lebih berharga daripada emas, walaupun emas itu seberat buku ini."

Sesetengah kita mungkin menganggap membaca buku membosankan. Ini bermakna kita sudah jauh daripada budaya ilmu dan tidak akan mampu membina keutuhan daya fikir yang hebat. Jadi, untuk membina satu tamadun ummmah yang tinggi dengan kehidupan sempurna, kita perlu mengubah tabiat lama yang tidak suka membaca kepada mencintainya. Didiklah diri dan ahli keluarga mewarnai kehidupan seharian dengan amalan yang mulia ini.

Baca selengkapnya...

Saturday, April 30, 2011

Cerita di Kuala Kangsar...

0 comments
Alhamdulillah dapat bertemu untuk entri pada kali ini. Selawat dan salam atas junjungan besar semua kaum muslimin Nabi Muhammad pembawa cahaya ke seluruh alam.

Diantara salah satu program yang menarik berlaku di Kuala Kangsar setiap tahun pada bulan April ialah karnival motosikal klasik. Program ini adalah sangat dinantikan oleh peminat-peminat motosikal di sekitar bandar Kuala Kangsar termasuklah saya.

Pada tahun ini karnival motosikal berlansung pada 30 April bertempat di Arena Square Kuala Kangsar. Dan pihak penganjur menambah satu kategori khas iaitu kereta mini. Biasalah setiap tahun selain mempertandingkan motosikal vespa penganjur juga akan menganjurkan satu acara khas. Jika tahun 2009, MB Mohd Nizar sebagai perasmi, 2010 MB Zamri tapi pada tahun 2011, DYAM Raja di Hilir Perak dijemput sebagai perasmi. Malah bermula dari tahun 2009 lagi acara yang cukup dinantikan di Kuala Kangsar ini telah dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Perak.



Bagi saya acara ini amat menyingkap kembali nostalgia lama saya ketika sibuk dengan motosikal. Saya mula meminati motosikal sejak saat menjejaki ke universiti. Saya bertuah kerana ketika di kolej saya mempunyai ramai rakan-rakan serumah yang boleh dikategorikan sebagai gila motor. Nama raka-rakan seperti almarhum Rahmat, Anas, Nazri dan Mat Yus. Mereka inilah pemangkin saya untuk meminati motosikal. Dahulu terlalu teringin untuk memiliki Yamaha TZM150, tapi hajat tak kesampaian hanya mampu memiliki Honda NSR150R second hand. Motor itu masih saya simpan dalam keadaan yang baik.

Apa yang saya ceritakan tadi hanyalah nostalgia lama yang bila ia muncul amat mencuit hati. Saya doakan raka-rakan di kampus dulu sentiasa berada dalam keadaan sejahtera walau di mana kalian berada.

Karnival motor klasik pada tahun ini begitu mengkagumkan bagi saya kerana saya dapat berjumpa dengan motosikal Honda CB200 ekzos dua biji keluaran tahun 1976. Motorsikal ini masih lagi berada di tahap cemerlang mengikut kata tuan punyanya. Saya sempat bergambar bersama motosikal ini kerana tidak mahu melepaskan peluang bertemu dengannya.



Disamping karnival ini sarat dengan motosikal klasik, pada tahun ini kawasan sekitar Arena Square Kuala Kangsar penuh dengan kereta mini yang datang sejauh dari Johor Baharu. Ada juga sebiji kereta mini pickup yang cukup menarik perhatian semua orang. Kereta ini berwarna biru dan kalau tak silap saya ianya keluaran tahun 1962 yang mana model ini hanya dikeluarkan dalam jumlah hanya 55,000 unit seluruh dunia iaitu kira-kira 1% daripada 5,5 juta keluaran kereta mini.



Motosikal klasik yang wajib dipertandingkan setiap tahun ialah kategori vespa. Saya tak lah pandai sangat tentang vespa ni. Yang saya tahun hanyalah vespa dan lambretta sebab ayah saya pernah memiliki lambretta keluaran tahun 1962. Motorsikal itupun saya hanya tengok dalam gambar kerana ayah saya telah menjualnya sebelum saya lahir lagi.
Pelbagai jenis vespa yang dipertandingkan dan saya rasa peminat-peminat vespa disekitar Kuala Kangsar pasti terhibur.






Juga menarik untuk saya selitkan gambarnya disini ialah kehadiran kelab motor pasola. Motosikal yang dinaiki oleh Ali Baba dalam filem P. Ramlee.



Kelab Kawasaki 150R juga tidak ketinggalan menyertai karnival ini. Kalau tak silap saya lebih dari 40 biji motosikal ini datang ke Kuala Kangsar.








Wasalam...
Baca selengkapnya...

Saturday, April 23, 2011

Kejohanan Petanque Sempena Keputeraan Sultan Perak 2011

0 comments
Alhamdulillah dapat bertemu pada kali ini setelah agak sibuk menguruskan kehidupan seharian sepanjang minggu. Dalam kesibukan itu juga, alhamdulillah saya sempat melatih dan menguruskan aktiviti kelab petanque SM Vokasional Kuala Kangsar (SMVKK).
Ianya merupakan aktiviti kokurikulum yang ditugaskan kepada saya sepanjang tahun 2011. Dalam perancangan aktiviti kelab untuk tahun 2011, InsyaAllah kelab petanque SMVKK akan menyertai 4 kejohanan penting yang diadakan di daerah kuala kangsar. Setakat ini dua kejohanan telah disertai iaitu Kejohanan Petanque Piala Angkasa Perak dan Kejohanan Sempena Hari Keputeraan Sultan Perak 2011.

Fokus utama entri kali ini hanya sekadar menceritakan apa yang berlaku dalam kejohanan petanque sempena keputeraan sultan perak. Kejohanan ini telah dilansungkan pada 22 dan 23 April 2011 dan merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Persatuan Petanque Kuala Kangsar. Seperti selalunya kejohanan petanque ini diadakan di gelanggang petanque JKR Kuala Kangsar.

Setelah setahun kelab petanque SMVKK menyepikan diri dari menyertai kejohanan petanque di Kuala Kangsar, tahun ini kelab petanque kembali dengan semangat yang berkobar-kobar berserta logo kelab yang baru.



Penyertaan pada kali ini membariskan 3 pasukan lelaki dan dua pasukan perempuan. Agak susah juga pada mulanya untuk mencari pemain kerana permainan petanque ini bukanlah satu permainan yang popular di SM Vokasional Kuala Kangsar. Alhamdulillah akhirnya ada juga 10 orang murid yang sanggup bersama-sama untuk memajukan sukan petanque ini. Terima kasih kepada
1. Ahmad Izzul Aiman b Hj Omar (4PPN)
2. Muhammad Thaqif b Johari (4 KAT)
3. Amier Ashraf b Rosmen (4 BAK)
4. Mohamad Afiq b Mohd Khalid (4 JTE)
5. Muhammad Safwan b Zainel (4 KAT)
6. Muhammad Faizal b Noor Azmi (4 PPN)
7. Nur Faizatul Syuhada bt Mohd Zahari (4 Auto)
8. Nur Syakirah bt Mohamad Ibrahim (4 KAT)
9. Dhabitah bt Zed (4 KAT)
10. Norehan bt Ahmad Nasir



Kejohanan pada kali ini merupakan acara dua sepasukan atau 'double' dengan format pertandingan dua kali kalah singkir atau 'double knockout'. Semua pasukan SMVKK tewas dalam semua perlawanan dan tidak layak untuk ke pusingan yang kedua. Dengan kekalahan itu kami semua pulang pada pukul 11 pagi 23 April 2011. Semoga semua murid yang mewakili sekolah pada kali ini mendapat satu pengalaman yang bermakna dan dapat memberikan cabaran pada kejohanan yang bakal disertai pada hari hadapan. InsyaAllah.








Di atas merupakan sedikit gambar yang sempat saya rakamkan semasa pelajar tengah bermain pada hari perlawanan.

Wassalam...

Baca selengkapnya...

Wednesday, April 20, 2011

Bersedia untuk berseorangan....

0 comments
Alhamdulillah dapat saya meluangkan masa setelah hampir sebulan tiada dapat memuatkan entri yang terbaru.

Salah satu risiko yang terpaksa ditanggung oleh seseorang apabila dilantik memegang jawatan tertentu dalam kerajaan dalam konteks sekolah apabila dilantik sebagai pengetua atau guru cemerlang ialah kesediaan untuk berseorangan atau "prepared to be alone".

Ini belum termasuk risiko lain yang sudah diterima umum seperti bekerja lebih masa, menggembleng dan menguruskan berbagai-bagai ragam manusia, memegang amanah menguruskan perbelanjaan wang kerajaan serta bersedia menangkis segala kecaman dan cemuhan jika sesuatu yang tidak diduga berlaku contohnya apabila prestasi peperiksaan merosot.

Dengan pertambahan bebanan tugas demikian sudah tentu terpaksa bersedia bekerja lebih masa, yang kadang-kadang memendekkan masa dan waktu bersama keluarga. Dimana pertambahan tugasnya jika kita sebenarnya mempunyai ramai rakan-rakan yang membantu?

Ini terjadi kerana guru cemerlang selalunya adalah individu yang begitu popular disekolah. Semua orang kalau boleh nak memberikan kerja kepada guru cemerlang. Sebab? Sebabnya 'kan cikgu ni guru cemerlang, mesti cikgu boleh buat punya'

Lama kelamaan secara sedar atau tidak akan terbina tembok antara kita dengan rakan-rakan lain. Secara sedar atau tidak kita akan berasa terasing. Kalau dulu sama-sama boleh berbincang dibilik guru, tidaklah menjadi sesuatu yang dikisahkan. Hendak minum dan berbual di kantin bersama rakan-rakan guru, ini pun orang tak kisah.

Kini, kita menjadi model kepada rakan-rakan guru. Tindak-tanduk dan tingkah laku perlu dikawal, takut-takut nanti kita akan dicemuh apabila kita secara tidak sengaja melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya. Cakap tak serupa bikin. Dulu, kalau ada masalah, tidak kira peribadi atau kerjaya, boleh juga berbincang dengan rakan semeja. Kini semua itu mungkin akan menjadi tidak semudah dahulu. Pernah sekali cuba meluahkan sesuatu untuk berbincang tentang kaedah pembelajaran dan pengajaran dalam kelas, alih-alih ayat yang sama keluar dari rakan semeja dengan katanya "yang tu pun GC nak tanya, hang kan cemerlang".

Tapi yang jelas jika kita berjaya mengatasinya dengan cara yang hikmah kita akan merasakan bahawa kita hanya berseorangan tetapi kita tidak akan kesunyian!...

Baca selengkapnya...

Sunday, March 27, 2011

Perkara mungkar jangan disensasikan...

0 comments
Alhamdulillah bersyukur saya kepada Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan limpah kurnianya dapat meluangkan masa pada pagi ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar semua muslimin di seluruh dunia, Nabi Muhammad pembawa cahaya seluruh alam.

Jika kita seorang pembaca suratkhabar yang setia, tentu sejak dua minggu lalu kita akan membaca kisah tentang paparan video tidak senonoh oleh tiga orang bekas pemimpin yang pernah disanjung. Kisah ini begitu mendominasi suratkhabar arus perdana sehinggakan berita seperti pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2010 menjadi sebagai berita dengan tulisan kecil. Apakah ini trend maklumat mendidik rakyat yang cuba dibentangkan oleh media massa arus perdana ataupun media massa sudah kekeringan isu yang lebih baik daripada mensensasikan perkara mungkar?

Kecenderungan saya untuk meluahkan rasa yang terbuku di dalam hati tentang perkara ini kerana seorang pelajar saya bertanya kepada saya ketika sesi soal jawab selepas tamat sesi pembelajaran dan pengajaran. Kebetulan tajuk yang saya bincangkan bersama pelajar ialah cara-cara mencegah kehamilan, lalu pelajar bertanya ,"cikgu, cerita dalam paper kata ahli politik tu buat semua depan dengan belakang kira macam mana?dia ada tak guna kaedah pencegahan kehamilan?". Terkejut saya mendengar soalan itu. Saya pun menjawab itu dunia politik yang penuh dengan kedustaan dan jangan kita sensasikan perkara-perkaran mungkar.

Pendidikan adalah inti yang paling penting dalam membangunkan pemikiran dan jiwa masyarakat ke arah pembentukan masyarakat yang baik dan seterusnya negara yang baik. Seharusnya kita sentiasa peka proses pendidikan bukan sahaja terhad di bilik darjah, dewan kuliah atau buku-buku, tetapi juga ianya akan disampaikan secara tidak lansung melalui artikel-artikel di akhbar, rancangan di radio dan televisyen dan juga media elektronik alternatif yang lain. Bahkan mengikut kajian, pendidikan secara tidak lansung yang digambarkan oleh media elektronik akan lebih diingati dan memberikan kesan kepada masyarakat.

Maka rentetan dari pendidikan secara tidak lansung inilah, saban hari kita melihat pelbagai bentuk maksiat yang kadang-kadang tidak terlintas lansung pada fikiran kita. Malah lebih menyedihkan apabila golongan yang akan menerajui negara satu hari nanti merupakan golongan majoriti melakukan maksiat pelbagai bentuk ini. Apakah saya suatu hari nanti akan berhadapan dengan karenah pemimpin yang lemah dan buruk dari segi sahasiahnya?

Golongan agamawan sering menasihati agar media-media perdana menyediakan program-program yang memberikan bual bicara terpuji, berakhlak dan beretika. Seharusnya program seperti di atas dibanyakkan dalam media elektronik, namun realitinya manusia sering mahu memilih yang buruk. Justeru itu tidak hairanlah peningkatan kes-kes maksiat di serata negara.


Mengulang-ulang kisah yang tidak bermoral, dan memberikan kedudukan penting dengan secara tidak sengaja menjadikannya sejarah yang bakal diingati akan akhirnya menjadi perkara yang masyhur. Hal ini akan membawa akibat timbulnya pemikiran dan perkara yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak. Sebuah hadis Rasulullah Shallalahu 'alaihi wasalam (s.a.w) dalam Shahih Muslim, bersumber daripada Nawwas bin Sam'an Al Ansari:"Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai soal kebajikan dan dosa. Baginda bersabda; Kebajikan adalah akhlak yang baik, dan dosa adalah sesuatu yang merisaukan hatimu di mana kamu merasa tidak suka apabila hal itu sampai dilihat oleh orang lain.".
Apakah kita perlu untuk memberitahu semua rakyat di Malaysia tentang perkara-perkara mungkar yang dilakukan oleh orang-orang yang terkenal?

Sejarah adalah ilmu yang penting dalam peradaban manusia. menurut Ibnu Khaldun dalam bukunya al-Muqadimah, pada hakikatnya sejarah dalam kata lain mengandungi penelitian dan usaha mencari kebenaran (tahqiq), penjelasan yang halus dan tentang sebab dan asal benda; pengertian dan pengetahuan tentang wujud dan maujud, pengetahuan tentang bagaimana dan sebabnya terjadi peristiwa-peristiwa. Dengan demikian sejarah benar-benar berakar tunjang kepada pemikiran. Dan ianya dianggap sebagai satu cabang daripada falsafah. Apabila perkara mungkar seperti skandal seks itu diangkat untuk diingati maka ia secara sengaja atau tidak telah melakukan sedikit tindakan untuk menjadikannay sebagai sejarah.

Secara jujurnya, saya seorang guru biasa yang marhaen memandang jelek tindakan yang dilakukan oleh ahli-ahli politik demi kelansungan pengaruh mereka. Apabila berita-berita sebegini mendominasi pemikiran, seharusnya senantiasa kita menyemak pesanan daripada al-Quran apa tindakan yang harus kita ambil. Sebagai contoh salah satu pesanan yang terdapat dalam surat al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud:"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seseorang yang fasik dengan membawa sesuatu berita, maka selidikilah terlebih dahulu, agar kamu tidak menimpakan sesuatu musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya (secara jahil), maka dengan sebab itu jadilah kamu di atas perbuatan kamu itu orang-orang yang menyesal."

Wasalal...

Baca selengkapnya...
 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--