Wednesday, October 26, 2011

Aku keseorangan...


Salam pertemuan kepada rakan-rakan pengunjung setelah hampir lima bulan tidak memuatkan entri terbaru. Sebenarnya banyak peristiwa dan catatan yang ingin saya masukkan tetapi kekangan masa menyebabkan saya gagal untuk menguruskan laman blog ini.

Malam ini saya ingin berbicara untuk meluahkan perasaan yang terbuku di dalam hati setelah hampir lebih satu minggu memendamnya. Apa yang saya ingin katakan bukanlah untuk mengadu domba atau mengenakan sesiapa, ianya cuma suatu luahan yang terbit dari hati yang merasakan tiada siapa yang ingin membantunya.

Saya begitu bangga sekali menjawat jawatan sebagai guru di negara yang saya cintai ini. Matlamat untuk mendidik anak bangsa untuk berjaya dalam setiap lapangan sentiasa tertanam jauh di lubuk hati saya. Justeru itu, saya sentiasa berusaha dengan apa yang terdaya untuk cuba menarik minat remaja untuk cintakan ilmu. Namun kadang-kadang apa yang saya lakukan selalu saja jarang mendapat bantuan. Kadang-kadang terfikir adakah diri ini tidak disukai oleh rakan taulan ataupun saya yang terlalu mementingkan diri sendiri. Persoalan inilah yang membuatkan saya merasa begitu kerdil sekali untuk meneruskan perjuangan. Malah kadang-kadang terfikir mungkin suara sinis yang mengatakan "Tu la, sapa suruh buat masa ni, ni masa semua orang sibuk..." mungkin ada benarnya. Namun ketika terfikir kata-kata hikmat yang berbunyi "di dalam payah dan getir itu ada kemanisan yang tidak diduga" saya teruskan dengan semangat yang berkobar-kobar.

Ketika ini, saya sedang mengurus dan melatih murid-murid untuk terlibat dalam suatu kejohanan petanque peringkat kebangsaan. Hakikatnya kejohanan ini adalah berkaitan dengan jawatankuasa asrama, tetapi apabila saya minta pertolongan dari pihak jawatankuasa asrama, tiada siapa yang sanggup dan mahu membantu saya, pelbagai alasan yang diberikan. Ditambah hiba pula, pada hari pertandingan dijalankan anak lelaki saya yang kedua akan terlibat dengan sukaneka pelajar 5 tahun. Kesiankan, pada saya yang berada dalam dilema ini.

Ketika memandu pulang dari sekolah tadi setelah puas mencari pertolongan, saya terfikir apa yang saya lakukan ini adalah kerana Tuhan yang maha kuasa. Saya sentiasa cuba mencari jalan dan kaedah untuk mendekatkan diri remaja kepada cintakan ilmu. Sukan juga merupakan salah satu jalam untuk membawa remaja ke arah mengenal pencipta mereka. Jadi saya kuatkan diri untuk menguruskan murid ke kejohanan ini tanpa menyusahkan sesiapa. Saya yakin dan pasti Allah sentiasa ada bersama dengan saya....wasalam

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--