13 years ago
Tuesday, December 12, 2017
Ulasan ringkas buku "Memori Hamka di dalam Tafsir Al-Azhar oleh Muhammad Zen"
Salam pertemuan untuk rakan-rakan pengunjung blog saya. Posting kali ini akan membicarakan sebuah buku kecil hasil susunan daripada seorang penulis bernama Muhammad Zen. Buku kecil bertajuk "Memori Hamka di dalam tafsir al-Azhar" merupakan suatu buku menghimpunkan kisah-kisah dan pengalaman yang dialami oleh Prof Dr Hamka yang diabadikan di dalam karya terbesar beliau, Tafsir Al-Azhar. Inilah yang dikatakan, setiap insan yang mengorbankan diri untuk ilmu dan umat akan hidup lebih lama. Walau jasadnya telah bersemadi di pusara, namun namanya sentiasa dikenang dan dinukilkan. Begitu juga nasihat dalam karyanya yang dijadikan panduan dan pengajaran buat menempuh hari mendatang dalam kehidupan mereka yang dahagakan keredhaan Ilahi.Begitulah Pak HAMKA yang telah banyak berjasa kepada umat Islam Nusantara. Dalam dirinya terkumpul berbagai kepakaran dari ilmu-ilmu Tauhid, Fiqh dan Tasawuf serta ditambah dengan seniman, penyair dan pujangga yang menerangi liku-liku kehidupan. Kesederhanaannya mengkagumkan, ketegasannya mendapat penghormatan dan pemergiannya tiada galang ganti. Seperti yang saya nyatakan di atas,buku kecil ini menghuraikan hal pengalaman peribadi yang dialami Buya Hamka semasa pentafsir Al-Qur’an ” Tafsir Al-Azhar ” dan kaitannya dengan realiti kehidupan umat Nusantara seharian. Penulis buku ini, Muhammad Zen menyatakan di bahagian mukadimah bahawa Pak Hamka berjaya merakamkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di alam Melayu dan beberapa negara lain yang terjadi semasa hayatnya. dan yang lebih manis, peristiwa itu dirakamkan di dalam karya tafsir beliau, tafsir al-Azhar. Muhammad Zen menyatakan lagi, bahawa betapa beliau merasakan amat perlu untuk mengumpulkan kisah-kisah berkaitan dengan alam Nusantara yang terdapat di dalam Tafsir Al-Azhar untuk ditatap oleh orang ramai bagi yang tidak berkesempatan membaca karya terbesar Pak Hamka itu. Diakhir bicara berkaitan mukadimah, penulis menegaskan mungkin ada kisah-kisah di dalam Tafsir al-Azhar yang terlepas pandang oleh penulis kerana terlalu banyak kisah yang dinukilkan oleh Buya Hamka yang amat menarik untuk dicicipkan oleh para pembaca yang memiliki Tafsir al-Azhar. Saya sendiri,alhamdulillah berjaya memiliki stok terakhir taksir al-azhar cetakan Pustaka Nasional di Kuala Kangsar pada tahun 2009. Ianya merupakan antara salah satu harta pinjaman yang amat bernilai yang saya miliki sepanjang hidup saya.
Penulis Muhammad Zen, mengumpulkan 55 kisah yang dinukilkan oleh Buya Hamka di dalam Tafsir Al-azharnya. Yang menarik perhatian saya tentang buku kecil ini, ialah bagaimana penulis berjaya menyedarkan saya setelah sekian lama memiliki Tafsir al-Azhar bahawa ada kisah-kisah, kata-kata pujangga Melayu, pantun-pantun alam Melayu, gurindam alam Melayu yang dikaitkan dengan ayat-ayat al-quran. Sebuah kisah menarik yang dimuatkan oleh Buya Hamka ialah apabila Buya Hamka mula mentafsikan ayat pertama dan kedua pada Surah Yusuf. Semua orang boleh mempelajari bahasa Arab dengan mudah. Buktinya ramai ulama yang hebat bukan dari bangsa Arab yang pertuturannya bahasa Arab. Hanya orang yang tidak suka dan mempunyai perasaan prejudis sahaja menolak fakta ini. Buya Hamka menukilkan berkaitan pengalamannya bertemu dengan orang sendiri yang mengaku beragama Islam tetapi sinis dengan berkata membaca Al-quran bukan ada fardahnya kerna kita bukan tahu apa yang dibaca. Apa guna membaca suatu buku yang tidak diketahui maknanya. Buya Hamka dengan lontara senyuman menyedarkan orang itu dengan berkata dia berkata demikian kerana dia tidak berfikiran sebagai orang Islam tetapi berfikiran seperti orang Belanda.
Banyak lagi kisah menarik yang berkaitan dengan dunia alam Melayu Nusantara yang dinukilkan oleh Buya Hamka dan dimuatkan oleh Muhammad Zen di dalam bukunya. Semua kisah-kisah itu diberikan tajuk oleh penulis seperti Hikmah Tidak Jadi Mufti, Air laut Indonesia turun di Malaysia, Buku-buku Hamka di perpustakaan Amerika, Cemburu melihat al-quran dibaca dengan banyaknya, Memberi Rasuah kepada Jin dan banyak lagi
Bahagian kedua buku kecil ini, penulis Muhammad Zen memuatkan kisah biografi Buya Hamka dan judul-judul karya Pak Hamka. Bagi saya kalau sesiapa yang belum membaca novel "Tenggelamnya Kapal Van Dar Wijk" haruslah membacanya. Novel ini berkisarkan kegagalan percintaan antara Zainuddin, seorang lelaki kacukan, dan Hayati, seorang wanita Minang tulen. Buya Hamka, seorang ulama Islam yang tidak bersetuju dengan adat Minang (tradisi), menulis novel ini sebagai kritikan terhadap diskriminasi terhadap orang yang bercampur-bangsa berlaku di dalam masyarakat Minang pada masa itu, serta peranan tunduk wanita. Novel ini difilemkan pada tahun 2013 dan menerima sambutan yang amat baik dari penggemar filem Nusantara.
Penulis Muhammad Zen mengakhiri buku kecil ini dengan dua tajuk yang istimewa iaitu "Tiga Al-Azhar dalam kehidupan Hamka dan Kenangan Buat yang Berjasa"
Dalam bab Tiga al-azhar dalam kehidupan Hamka, penulis memuatkan bagaimana Buya Hamka mendapat gelaran Profesor persuratan dr Universiti Al-Azhar, mengapa Masjid agung di Kebayoran Baru, Jakarta dinamakan Masjid Agung Al-Azhar serta mengapa Buya Hamka menamakan karya agung beliau sebagai Tafsir Al-Azhar.
Bab akhir penulis memuatkan nukilan Buya Hamka bagaimana Buya Hamka begitu memuliakan ayah dan juga guru utamanya Almarhum Dr Syeikh Karim Amrullah. Ini kerana Buya Hamka merupakana seorang cendiakawan yang banyak mengkaji sendiri dan tidaklah ramai guru-guru pakar yang bersama beliau kecuali ulama-ulama besar yang beliau mengambil pengajaran dari karya-karya mereka. Didalam bab ini juga, penulis memuatkan bagaimana Buya Hamka melahirkan rasa hormat kepada guru yang juga abang ipar beliau Ahmad Rasyid Suta Mansyur yang memimpin beliau dari sejak umur 9 tahun lagi.
Bagi rakan-rakan pengunjung yang masih belum memilik Tafsir Al-Azhar, eloklah rasanya jangan lepaskan peluang memiliki buku kecil karya Muhammad Zen ini. InsyaAllah buku kecil ini akan menambahkan rasa cinta kita kepada ulama besar alam Melayu ini, Prof Dr Haji Abdul Malik bin Haji Abdul Karim Amrullah.
Terima Kasih atas lawatan anda.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment